AGENDA BARU MEDIA : MARI BELASAH TUN DR MAHATHIR
~MataHatiJohor~ : MAKA, EPISOD BARU MEDIA ARUS PERDANA SUDAH BERMULA. BAGI MENUTUP TIRAI KELEMAHAN KEPIMPINAN PAK LAH, KINI TOPIK BARU YANG LEBIH SENSASI TELAH DITEMUI. MATLAMATNYA UNTUK MENGAJAK SELURUH RAKYAT MALAYSIA MEMBENCI TUN DR. MAHATHIR. SEBABNYA, TUN DR. MAHATHIR BEGITU LANTANG MENGKRITIK KEPIMPINAN PAK LAH. MULAI HARI INI, MEREKA AKAN MENDEDAHKAN KELEMAHAN, KESILAPAN MALAH KEZALIMAN TUN DR MAHATHIR SEMASA MENJADI PERDANA MENTERI. TUJUANNYA, SEBAGAI UGUTAN SEKIRANYA TUN DR. MAHATHIR TERUS-TERUSAN MENGKRITIK MAKA MEDIA AKAN MENJUAL CERITA YANG LEBIH SENSASI TENTANG ZAMAN PEMERINTAHAN BELIAU.
KEPIMPINAN PAK LAH MEMBICARAKAN TUN DR. MAHATHIR DI MEDIA SEDANGKAN TUN SENDIRI MENCABAR SEKIRANYA BELIAU ADA MELAKUKAN KESALAHAN SILA DAKWA BELIAU KE MUKA PENGADILAN. MAKA SEMUA MUSUH TUN DR. MAHATHIR YANG DULUNYA JUGA MUSUH KEPADA PAK LAH DAN UMNO SEPERTI KARPAL SING DAN ANWAR IBRAHIM, DIBERIKAN RUANG YANG LUAS DI AKHBAR PRO KERAJAAN UNTUK MEMBELASAH TUN DR. MAHATHIR.APAKAH SEMUA INI AKAN MENYELESAIKAN KEMELUT POLITIK MELAYU. INGATLAH, NEGARAWAN SEPERTI TUN DR. MAHATHIR TIDAK AKAN GOYAH HANYA DENGAN UGUTAN SEBEGINI. Sayangkan Bangsa lebih dari Sayangkan Pemimpin.
............................................................................................................
Dr M disaran mohon maaf secara terbuka
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi dalang kepada berlakunya krisis kehakiman pada 1988 harus bertanggungjawab dan memohon maaf secara terbuka kepada hakim yang dipecat dalam episod itu serta keluarga mereka.
Pengerusi DAP, Karpal Singh, berkata walaupun kerajaan sudah mengambil langkah mengurangkan kepayahan yang dilalui hakim terbabit, bekas Perdana Menteri itu tidak harus dikecualikan daripada memikul tanggungjawabnya.
"Permintaan saya supaya beliau memohon maaf kepada hakim yang dipecat dan keluarga mereka ditolak tetapi ia tidak bermakna tiada penyelesaian bagi apa yang dilakukan Dr Mahathir itu," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Karpal berkata, beliau bersetuju dengan kenyataan isteri Allahyarham Tan Sri Suleiman Pawan Teh, Puan Sri Siti Nurhayati Mohd Daud yang berkata suaminya tidak boleh dinilai dengan wang ringgit dan ia membuktikan keluarga bekas hakim itu mahu namanya dibersihkan.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan membentuk Suruhanjaya Diraja menyiasat dan membuktikan pembabitan Tun Mahathir dalam krisis 1988 itu yang menyebabkan pemecatan tiga hakim terbabit.
...........................................................................................
Anwar sokong langkah PM, Mukhriz enggan ulas.
SUBANG JAYA: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Hakim.
Katanya, keputusan itu adalah langkah wajar berikutan badan kehakiman negara sering berdepan pelbagai masalah yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap proses keadilan di negara ini.
"Jika kerajaan melakukan perkara yang baik, kami sebagai pembangkang sentiasa menyokong keputusan itu dan dalam konteks ini badan kehakiman negara sebenarnya sudah lama memerlukan perubahan.
"Saya berharap reformasi yang dilakukan mdalam badan kehakiman bukan bersifat sementara, tetapi konsisten kerana itulah sebenarnya yang dimahukan oleh rakyat," katanya selepas menghadiri Majlis Makan Malam bersama penyokong PKR Subang Jaya, di sini malam tadi.
Sementara itu, beliau berkata, pemberian ex-gratia kepada enam bekas hakim kanan yang dipecat dalam krisis kehakiman pada 1988 adalah tepat kerana sudah lama mereka diZALIMI oleh kepemimpinan negara. "Perkara berkaitan rasuah dan ketelusan perlu diperbaiki dan ini yang dituntut rakyat," katanya. \
Ditanya pendiriannya yang berada dalam kabinet ketika pemecatan Tun Salleh Abas, beliau berkata, Salleh mengetahui pendirian sebenarnya ketika itu.
"Pendirian saya sudah saya jelaskan dan Salleh pun tahu sikap saya," katanya. Sementara itu, Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir, enggan mengulas mengenai langkah kerajaan memulihkan semula badan kehakiman menerusi penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Hakim dan pembayaran ex-gratia kepada enam bekas hakim kanan yang dipecat ketika krisis pada 1988.
"Saya minta maaf... saya tak mahu komenpasal ini.Taksesuai saya komen dan ini juga bukan masa yang sesuai...minta maaf," katanya yang juga Exco Pemuda Umno, ketika dihubungi Berita Harian, di sini, semalam.
Kelmarin, badan kehakiman negara memasuki era baru apabila Perdana Menteri mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Hakim bagi membantu menilai serta memilih calon menggunakan kaedah sistematik dan berwibawa.
Malah, bagi memulihkan semula kewibawaan badan kehakiman yang tercemar sejak 20 tahun lalu, Perdana Menteri turut mengumumkan pembayaran ex-gratia kepada enam bekas hakim yang dipecat pada 1988, ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.
Krisis selepas pemilihan Umno 1987
..................................................................................................................
Oleh Magendran Rajagopal
KRISIS Kehakiman 1988 bermula sejurus selepas pemilihan Umno 1987 apabila 11 ahli parti itu memfailkan petisyen membatalkan keputusan pemilihan yang menyaksikan Presiden Umno merangkap Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengekalkan jawatannya mengalahkan Tengku Razaleigh Hamzah dengan kelebihan 43 undi.
Sebelas ahli terbabit difahamkan penyokong Tengku Razaleigh, walaupun beliau tidak mengakuinya secara terbuka, mendakwa keputusan pemilihan itu wajar dibatalkan kerana ada antara perwakilan yang mengundi datang dari cawangan yang belum didaftarkan mengikut Akta Pertubuhan.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Harun Hashim, yang mengadili kes berkenaan ketika itu, membuat keputusan berpihak kepada plaintif dan mengisytiharkan Umno sebagai pertubuhan tidak sah dari segi undang-undang kerana mendapati ada cawangannya tidak berdaftar mengikut Akta Pertubuhan.
Susulan itu, Dr Mahathir membentangkan satu Rang Undang-Undang di Parlimen bagi meminda Artikel 121 dan 145 Perlembagaan Persekutuan yang secara tidak langsung mengehadkan kuasa badan kehakiman kepada apa yang diperuntukkan Parlimen saja manakala Peguam Negara diberi kuasa menentukan di mahkamah mana kes tertentu boleh dibicarakan.
Berikutan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan, Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Salleh Abas, membuat kenyataan mempertahankan kebebasan dan kuasa mutlak badan kehakiman negara daripada campur tangan cabang eksekutif, yakni kerajaan.
Berikutan itu, beliau dipanggil ke pejabat Dr Mahathir dan badan kehakiman didakwa bersikap berat sebelah dalam kes ‘Umno 11’ sehingga mengakibatkan Umno diisytiharkan pertubuhan haram.
Menyusuli kejadian itu, Salleh menyelaras satu perjumpaan dengan 20 Hakim Mahkamah Agung di ibu negara, yang memutuskan beliau menulis surat peribadi kepada Yang di-Pertuan Agong dan ketua-ketua negeri, menyuarakan kekecewaan terhadap pelbagai komen dan tuduhan yang dibuat Dr Mahathir terhadap badan kehakiman.
Dua bulan selepas itu, Salleh digantung daripada jawatannya dan Ketua Hakim Mahkamah Tinggi, Tan Sri Abdul Hamid Omar, dilantik memangku jawatannya. Salleh kemudian dihadapkan ke tribunal atas kesalahan pencabulan kuasa dan beliau memfailkan saman di Mahkamah Tinggi mencabar kesahihan tribunal itu.
Lima Hakim Mahkamah Agung memberikan Salleh perintah penangguhan sementara terhadap pelaksanaan keputusan tribunal, tetapi perintah itu diketepikan pada Ogos 1988 dan Salleh dipecat secara rasmi daripada jawatan beliau.
Lima Hakim Mahkamah Agung terbabit, Tan Sri George Seah, Allahyarham Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh, Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdoolcader, Tan Sri Azmi Kamaruddin dan Tan Sri Wan Hamzah Mohd Salleh kemudian digantung kerja. Wan Sulaiman dan Seah kemudian dipecat, tiga lagi dikekalkan.
Memulihkan kredibiliti kehakiman
.............................................................................
Teks penuh ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada majlis makan malam Majlis Peguam di Kuala Lumpur, malam kelmarin
ADALAH menjadi suatu penghormatan kepada diri saya untuk berada di sini pada malam ini. Saya ingin menyatakan rasa terima kasih kepada Majlis Peguam kerana memberi peluang kepada saya berucap di majlis yang dihormati ini.
Ini adalah kesempatan pertama bagi saya untuk bercakap secara langsung kepada pengamal perundangan dan orang awam yang berkaitan dengannya sejak pilihan raya umum baru-baru ini. Dengan itu, majlis ini jelas amat penting dan saya berterima kasih kepada semua kerana sanggup meluangkan waktu dalam kesibukan jadual masing-masing untuk sama-sama berada di sini pada malam ini.
Majlis ini amat bermakna kepada kita semua disebabkan kehadiran beberapa tetamu istimewa. Saya amat berbesar hati melihat Tun Salleh Abas, Tan Sri Azmi Kamaruddin dan Tan Sri George Seah ada bersama kita pada malam ini. Tan Sri Wan Hamzah juga ingin turut serta tetapi tidak dapat hadir atas sebab tertentu.
Agak menyedihkan bila Tan Sri Eusoffe Abdolcadeer dan Tan Sri Wan Suleiman tidak lagi bersama kita. Bagaimanapun, mereka diwakili keluarga masing-masing, Puan Sri Siti Nurhayati serta anaknya, Wan Noor Azli mewakili Tan Sri Wan Suleiman, manakala Tan Sri Eusoffe diwakili cucunya, Brenda Lim serta suami.
Bagi saya dan semua rakyat Malaysia, personaliti kehakiman yang hebat ini mewakili era berbeza dalam bidang kehakiman negara. Ramai berasa bahawa bidang kehakiman suatu ketika dulu adalah satu institusi dihormati dan boleh dipercayai untuk menegakkan keadilan. Malah, ada pihak yang menjadikan sistem kehakiman di Malaysia sebagai contoh bagi negara lain ia dianggap bebas dan berkredibiliti.
Tahap kepercayaan dan penghormatan terhadap bidang kehakiman ini perlu kita semua akui, tidak lagi sekukuh seperti sebelumnya. Biarpun pelbagai usaha sedang dibuat oleh Ketua Hakim Negara ketika ini, masih wujud kebimbangan terhadap perkara berkaitan kapasiti dan keberkesanannya, kesan daripada beberapa isu seperti tempoh perbicaraan yang panjang, penangguhan kes dan pentadbiran mahkamah yang ketinggalan zaman.
Ada juga perkara yang kurang ketara, tetapi tetap berlaku seperti rasuah dan penurunan kualiti. Komuniti perniagaan khususnya, sudah menyuarakan kebimbangan terhadap ketelusan dan kapasiti bidang kehakiman di Malaysia dalam menyelesaikan pertelingkahan. Ini secara langsung menjejaskan persepsi persaingan ekonomi negara.
Tanpa kehakiman yang berkesan serta 'dipercayai', tiada satu negara pun boleh mendakwa diri mereka adil dan saksama. 'Dipercayai' di sini bermaksud sistem kehakiman perlu dilaksanakan secara adil dan dilihat adil. Di Malaysia, debat dan pertikaian terhadap keputusan kehakiman sering menjadi isu yang panas dan berlanjutan.
Ada raja-raja Melayu secara terang-terang menyuarakan rasa bimbang mereka terhadap apa yang dilihat sebagai satu penurunan dan menuntut supaya dilakukan satu pembaharuan. Segelintir hakim yang sudah bersara juga dikaitkan dengan kisah salah laku.
Ahli politik sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang juga menuntut supaya dilakukan pembaharuan terhadap institusi agung ini. Malah, Majlis Peguam juga berarak beramai-ramai di luar pejabat saya.
Kejadian yang berlaku pada 1988 menyemarakkan rasa tidak setuju terhadap bagaimana kita perlu meneruskan keadaan. Di saat saya mengambil alih teraju pentadbiran pada 2003, saya menjanjikan satu badan kehakiman yang bebas, berkesan dan berkredibiliti.
Saya menyarankan pelantikan hakim dibuat dengan nasihat hakim kanan sebelum nama mereka dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong seperti yang dituntut oleh Perlembagaan Persekutuan.
Saya menjanjikan sokongan dari segi material serta kewangan untuk perkhidmatan kehakiman bagi mengurangkan kes tertangguh. Malah, saya mengambil langkah tidak dijangka dengan melantik seorang yang lantang bersuara sebagai Menteri Kehakiman (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) yang baru.
Saya ingin menyatakan di sini bahawa saya sentiasa mematuhi dan akan terus mematuhi prinsip pemisahan kuasa iaitu membiarkan isu berkaitan kehakiman diselesaikan sendiri oleh Badan Kehakiman. Begitupun, sejarah 1988 itu masih lagi terus menghantui kita sehingga hari ini.
Tuan-tuan dan puan-puan, marilah kita terus bergerak ke hadapan. Badan kehakiman perlu dipulihkan semula bagi membolehkan ia berkhidmat kepada masyarakat untuk menegakkan keadilan. Badan kehakiman perlu dikukuhkan bagi menjadikannya sebagai institusi yang mematuhi pemisahan kuasa di bawah prinsip demokrasi. Badan Kehakiman perlu menjadi pelindung kepada Perlembagaan dan pembela bagi hak rakyat.
Kerajaan memberi komitmen kepada masyarakat Malaysia bahawa pembaharuan ke atas Badan Kehakiman ini akan dimulakan. Kami mengiktiraf bahawa proses ini mesti dilakukan dengan semangat dan kepercayaan bahawa tiada seorang pun, termasuk mereka yang berkuasa mentadbir kerajaan dan menggubal undang-undang, tidak tertakluk kepada undang-undang. Kerajaan akan terus memelihara badan ini daripada sebarang gangguan terhadap kuasanya dan kini mencadangkan kaedah untuk menerapkan doktrin tadbir urus yang baik.
Kesan daripada pelbagai keadaan yang akhirnya membawa kepada penubuhan Suruhanjaya Diraja untuk siasatan awam dikenali sebagai 'V K Lingam Tape', saya sedar bahawa masyarakat umum menganggap cara kita melantik dan menaikkan pangkat hakim masih belum memuaskan. Ketiadaan sistem pencalonan dalam pelantikan hakim mewujudkan satu kepercayaan bahawa proses pelantikan itu turut dicemari, biarpun ia sebenarnya tidak berlaku. Bagaimanapun, seperti sering berlaku, persepsi boleh membawa kepada realiti.
Selain itu, ada juga yang mempertikaikan bahawa sistem yang ada sekarang tidak memerlukan penambahbaikan, jika individu di dalam sistem itu sendiri jujur dan adil. Lagipun, inilah sistem yang melahirkan ramai hakim-hakim hebat selama ini.
Saya tidak menafikannya, tetapi hakikatnya kita tidak boleh mengharapkan perubahan dalam institusi yang penting seperti ini dengan hanya menyerahkan kepada takdir semata-mata.
Sistem ini memerlukan perlindungan dalaman untuk menghalang sebarang potensi campur tangan, selain perlu memiliki satu proses yang dapat mengenal pasti serta meyakinkan golongan terbaik dalam bidang ini di dalam negara untuk menyertai badan kehakiman. Langkah ini amat perlu dalam memastikan badan kehakiman negara teguh dan dipercayai rakyat.
Lagi pula, keperluan bidang kehakiman pada hari ini jauh lebih tinggi berbanding sebelumnya. Jumlah kes yang dibawa ke mahkamah kini makin meningkat. Kini sudah wujud lebih banyak bidang perundangan yang khusus seperti Undang-undang Korporat, Teknologi Maklumat, Undang-Undang Maritim dan Kewangan Islam. Selaras dengan desakan ini, kita memerlukan lebih ramai mereka yang pakar serta pantas dalam membuat keputusan.
Sehubungan itu, kerajaan mencadangkan satu perubahan supaya proses pencalonan, pelantikan dan kenaikan pangkat hakim dapat dilaksanakan secara lebih telus.
Saya dengan ini berbesar hati mengumumkan kepada hadirin pada malam ini bahawa kerajaan bercadang untuk mewujudkan Suruhanjaya Pelantikan Hakim bagi mengenal pasti dan mencadangkan calon badan kehakiman untuk diserahkan kepada Perdana Menteri. Dengan hak Perdana Menteri mengikut Perlembagaan untuk mencadangkan nama-nama itu kepada Yang di-Pertuan Agong dikekalkan, Suruhanjaya ini bertanggungjawab membantu menilai calon berkenaan dalam cara yang sistematik dan berkredibiliti untuk pertimbangan Perdana Menteri, berdasarkan kriteria yang didefinisikan secara jelas.
Proses perubahan ini akan bermula serta-merta dan saya ingin meyakinkan semua hadirin yang ada di sini malam ini, bahawa rundingan terhadap pelaksanaan dan struktur suruhanjaya ini nanti akan membabitkan pihak berkepentingan dalam kehakiman. Semua pihak akan mempunyai peluang untuk menyampaikan pandangan masing-masing kepada kerajaan.
Selain itu, kerajaan juga akan mengkaji semula terma perkhidmatan dan penggajian dalam bidang kehakiman. Wujud keperluan untuk menetapkan gaji dan pampasan pada kadar yang tepat serta sesuai bagi memastikan piawaian itu dapat menarik, selain mengekalkan kelompok terbaik individu yang berkemampuan dalam bidang ini. Langkah ini dan beberapa kaedah lain juga bakal diumumkan, membentuk satu pakej reformasi yang komprehensif bertujuan memperkuatkan kapasiti dan kredibiliti Badan Kehakiman.
Bagi kebanyakan kita, peristiwa yang berlaku pada 1988 adalah satu kekacauan dalam sistem kehakiman negara. Betul atau salah, ramai mempertikaikan kedua-dua aspek moral dan undang-undang perbicaraan terbabit. Secara peribadi, saya merasakan bahawa itu adalah satu detik krisis yang sehingga kini masih belum dapat kita atasi sepenuhnya.
Sekali lagi marilah kita bergerak ke hadapan. Saya tidak fikir bahawa ia adalah sesuatu yang baik untuk kita berpatah ke belakang dan menilai keputusan yang sudah berlaku kerana ia hanya akan memanjangkan lagi krisis yang sedia wujud - sesuatu yang tidak kita perlukan. Rakyat mahukan pembangunan dan perkembangan, bukan untuk terus bergelut.
Berikutan itu, kerajaan ingin mengiktiraf sumbangan keenam-enam hakim negara berkenaan, komitmen mereka dalam menegakkan keadilan serta mengambil kira penderitaan dan kehilangan yang sudah mereka lalui. Bagi Tan Sri Eusoffe dan Tan Sri Wan Suleiman serta keluarga, saya sedar betapa sentimen ini sudah agak terlewat. Kepada Tun Salleh Abas, Tan Sri Kamaruddin, Tan Sri Wan Hamzah dan Tan Sri George Seah, walaupun kenyataan ini 20 tahun terlewat, ia dilakukan dengan harapan dapat mengubat penderitaan dan kehilangan yang dihadapi.
Sebagai mengiktiraf sumbangan keenam-enam hakim ini, kerajaan bersetuju untuk memberi bayaran 'ex gratia' kepada mereka.
Saya tidak bermaksud untuk menyamakan penderitaan dan kehilangan tuan-tuan dengan nilai wang, tetapi saya amat berharap agar tuan-tuan dapat menerimanya sebagai tanda kesungguhan dan keikhlasan untuk merawat semula apa yang sudah berlaku.
Masih ada banyak lagi perkara yang perlu dilakukan untuk memperbaharui kepercayaan masyarakat terhadap badan kehakiman negara, selain untuk memastikan keadilan dipraktikkan secara konsisten. Apa yang saya umumkan pada malam ini adalah permulaan kepada satu proses panjang ke arah reformasi. Untuk melaksanakannya, saya dengan rendah hati mengharapkan sokongan anda semua, kerana keperluan untuk reformasi ini mungkin tidak akan jelas pada semua pihak.
Kerajaan sudah memulakan usaha ini. Langkah pertama tetapi sangat penting sudah diambil. Dan kini, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak yang berkaitan Badan Kehakiman, Majlis Peguam, kakitangan awam dan masyarakat umum khususnya - untuk sama-sama memainkan peranan dalam membantu usaha reformasi ini.
Apapun perbezaan yang wujud, kita perlu berkongsi idealisme yang sama demi masa depan badan kehakiman negara. Marilah kita bekerja bersama-sama sambil mengetepikan apa juga perbezaan yang ada.
Secara jujur saya mengharapkan agar kita semua dapat memulakan satu episod baru bagi masa depan badan kehakiman negara. Ia adalah harapan saya agar semua ini akan menjadi sebahagian daripada satu proses yang lebih besar untuk mengukuhkan lagi institusi demokrasi negara, dan menyelesaikan langkah demi langkah masalah yang menjadi penghalang usaha murni pembangunan rakyat. Marilah kita bersatu dan sama-sama menulis episod baru.
0 ulasan:
Catat Ulasan