Pemimpin korup bijak manipulasi antara kuasa, sifat manusia
Oleh Md Asham Ahmad
ANDA mungkin pernah mendengar ungkapan Inggeris power corrupts and absolute power corrupts absolutely. Ungkapan diperkenalkan ahli sejarah British, Lord Acton, yang secara ringkasnya bermaksud seseorang yang berkuasa akhirnya akan menjadi korup. Ia berlandaskan anggapan bahawa manusia secara semula jadi adalah jahat dan mementingkan diri. Sesiapa yang berpegang kepada anggapan ini juga percaya 'kuasa boleh menyebabkan yang salah dianggap betul'. Kebanyakan orang percaya manusia adalah baik secara semula jadi dan benci kejahatan. Mereka memandang pepatah di atas sebagai peringatan serius bahawa kuasa boleh disalah guna. Oleh itu, ia hanya perlu diamanahkan kepada mereka yang boleh dipercayai.
Dalam erti kata lain, kuasa itu bukan baik atau jahat, hanya manusia menggunakannya untuk tujuan baik atau jahat. Oleh itu, mereka membantah apa saja bentuk penyelewengan dan mencari jalan memperbaharui pentadbiran korup atau satu sistem untuk menggalakkan amalan buruk yang merosakkan. Bagaimanapun, kita perlu akui pemimpin korup tidak muncul dengan tiba-tiba dan diberi tanggungjawab secara spontan untuk memimpin masyarakat. Kepemimpinan korup sendiri bukan masalah kita, tetapi ia hasil daripada satu lagi masalah.
Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas, dalam nukilan pentingnya Islam dan Sekularisme, menganalisis dengan mendalam masalah ini dan menyimpulkan bahawa punca semua bentuk penyelewengan adalah 'pengetahuan yang tercemar'. Analisis dan kesimpulan ini perlu diberi perhatian dan difikirkan semula. Pemimpin korup hanya boleh muncul dan bermaharajalela dalam masyarakat korup. Pemimpin korup ini tidak layak untuk menjalankan tanggungjawab diamanahkan kepada mereka. Tetapi mereka tetap diberi amanah oleh masyarakat satu petunjuk yang masyarakat lemas dalam krisis pengetahuan sehingga mereka tidak dapat membezakan antara pemimpin sebenar. Dalam masyarakat seperti ini, pemimpin sebenar tidak dapat diterima dan diberi pengiktirafan.
Walaupun semua orang mahukan apa yang baik, bukan semua mempunyai tanggapan jelas apa ditakrifkan sebagai 'kebaikan'. Oleh itu, seseorang mungkin diperdayakan oleh individu korup yang boleh memanipulasi sentimen antikorup seseorang untuk berkuasa.
Dalam satu masyarakat demokratik, orang ramai diberi kebebasan memilih kerajaan. Andaian asas ialah rakyat mengetahui secara semula jadi apa yang baik bagi mereka dan hanya mahukan yang terbaik. Oleh itu, mereka hanya akan memilih pemimpin daripada kalangan yang mereka anggap boleh menggalakkan kebaikan secara keseluruhan kepada masyarakat. Ini membawa kita kepada persoalan asas apa yang baik dan buruk, yang betul dan salah, benar dan palsu, yang sebenarnya bukan persoalan baru dan yang wujud sejak tamadun manusia bermula.
Sudah tentu kita ingin tahu gaya hidup macam mana yang kita mahu, masyarakat yang bagaimana kita mahu jalin dan pertahankan serta siapa yang harus mengetuai kita ke arah ini. Jadi, jika pada akhirnya, pemimpin korup dipilih, kita mesti menyimpulkan bahawa wujud penyakit masyarakat. Sama ada mereka kekurangan kapasiti untuk mengiktiraf pemimpin jujur atau mereka tidak berani berbuat demikian, kedua-duanya menjadi akar umbi bagi semua bentuk penyelewengan.
Ahli politik, dulu dan sekarang, terkenal kerana retorik mereka. Mereka tahu tidak ramai cukup bijak untuk menimbangkan hujah dan menentukan bukti yang disampaikan mereka, sama ada ada sahih atau tidak. Hari ini, retorik ditambah dengan kempen pengiklanan dan perhubungan raya digunakan dengan meluas untuk mempengaruhi pendapat umum. Retorik menggunakan bahasa tanpa logik, sementara pengiklanan dan perhubungan raya memanipulasi imej serta perkembangan untuk mengelirukan orang ramai.
Apapun, kebebasan adalah sebahagian dari ciri jiwa kita dan apa yang kita panggil sebagai 'kebebasan untuk membuat pilihan' tidak mungkin berlaku tanpa ada pengetahuan. Orang ramai perlu dibebaskan daripada kejahilan. Mereka perlu mempunyai kesedaran akan anggapan, kecelaruan dan percanggahan ahli politik terhadap isu utama membabitkan mereka. Siapa lagi yang boleh melakukannya dengan berkesan, selain daripada golongan cendekiawan.
Bagaimanapun, ini tidak boleh berlaku jika golongan cendekiawan sendiri korup. Ia lebih buruk daripada ahli politik dan pentadbir awam yang korup. Universiti tidak harus menjadi tempat mengeluarkan pemimpin korup yang tidak mempunyai integriti intelektual dan moral. Seorang profesor berpihak kepada pemimpin politik berkuasa sebenarnya tidak harus mengajar di universiti kita. Mereka akan hanya meneruskan kesinambungan sifat pengecut dan kaki ampu.
Oleh Md Asham Ahmad, Fellow Undang-Undang dan Sains Politik, Pusat Syariah, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
0 ulasan:
Catat Ulasan