Sabtu, 27 Disember 2008

UMNO...UMNO... ORANG JALAN KE DEPAN... AWAK NAK KEBELAKANG...



Sabtu Disember 27, 2008
Lembaga Disiplin: Unsur kempen tidak boleh dalam blog

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK (MStar)

PETALING JAYA: Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail menegaskan bahawa penggunaan blog untuk berkempen oleh calon yang bertanding dalam mana-mana pemilihan parti adalah bertentangan dengan Tataetika Ahli Umno.

Beliau berkata, apa jua perkataan atau isyarat yang terkandung dalam mana-mana penulisan yang mengandungi unsur untuk berkempen dianggap salah dan boleh dikenakan tindakan disiplin.

"Ada blog tak salah, tapi kalau guna blog untuk berkempen yang salah.

"Sama juga dengan kalau guna surat khabar untuk berkempen bagi menarik orang memilih mereka," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Tambah beliau Tataetika Ahli Umno di bawah Perkara 5.3 dengan jelas menyebut bahawa sebarang penerbitan dan penggunaan media massa, elektronik atau internet untuk berkempen dianggap sebagai satu kesalahan.

Perkara itu menyebut bahawa menerbit, menyiar atau menulis apa-apa risalah, majalah, makallah, buku atau lain-lain karya secara langsung atau tidak langsung, yang mempunyai unsur-unsur menyokong, memfitnah, mencela, mengkeji atau mengandungi kenyataan palsu terhadap mana-mana Ahli parti yang disiarkan melalui media massa, elektronik atau internet dengan tujuan untuk mengelirukan seseorang berkenaan Ahli UMNO yang lain, mempengaruhi atau mendapat undi atau sokongan bagi pihaknya atau orang lain dalam mana-mana pemilihan parti.

Beliau mengulas pandangan Tan Sri Muhammad Muhd. Taib, salah seorang calon yang bakal menyaingi kerusi Timbalan Presiden bahawa Lembaga Disiplin perlu menjelaskan tatacara kempen menerusi blog.

Ketua Penerangan Umno itu berkata, larangan menggunakan blog sebagai kaedah untuk berkempen perlu diperjelaskan dengan lebih terperinci memandangkan pemilik blog terutama di kalangan ahli dan pemimpin Umno agak ramai pada masa ini.

Bagaimanapun jelas Ahmad Rithauddeen, calon-calon yang bertanding boleh menggunakan blog untuk menyuarakan pandangan ataupun hasrat mereka selagi tidak mengandungi unsur-unsur untuk berkempen.

Ditanya sama ada Lembaga Disiplin Umno menjalankan siasatan terhadap semua pemimpin Umno yang bertanding pada pemilihan parti Mac depan memandangkan kini penggunaan blog semakin popular, beliau berkata, sukar bagi pihaknya untuk mengkaji semua blog yang ada.

"Kita tak boleh nak kaji semua blog mereka, tapi kalau ada laporan kita akan siasat," katanya.