Ahad, 29 Jun 2008

SEDARLAH MELAYU PAKATAN RAKYAT

Status hak milik tanah: Selangor ikut Perak?

SHAH ALAM 28 Jun - Kerajaan campuran Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas Selangor mungkin mengikut langkah Perak yang berhasrat memberi status hak milik kekal 999 tahun kepada penduduk yang mendiami lot-lot tanah di kampung baru di negeri itu.

Bagaimanapun, status hak milik kekal di Selangor adalah untuk tempoh selama-lamanya berdasarkan akta tanah di negeri itu, berbeza dengan Perak sehingga 999 tahun sahaja.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram Selangor, Ean Yong Hian Wah berkata, kerajaan negeri masih mengkaji perkara tersebut sebelum membuat sebarang keputusan.

"Selangor boleh melaksanakan seperti cadangan kerajaan Perak tetapi akta tanah di kedua-dua negeri adalah berbeza.

"Di Perak, hak milik kekal adalah selama 999 tahun tetapi di Selangor untuk selama-lamanya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ean memberitahu, sekiranya ia menjadi kenyataan, sebanyak 42 buah kampung baru di seluruh Selangor akan terlibat yang majoritinya penduduk kaum Cina.

Beliau bagaimanapun tidak pasti jumlah keseluruhan penduduk terlibat.

Selain kaum Cina katanya, kampung baru di Selangor turut diduduki oleh kaum India dan orang Melayu.

Cadangan untuk memberi status hak milik kekal lot-lot tanah kampung baru di Perak diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaludin ketika menggulung usul di Dewan Undangan Negeri (DUN), kelmarin.

Bagaimanapun cadangan kerajaan pakatan DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak itu mendapat bantahan pelbagai pihak.

Ia menimbulkan persoalan kerana dilihat lebih bermotifkan politik kerana pada masa yang sama, kerajaan negeri hanya merancang memberikan status hak milik 99 tahun kepada penduduk di Rancangan Kampung Tersusun (RKT).

Di seluruh negeri Perak, terdapat 60,000 penduduk di kampung baru dengan kira-kira 80 peratus kaum Cina.
Kawasan RKT pula terdiri daripada 73,703 penduduk dengan pecahan 44.02 peratus Melayu, Cina (37.93 peratus) dan India (18.05 peratus).

SUMBER : UTUSAN

Selasa, 24 Jun 2008

APA NAK JADI DENGAN UMNO

Calon pemilihan UMNO ditegah hadir kenduri, guna pelobi

~MataHatiJohor~ : Cuba anda baca berita di bawah ini. Ada bermacam-macam cara untuk mengekalkan jawatan dalam parti UMNO yang semakin lemah itu. Ahli ikan bilis seperti saya ini mengharapkan perubahan besar kepimpinan akan dilakukan dalam UMNO dari semua peringkat pada pemilihan yang bermula Julai ini. Ingatkan sistem kuota yang akan dihapuskan. Rupa-rupanya bermacam-macam lagi sekatan yang diwujudkan. Nampaknya ramai ahli UMNO yang akan kecewa kerana pemimpin yang mereka sanjung tak dapat menghadiri kenduri kendara mereka dalam satu tahun ini.

Alahai UMNOOOOO
........................................................................

Oleh ZULKIFLI JALIL
PUTRAJAYA 23 Jun – Berkuat kuasa bulan depan, calon-calon yang terlibat dalam pemilihan UMNO ditegah menggunakan ejen, pelobi, pengurus kempen dan perayu undi bagi mengelakkan risiko digantung keahlian dan dipecat daripada parti.

Tataetika baru pemilihan UMNO yang diluluskan oleh Majlis Tertinggi (MT) baru-baru ini turut melarang calon-calon daripada menghadiri majlis perkahwinan, tahlil dan kesyukuran yang dikhuatiri digunakan untuk meraih undi.

Tataetika itu mengkehendaki ahli parti dan calon tidak terlibat dalam salah laku tersebut dan mematuhi ‘tempoh pemilihan’ yang meliputi jangka masa enam bulan sebelum dan enam bulan selepas pemilihan berlangsung.

Sepanjang tempoh pemilihan, ahli-ahli UMNO juga dilarang menerima atau membenarkan anggota keluarga, termasuk isteri, menerima sebarang bentuk hadiah seperti tambang percuma, kemudahan perjalanan, saham, konsesi, kontrak, gelaran dan anugerah.

“Kecuali majlis pertemuan yang dianjurkan oleh Ibu Pejabat UMNO Malaysia atau Jawatankuasa Penyelaras Pemilihan negeri di bawah seliaan Badan Perhubungan UMNO negeri, ahli-ahli parti dalam tempoh pemilihan dilarang menganjurkan sebarang pertemuan.

“Contohnya, ahli menghadiri dan menganjurkan kenduri atau majlis tahlil yang disertai pula oleh calon yang berucap untuk meraih undi,” menurut kandungan tataetika itu yang diperoleh Utusan Malaysia hari ini.

Pemilihan UMNO di peringkat cawangan akan bermula dari 17 Julai hingga 24 Ogos ini, bahagian dari 9 Oktober hingga 9 November manakala peringkat Pusat yang menjadi tumpuan perebutan jawatan tertinggi parti dari 16 hingga 21 Disember.

Perkara 8.2 tataetika tersebut juga melarang pengundian ala ‘sistem rakit’ yang menetapkan ‘Kabinet bayangan’ kepimpinan tertinggi secara pakej atau kem untuk dipilih oleh perwakilan pada pemilihan semua peringkat parti.

Larangan itu dibuat bertujuan mengelakkan kewujudan kem tertentu pada pemilihan parti yang boleh memecahbelahkan UMNO.

Pengundian secara ‘sistem rakit’ kebiasaannya digerakkan oleh ejen atau pelobi calon tertentu yang mengandungi senarai nama ‘Kabinet bayangan’ kepimpinan dari peringkat Presiden, Timbalan Presiden, tiga Naib Presiden dan 25 ahli Majlis Tertinggi.

Di peringkat bahagian dan cawangan pula, ditetapkan ‘barisan kepimpinan’ yang dilarang digunakan meliputi ketua bahagian/cawangan serta timbalannya, Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri.

Menurut tataetika tersebut, mana-mana ahli UMNO yang mempunyai maklumat mengenai gejala sistem rakit boleh membuat laporan kepada Ibu Pejabat UMNO.

Jika didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin, mereka yang terlibat dengan kesalahan tataetika boleh dihukum termasuk digantung keahlian dan dipecat daripada parti.

Mengikut Perkara 7.2 tataetika pula, adalah menjadi satu kesalahan bagi ahli-ahli UMNO mempertikaikan keputusan-keputusan MT dan Lembaga Disiplin.

Jika berlaku, perbuatan itu akan dianggap sebagai menghina parti.

Khamis, 19 Jun 2008

AGENDA TERSEMBUNYI KOMPONEN BN?


~MataHatiJohor~ : Membaca komentar dari pemimpin-pemimpin parti komponen Barisan Nasional terutamanya dari Datuk Joseph Pairin Kitingan yang semuanya menyatakan sokongan terhadap Abdullah Badawi sebagai Perdana Menteri membuatkan saya mempunyai prasangka buruk bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan keikhlasan parti komponen terhadap UMNO.

Pairin adalah seorang pemimpin yang pernah menikam BN dari belakang. Tentu ada sebabnya mengapa beliau bertindak demikian suatu masa dahulu.

Melihat isu semasa politik negara pada masa kini, saya seperti merasakan bahawa apa yang kononnya diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat begitu menarik minat parti-parti komponen dalam BN. Kemungkinan mereka tertarik adalah kerana merasakan perjuangan mereka terhadap isu yang kini diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat tidak mungkin berjaya sekiranya UMNO berada dalam kedudukan yang kukuh.

Mereka mungkin merasakan dalam keadaan UMNO sedang dipimpin oleh seorang ketua yang ternyata sangat lemah pada ketika ini akan membolehkan mereka mencapai matlamat demi kepentingan parti dan kaum yang mereka wakili.

Sebaliknya, sekiranya UMNO berjaya memulihkan semula kedudukannya khususnya apabila berlakunya perubahan pucuk pimpinan akan melenyapkan semula impian dan peluang mereka untuk melakukan perubahan terhadap apa yang dipanggil sebagai kontrak sosial yang rasanya mereka sendiri tidak senangi walaupun mereka kelihatannya bersatu di bawah BN.

Bekas Setiausaha Agung MCA, Teng Chew Peh baru-baru ini mengatakan bahawa beliau sangat malu kepada kaum Cina kerana tidak berjaya dalam perjuangan selama 20 tahun bersama BN untuk mendapatkan kelulusan terhadap permohonan tanah-tanah di kampung-kampung baru di Perak oleh masyarakat kaum Cina. Sebaliknya, Kerajaan Perak yang diketuai oleh boneka DAP hanya mengambil masa 2 minggu untuk meluluskan semua permohonan tanah tersebut.

Kesimpulannya, saya berpandangan ada kemungkinan pada waktu ini wujudnya suatu agenda tersembunyi di kalangan parti-parti komponen BN untuk memastikan UMNO terus dapat dilemahkan. Apabila UMNO benar-benar tenat dan sudah tidak berjaya untuk bangkit lagi barulah parti-parti komponen BN ini akan mengistiharkan sokongan mereka kepada perjuangan Pakatan Rakyat.

Parti seperti MCA, Gerakan dan MIC yang bertukar menyokong perjuangan Pakatan Rakyat akan mendapat tempat dalam 'kerajaan baru' pada ketika itu kerana jumlah ahli dan penyokong dari kaum masing-masing adalah besar.

Akhirnya UMNO akan tinggal keseorangan dan Barisan Nasional akan hanya tinggal sejarah. Inilah sebabnya mengapa semua parti komponen BN terus menyokong Abdullah walaupun mereka tahu dan sedar bahawa kepimpinan Abdullah dalam UMNO sendiri pun sedang dipertikaikan oleh ahli-ahlinya sendiri.

Hanya ada satu jalan bagi mengelakkan agenda tersembunyi ini benar-benar akan menjadi suatu kenyataan iaitu UMNO mestilah diperkuat dan diperkukuhkan segera iaitu dengan menukar kepimpinannya yang lemah yang mana kelemahan itu datangnya dari diri, keluarga dan kepimpinan Presiden UMNO itu sendiri.

...........................................................................

BN sokong Abdullah - Semua pemimpin komponen berdiri teguh belakang Perdana Menteri

Oleh ARSHAD KHAN, ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN,
LIAU PEI WEN dan MUZDALIFAH MUSTAPHA
KUALA LUMPUR 18 Jun – Para pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) hari ini menyatakan sokongan padu terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan berjanji akan berdiri teguh di belakangnya jika terdapat usul mencabar kepimpinan beliau di Parlimen.

Mereka juga menyelar rancangan Parti Maju Sabah (SAPP) untuk mengemukakan atau menyokong usul undi tidak percaya terhadap Abdullah di Dewan Rakyat Isnin ini dengan menyifatkannya sebagai sesuatu yang terkeluar daripada landasan permuafakatan BN.

Malah, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam menegaskan, tindakan Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee mengisytiharkan parti itu telah hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.

“Tindakan paling tepat perlu diambil terhadap SAPP iaitu memecatnya daripada BN,’’ kata Pengerusi BN Melaka itu ketika dihubungi Utusan Malaysia petang ini.

Ketua Menteri Melaka itu berkata demikian ketika mengulas kenyataan Teck Lee bahawa SAPP hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Perdana Menteri dan dua ahli Parlimen parti itu akan menyokong usul undi tidak percaya terhadap Abdullah di Dewan Rakyat.

“Apa yang dilakukan itu amat tidak bermoral dan tidak beretika,” tegasnya.

BN yang menguasai 140 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat dianggotai 14 parti komponen termasuk SAPP. Dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu BN gagal menguasai majoriti dua pertiga kerusi Parlimen.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Musa Aman pula melahirkan rasa kecewa dan terperanjat dengan kenyataan Presiden SAPP itu yang berbaur ugutan.

“Saya tidak pasti apakah motif sebenar SAPP mengambil tindakan sedemikian. Sebagai parti komponen BN, tindakan itu adalah perbuatan yang tidak wajar dilakukan berlandaskan semangat setiakawan yang diamalkan selama ini," kata Musa dalam satu kenyataan di Kota Kinabalu.

Presiden Parti Liberal Demoktratik (LDP), Datuk V.K. Liew pula berkata, keputusan SAPP itu lebih bersifat untuk kepentingan parti tersebut dan bukannya membela rakyat Sabah.

“Kita kesal dengan keputusan itu tetapi ia nampaknya lebih kepada kepentingan diri sendiri dan bukannya untuk rakyat Sabah. Langkah itu hanya sekadar bagi memenuhi agenda SAPP,'' ujarnya.

Sementara itu, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup menyifatkan tindakan Teck Lee dan SAPP sebagai tidak wajar sama sekali.

Katanya, Abdullah telah berusaha melakukan sesuatu untuk kepentingan rakyat Sabah malah sudah menyatakan secara terbuka proses peralihan kuasa kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Ini amat mengecewakan, saya rasa macam mereka tidak faham apa yang sedang berlaku sekarang. Saya berpendapat tidak sesuai mereka memberi tekanan kepada Perdana Menteri kerana beliau sedar apa yang berlaku dan sudah kata akan menyerahkan kuasa.

“Selain itu, isu yang kita suarakan di Sabah agak kompleks dan ia mengambil masa untuk diselesaikan. Kami dalam PBRS juga ada yang tidak senang dengan isu yang dikemukakan tetapi masih yakin kerajaan Persekutuan akan mengambil tindakan untuk membaiki keadaan,” katanya.

Beliau memberitahu, meskipun PBRS menyuarakan beberapa isu seperti soal pendatang asing tanpa izin (PATI) dan tidak begitu senang dengan cara mengatasi masalah itu tetapi ia tidak sampai menyuarakan usul tidak percaya terhadap pucuk pimpinan.

MCA, parti terbesar kaum Cina di negara ini, pula mengumumkan parti itu akan berdiri teguh bersama Abdullah dan BN meskipun pucuk pimpinan SAPP menyatakan mereka telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Abdullah.

Presidennya, Datuk Seri Ong Ka Ting berkata, rakyat amat memerlukan kestabilan dari segi politik dan ekonomi memandangkan mereka sekarang sedang berhadapan dengan masalah seperti tekanan inflasi, kenaikan harga barang dan minyak.

Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu menegaskan, parti itu akan terus setia bersama BN dan memberi sokongan kepada Perdana Menteri.

“Ini adalah kali pertama kita menghadapi keadaan di mana parti komponen tidak menyokong Perdana Menteri. MIC tidak akan membiarkan Perdana Menteri dijatuhkan kerana beliau dipilih oleh rakyat,’’ katanya.

Naib Presiden Parti Gerakan, Datuk Dr. S. Vijayaratnam menyatakan tindakan SAPP itu merupakan satu perbuatan yang tidak boleh diterima dan ia sesuatu yang melampau.

“Kami merayu kepada SAPP agar membuat pertimbangan sewajarnya terhadap tindakan mereka," katanya.

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali percaya parti dari Sabah itu mungkin merasakan ia tidak akan relevan lagi jika tidak mengambil kesempatan daripada senario politik semasa negara.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mustapa Mohamed berkata, pengumuman SAPP itu menunjukkan parti kecil dari Sabah itu – yang mempunyai sekadar dua orang ahli Parlimen – tidak beretika.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu mengulas: “Ini satu ugutan terhadap kerajaan yang telah dipilih oleh rakyat.”

Dalam pada itu, Ahli Parlimen BN-Kalabakan yang banyak mengkritik kerajaan, Datuk Abdul Ghapur Salleh berkata, meskipun beliau juga lantang menyuarakan masalah rakyat Sabah, tetapi ia tidaklah sehingga membuat pengumuman yang membelakangkan semangat BN.

Setiausaha Agung Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Bersatu, (UPKO), Datuk Wilfred Tangau pula menganggap tindakan SAPP itu adalah hak masing-masing untuk membuat keputusan tersendiri.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Karamunting yang juga pemimpin Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Edmund Chong Ket Wah enggan mengulas lanjut atas alasan beliau tidak mengetahui apa yang akan dilakukan oleh SAPP.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dari Sarawak, Datuk Daud Abdul Rahman berkata, tindakan SAPP itu boleh memecahbelahkan BN.

Jika mereka mempunyai masalah, katanya, perkara tersebut boleh diselesaikan secara rundingan dalam BN dan bukan dengan menghebahkannya kepada masyarakat umum.

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Seri Dr. James Masing memberitahu, beliau tidak bersetuju dengan tindakan SAPP dan Teck Lee itu kerana ia bukan cara untuk menyelesaikan sesuatu masalah.

Selasa, 17 Jun 2008

'Future elections' : BN SILA BERI PERHATIAN




Future elections

Dr Baharuddin said "digital media warfare" and the preference of the younger generation should be given serious thought, particularly with the presence of 1.8 million fresh voters for the next election in 2012 or 2013.

Mobile TV and handphone networks are also expected to play a major role.

"We cannot deny that the digital divide still exists in the country, but we can no longer sweep aside the role of new media.

"During the Ijok and Machap by-elections, bloggers were already active but their impact was insignificant, unlike what happened during the 2008 general election," he said.

Barisan Nasional was at the receiving end as it failed to adequately address issues raised.

"For example, on Feb 13, newspaper front-page reports were not only on the dissolution of Parliament but also on judiciary issues," he said.

Dr Baharuddin said a weak approach did not clarify sensitive issues, causing the public to switch to reading blogs for further clarification, which ultimately had a detrimental effect on the ruling coalition.

The study Peranan dan Pengaruh Internet dan Kewartawanan Bloggers Terhadap Pengundi Semasa Pilihan Raya Umum Malaysia 2008 (The Role and Influence of the Internet and Journalistic Bloggers on Voters during the 2008 General Election) was conducted by Prof Madya Dr Baharuddin Aziz, Dr Rahmat Ghazali and Dr Abd Rasid Abd Rahman from Universiti Teknologi Mara's Communications and Media Studies Faculty.- Bernama

Khamis, 12 Jun 2008

HARIMAU UMNO - SHAHIDAN KASSIM



Sukacita dimaklumkan Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim juga sudah mengendalikan blognya di http://pakteh-harimauumno.blogspot.com/ Penulis sempat meninggalkan komen kepadanya seperti di bawah semasa melawat blognya sebentar tadi.
...............................................................

Tahniah kerana Datuk Seri pun dah menceburkan diri dalam dunia blogging. Sepatutnya dari dahulu lagi pemimpin2 UMNO melakukan perkara ini.

Kami di Kelab Maya UMNO pernah membangkitkan kepentingan perang saraf melalui ruang cyber semenjak Tok Pa jadi ketua Penerangan lagi - tetapi dipandang sepi.

Untuk makluman Datuk Seri saya juga adalah salah seorang anak buah Datuk Seri di Kompleks Wilayah dulu semasa Datuk Seri menjadi Pengerusi Backbenchers Club.

Saya amat mengharapkan agar Datuk Seri benar2 menjadi Harimau UMNO dalam mana semua pemimpin lain menjadi kaki ampu dan kaki bodek kepada PM. Saya amat yakin dengan perwatakan Datuk Seri.

UMNO sedang dalam permasalahan yang sangat berbahaya. Jika semua pemimpin UMNO masih tidak berubah - alamat pupuslah UMNO pada PRU13 nanti seperti kata Tan Sri Sanusi Junid.

Sebagai bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian, saya dengan rendah diri ingin mengingatkan Datuk Seri bahawa 'Dalam Politik Kita Tidak Boleh Bertuankan 'Sesiapa'. Tuan Kita Yang Sebenar Adalah Perjuangan Mengangkat Maruah & Martabat Agama, Bangsa & Negara.'

UMNO lebih penting dari Pak Lah. Orang Melayu boleh kehilangan seribu Pak Lah tetapi Orang Melayu tidak boleh kehilangan UMNO. Kemusnahan UMNO bermakna kemusnahan kepada Bangsa Melayu.

Saya mendoakan semoga Datuk Seri akan menulis dari hati yang tulus dan ikhlas kepada perjuangan UMNO. Kini rakyat boleh menilai perjuangan Datuk Seri melalui apa yang Datuk Seri tulis di dalam Blog ini.

Sekian.

Sayangkan Bangsa Nescaya Kamu Akan Sentiasa Memberikan Yang Terbaik Untuk Bangsa Mu.

Rabu, 11 Jun 2008

UMNO PUPUS TAHUN 2013



Ahmad Lutfi Othman & Azamin Amin
Sun | Jun 01, 08 | 6:26:44 am MYT

Tan Sri Sanusi Junid memang dikenali suka berterus-terang. Walaupun sudah bersara dari politik, bekas Naib Presiden Umno ini turut mencipta kejutan bersama Tun Dr Mahathir Mohamad, apabila mengsiytihar turut keluar Umno.

Beliau tidak ragu-ragu menjangkakan Umno akan hilang kuasa sepenuhnya dalam pilihan raya akan datang jika langkah pemulihan tidak dilaksanakan sebaiknya, yakni dengan memastikan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan.

Beliau tidak mengambil masa lama untuk bersetuju diwawancara Harakah. Petang Ahad, 25 Mei lalu, di kediamannya, Bangsar, Sanusi berbicara panjang bersama Ketua Pengarang, Ahmad Lutfi Othman dan wartawan Azamin Amin. Berikut adalah sedutan wawancara berkenaan.

Harakah: Ramai tahu sebab Tun Dr Mahathir MOhamad keluar Umno. Apa pula hujah Tan Sri mengikut jejak Dr Mahathir, apakah sama atau ada alasan lain?

Sanusi Junid: Sama alasan dengan Mahathir dan ada alasan saya sendiri. Tetapi saya lihat seperti Mahathir lihat, Umno sekarang ini bukan macam Umno yang dulu. Umno yang ditubuhkan pada 1946 dan batal pada 1987 kemudian dihidupkan balik adalah Umno yang sama, tetapi Umno hari ini banyak berubah.

Umno dulu perjuangkan Islam sebagai agama rasmi, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, konsep raja berpelembagaan dan demokrasi berparlimen. Sekarang kita lihat Islam agama rasmi, tetapi diperkenalkan pula Islam Hadhari. Apa pentingnya Islam Hadhari? Salah satu sebab undi lari dari Umno ialah konsep Islam Hadhari itu, walaupun berjuta ringgit dihabiskan untuknya. Begitu juga dengan kedudukan bahasa Melayu yang semacam terhalang.

Dulu tidak pernah ada orang berani mencabar atau mengkritik hak istimewa orang Melayu yang tercatit dalam Perlembagaan. Ia bukan bermaksud menekan orang bukan Melayu. Ini sekadar melibatkan biasiswa, lesen dan tanah. Daripada inilah yang boleh kita buat macam-macam projek seperti Felda dan Felcra. Dengan hak ini juga kita beri biasiswa dan selari dengan Islam kita wujudkan pula Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Malah kewujudan UIA adalah ciptaan yang paling hebat dalam konteks dunia Islam.

Dulu orang tidak berani persoal raja-raja. Kita kalau nak lantik Menteri Besar, kita beri gambaran dahulu kepada raja. Macam Sultan Johor yang sudah tahu siapa akan jadi MB sebelum pilihan Raya, tetapi kenapa tidak kepada raja di Terengganu dan Perlis? Bila kita sendiri tak hormat raja, orang lain pun akan ikut sama.

Banyak yang keliru dalam Umno?

Ya, banyak perkara yang nampak keliru dan tak jelas sekarang. Yang tak faham khususnya generasi muda dalam Umno, kerana tidak ada pendidikan tentang itu. Dulu ada seminar, misalnya saya mengikuti Persidangan Pemuda Umno Kebangsaan di Morib pada 1965, dibentangkan kertas-kertas kerja dan kita dapat tahu darinya.

Ada dua golongan ahli Umno yang tidak bertambah ilmu walaupun dia seorang pandai. Pertama kaum wanita yang kerjanya menghidangkan makanan. Orang sibuk kursus atau berseminar, mereka sibuk dengan masakan. Kalau kita tanya, ada tidak pergi seminar, mereka jawab ada. Tapi mereka ini tak tau apa berlaku dalam Umno.

Kedua, golongan yang masuk dalam Umno, ada lantikan daripada atas. Dia dipilih mungkin sebab keluarga dan lepas dipilih, terus ke pangkat besar. Sekarang ada menteri Umno bagi komen, Umno haram kerana Mahathir. Kedua, Operasi Lalang pun sebab Mahahtir.

Pemecatan Tun Salleh kerana Mahathir. Ini subjek yang cukup popular. Nampaknya orang yang bertanggungjawab memberi penerangan kepada negara dan parti tidak faham hal ini.

Abdullah pun keliru juga nampaknya?

Saya ada dalam Majlis Tertinggi dan Kabinet, malah Dato' Seri Abdullah juga ada. Apa alasan dia boleh kata Mahathir yang suruh tangkap Operasi Lalang. Tak suruh pun, itu kerja polis. Pemecatan Tun Salleh ditentukan oleh tribunal; jika perlu minta maaf, tribunallah minta maaf bukannya kerajaan.

Sekarang banyak perkara aneh. Macam kes ketuk-ketampi yang didakwa babitkan perempuan China. Terus kita hantar menteri ke negara itu untuk minta maaf. Rupanya perempuan Melayu. Ooo ... kalau perempuan Melayu tak payah minta maaflah ya?

Baru-baru ini isu keluar keris. Mana ada orang Cina takut keris Melayu ini. Keris tak ada kuasa apa-apa. Ia hanya simbol.

Orang Cina tak suruh minta maaf pun. Tetapi yang kita pergi minta maaf itu buat apa ? Di mana kewibawaan kita dan kekuatan jiwa pemimpin Umno.

Saya rasa aneh. Sebagai menteri yang cukup lama dalam Kabinet dan bekas Setiausaha Agung Umno, bolehkah saya duduk di situ, walhal saya tahu apa yang jadi dan melihat Dr Mahathir dikata orang?

Kata pada Dr Mahathir pun dengan cara di luar tertib dan adab Melayu. Sedangkan Mahathir pernah melantik orang-orang ini yang terdiri daripada anak kawan dia.

Dia lantik sebab ada perhitungan politik dan kemampuan serta kebolehan seseorang. Lantik bapa sebagai duta, sekarang anak-anak itu yang kutuk dan serang dia sampai tak ada sopan langsung. Dulu salam cium tangan sekarang mengata macam Mahathir ini haiwan!

Ini bukan Umno dulu. Islam pun, Islam lain. Dalam soal bahasa pun kita tidak ada fokus. Soal raja pun sudah tidak ada ketertiban dan adab sopan. Hak keistimewaan orang Melayu pun sudah jadi 'tak ketahuan'.

Nak tubuhkan suruhanjaya lantik hakim. Apa salah sistem sekarang? Pihak kehakiman yang pilih, beri pada Perdana Menteri yang bawa ke kabinet, dan sembah kepada Agong, dan Agong runding dengan Raja-Raja. Kalau tak setuju, kita ketepikan. Tapi mereka tak tambah. Menolak cadangan itu ada. Tambah mana yang suka, itu tidak ada.

Begitu juga hal lobi. Untuk buat kerja di universiti, kontrak RM500,000, ada orang-orang besar di Putrajaya hantar surat lobi saya. Siapa yang tak lobi? Semua orang lobi. Tetapi setakat mana berkesan lobi itu, itu yang perlu diberi perhatian. Berapa orang yang jadi menteri melobi melalui saya, ramai. Yang nak jadi menteri besar, timbalan menteri. Adakah salah dia melobi? Tak salah melobi.

Begitu juga dengan perniagaan. Ada tokoh politik yang tetapkan syarat nak sekian banyak komisyen beri projek kepada orang berniaga. Kita tak boleh salahkan peniaga. Kita mesti salahkan orang yang minta.

Rasuah pula satu isu. Saya pernah tengok ada tokoh di universiti menentang sungguh rasuah tetapi bila masuk dalam kerajaan, senyap. Tak ada apa-apa pun. Takkan duduk dalam kerajaan lima enam tahun, takkan tak boleh bertindak terhadap orang yang rasuah.

Tapi nak bertindak mesti ada buktilah. Bukan senang nak tangkap orang rasuah. Jangan kerana nak tambah undi, kita kata nak hapus rasuah. Tetapi sekarang tengok apa dah jadi. Ini semua menyebabkan kita naik muak.

Tan Sri tak nampak apa-apa perubahan dalam Umno selepas 8 Mac?

Tun Mahathir tidak mahu lihat Umno hapus. Kecenderungan untuk Umno pupus sudah ada. Tengoklah apa yang dibuat pimpinan Umno selepas pilihan raya lalu, lihat perlantikan menteri, lihat komentar-komentar, seolah-olah tak ambil iktibar. Jika ia berlanjutan, pada 2013, Umno akan pupus. Waktu itu tak usahlah fikir siapa bakal PM.

Ada orang kata Mahathir boleh menyatupadukan semula. Tak usah fikirlah. Tak boleh dah. Orang sudah tak mahu dengar cakap dia. Kita lepas dan biarkan tokoh-tokoh kata kat dia, macam itukah cara nak berdamai dan nak cari kawan?

Kalau dia tunggu dalam Umno dan sampai 2013, maka dia adalah sebahagian daripada kemusnahan Umno dan dia adalah sebahagian daripada pemimpin yang tak mampu pertahankan Umno.

Itu sebab, dia beri syarat. Daripada Abdullah lebih baik orang lain yang jadi PM. Mungkin kita boleh bekerjasama balik. Mungkin orang lain belum ada kepentingan keluarga, kepentingan peribadi.

Perwatakan Abdullah sejak dulu rasanya tidak berubah. Kalau dia lemah, maknanya dia lemah sejak dulu. Soalnya, apakah Mahathir ketika melantiknya sebagai pengganti beliau tidak menyedari kelemahan Abdullah yang cukup ketara itu?

Mahathir sedar akan kesilapannya dan tahu Abdullah lemah tetapi masa itu tidak ada banyak pilihan. Najib masih muda, jadi Mahathir hitungkan kedua-dua mereka adalah ideal.

Mau tak mau Abdullah Timbalan Presiden Umno ketika itu dan imejnya 'Mr Clean'. Pejabat Mahathir di Yayasan Perdana di Putrajaya, maknanya dia sanggup untuk beri khidmat nasihat atau bantu Abdullah dalam segala hal.

Waktu Mahathir lantik nampak dia baik, bersih. Itu tak salah Mahahtir. Rakyat juga percaya dia 'Mr Clean' sehingga menang besar 2004. Masa menang 2004, dia kata faktor dia sahaja tetapi bila kalah 2008, dia kata bukan salah dia seorang pula. Kenapa dia tak mengaku.

Ada pihak beranggapan, berbanding 1999, Umno tidak kalah teruk kali ini. Yang kalah ialah MCA, MIC dan Gerakan sebab banyak kerusi Umno masih menang.

Kalau kita pilih macam itu, memanglah. Dia pergi Perlis dia kata kita menang, betullah itu. Tetapi kalau dia pergi Kedah, Selangor, Perak bolehkah kata dia menang? Begitu juga di Wilayah Persekutuan. Malah di Johor, ada 322,000 undi rosak. Itu semua undi Melayu, campur sikit bukan Melayu.

Waktu taklimat sebelum pilihan raya dalam Majlis Tertinggi Umno, ada laporan kata di Selangor, pembangkang sifar, macam itu juga tentang Perak dan Kedah, malah Kelantan pun cerah untuk ditawan. Dari mana datang sumber ini?

Padahal waktu saya menjadi Menteri Besar Kedah, saya tahu nak kalah tapi akhirnya kita berjaya menang dua pertiga walaupun Parlimen kalah banyak. Jadi saya letak jawatan sebab tak mampu dah, jadi beri peluang orang lain.

Bn kalah hanya hanya kerana undi bukan Melayu. Orang Melayu sendiri sudah tidak undi Umno. Itu yang ramai lihat Umno cukup lemah kepimpinna. Mengenai protes orang India, mulanya mereka hanya marahkan beberapa individu MIC, tetapi disebabkan lemah kepimpinan di atas, menolak BN seluruhnya.

Mungkinkah tindakan Mahathir dan Tan Sri sendiri keluar Umno, bukan menyebabkan Umno akan pulih malah lebih teruk lagi?

Mahathir meletakkan senario 2013 supaya ahli-ahli Umno sedar. Sekarang Mahathir dilihat keluar seorang tetapi tindakannya itu menyebabkan ratusan ribu yang lain kesal dengan kepimpinan yang ada. Bila pilihan raya ke-13, lagi teruklah kalah.

Kenapa tunggu 2013 baru nak berubah. Biarlah berubah dari sekarang. Begitu juga tahun 1969, Tun Razak dan Dato' Asri daripada PAS sama-sama berjumpa nak selesaikan masalah. Ada berlaku pada waktu sekarang?

Pada tahun 1969, pembangkang tak berapa pandai. Mereka, yakni pembangkang bukan Melayu, sakitkan hati orang Melayu. Buat demonstrasi sana sini. Tapi kali ini, bila menang banyak, mereka cukup berhati-hati. Saya dapat sms daripada mereka yang meminta penyokong bertenang, "jangan keluar rumah, jangan tunjuk kita suka, jangan bagi orang Melayu marah".

Dia tahu Melayu tidak akan mengamuk selagi tidak 'provoke'. Apa pasal Cina dan India ceti cukup baik dengan orang Melayu, bagi pinjam duit, jual barang dan beri hutang. Tapi kalau kacau anak dara orang Melayu, berparanglah dia!

Mengapa asyik kata kita menang, tanpa turun ke bawah, dengar masalah rakyat. Mereka tak faham budaya orang Melayu sebab guna teori Tingkat 4 JPM.

Mahathir mendakwa Umno kini jadi parti Abdullah, semua orang takut kepadanya, walhal watak Abdulllah sebenarnya bukanlah begitu keras. Yang nampak keras adalah watak Mahathir sendiri.

Saya rasa ada baiknya sistem Mahathir. Bila orang lihat dia keras, yang keras itu dia. Manakala Abdullah, dia tidak bergerak seorang. Dia ada anak dan dia ada menantunya. Kalau dia lembut tapi anak menantu keras macam mana? Jadi ramai orang marah pada Pak Lah kerana menantunya.

Di Putrajaya, berapa ramai pegawai kerajaan yang marah tetapi mereka tak tunjuk. Semuanya senyum macam Abdullah. Peranan dan pengaruh pegawai kerajaan tak boleh buat main. Pegawai kerajaan juga faktor penting dalam kekuatan Umno.

Tempoh empat tahun sudah cukup untuk Tingkat 4 ini merosakkan kekuatan Umno selama ini. Mungkin Abdullah tak tahu, tapi itu semua di bawah dia.

Isunya, apakah dalam MT Umno dan Kabinet tiada suara yang berani menegur walaupun mereka mengetahui pengaruh Tingkat 4 boleh menjahanamkan BN?

Saya rasa tidak ada. Sebabnya orang beranggapan Tingkat 4 itu genius dan cerdik, lulusan Oxford, Cambridge dan Harvard. Seolah-olah merasakan wahyu datang daripada mereka.

Sepatutnya kena dengar di kampung, Kemas kata apa, polis kata apa, military kata apa, pegawai kerajaan kata apa. Kita kena dengar semua ini. Kita ada cukup 'feedback' agensi. Tapi kita tak nak dengar. Kalau semua orang kemukakan fakta yang benar tapi kita buat tindakan salah maknanya ada orang lain yang jadi penasihatnya.

Masing-masing fikir jawatan. Yang jadi menteri kena pertahankan kuasa. Ada masalah displin pun boleh jadi menteri. Kalau ada tokoh rasuah, dia tak berani nak bersuara malah dia akan maki-maki pula Mahathir. Di peringkat bahagian juga ada yang lawan sesama sendiri.

Mungkin ahli Umno menunggu untuk buat perubahan dalam pemilihan parti akhir tahun ini.

Saya rasa tidak akan ada perubahan dalam parti. Ketua-ketua bahagian memang dibawa bertemu. Ada yang kena ancam. Dalam kerajaan banyak kemudahan boleh dapat jika sokong orang di atas.

Silap-silap, pada perhimpunan nanti, tidak ada yang berani mengusulkan Pak Lah letak jawatan malah suruh kekal terus jadi Presiden Umno. Itulah yang membuatkan Mahathir terpaksa bertindak sebegitu rupa supaya sampai mesej perubahan.

Adakah mesej itu sampai di peringkat bawahan?

Inilah Harakah yang kena beritahu kepada semua, itu sebab Harakah kena tolong Umno (ketawa).

Adakah Tan Sri juga akan masuk kembali pada Umno setelah Abdullah letak jawatan?


Insya-Allah tetapi tidaklah automatik. Masuk kembali Umno kita kena minta. Saya tidak ada hak, itu terserah pimpinan baru. Dan saya tak mahu ajak keluar Umno, terpulanglah.

Tindakan keluar Umno boleh betulkan keadaan?

Kita tak boleh berubah kalau kita masih di situ, jadi kita keluarlah. Jadi bila orang tanya, kita jelaskanlah. Cuma kesempatan itu terbataslah. Harapkan Harakah dapat jelaskan (ketawa). Ini akhbar pertama 'interview' saya setelah keluar Umno.

Mengimbau keputusan pilihan raya 1999, mengapa Tan Sri berundur dari jawatan Menteri Besar sedangkan Umno masih menang dua pertiga di Kedah?

Jadi menteri atau menteri besar bukan payah sangat, Kalau Perdana Menteri nak saya jadi menteri, jadilah. Kita pakai 'bush jaket' yang baru. oklah. Kita ada 'civil service' yang bagus malah terbaik di dunia.

Sekarang imej Melayu cukup busuk. Jadi hakim pun, hakim tak berguna, perempuan kita macam Suffiah, terpelajar tapi jadi pelacur. Jadi menteri pun dikatakan rasuah.

Keputusan di Kedah ketika itu tidaklah seburuk mana tetapi Parlimen Umno kalah banyak. Adalah tidak adil saya tunggu, jadi saya letak jawatan. Lebih baik serah pada orang lain. Orang yang dah melalui kekalahan walaupun tidak seteruk sekarang lebih baiklah berundur, selayaknya dia berhenti. Jadi ikutlah cara saya.

Sekarang mana ada isu mata lebam Anwar lagi, tetapi kerana perpecahan di kalangan orang India serta Hindraf, perpecahan orang Cina terhadap MCA, di Pulau Pinang isu Patrick Lim, juga merebak perasaan marah kakitangan awam orang terhadap penyapu di Selangor. Yang menyeluruh ialah faktor orang meluat pada Tingkat 4. Campur ini semua kita kalah.

Saya juga nampak ada kecenderungan Abdullah untuk menunjukkan kepada pihak luar bahawa kita berubah.

Sedangkan PAS tidak pernah berubah, dari dulu sampai sekarang. Hanya yang berubah ialah pemimpin dan 'style' pemimpinnya saja. PAS masih berpandukan pada al-Quran dan Hadis itu jugalah, tidak berubah. Dulu pun Mat Sabu itu juga, sekarang Mat Sabu itu juga. Dan PAS menang sebab Umno dah berubah. Bukan saja pemimpinnya berubah, Umno juga turut berubah.

Tunku Abdul Rahman, bila orang tak mahu padanya, dia berhenti. Dato' Onn tahu orang tak mahu dia, dia berhenti. Seluruh lima buah negeri dan Wilayah Persekutauan dan Negeri Sembilan hampir kalah dan di Johor ada undi rosak 322,000. Adakah ini masih tidak ada signal lagi?

Mungkin pengundi bukan Melayu berubah kepada BN balik nanti?

Undi India mungkin berubah tapi bergantung pula sikap kerajaan Pakatan Rakyat. Cina lebih terkesan dengan faktor kepimpinan Umno dan sensitif kepada ekonomi. Umpamanya dalam isu koridor, semua ada cerita pertanian. Bila saya tanya para pegawai pun tak tahu. EPU pun tak tahu.

Kita hilang Batu Putih sedangkan Wilayah Pembangunan Iskandar lebih teruk daripada itu. Kita dengan Singapura sudah banyak kali kalah, misalnya isu Jambatan Bengkok, air, WPI dan Batu Putih.

Tujuan bina jambatan supaya kapal kita boleh lalu ke Laut Cina Selatan tanpa melalui pelabuhan Singapura. Ada orang kata bila Abdullah tak ada nanti, kita boleh buat jambatan itu. Tak mungkin. Sebab syarikat keretapi laju nanti akan guna causeway dan akan tambak lagi. Takkan masa akan datang kita nak korek untuk buat jambatan. Kita tak tahu berapa lama jaminan tambak itu tak boleh dikorek.

Tan Sri sebut Dato' Seri Anwar Ibrahim bukan faktor utama lagi, tapi kini ramai bercakap tentang peluangnya untuk menjadi perdana menteri, misalnya melalui kes lompat parti.

Saya rasa Anwar akan relevan jika Abdullah masih ada di situ. Kalau Abdullah tak ada, barang kali peluang Anwar tiada. Maknanya, bukan Mahathir yang bantu Anwar seperti yang dikatakan akhbar NST. Jika Abdullah masih di situ, Anwar akan ambil alih pada 2013 dan dia akan capai ke situ.

Itu sebab mereka semua mahu Pak Lah. Anwar tak suruh Pak Lah berhenti. Tidak ada undi tak percaya dalam Parlimen. Memang mereka kata Pak Lah lemah tapi pembangkang tak suruh beliau berhenti.

Kalau dia tak berhenti, kita tak tahu berapa lagi orang yang tinggal dalam Umno. Mahahtir keluar, orang harap sesuatu akan berlaku. Mahathir keluar dan minta Abdullah berhenti untuk selamatkan Umno, bukan beri laluan kepada Anwar. Apa pun segalanya terbuka untuk pelbagai kemungkinan.

Jangan Abdullah fikir tak perlu bimbang terhadap Najib sebab Najib ada saingan Tan Sri Muhyidin Yasin. dengan Najib. Abdullah mungkin fikir tak perlu bimbang hal Anwar kerana masalahnya dengan Mahathir. Jangan andaikan Tengku Razaleigh pula Dr Mahathir tak boleh terima. Semua andaian kita kena jaga.

Tapi, akhirnya yang menentukan ialah Allah SWT. Orang yang mula-mula teringin nak jadi PM ialah Dato' Onn tetapi tidak dalam ketentuan Allah, begitu juga yang lain-lain seperti Tun Ismail, Musa Hitam, Ghafar Baba, semua tidak berpeluang jadi PM. Malah Tunku pun tidak pernah terfikir untuk jadi PM sebelum dipelawa Tun Razak.

Mengenai Abdullah, saya tidak ada apa-apa hal peribadi dengannya. Walaupun Abdullah awan saya tetapi dalam hidup kita mesti pentingkan prinsip. Saya tengok orang Melayu banyak rosak sebab kita pentingkan kawan daripada menyokong prinsip.

Orang yang sedar ada kesilapan dalam Umno mesti cuba betulkan kesilapan itu. Abdullah memang nak lawan Mahathir, dia mahu berbeza dengan Mahathir. Kalau dulu Mahahtir tidak mahu jumpa ketua-ketua pelbagai agama, Abdullah mahu jumpa. Dulu Mahathir marahkan Australia, dia pula bercuti di sana. Dengan Amerika dia buat baik juga. Dia bagi award kepada pegawai kerajaan British di Malaya dulu. Mahathir buat jambatan, dia batalkan.

Apa pun perancangan kita, akhir kalimah semua ditentukan Allah. Saya mendoakan semoga semuanya selamat, bangsa melayu selamat, umat Islam dan tanahair kita selamat._

(HARAKAH)

Selasa, 10 Jun 2008

MENGEMBALIKAN DEMOKRASI UMNO


Sistem kuota boleh galak rasuah politik – Muhyiddin

10/06/2008 2:02pm

KUALA LUMPUR 10 Jun – Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi mengulangi gesaannya agar sistem kuota untuk melayakkan seseorang bertanding dalam pemilihan parti tidak diteruskan kerana ia boleh menggalakkan amalan rasuah.

"Saya berpendapat sebaik mungkin cari jalan agar sistem ini tidak diteruskan kerana selain ia tidak sesuai, ia boleh menggalakkan amalan rasuah politik.

"Apabila seseorang bertanding, dia perlu mendapat sejumlah pencalonan contohnya 30 peratus, tetapi baru dapat 10 peratus dan kurang 20 peratus lagi, tidakkah mungkin terdorong mereka untuk menggunakan wang supaya dapat pencalonan dan ini ternyata amalan tidak sihat,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program “Hello Malaysia” yang disiarkan di saluran 502 Astro malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Luar yang juga anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Dr Rais Yatim semalam yang kecewa kerana cadangannya supaya Umno menghapuskan sistem kuota untuk melayakkan seseorang bertanding tidak mendapat sokongan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata sistem kuota bukan khas untuk bertanding bagi jawatan tertinggi parti tetapi untuk semua jawatan sehingga ke akar umbi.

"Tetapi kita dapati dari awal sistem ini sebenarnya bukan satu perkara yang seharusnya kita teruskan walaupun telah digunakan sejak dulu kerana dalam perlembagaan Umno disebutkan setiap ahli Umno berhak bertanding apa jua jawatan,” katanya.

Beliau berkata mana-mana anggota parti mempunyai kebebasan untuk bertanding di mana-mana jawatan sepertimana yang diamalkan dalam sistem demokrasi.

"Bermakna kalau nak bertanding apa-apa jawatan mesti ada kelayakan sedangkan dalam amalan demokrasi seperti pilihan raya umum tiada kuota memerlukan 1,000 orang untuk mencalon, cadang dan sokong maka calon berkenaan layak bertanding,” katanya.

Sistem kuota itu yang diluluskan Perhimpunan Agung Khas Umno pada Oktober 1988 antara lain menetapkan calon jawatan Presiden perlu mendapat sekurang-kurang nya 30 peratus pencalonan atau 57 daripada 191 bahagian, manakala Timbalan Presiden (20 peratus), Naib Presiden (10 peratus) dan ahli MT (lima peratus).

Muhyiddin berkata sistem itu mungkin tidak dapat dihapuskan pada masa kini kerana untuk meminda perlembagaan memerlukan beberapa syarat untuk dipenuhi seperti seluruh bahagian mengadakan persidangan dan separuh daripadanya bersetuju mengadakan persidangan khas bagi mencadangkan agar sistem itu dihapuskan.

"Setakat ini tidak berlaku kerana hanya beberapa bahagian saja yang bersidang dan ini tidak memenuhi kehendak dalam perlembagaan, kedua MT sendiri yang buat keputusan untuk pinda dan ini tidak berlaku kerana mungkin pihak-pihak dalam MT tidak melihat ini sebagai satu keperluan.

"Jika kedua-dua cara ini tidak diputuskan maka tidak mungkinlah sistem kuota itu tidak boleh dipinda dan mahu ia dikekalkan,” katanya.

Beliau berkata parti perlu kembali kepada sistem demokrasi yang tulen dan anggota tidak perlu merasa bimbang dan takut jika kalah ketika bertanding kerana mereka mempunyai kekuatan dan kelayakan yang akan dipilih oleh anggota yang lain.

"Apa perlu kita bimbang dan takut jika kita betul-betul seorang pemimpin yang banyak jasa, kalaupun orang yang hendak bertanding itu orang yang tidak terkenal atau tidak layak itu hak mereka dan tentu anggota parti yang sudah lama berjuang dalam Umno tahu menilai yang mana kaca yang mana berlian,” katanya. — BERNAMA.

Isnin, 9 Jun 2008

GERBANG SELATAN BERSEPADU


~MataHatiJohor~ :Hari ini, Tun Dr Mahathir di dalam weblognya www.chedet.com telah membuat satu lagi pendedahan. Kali ini berkenaan dengan Projek Gerbang Selatan Bersepadu. Penulis sebenarnya juga telah menulis artikel berkenaan projek ini beberapa hari yang lalu berdasarkan dari pengalaman seorang bekas kakitangan ke 2 Gerbang Perdana Sdn Bhd yang ditempatkan di site Projek Gerbang Selatan Bersepadu (GSB).

Sebagai liaison officer yang lebih kepada menguruskan soal-soal politik dan kebajikan penduduk yang akan dipindahkan termasuk Flat Lumba Kuda, Flat Bukit Chagar dan Kuarters Kerajaan, beliau telah terlebih dahulu diberikan taklimat dan penjelasan yang lengkap bagi memudahkan beliau memahami bidang dan tanggungjawab kerjanya. Taklimat berkenaan projek GSB itu terima sendiri dari YB Datuk Yahya Jalil, MD Gerbang Perdana SB.

Melalui taklimat tersebut, pegawai tersebut difahamkan betapa pentingnya projek GSB dan Jambatan Bengkok kepada perkembangan ekonomi Negeri Johor khasnya dan Malaysia keseluruhannya. Projek ini menjadi perhatian khusus Perdana Menteri ketika itu iaitu YAB Tun Dr Mahathir Bin Mohamad dengan mengklasifikasikannya sebagai ‘fast track’ projek.

Projek GSB yang akan membina sebuah Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) dan Jambatan Bengkok adalah merupakan suatu Perancangan Pembangunan Ekonomi Jangka Panjang bagi Negeri Johor khasnya dan Malaysia keseluruhannya terutamanya di dalam menghadapi persaingan Negara Singapura yang kerapkali mengamalkan pendekatan 'KIASU' apabila berurusan dengan Malaysia.

Mengikut perancangan awal Projek GSB ini, keseluruhan Tambak Johor akan digantikan dengan sebuah Jambatan yang mempunyai ketinggian 25 meter, sama seperti Jambatan di Second Link bagi membolehkan kapal-kapal perdagangan merentasi Selat Tebrau dan dapat terus ke Pelabuhan Johor tanpa perlu mengelilingi pulau Singapura.

Perancangan Pembangunan Ekonomi Jangka Panjang ini sebenarnya merangkumi beberapa kawasan lain yang telah lebih awal dinaikkan taraf terlebih dahulu iaitu Pelabuhan Johor, Lapangan Terbang Sultan Ismail, Senai, Pelabuhan Tanjung Pelepas dan juga jaringan system pengangkutan keretapi di antara Pelabuhan Johor - Lapangan Terbang Sultan Ismail – Pelabuhan Tanjung Pelepas.

Terdapat juga suatu perancangan untuk membina sebuah lebuhraya baru yang dikenali sebagai ‘Dedicated Elevated Highway’ yang akan menghubungkan terus CIQ ke Lapangan Terbang Sultan Ismail. Dedicated Elevated Highway ini sekiranya berjaya dilaksanakan akan dibina di atas landasan keretapi sedia ada dan akan melibatkan kos yang tinggi dan mempunyai risiko kepada keselamatan Negara. Ini adalah kerana semua kenderaan berat yang datang dari Singapura tidak perlu untuk berhenti di CIQ GSB sebaliknya sebuah lagi CIQ khas akan dibina di Senai bagi kenderaan berat tersebut.

Namun begitu cadangan ini dibatalkan begitu sahaja. Penulis difahamkan Syarikat yang bersungguh-sungguh untuk melaksanakan projek ini terpaksa membatalkannya kerana usahanya untuk mendapatkan Projek membina Jambatan dari GPSB tidak Berjaya. Projek ini juga menghadapi tentangan banyak pihak atas alasan keselamatan Negara.

Satu lagi projek yang termasuk di dalam perancangan ini adalah ‘The Missing Link’ iaitu lebuhraya yang akan menyambungkan Lebuhraya Kempas terus ke CIQ melalui ‘interchange No 3’. Projek ini adalah bertujuan untuk mengatasi kesesakan Bandaraya Johor Bahru apabila keseluruhan GSB siap dan mula beroperasi. Kenderaan dari Singapura yang mahu ke luar dari Negeri Johor tidak perlu memasuki Bandaraya dan begitu juga sebaliknya kenderaan dari utara Johor yang mahu memasuki Singapura tidak perlu bersesak-sesak melalui jalan-jalan utama Bandaraya Johor Bahru.

Di pihak Singapura memang menyedari bahawa keseluruhan projek ini akan memberikan kesan buruk kepada ekonomi Singapura. Kewujudan Pelabuhan Tanjung Pelepas sahaja sudah membuatkan Singapura kehilangan sumber ekonomi apabila beberapa syarikat gergasi perkapalan telah memindahkan operasinya ke Pelabuhan Tanjung Pelepas disebabkan tawaran yang lebih menarik dengan kos yang lebih murah.

Akhirnya Singapura menolak cadangan untuk merobohkan Tambak Johor untuk digantikan dengan sebuah Jambatan dengan ketinggian 25 meter. Memandangkan kepentingan projek GSB ini kepada pembangunan ekonomi untuk rakyat Johor, Tun Dr Mahathir telah bertegas bahawa projek GSB ini akan tetap diteruskan walaupun Malaysia terpaksa merobohkan hanya Tambak Johor yang berada di kawasan kedaulatan Malaysia sahaja.

Umum memang mengetahui bahawa Singapura survive dari kelemahan Negara-negara jirannya.Apakah strategi yang digunakan sehingga Kerajaan Malaysia membuat keputusan membatalkan terus projek GSB ini? Bolehkah dikaitkan Kalimullah sebagai 'Musuh Dalam Selimut' dan 'Duri Dalam Daging' yang mempengaruhi keputusan Kerajaan Malaysia ini?"

..........................BERSAMBUNG...........................................
Pembatalan Jambatan Bengkok

Saya diminta membongkar apa yang saya tahu berkenaan salah guna wang rakyat.

Untuk permulaan saya senaraikan empat tindakan dimana Kerajaan Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi telah salahgunakan wang rakyat.

Apa yang saya tulis di sini tidak berasas kepada spekulasi, kemungkinan atau kebarangkalian. Perkara ini diketahui umum dan boleh disahkan

Saya perlu beri penjelasan terperinci. Jadi saya akan bincangkan satu persatu.

Bagaimanapun saya senaraikan empat perkara spesifik;

1. Pembatalan pembinaan jambatan menggantikan tambak Johor di sebelah Malaysia

2. Penangguhan landasan berkembar dan rel elektrik daripada Johor Baru ke Padang Besar

3. Penjualan M.V. Agusta untuk satu Euro

4. Wang Ehsan yang dibelanjakan untuk Terengganu yang mana Menteri Besar yang baru mendakwa adalah bukan Wang Ehsan tetapi daripada dana Kerajaan Persekutuan.

Pembatalan pembinaan jambatan ke Singapura

Kerajaan Singapura tidak membantah pembinaan jambatan untuk menggantikan tambak di sebelah Malaysia.

Jambatan ini akan dibina 25 meter daripada paras permukaan air untuk benar kapal-kapal kecil lalu setelah separuh tambak di sebelah Malaysia di pecah. Link Kedua juga berada di paras 25 meters daripada paras permukaan air. Jadi kapal-kapal boleh melalui Selat Tebrau tanpa terhalang oleh tambak.
Jambatan ini penting kerana jumlah trafik di Johor Baru telah meningkat dan kesesakan lalulintas merupakan perkara harian disebabkan laluan Utara-Selatan yang datang dan pergi melalui tambak dan trafik Timur-Barat di antara bahagian-bahagian Timur dan Barat Johor Baru.

Jalan bertingkat perlu dibina menyeberangi trafik Timur-Barat untuk laluan dari dan ke tambak. Jalan ini akan menyebabkan penghujung tambak di sebelah Johor tidak boleh digunakan kerana jalan bertingkat hanya boleh mendarat pada satu jarak tertentu jauh daripada tempat tambak bertemu dengan tanah besar. Jika jambatan penuh ke Singapura dibangunkan cerun boleh dilandaikan untuk memudahkan lori mendaki dan bot-bot kecil melalui di bawahnya setelah tambak dipecahkan.

Kerana Singapura tidak mahu sama-sama membina jambatan penuh untuk gantikan tambak, jambatan setinggi 25 meter untuk benarkan bot-bot lalu dibawahnya mesti mempunyai kepanjangan yang mencukupi untuk benarkan lori mendaki secara beransur.
Penyelesaiannya ialah untuk memanjangkan jambatan dengan rekabentuk melengkung (kemudiannya dipanggil jambatan bengkok). Bagi landasan keretapi pula, jambatan ayun yang boleh dibuka dan tutup untuk benarkan kapal atau keretapi lalu.

Untuk memendekkan cerita, kerja pembinaan jambatan bengkok dihentikan untuk membolehkan Kerajaan Dato Seri Abdullah menjual 1 billion meter padu pasir dan hak laluan terbang pesawat tentera Singapura melintasi Johor Baru jika Singaura bersetuju membina jambatan lurus.

Ada orang yang akan mengaut untung banyak menjual 50 juta meter padu pasir setahun selama 20 tahun untuk Singapura menambak tanah. Ini satu tawaran menarik kerana tanah yang ditambak boleh dijual antara 3,000-5,000 Dolar Singapura (kira-kira RM6,000-RM10,000) sekaki persegi. Kerajaan Singapura boleh buat banyak duit menjual tanah ini. Lalu merekapun menyetujui cadangan jambatan lurus ini.

Bahawa mengorek pasir dari dasar laut boleh sebabkan hakisan pantai, kemusnahan tempat pembiakan ikan dan kehilangan mata pencarian bagi nelayan negeri Johor tidak pun diambil prihatin oleh Kerajaan Dato Seri Abdullah.

Mujurlah rakyat Johor membantah penjualan pasir dan hak laluan pesawat terbang.

Abdullah yang kecewa kerana perancangannya terhalang menghukum rakyat Johor dengan membatal sama sekali projek jambatan. Tidak ada jambatan lurus mahupun bengkok.

Hasilnya lebih daripada RM1 billion telah dibazirkan yang dibelanjakan untuk membina kemudahan kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin, kerja-kerja membina stesen keretapi baru dan kerja-kerja awal untuk bina jalan menghubung kompleks KIK dan jambatan serta bayaran pampasan kepada kontraktor disebabkan pembatalan projek-projek berkenaan.

Kompleks KIK kini menjadi gajah putih, terbiar tetapi terpaksa di selenggarakan dengan memakan belanja beratus ribu Ringgit sebulan.

Jelas sekali Dato Seri Abdullah telah bazirkan duit rakyat hanya kerana beliau marah dengan rakyat Johor yang halang penjualan satu bilion meter padu pasir kepada Singapura dan keuntungan yang bakal diraih oleh pihak tertentu.

POSTED BY DR. MAHATHIR MOHAMAD AT 2:16 PM

UPDATE HUJUNG MINGGU


Saya sekali lagi ingin mengesahkan bahawa berita TERKINI : NAJIB- PRESIDEN MUHYIDDIN-TIMBALAN yang saya tulis di blog saya ini adalah dipercayai sangat benar kesahihannya.

Dari perbualan dengan beberapa orang Yang Berhormat pada hujung minggu yang lalu, mereka semua mengakui bahawa perkara ini telah bocor sebelum pengumuman rasmi akan dibuat oleh Datuk Seri Najib sedikit masa lagi.

Majlis Tertinggi UMNO telah sebulat suara mendesak Pak Lah berundur demi masa depan UMNO dan orang Melayu. Oleh kerana desakan MT telah dibuat secara sebulat suara, ini membuatkan Pak Lah terpaksa menerima desakan dan difahamkan beliau tidak akan mempertahankan Jawatan Presiden UMNO dan akan memberikan laluan kepada Datuk Seri Najib bagi jawatan Presiden manakala Tan Sri Muhyiddin pula sebagai Timbalan Presiden.

Pengunduran Pak Lah yang dijangka akan berlaku sebelum November ini tentunya akan menyelesaikan sebahagian besar masalah UMNO khususnya di dalam memulihkan persepsi rakyat terhadap UMNO yang telah dicemari dengan isu campurtangan keluarga PM khususnya menantunya Khairi Jamaluddin dalam pentadbiran kerajaan pimpinannya. Ini tentunya sangat membantu memulihkan imej UMNO selain menyebabkan Pembangkang akan kehilangan modal politik yang besar dan berkesan.

Sehingga waktu itu, penulis mengharapkan kepada semua pembaca khususnya Rakan KPUMaya dan MyKMUJohor agar mula memfokuskan kepada perjuangan merealisasikan pelan peralihan kuasa ini seperti yang telah dipersetujui sebulat suara oleh Majlis Tertinggi UMNO itu.

Untuk makluman semua, sejak beberapa bulan yang lalu, pihak Pembangkang telah pun mula menyerang keperibadian Datuk Seri Najib dengan menghebahkan tuduhan-tuduhan tanpa bukti bagi menjatuhkan kredibiliti Datuk Seri Najib. Saya menyeru agar kita semua di sini tidak terpengaruh dengan turut sama menyebarkan tuduhan tersebut dan menjadi agen secara tidak langsung kepada Pembangkang.

Saya mengharapkan semoga KPUMaya dan MyKMUJohor akan benar-benar menjadi benteng kepada UMNO di dalam menyerang balas tohmahan dan tuduhan tanpa bukti dari pihak Pembangkang yang merupakan matlamat sebenar kewujudan KPUMaya dan MyKMUJohor di dunia cyber ini.

Salam Perjuangan.

Sayangkan Bangsa - Nescaya Kamu Sentiasa Memberikan Yang Terbaik Untuk Bangsa Mu.

Jumaat, 6 Jun 2008

PENDEDAHAN TUN DR MAHATHIR : ISU PEMECATAN TUN SALLEH ABAS



~MataHatiJohor~ : Saya cukup percaya dengan keikhlasan dan ketinggian budipekerti seorang negarawan yang banyak jasanya kepada bangsa Melayu dan Negara Malaysia ini. Rekod perkhidmatannya, perjuangannya dan kejayaannya tidak menunjukkan beliau seorang yang berhati busuk sehingga sanggup menganiaya orang lain walaupun orang itu bersungguh-sungguh memusuhinya. Malah musuhnya pun diterima kembali menjadi sahabat.

Ketinggian budipekertinya kadangkala disalahertikan malah diputarbelitkan oleh musuh-musuhnya termasuk Tun Salleh Abas dan 'Si Penggila Kuasa' Anwar Ibrahim. Sehingga keadaan benar-benar memerlukan seperti hari ini barulah dengan rasa rendah diri Tun Dr Mahathir mendedahkan segala salahtanggapan rakyat terhadap beliau yang dituduh menjadi dalang utama dalam isu Tun Salleh Abas.

Kepada 'Si Penggila Kuasa' Anwar Ibrahim dan para penyokongnya : Nantikan pendedahan YAB Tun Dr Mahathir Mohamad tentang isu pemecatan pemimpin idola kamu itu. Kerana penulis ada mendengar dahulu bahawa Tun memecat 'Si Penggila Kuasa' Anwar Ibrahim setelah dipertontonkan 16 video dari cctv yang dipasang secara curi oleh Datuk Nalla Karupan di Tivolli Villa tempat 'Si Penggila Kuasa' Anwar Ibrahim ini dikatakan memadu asmara dengan kekasih 'saudara' hatinya itu.



KISAH TUN SALLEH

1. Apabila Kerajaan memberi bayaran ex-gratia kepada para hakim yang terlibat di dalam penyingkiran Tun Salleh Abas sebagai Ketua Hakim Mahkamah Malaysia, persoalan yang perlu dijawab ialah adakah ianya kerana Kerajaan kesal terhadap sesuatu yang berlaku di zaman sebelum Kerajaan ini berkuasa atau adakah ianya langkah terdesak untuk mengembalikan sokongan selepas keputusan buruk Pilihanraya Umum 2008.

2. Jika Kerajaan hari ini merasa kesal, bayaran ex-gratia (memandangkan tiada lagi perkataan yang lebih sesuai) sepatutnya dibuat selepas ianya mula berkuasa. Jelas sekali ia hanya merasa kesal baru-baru ini, selepas Menteri baru yang dipertanggungjwabkan ke atas hal-ehwal kehakiman (yang juga pernah digantung kerana penglibatan dalam politik wang) mencadangkannya sebagai langkah untuk memenangi hati Majlis Peguam.

3. Tetapi apakah yang menyebabkan perasaan kesal “politik” di pihak Kerajaan ini? Adakah kerana berlaku ketidak adilan? Atau adakah Kerajaan yang sebelumnya berlaku berat sebelah atau melanggar undang-undang?

4. Kebanyakan orang tahu tentang penyingkiran Tun Salleh tetapi tidak ramai yang mengambil berat tentang apa yang sebenarnya berlaku. Sesetengah pihak percaya yang tindakan terhadap Tun Salleh disebabkan cadangannya membentuk panel 12 hakim untuk mendengar rayuan terhadap keputusan Hakim Harun Hashim yang telah mendapati UMNO sebagai sebuah organisasi haram. Ada pihak lain yang percaya ianya kerana beliau tidak menyebelahi UMNO di dalam penghakimannya.

5. Tidak ada satu pun yang benar. Tun Salleh tidak berat sebelah terhadap Kerajaan. Dia telah menolak permohonan Lim Kit Siang di dalam kes yang melibatkan UEM dan Kerajaan, terhadap injunksi sementara yang dibuat mahkamah rendah di dalam keputusan penghakiman yang panjang yang dibuat olehnya sebagai Presiden Mahkamah Agong (sekarang Mahkamah Persekutuan). Di dalam kes-kes lain penghakiman beliau banyak berpihak kepada Kerajaan. Berkenaan dengan panel untuk mendengar rayuan terhadap keputusan Hakim Harun Hashim, panel yang lebih besar mungkin lebih baik bagi UMNO yang hanya mahukan pengesahan keputusan pemilihan yang akan menjadikan saya Presiden dan (Tun) Ghafar Baba Timbalan Presiden. Samada panel menolak atau menerima keputusan Hakim Harun, ianya tidak akan memberi kesan terhadap UMNO dan UMNO Baru.

6. Sebenarnya kes terhadap Tun Salleh tercetus kerana surat-suratnya kepada Yang di Pertuan Agong yang baginda anggap melanggar tatasusila serta menghina.

7. Di dalam surat pertamanya, Tun Salleh telah menulis kepada DYMM YDP Agong untuk mengadu berkenaan bunyi bising kerana kerja-kerja baikpulih di Istana YDP Agong yang terletak berdekatan dengan rumah Tun Salleh.

8. Ini sahaja boleh dianggap melanggar tatasusila. Seseorang yang begitu kanan kedudukannya boleh meminta izin untuk mengadap YDP Agong dan menyampaikan aduannya secara lisan.

9. Untuk memburukkan lagi perbuatan menghina Istana dia telah menghantar salinan suratnya kepada Raja-Raja lain. Ini seolah-olah menunjukkan yang dia tidak punyai keyakinan terhadap YDP Agong dan menghendakkan Raja-Raja Melayu lain untuk mengadakan tekanan terhadap YDP Agong.

10. Ini kemudiannya disusuli dengan satu lagi surat kepada YDP Agong yang mengadu berkenaan tindak-tanduk eksekutif iaitu Perdana Menteri. Salinan surat ini juga telah dihantar kepada Raja-Raja.

11. Di dalam surat ini, Tun Salleh telah menyatakan antara lain; “All of us (the judges) are disappointed with the various comments and accusations made by the Prime Minister against the judiciary not only outside but inside Parliament.” [Kami (para hakim) kecewa dengan pelbagai kenyataan dan tuduhan yang dibuat Perdana Menteri terhadap badan kehakiman bukan sahaja di luar malahan di dalam Parlimen]

12. Dia seterusnya berkata di dalam suratnya “the accusations and comments have brought shame to all of us and left us mentally disturbed to the extent of being unable to discharge our functions orderly and properly.” [tuduhan-tuduhan dan kenyataan-kenyataan yang dibuat telah memalukan kami semua dan telah meninggalkan kesan kekacauan mental sehinggakan kami tidak dapat menjalankan tugas kami dengan tertib dan teratur].

13. Dia menegaskan yang dia dan para hakim semua “do not like to reply to the accusations publicly because such action is not compatible with our position as judges under the Constitution …. And as such it is only proper for us to be patient in the interest of the nation.” [tidak mahu membalas secara terbuka tuduhan kerana tindakan tersebut tidak bersesuaian dengan kedudukan kami sebagai hakim di bawah Perlembagaan…dan oleh itu adalah lebih baik kami bersabar demi kepentingan Negara].

14. Kenyataan ini nyata tidak benar kerana sebelum surat tersebut diutuskan, di dalam satu ucapan di Universiti Malaya di mana dia dianugerah ijazah doktor kehormat, dia telah merungut berkenaan “the judiciary being placed in the social service category” (badan kehakiman ditempatkan di bawah kategori perkhidmatan sosial) dengan membuat kesimpulan bahawa ini tidak bertepatan dengan “the rule of law” (kedaulatan undang-undang) dan oleh itu “priority of the courts should be altered so that freedom is guaranteed and work is not disturbed” (keutamaan mahkamah harus diperbetulkan agar kebebasan dijamin dan kerja tidak terganggu).

15. Dia seterusnya berkata “the officers of the public service (i.e. judges) do not have a lesser role and function to play then the roles played by the politicians” (pegawai perkhidmatan awam iaitu para hakim tidak memainkan peranan yang kurang pentingnya berbanding yang dimainkan ahli politik).

16. Beliau juga berkata, “This matter becomes aggravated if the rights involved in a decision made by an official are related to judicial matters because this will result in a very important question that is interference with the independence of the judiciary” (Keadaan ini diburukkan lagi jika hak yang terlibat dalam keputusan yang dibuat para pegawai adalah berkaitan soal penghakiman kerana ini akan menimbulkan soalan penting iaitu campur tangan dalam kebebasan kehakiman.

17. Sekali lagi apabila berucap semasa melancarkan buku “Law, Justice and the Judiciary, Transnational Trends” Tun Salleh berkata, antara lain, “The vital constitutional principle is so settled that no question should really arise concerning the position of the judiciary under the Constitution. But recently this guardianship has been made an issue and our independence appears to be under some kind of threat.” (Prinsip Perlembagaan yang penting sudahpun termaktub oleh itu tidak timbul soal kedudukan kehakiman di bawah Perlembagaan. Tetapi baru-baru ini perlindungan ini telah menjadi satu isu dan kebebasan kita ternampak seolah-olah sedang dicabar) Beliau menambah, “This is amply borne out by some of the comments made recently which embarrassed the judiciary a great deal. These remarks not only question our neutrality and independence but the very value of it as an institution ….. Our responsibility of deciding the case without fear or favour …. does not mean that the court decision should be in favour of the Government all the time…….” (Ini terhasil daripada sesetengah kenyataan yang dibuat baru-baru ini yang telah benar-benar memalukan badan kehakiman. Kenyataan tersebut bukan sahaja mempersoalkan keberkecualian dan kebebasan kita, tetapi juga nilai badan kehakiman sebagai sebuah institusi…tidak semestinya keputusan mahkamah harus sentiasa menyebelahi Kerajaan)

18. Selain itu beliau menyambung, “the problem of maintaining judicial independence is further complicated by the fact that the judiciary is the weakest of all the three branches of the Government.” (Masalah mengekalkan kebebasan kehakiman dibuat lebih rumit kerana badan kehakiman adalah yang paling lemah diantara ketiga-tiga cabang Kerajaan).

19. “What matters most in order to enable us to save the system from disastrous consequences is that we judges must act with responsibility and dignity and not be drawn or tempted into an impulsive action which could only result in aggravating the situation.” (Apa yang penting untuk selamatkan system ini daripada malapetaka ialah kita para hakim mesti bertindak dengan penuh tanggungjawab dan hormat dan tidak dipengaruhi tindakan gelojoh yang mungkin akan memburukkan lagi keadaan)

20. Kedua-dua ucapan tersebut disampaikan pada 1hb Ogos 1987 dan 12hb Januari 1988. Tetapi surat Tun Salleh kepada YDP Agong bertarikh 26hb Mac 1988. Seperti yang saya nyatakan tadi adalah tidak benar beliau tidak bercakap berkenaan tuduhannya terhadap Kerajaan di hadapan khalayak ramai hanya kerana dia mempertahankan yang “tindakan tersebut tidak bersesuaian dengan kedudukan kami sebagai hakim di bawah Perlembagaan” dan “oleh itu adalah lebih baik kami bersabar demi kepentingan Negara”.

21. Semua kenyataannya di dalam dua ucapan yang disampaikan jelas mengandungi kecamannya terhadap Perdana Menteri dan Kerajaan, jauh lebih lama sebelum dianya menulis surat kepada YDP Agong.

22. Satu lagi perkara yang dibangkitkan di dalam suratnya kepada YDP Agong ialah “the accusations and comments have brought shame to all of us (judges) and left us mentally disturbed to the extent of being unable to discharge our functions orderly and properly.” [tuduhan-tuduhan dan kenyataan-kenyataan yang dibuat telah memalukan kami dan telah meninggalkan kesan kekacauan mental sehinggakan kami tidak dapat menjalankan tugas kami dengan tertib dan teratur].

23. Di bawah Seksyen 125 Perlembagaan Persekutuan, klausa (3) peruntukan untuk memecat hakim, selain daripada salahlaku termasuk ketidakupayaan tubuh badan atau pemikiran atau lain lain sebab, untuk menjalankan tugas-tugas jawatan dengan saksama.

24. Tun Salleh sendiri mengakui yang beliau tidak terdaya untuk melakukan tugas-tugasnya dengan teratur dan tertib. Oleh itu beliau tidak layak untuk terus menjadi hakim.

25. Seksyen 125, klausa 4 memperuntukkan kuasa YDP Agong melantik Tribunal dan boleh atas nasihat Tribunal menyingkirkan hakim daripada kedudukannya.

26. Kedua-dua surat daripada Tun Salleh dianggap YDP Agong sebagai tidak sesuai dan menghina terutamanya kerana salinannya dihantar kepada Raja-Raja Melayu lain.

27. Di dalam salah satu daripada mesyuarat mingguan saya dengan YDP Agong, baginda telah menyatakan ketidak puasan hatinya terhadap surat-surat tersebut dan telah meminta saya menyingkir Tun Salleh Abas daripada jawtan Ketua Hakim Negara. Baginda telah menulis sendiri permintaan baginda di ruangan tepi (margin) surat pertama Tun Salleh berkenaan dengan bunyi bising daripada kerja-kerja yang sedang dijalankan di kediaman YDP Agong.

28. Bagi YDP Agong ianya adalah perkara mudah. Baginda yang melantik Ketua Hakim dan mempunyai hak untuk menyingkirkan beliau. Saya fikir adalah lebih baik bagi saya merujuk perkara ini ke Kabinet dan nasihat Peguam Negara didapati.

29. Saya mengaku rungutan Tun Salleh terhadap saya di dalam suratnya juga menimbulkan ketidak puasan hati saya. Adalah benar yang saya telah mengkritik hakim-hakim kerana mentafsir undang-undang yang dilulus Kerajaan yang tidak menepati matlamat atau objektif undang-undang itu. Saya ada mencadangkan bahawa jika undang-undang yang ditafsirkan berlainan lain daripada matlamat asal sepertimana yang Kerajaan dan penggubal undang-undang harapkan, maka undang-undang tersebut akan dipinda. Di dalam satu mesyuarat Kabinet saya berseloroh dengan memetik kata-kata Shakespeare, “The first thing we do we hang the lawyers.” (Pertama sekali kita gantung semua peguam). Hanya orang yang dungu sahaja akan mengambil bulat-bulat apa yang saya katakan. Tetapi rupa-rupanya para peguam dan hakim telah merasa tersinggung akan apa yang saya kata dan telah menganggap saya sebagai musuh mereka (yang akan menggantung mereka agaknya!).

30. Saya juga telah mengkritik hakim kerana menggubal undang-undang sendiri menerusi tafsiran mereka dan kemudiannya mengguna tafsiran mereka untuk rujukan. Saya percaya pemisahan kuasa bermakna penggubal undang-undang akan menggubal undang-undang manakala hakim akan menggunapakai undang-undang tersebut. Sudah tentu jika undang-undang digubal melanggar peruntukan perlembagaan, yang merupakan undang-undang tertinggi Negara, maka hakim bolehlah menolaknya.

31. Didapati juga sesetengah hakim menolak membicarakan kes-kes melibat hukuman mati, dan diserah secara tidak adil kepada hakim-hakim lain.

32. Kebanyakan pakar undang-undang berpendapat “It is not wrong for any member of the public or the administration to criticise the judiciary. Justice is not a cloistered virtue.” (Tidak salah bagi sesiapa samada dianya orang awam atau ahli pentadbiran untuk mengkritik kehakiman. Keadilan bukan kesucian yang terkurung) - Peter Aldridge Williams QC

33. Penulis di atas juga telah memetik McKenna J “There is no difference between the judge and the Common Man except that one administers the law and the other endures it” (Tidak ada perbezaan di antara hakim dan orang ramai kecuali yang satu mentadbir undang-undang dan yang satu lagi menerima kesannya).

34. Tetapi Tun Salleh berpendapat bahawa saya cuba menghakis kebebasan kehakiman apabila saya menyatakan pandangan saya bagaimana hakim mengecewakan matlamat asal penggubal undang-undang.

35. Menerusi pelbagai sumber saya dengar akan kemarahan hakim-hakim terhadap saya. Tetapi saya tidak mengambil apa-apa tindakan, jauh sekali untuk menyingkir Tun Salleh. Saya hanya bertindak apabila YDP Agong menyatakan rasa tidak puas hati berkenaan dua surat tersebut.

36. Kabinet bersetuju yang peruntukan perlembagaan haruslah dipatuhi. Oleh itu saya telahpun menasihatkan YDP Agong bahawa Tun Salleh hanya boleh disingkir jika YDP Agong melantik Tribunal untuk mendengar segala rungutan terhadapnya (Tun Salleh) dan membuat cadangan kepada YDP Agong.

37. Selepas YDP Agong bersetuju, Kerajaan memilih enam hakim dan bekas hakim untuk pertimbangan YDP Agong. Ahlinya termasuk hakim Negara asing yang diwakili Yang Arif Hakim K.A.P. Ranasinghe, Ketua Hakim Sri Lanka dan Yang Arif Hakim T.S. Sinnathuray, Hakim Kanan Mahkamah Agong Singapura.

38. Pengerusi tribunal ialah Hakim Besar (Malaya), Tan Sri Dato Abdul Hamid bin Hj Omar. Lain-lain ahli terdiri daripada Dato Sri Lee Hun Hoe, Hakim Besar (Borneo) dan dua orang bekas hakim iaitu Tan Sri Abdul Aziz bin Zain dan Tan Sri Mohd Zahir bin Ismail.

39. Penyertaan hakim asing adalah untuk mempastikan yang tribunal tidak mengambil sikap berat sebelah.

40. Malangnya Tun Salleh Abas enggan hadir di hadapan Tribunal. Sebaliknya dia mengharapkan yang rakan-rakannya akan cuba untuk menghalang keputusan Tribunal daripada disampaikan kepada YDP Agong.

41. Apa yang dilakukan kelima-lima hakim yang bersimpati kepadanya sudah tentu melanggar apa yang Tun Salleh utarakan semasa berucap di majlis pelancaran “Law, Justice and the Judiciary. Transnational Trend” apabila dia berkata; “we as judges must act with responsibility and dignity and not be drawn or tempted into any impulsive action which could only result in aggravating the situation” (kita para hakim mesti bertindak dengan penuh tanggungjawab dan terhormat dan tidak dipengaruhi tindakan gelojoh yang mungkin akan memburukkan lagi keadaan).

42. Kelima-lima hakim tersebut telah mengenepikan peraturan dan prosidur dan keperluan untuk mendapat kelulusan Pemangku Ketua Hakim, disamping menunggu keputusan Hakim Ajaib Singh di atas perkara yang sama. Sebaliknya mereka membatalkan persidangan mahkamah di Kota Bahru yang telah dijadualkan untuk mereka dan telah mngadakan persidangan Mahkamah Agong di Kuala Lumpur untuk mendengar aplikasi Tun Salleh Abbas untuk mengenepikan prosiding bagi menentukan kedudukannya.

43. Lima hakim Mahkamah Agong yang diketuai Tan Sri Wan Sulaiman mendengar aplikasi ex-parte oleh peguam Tun Salleh, berehat seketika, dan kemudiannya kembali dan sebulat suara mengeluarkan arahan menghentikan Tribunal daripada menyerahkan apa-apa cadangan, laporan atau nasihat berkenaan siasatan kepada YDP Agong.

44. Berikutan itu, pemangku Ketua Hakim telah menubuhkan satu panel lima hakim Mahkamah Agong untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Wan Suleiman.

45. Saya ingin ulangi yang walaupun Tun Salleh mengkritik saya secara terbuka, saya tidak mengambil sebarang tindakan terhadapnya. Saya hanya berbuat demikian setelah dia menghina YDP Agong dan baginda meminta supaya dianya disingkirkan. Tentulah akan ada yang berkata bahawa saya telah mempengaruhi YDP Agong. Tetapi selama 22 tahun saya tidak pernah melibatkan Raja-Raja di dalam politik atau masalah peribadi. Rekod tertera untuk sesiapa menelitinya.

46. Saya amat mengambil berat terhadap penyingkiran Tun Salleh secara paksa. Saya telah cuba dapatkan Tun Salleh untuk meletak jawatan bagi mengelak sebarang skandal. Pada mulanya dia bersetuju, tetapi telah menarik balik keesokan harinya.

47. Saya telah mendapatkan kelulusan keahlian Tribunal. Saya telah mendapat nasihat Peguam Negara dan pihak lain yang rapat dengan hakim-hakim. Setelah Tribunal ditubuhkan, penglibatan saya berakhir.

48. Apabila Tun Salleh dan hakim-hakim yang lain diberhentikan perkhidmatan mereka, mereka tidak sepatutnya menerima pencen. Tetapi selepas menerima rayuan Peguam Negara, saya bersetuju yang mereka dibayar pencen penuh. Mereka tidak mengalami apa-apa kerugian wang ringgit dan pencen mereka dikira daripada tarikh mereka meninggalkan jawatan.

49. Inilah fakta bekaitan penyingkiran Tun Salleh. Beliau dan rakan-rakan hakimnyalah yang telah membawa penghinaan kepada badan kehakiman.

50. Saya menulis untuk merekodkan peristiwa sebagaimana ianya berlaku. Saya tidak harap pengkritik saya akan berhenti menuduh saya menghancurkan badan kehakiman. Mereka pendakwa saya dan mereka juga adalah hakim saya. Bagi mereka saya tetap Idi Amin Malaysia sebagaimana yang di dakwa Tun Salleh di dalam bukunya “May Day for Justice”. Malangnya ramai yang begitu tersedia mengutuk saya terdiri daripada hakim-hakim.
POSTED BY DR. MAHATHIR MOHAMAD AT 12:40 PM

Rabu, 4 Jun 2008

TERKINI : NAJIB PRESIDEN - MUHYIDDIN TIMBALAN




~MataHatiJohor~:Berita terbaharu yang saya terima sendiri dari orang kanan kedua-dua pemimpin harapan rakyat Malaysia pada ketika ini iaitu Datuk Seri Najib dan Tan Sri Muhyiddin adalah bahawa sudah ada persefahaman untuk menerima hakikat bahawa akar umbi UMNO mahukan perubahan segera kepimpinan tertinggi UMNO.

Justeru berita yang paling menggembirakan kita semua pada hari ini adalah YAB Datuk Seri Najib dikatakan telah bersetuju untuk menerima pencalonan bagi jawatan Presiden UMNO berganding bersama Tan Sri Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden UMNO.
Keputusan ini dikatakan dibuat berdasarkan meningkatnya desakan ahli dan pemimpin UMNO di peringkat akar umbi yang menyuarakan desakan supaya Pak Lah segera melakukan proses peralihan kuasa kepada Timbalannya ini.

Ditanya mengapa sebelum ini Datuk Seri Najib berpendirian untuk bersama-sama berganding dengan Pak Lah, sumber saya mengatakan bahawa Datuk Seri Najib menyangkakan Pak Lah akan melakukan proses peralihan kuasa sebelum pemilihan UMNO pada bulan Disember nanti. Pernyataan Pak Lah ini yang semakin berubah amat berbeza dengan penyataannya yang dibuat selepas mengadakan pertemuan dengan UMNO Johor bulan lalu dan ini membuatkan Datuk Seri Najib semakin ragu dengan keikhlasan Pak Lah untuk melakukan proses peralihan kuasa.

Berdasarkan senario politik semasa yang agak tidak menentu serta persepsi buruk rakyat terhadap UMNO dan kerajaan ditambah pula dengan keadaan ekonomi dan krisis tenaga dan makanan yang kian meruncing, maka terdapat keperluan bagi Datuk Seri Najib mengambil langkah kehadapan bagi menyelamatkan parti dan negara ke arah membaiki segala kelemahan yang telah dilakukan oleh Pak Lah.

"Memandangkan tidak banyak tindakan yang telah dilakukan oleh Pak Lah bagi membaiki dan menangani segala kelemahan dalam pentadbirannya serta campurtangan keluarganya maka Datuk Seri Najib merasa bertanggungjawab dan terpanggil untuk menyahut desakan seluruh ahli UMNO dan rakyat Malaysia dari semua peringkat untuk mengetuai proses menguatkan semula UMNO dan memulihkan persepsi rakyat terhadap UMNO, Barisan Nasional dan Kerajaan."

Sumber itu menyatakan bahawa "proses ini dijangka akan mengambil masa selama 6 bulan sahaja. Selepas bulan Disember atau mulai tahun 2009, Kerajaan di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib selaku Perdana Menteri sudah boleh memfokuskan kepada menangani segala cabaran yang sedang dihadapi oleh rakyat termasuk isu kenaikan harga minyak dan krisis makanan."

Justeru itu saya menyeru kepada semua pembaca supaya bergandingbahu bagi memastikan usaha pembaharuan ini akan berjaya dilakukan. Pada ketika ini semua pihak di dalam UMNO harus memastikan YAB Datuk Seri Najib dan Tan Sri Muhyiddin mendapat pencalonan yang secukupnya bagi melayakkan mereka bertanding jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO.

Semoga Allah merestui perjuangan mereka untuk agama, bangsa dan negara.

HUBUNGAN KAUM DI MALAYSIA BAGAI BOM JANGKA



~MataHatiJohor~ : Bagi saya hubungan kaum di Malaysia umpama 'time bomb' yang menunggu masa untuk meletup pada bila-bila masa sekiranya tidak diuruskan dengan baik dan cermat.

Sebab itu saya bersetuju apabila YAB Tun mengatakan bahawa Malaysia, sebagai sebuah negara berbilang kaum, memerlukan sebuah kerajaan yang kuat. Tanpa sebuah kerajaan yang kuat, khususnya seperti kerajaan hari ini, akan memberikan ruang kepada 'kumpulan pelampau kaum' untuk membuat tuntutan-tuntutan yang ekstrim yang akan membuat kaum yang lain merasa tergugat.

Keadaan ini akhirnya akan mewujudkan ketegangan di dalam hubungan di antara kaum yang jika tidak segera dikawal akan membawa bencana yang amat dahsyat kepada negara. Contoh yang jelas kepada keadaan ini boleh kita lihat seperti yang berlaku di antara ethnik Bosnia, Crotia dan Serbia.

Dalam konteks Malaysia, kedaan hubungan kaum yang turun naik adalah mengikut iklim politik negara. Dalam keadaan UMNO dan Barisan Nasional yang kukuh, hubungan kaum dilihat lebih mesra sebaliknya apabila UMNO dan Barisan Nasional dalam keadaan lemah, keadaan hubungan kaum akan menjadi lebih tegang disebabkan oleh wujudnya parti yang bersifat 'perkauman melampau' seperti DAP.
Namun begitu, punca utama kepada ketidaktentuan hubungan kaum di Malaysia adalah kesilapan lampau semasa 'sosial kontrak' di antara kaum terbentuk. Kelonggaran dalam sistem pendidikan yang membenarkan setiap ethnik utama menubuhkan sekolah mereka sendiri tetapi dengan bantuan kerajaan adalah penyumbang terbesar kepada ketidaktentuan hubungan kaum di Malaysia.

Keterasingan dalam sistem persekolahan menyebabkan tidak wujud proses integrasi di antara kaum pada peringkat awal usia kanak-kanak lagi. Hanya apabila kanak-kanak memasuki persekolahan menengah barulah proses integrasi dapat dilakukan.

Lebih memburukkan lagi, apabila terdapat usaha untuk melaksanakan proses integrasi dari peringkat sekolah rendah seperti sekolah wawasan, usaha ini dibantah oleh parti komponen dalam Barisan Nasional sendiri.

Bantahan dari kumpulan ini sebenarnya boleh mencerminkan keikhlasan kaum-kaum tertentu terhadap usaha untuk mewujudkan hubungan kaum yang harmoni secara terancang oleh kerajaan.
Kini, setelah 52 tahun negara mencapai kemerdekaan, generasi pertama yang mula mendapat pendidikan secara terasing ini telah pun berusia 59 tahun. Bermakna juga generasi berusia 7 hingga 59 tahun yang wujud di Malaysia pada hari ini adalah yang terdiri dari kaum-kaum yang telah melalui sistem pendidikan yang terasing di antara satu sama lain.

Dan dari keseluruhan jumlah mereka ini, mereka yang berusia 21 tahun hingga 59 tahun adalah mereka yang telah membuang undi pada PRU12 yang lalu.

Beberapa soalan yang timbul,

1) Apakah mereka yang pernah mendapat pendidikan di SRJK Cina & Tamil dapat memahami 'sosial kontrak' sebagaimana mereka yang bersekolah di dalam sistem pendidikan kebangsaan.

2) Apakah mereka boleh menerima kedudukan istimewa pribumi Melayu sebagai penduduk asal negara ini.

3) Apakah pandangan mereka tentang kuota-kuota yang diperuntukkan kepada bumiputera dan tidak kepada kaum mereka.

4) Apakah perasaan mereka apabila terpaksa membeli rumah pada harga yang berlainan dari yang ditawarkan kepada bumiputera Melayu?.

Banyak lagi soalan yang boleh timbul. Kerajaan yang kuat dan kukuh sahaja yang boleh menangani segala persoalan ini.

Apa pun tindakan segera perlu dilakukan samada mewujudkan hanya satu sistem pendidikan ataupun membentuk sebuah kerajaan yang kukuh. Pilihan pertama agak sukar dilaksanakan khususnya dalam keadaan kerajaan yang lemah pada hari ini. Pilihan yang ada hanyalah memastikan wujudnya sebuah kerajaan yang kukuh dan kuat untuk menangani permasalahan ini.
Sebab itu, untuk memastikan wujud sebuah kerajaan yang kuat perlu dimulai dengan perletakan segera jawatan Presiden UMNO, Pengerusi Barisan Nasional dan Perdana Menteri oleh Seorang yang bernama Abdullah Bin Ahmad.
......................................................................
Masyarakat berbilang kaum Malaysia

Saya ditanya apakah makna negara Malaysia berbilang kaum bagi saya.

Pengertian masyarakat majmuk berbeza bagi setiap negara yang mempunyai rakyat berbilang kaum misalnya Singapura yang mendakwa ianya negara berbilang kaum tetapi secara dasarnya adalah sebuah Negeri yang dikuasai oleh penduduk berketurunan Cina yang besar.

Kerana keengganan keturunan kaum pendatang dari China dan India untuk di serap ke dalam masayarakat pribumi, kita terpaksa terima pengekalan identiti rakyat Malaysia daripada keturunan Cina dan India. Orang keturunan Indonesia memilih untuk diserap sebagai kaum pribumi oleh itu mereka tidak terbahagi kepada kaum-kaum yang berlainan.

Negara berbilang kaum pada kebiasaannya tidak stabil. Ketegangan kaum kerap berlaku. Jika Malaysia hendak mengelakkan konflik antara kaum ianya mesti cuba kurangkan perbezaan diantara kaum-kaum tersebut.

Kita tidak boleh menukar etnik. Jadi kita perlu menerima perbezaan etnik yang terdapat. Perbezaan agama juga tidak boleh ditukar.

Bagaimanapun, beberapa aspek perbezaan kebudayaan boleh di jadikan sesatu yang boleh diterimapakai oleh semua kaum. Makanan Cina di Malaysia melihatkan pengaruh cita rasa Melayu dan India. Kita juga boleh meraikan perayaan kaum-kaum lain dan sebagainya.

Perbezaan tahap pencapaian ekonomi merupakan satu masalah besar. Tetapi ianya juga merupakan satu bidang di mana pembetulan dapat dibuat dan ketegangan kaum dapat dikurangkan.

Jika kita mahu melihat, kita akan dapati bahawa walau di dalam negara yang mempunyai satu etnik sahaja pun perbezaan di dalam agihan kekayaan akan membawa kepada konflik. Sebab utama ideologi Sosialis dan Komunis diperkenalkan dan diterima pakai kelas pekerja adalah kerana jurang kekayaan yang terlalu besar di antara pekerja dan majikan. Tetapi Sosialis dan Komunis kerap membantutkan pertumbuhan ekonomi sehingga bukan sahaja yang kaya merasai kesan buruknya, tetapi juga yang miskin.

Kesatuan Sekerja juga boleh membantutkan pertumbuhan ekonomi kerana ianya sering disalahguna oleh pihak tertentu dengan, mengadakan mogok kerana sebab-sebab politik.

Konfrantasi di antara pekerja dan majikan, yang pada dasarnya adalah antara yang kaya dan yang miskin kerap berlaku termasuk di negara-negara bukan berbilang kaumpun.

Jika pekerja dan yang miskin sebahagian besarnya terdiri daripada satu kaum di dalam sebuah negara berbilang kaum manakala yang menjadi majikan yang kaya pula adalah daripada kaum yang lain, permusuhan antara kelas akan menjadi lebih buruk kerana perbezaan kaum. Itulah yang terjadi di Malaysia sebelum 1969, dan kita tahu hasilnya
Kepimpinan Melayu, Cina dan India ketika itu bersetuju bahawa perbezaan kekayaan diantara kaum mesti dikurangkan. Oleh sebab itu kita telah memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru yang bertujuan menghapuskan identiti kaum dengan fungsi ekonomi.

Malangnya tindakan yang diambil tidak dapat tidak melibatkan diskriminasi terhadap kaum Cina dan India untuk memberi keutamaan kepada kaum Bumiputera. Ini menyebabkan ketidak puasan hati kerana di dalam kaum yang termaju dan mewah sekalipun terdapat sebilangan yang miskin. Mereka ini akan lebih merasai diskriminasi.

Satu lagi aspek DEB ialah untuk menghapuskan kemiskinan tanpa mengira kaum. Daripada kajian yang dijalankan amat jelas bahawa terdapat lebih banyak kemiskinan di kalangan pribumi berbanding kaum Cina. Kemungkinan kemiskinan dapat di hapuskan di kalangan kaum Cina adalah lebih besar berbanding Melayu dan penduduk pribumi di sabah dan Sarawak. Malangnya pemimpin kaum India tidak membangkitkan masalah kemiskinan di kalangan mereka.
Jika kita hendak memperbetulkan ketidakseimbangan ini, adalah perlu untuk kita cuba mengurangkan kemiskinan di kalangan pribumi berbanding di kalangan kaum Cina. Tetapi jika terdapat di kalangan orang Cina yang miskin yang menunjukkan kebolehan luar biasa, umpamanya mendapat keputusan pepriksaan yang cemerlang, mereka tidak harus diketepikan daripada mendapat bantuan hanya kerana mereka adalah daripada kaum yang lebih kaya.

Secara prinsipnya DEB amat baik, tetapi di dalam pelaksanaannya terdapat beberapa kegagalan dan kelemahan. Bagaimanapun, sejak dari 1969 kita tidak melihat berlakunya konflik perkauman yang besar di Malaysia. Dan walaupun terdapat kelemahan pada DEB, Malaysia jauh lebih stabil daripada kebanyakan negara-negara berbilang kaum yang lain, begitu juga negara yang mempunyai satu kaum sahaja. Dan perkembangan ekonomi di Malaysia juga menidakkan apa-apa jangkaan negatif hasil daripada DEB.

Saya yakin jika kita boleh mengurangkan jurang ekonomi diantara rakyat Malaysia mereka tidak akan begitu hiraukan atau begitu tekankan akan perlunya mereka di identifikasikan menurut ketrurunan kaum mereka. Mereka akan tetap jadi Melayu, Cina, India, Murut, Bajau, Dayak dan sebagainya tetapi mereka akan kurangkan bersengketa tehadap satu sama lain.

Ras-ras di Malaysia saling berpaut antara satu sama lain dan mereka saling bergantung sesama mereka. Walaupun masyarakat berbilang kaum Malaysia akan terus berasingan daripada segi etnik kaum, namun Malaysia akan terus aman, berkeupayaan untuk mencapai pertumbuhan ekonomi dan memperlihatkan keharmonian perhubungan antara kaum jika pimpinan negara ini memahami masalah yang terdapat dan mempunyai kemampuan mengurus.

Sebanyak itulah yang boleh kita harapkan kerana kita tidak bersetuju untuk bertuturkata di dalam satu bahasa dan mengamalkan satu budaya serta melepaskan identifikasi dengan negara-negara dari mana nenek moyang kita berasal.

POSTED BY DR. MAHATHIR MOHAMAD AT 10:48 PM