Ahad, 13 April 2008

BANGSA YANG SUDAH ROSAK


Saya terjumpa karangan sajak ini dalam satu ruangan forum yang cenderung kepada Ashari Muhamad (Al Arqam) yang dihantarkan oleh seorang yang menggunakan nama 'mamicun'. Saya tidak pasti samada sajak ini karangan asli 'mamicun' atau merupakan karya Ashari Muhamad kerana saya bukan pengikut Arqam. Namun begitu, saya tertarik dengan sajak ini yang sesuai pula dengan perasaan umum waktu ini. Bait-bait sajak ini dapat saya fahami seperti mewakili jiwa pengundi yang tidak mengundi Barisan Nasional pada PRU12 yang lalu. Sama-samalah kita fahami maksudnya dan mungkin mengambil pelajaran daripadanya. Sayang Bangsa Mu...

~MataHatiJohor~
...................................................................

mamicun
BANGSA YANG SUDAH ROSAK
10/12/2005


Satu bangsa yang sudah rosak jiwanya
Nafsu serakahnya tidak dapat dikawal
Di waktu itu bukan mudah dibaikpulihkan semula
Bangsa yang jiwanya sudah rosak ilmu akan disalah guna
Kecerdikannya akan dijadikan jerat
dan perangkap mangsa tipuannya
Jawatan dan pangkat yang diberi itu adalah perniagaannya
untuk mencari untung

Atau ia akan menjadikan ladang
atau aset tempat mencari kekayaan
Setiap amanah yang diberi dianggap ghanimah
Yang tidak ada ilmu atau jawatan, dia akan buat apa sahaja,
yang penting adalah kesenangan
Mencuri, tipu, bunuh, rompak, pedaya dan lain-lain cara
Yang penting boleh cari makan, boleh hidup, boleh senang,
sekalipun mengorbankan kesenangan orang

Di waktu itu kasih sayang musnah, perpaduan punah
Hidup macam haiwan, macam syaitan,
yang kuat menindas yang lemah
Curiga-mencurigai satu sama lain pun datang
Prejudis yang tidak dapat dikawal perasaan

Duduk di tengah masyarakat terasa seorang
Duduk seorang bimbang, duduk di tengah masyarakat
terpaksa kerana keperluan
Indahnya tiada, curiga-mencurigai tetap ada,
senyum hanya dibuat-buat
Percaya-mempercayai sudah tidak ada

Aduh seksanya hidup bermasyarakat
Bergaul sesama manusia, macam bergaul dengan binatang buas
Sentiasa waspada, curiga, sentiasa awas, berjaga-jaga
Begitulah kalau satu bangsa jiwanya sudah rosak
Mereka terperangkap dengan ketakutan sesama manusia

Siapalah yang hendak memulihkan jiwa mereka?!
Ia perlukan seorang pemimpin yang cukup hebat wibawanya
Pemimpin yang dibantu oleh Allah mendidik dan memimpin mereka
Itu pun mungkin memakan masa berpuluh-puluh tahun juga lamanya

0 ulasan: