Rabu, 30 April 2008

Ali Rustam : EGM PERLU DIHENTIKAN ???

~MataHatiJohor~ Maka seperti biasa, Demokrasi sekali lagi cuba dihalang dalam sebuah parti yang mendakwa mendokong prinsip demokrasi itu sendiri. Terbaru seperti yang saya ulas sebelum ini, Amaran Pak Lah disambut mesra oleh pemimpin-pemimpin UMNO yang masih terperosok dalam zon penafian.

Alasannya, "tumpuan harus diberikan kepada usaha memperkukuh parti". Jadi adakah Pak Lah dan Kaki Bodeknya ini terutamanya Ketua Penerangan UMNO yang pernah ditangkap di Australia merasakan UMNO Bahagian yang menganjurkan EGM ini sedang cuba untuk meruntuhkan parti mereka sendiri?

Justeru EGM ini diadakan adalah untuk memperkukuhkan semula UMNO. EGM cuba mengembalikan demokrasi semula kepada ahli UMNO untuk memberikan pandangan mereka yang selama ini sering dinafikan. Dalam keadaan UMNO yang kuat, setiap kritikan terhadap UMNO & Institusi Kepimpinannya mungkin mudah dinafikan. Tetapi dalam keadaan UMNO dan BN yang lemah pada ketika ini tentunya agak sukar bagi kepimpinan UMNO dan BN untuk mmenyanggah kritikan dan teguran.

Akhirnya cara yang lebih tegas ala gangster mafia terpaksa diambil. Semalam, selepas mesyuarat BN, Pak Lah menegas BN akan mengeluarkan surat arahan kepada semua pemimpin dan Ahli BN beberapa larangan yang perlu dihindarkan pada ketika ini. Kepada sesiapa yang melanggar arahan yang berupa amaran ini akan diambil tindakan tegas.

Kalau beginilah caranya kepimpinan UMNO dan BN menangani kemelut yang sedang dihadapi pada ketika ini, maka saya bersetuju bahawa UMNO dan BN sedang menjunam lebih jauh ke dalam gaung yang tidak mungkin akan dapat naik lagi...

Ayuh bangkit semua Pemimpin dan Ahli UMNO dari zon penafian ini. Segera singkirkan pemimpin yang sudah tidak relevan ini lagi.

INGATLAH : "DALAM POLITIK KITA TIDAK BOLEH BERTUANKAN SESIAPA. TUAN KITA ADALAH PERJUANGAN MENGANGKAT MARTABAT AGAMA BANGSA DAN NEGARA. YANG SAMA PERJUANGAN DENGAN KITA ADALAH SAHABAT SEPERJUANGAN. TETAPI YANG JELAS MENYELEWENG DARI PERJUANGAN SERTA MENJADI AGEN YANG MELEMAHKAN PERJUANGAN ADALAH MUSUH YANG PERLU KITA SINGKIRKAN WALAU SETINGGI MANA PUN JAWATAN MEREKA DALAM HIERARKI KEPIMPINAN PARTI".
Sayangkan Bangsa Mu lebih dari sayang mu kepada pemimpin mu.
........................................

Oleh Azman Zakaria, Norfatimah Ahmad dan Magendran Rajagopal

Pemimpin, ahli parti wajar terima saranan PM secara terbuka

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam menasihatkan semua cawangan dan bahagian parti supaya menerima nasihat Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk tidak mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM).

Katanya, semua pemimpin dan ahli parti perlu menerima saranan Presiden itu dengan hati yang terbuka kerana Perdana Menteri sendiri mengaku faham dan sudah menerima mesej yang hendak disampaikan semua pihak sebelum ini.

Malah, Mohd Ali yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, Umno sentiasa terbuka untuk ahli dan pemimpin pada semua peringkat menyampaikan pandangan dan nasihat untuk kebaikan parti.

"Ketika ini, lebih elok kita beri perhatian untuk mengukuhkan parti pada semua peringkat, malah Majlis Tertinggi (MT) Umno juga bincang hal mengenai bagaimana membela nasib Melayu dan rakyat berbilang kaum.

"Kita juga berpendapat pelbagai kelemahan yang dikenal pasti pada pilihan raya umum lalu perlu segera diperbaiki," katanya kepada pemberita selepas Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Majlis Parlimen Malaysia ke-12, di sini, semalam.

Kelmarin, Abdullah meminta semua bahagian parti menghentikan tindakan mengadakan EGM mendesak peralihan kuasa dalam Umno dilaksana sebelum Disember ini kerana pucuk pimpinan sudah memahami kehendak dan pandangan akar umbi terhadap kerajaan.

Setakat ini, tiga bahagian Umno iaitu Cheras, Gua Musang dan Batu Pahat mengadakan mesyuarat tergempar meminta proses peralihan kuasa dipercepatkan bagi membolehkan pemulihan Umno dilaksanakan segera.

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, pula berkata bahagian Umno sewajarnya tidak mengadakan EGM meminta proses peralihan kuasa dipercepatkan kerana tindakan mengadakan mesyuarat itu tidak membawa manfaat.

Beliau berkata, ia akan membawa kepada keadaan tidak menentu dan menakutkan orang, khususnya pelabur yang boleh menjejaskan ekonomi.

Sehubungan itu, katanya, selepas rakyat membuat pemilihan dengan mengundi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, Umno perlu menumpukan sepenuh perhatian kepada kerja yang mesti dilaksanakan.

"Rakyat sudah buat keputusan, jadi tak perlu lagi ada EGM yang nak buat keputusan lain. Keputusan rakyat sudah jelas mahukan terus kerajaan ini... lebih baik kita tumpu kerja untuk mentadbir dan menyelesaikan masalah rakyat," katanya.

Bagaimanapun, Ketua Umno bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, pula berkata tindakan mengekang kehendak ahli parti ini hanya mendorong mereka menggunakan saluran yang tidak sepatutnya bagi meluahkan perasaan.

"Kalau kita boleh meminta ahli parti mengadakan perjumpaan dengan pemimpin bagi mendengar penjelasan mengenai isu tertentu, kenapa tidak menggalakkan mereka mengadakan EGM seperti diperuntukkan Perlembagaan Umno.

"Barulah kita boleh lihat demokrasi berkembang dalam Umno. Ketiadaan ruang untuk rundingan dan keengganan mendengar suara ahli menjadi punca kelemahan mana-mana pertubuhan," katanya.

Di KOTA KINABALU, Umno Sabah menghormati kenyataan Perdana Menteri bahawa EGM itu tidak perlu dilakukan kerana sekarang ialah masa untuk memastikan Umno terus kukuh dan menumpukan kepada usaha menunaikan janji yang dibuat pada pilihan raya lalu.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Musa Aman, berkata, sekarang ialah masa untuk semua pihak mengurangkan berpolitik dan melebihkan kerja bagi memenangi sokongan rakyat pada peringkat akar umbi.

Ahli MT Umno, Datuk Shahrir Samad pula berpendapat, walaupun keputusan mengenai EGM itu seharusnya diserahkan kepada bahagian parti, tetapi nasihat Presiden Umno juga sepatutnya dinilai dan diambil kira.

0 ulasan: