Jumaat, 12 November 2010

PKR - SARANG MAKHLUK PEROSAK

Pemimpin2 PKR asalnya adalah makhluk2 perosak yg telah gagal merosakkan UMNO melalui pelbagai cara kotor termasuk rasuah politik (ingat isu saham DRB HICOM). Apabila kepala segala makhluk perosak itu disingkirkan dari UMNO, sebahagian besar makhluk perosak telah turut meninggalkan UMNO dan menubuhkan PKR.

Di peringkat awal, atas dasar kasihan kepada Kepala makhluk perosak ini yg mendakwa dirinya dianiaya, rakyat yg terpengaruh memberikan sokongan kepada PKR.

Belum pun agenda ke Putrajaya dapat mencapai kejayaannya... Segala makhluk perosak sudah tidak dapat menyembunyikan lagi perangai buruk sebenar mereka yang penuh dengan kerakusan terhadap kuasa dan harta tanpa memikirkan masa depan rakyat dan negara. Segala cara dihalalkan oleh mereka.

Kini tembelang sudah pecah. Orang UMNO sudah kenal perangai makhluk-makhluk perosak ini sejak dari dahulu lagi. Proses pembersihan UMNO suatu masa dahulu telah berjaya. Kami merasa sungguh kasihan kepada ahli-ahli PKR yang baru menyedari bahawa yang mereka dokong selama ini adalah makhluk perosak yang merosakkan.

Jadikan ini sebagai pengalaman. Barang yang telah dibuang kerana sudah rosak janganlah digunakan semula. Tentu ada sebabnya ianya dibuang dan tidak digunakan lagi. Hanya yang bankrap sahaja yang menggunakan barang terbuang seperti Anwar Ibrahim.

Selasa, 2 November 2010

TENTANG MELAYU

Keresahan tentang Melayu

Oleh Dr. Nordin Kardi

BEBERAPA minggu yang lalu saya menyertai forum di Shah Alam bersama bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin (Zam). Tajuk forum adalah 'Survival akhbar Melayu'.

Semasa berforum, Zam bersungguh-sungguh memberi hujah bahawa akhbar Melayu seperti Utusan Malaysia adalah akhbar nasional, bukan akhbar untuk orang Melayu. Zam juga meratapi mengapa bahasa Melayu sekarang yang sepatutnya menjadi bahasa kebangsaan semakin mengecil penggunaannya, seolah-olah ia hanya bahasa untuk orang Melayu di Malaysia. Tidak usahlah didebatkan mengapa hal itu terjadi dan salah siapa kerana debat sedemikian tidak akan ada kesudahannya.

Yang menjadikan pintu ingatan saya diketuk kembali oleh kata-kata Zam itu ialah apabila saya menerima e-mel daripada sahabat saya, Datuk Zuraidah, bekas Ketua Eksekutif sebuah bank yang juga seorang peguam dan begitu cenderung mengikuti pelbagai perkembangan dalam negara. Dalam e-mel beliau itu, dikepilkan ulasan seorang penulis yang disiarkan dalam akhbar berbahasa Cina.

Rencana yang seolah-olah ditulis oleh pembaca dan bukan editorial itu seakan-akan menyindir Perdana Menteri yang berbaju Melayu sepanjang tempoh Perhimpunan Agung UMNO yang baru lalu. Najib disindir mengapa tidak berbaju Melayu selang sehari kemudian di tempat yang sama iaitu PWTC, semasa berucap menerangkan mengenai transformasi ekonomi kepada masyarakat perunding perniagaan, sebaliknya berkot dan bertali leher merah serta berbahasa Inggeris pula.

Mengapa saya cenderung mengatakan tulisan itu menyindir Najib kerana antara terjemahan yang saya terima daripada tulisan itu berbunyi seperti ini: "Mengikut kata-kata daripada seorang rakan berbangsa Melayu, pakaian yang dipakai oleh Najib baik dari segi warna, design - semuanya yang terbaik dan agak menyerlah. Sebab itu, kita tidak pernah melihat pemimpin UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO tidak memakai baju Melayu.

Malah, gerai-gerai pakaian di Putra World Trade Centre menyaksikan perniagaan yang terlaris adalah menjual pakaian tradisi itu. Boleh dikatakan yang mempertahankan pakaian kaum yang begitu kuat adalah kaum Melayu. Jika MCA adakan mesyuarat Agung mereka, kita hanya nampak semuanya berpakaian warna putih iaitu pakaian seragam parti.

Tidak kelihatan baju Cheongsam, ataupun pakaian Tongshan. Komunis di negeri China juga meniupkan suara kaum, tetapi semasa perhimpunan mesyuarat Agung mereka, Fu Jin Dao dan uncle Wen semuanya mengenakan pakaian baju kot barat yang begitu segak. Jika lihat di Perhimpunan Agung UMNO, semuanya mengenakan pakaian baju Melayu. Sudah tentu ia melambangkan untuk mempertahankan tradisi kaum".

Sekiranya kecenderungan saya mentafsirkan petikan itu sebagai sindiran kerana terjemahan itu salah, maka saya bersedia memohon maaf.

Namun apabila membaca seterusnya tentang diskripsi pakaian Najib semasa majlis transformasi ekonomi itu, sensitiviti saya menjadi semakin menebal.

Bunyinya begini: "Dari segi pakaian Najib yang dikenakan dengan tali leher berwarna merah, designnya serta kualitinya memang yang terbaik, dilengkapkan dengan berbadan besar dan segak... memang mengagumkan, dan bahasa Inggeris Najib jika mengikut tahap di Malaysia memang agak luar biasa bagus. Ia tetap mengagumkan".

Penting sangatkah soal pakaian sehingga seorang bekas Naib Canselor terheret menulis mengenai hal ini. Tidak ada isu lain yang lebih penting hendak ditulis? Terpulang kepada tafsiran pembaca.

Namun yang hendak saya kemukakan ialah perbandingan cerita pakaian Perdana Menteri dengan isu akhbar dan bahasa Melayu yang diutarakan oleh Zam pada perenggan awal tulisan ini. Zam tidak menyalahkan orang lain mengapa bahasa Melayu dan akhbar Melayu seperti gagal menjadi bahasa dan akhbar nasional atau hanya orang Melayu yang menganggap kedua-duanya bertaraf nasional.

Demikian juga implikasi tulisan dalam akhbar Cina itu. Bukankah setiap kali ada majlis negara termasuk majlis mengadap Raja-Raja, dalam surat atau kad jemputan akan disebut peraturan pakaian, sama ada pakaian kebangsaan atau 'lounge suit'.

Dalam majlis menerima pingat pula, orang Melayu hanya diberi pilihan sama ada berpakaian kebangsaan atau memakai pakaian seragam bagi kakitangan kerajaan dalam pelbagai sektor.

Untuk orang bukan Melayu dibenarkan berpakaian 'lounge suit'. Perkara yang ingin saya jadikan isu ialah perkataan 'kebangsaan'. Penulis dalam akhbar Cina itu menyebut Najib berbaju Melayu. Tidakkah dia pernah tahu bahawa baju yang dipakai oleh Najib dalam Perhimpunan Agung UMNO itu adalah pakaian kebangsaan? Demikianlah apabila berterusan, pelbagai pengecualian diberi kepada rakyat 1Malaysia daripada mengamalkan amalan kebangsaan kerana istilah yang digunakan memasukkan perkataan Melayu, sehingga ada yang tidak tahu beberapa perkara yang berjenama Melayu itu bukan hanya untuk orang Melayu sebaliknya adalah perkara nasional.

Tidak hairanlah apabila pemimpin negara, yang kebetulan bercakap mengenainya hanya pemimpin Melayu, berbuih mulut dan kering air liur mengajak ibu bapa bukan Melayu menghantar anak-anak ke sekolah kebangsaan, masih ramai yang memandang sebelah mata kepada seruan itu. Ini kerana mereka menganggap sekolah itu untuk anak-anak Melayu sahaja. Bergadai bergoloklah Menteri Pelajaran berbelanja dan menyeru supaya sekolah kebangsaan itu diperkasakan untuk semua rakyat, namun stigma sekolah kebangsaan hanya untuk orang Melayu belum dapat disucikan.

Mungkinkah di Malaysia ini perlu dikeluarkan fatwa baru bahawa beristinja dengan air sudah tidak memadai kerana tidak lagi suci dan menyucikan lalu perlu beralih kepada batu untuk bertaharah?

Hal bahasa Melayu, akhbar Melayu dan baju Melayu yang saya persembahkan dengan suara resah ini sebetulnya belum lagi meresahkan saya. Ada lagi keresahan lain yang mengganggu saya. Oleh kerana apa saja yang dilekatkan dengan perkataan Melayu, ia akan dianggap perkauman sehingga setiap orang perlu Melayu sentiasa berhati-hati menggunakan perkataan itu.

Perlahan-lahan perkataan itu akan mengalami metamorforsis dan menjadi suatu taboo. Oleh kerana sudah menjadi taboo, di mana-mana sahaja pemimpin atau bukan pemimpin Melayu ingin menyebut perkataan Melayu, dia harus terlebih dahulu meminta maaf.

Di Parlimen pun nanti mereka akan memulakan kata-kata berbunyi, "Tuan Yang di-Pertua, dengan izin' sebelum berani menyebut perkataan itu. Selepas menjadi taboo, menyebut perkataan Melayu lambat laun akan menjadi suatu dosa. Setiap dosa mesti dibalas dengan hukuman. Mungkinkah demikian?

Hal ini pun belum mengakhiri keresahan saya. Kemuncak keresahan saya adalah apabila nanti nama Malaysia pun perlu ditukar kepada nama lain kerana adanya perkataan 'Malay' sebelum 'sia'. Kesanggupan pemimpin Melayu mengkompromikan nama negara menjadi Malaysia dan tidak negara Wilayah Melayu nampaknya tidak berapa dijiwai oleh generasi muda. Penggunaan lenggok Inggeris bagi menamakan negara seperti bertujuan mengurangkan 'totok' Melayu untuk disebut oleh rakyat bukan Melayu.

Nampaknya 'sorongan' tidak dibalas dengan 'tarikan' yang setimpal. Pada hal, jika keputusan dulu sebaliknya, maka setiap rakyat tidak kira Melayu atau bukan Melayu, jika mereka berada di luar negara dan ditanya asal negara mereka, mereka akan menjawabnya 'saya dari negara Melayu atau saya dari negara Wilayah Melayu (terjemahan Malaysia) dan pasti tidak akan ada yang bertanya atau mendengar jawapan 'saya Malaysian Chinese atau Indian Chinese'. Ia seperti tidak pernah ada orang Melayu pada masa ini menjawab soalan sedemikian dengan jawapan 'saya Malaysian Malay', selain daripada menjawab 'saya Malaysian'.

Sepanjang saya memahami hidup bernegara, saya sentiasa merasakan ahli-ahli Kabinet Cina atau India sebagai pemimpin saya dan bukan pemimpin untuk kaum mereka sahaja.

Adakah rakan saya dari kaum yang saya sebutkan itu juga berperasaan seperti saya bahawa Najib, Muhyiddin, Hishammuddin, Shafie Apdal itu pemimpin mereka atau pemimpin untuk orang Melayu sahaja? Mungkin Yang Berhormat Datuk Chor tak tahu, bahawa setiap kali bertembung dalam kapal terbang dari Alor Setar ke Kuala Lumpur, diam-diam saya sangat menghormati dan mengiktiraf beliau sebagai 'pemimpin saya' oleh keramahan dan santunnya.

Tan Sri Dr. Nordin Kardi ialah Profesor di Kolej Sastera dan Sains, Universiti Utara Malaysia.