Memaparkan catatan dengan label MUHYIDDIN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label MUHYIDDIN. Papar semua catatan

Ahad, 14 September 2008

AYAT-AYAT 'PUSING' Vs AYAT-AYAT 'BODEK'

AYAT-AYAT 'PUSING'

TAN SRI MUHAMMAD MOHD TAIB - Ketua Penerangan UMNO

"Walaupun kita (UMNO) telah bersetuju mengenai peralihan kuasa pada 2010, UMNO tidak pernah melarang mana-mana pemimpin termasuklah ahli-ahli di peringkat akar umbi menyatakan pandangan mereka mengenai perkara ini."


TAN SRI RAFIDAH AZIZ - Ketua Wanita UMNO

"Kita kena faham pandangan akar umbi tidak statik. Mereka membangkitkan banyak perkara termasuk peralihan kuasa dan menjadi tugas kita untuk maklum kepada pucuk pimpinan."


DATUK SERI MAHDZIR KHALID - Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Kedah

"Pada masa sama katanya, UMNO Kedah mengambil pendirian bahawa keputusan itu juga tidak boleh membelakangkan akar umbi."

"Badan Perhubungan UMNO Kedah berpendapat, mengikut tradisi dalam parti juga pandangan atau keputusan dibuat oleh akar umbi (peringkat bahagian) wajar dihormati oleh semua pihak."

DATUK HAMDIN ABDOLLAH - Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah

"Peringkat akar umbi perlu diberi hak untuk berbincang dan menentukan peralihan kuasa parti.Mesyuarat bahagian yang bermula Oktober ini merupakan ruang yang terbaik untuk berbuat demikian. Sudah sampai masanya peranan bahagian turut diambil kira. Ia sepatutnya begitu."


DATUK AHMAD HAMZAH - Ketua UMNO Bahagian Jasin

"Kenyataan Najib itu sangat bertepatan dengan keadaan semasa. Ia mencerminkan demokrasi yang sentiasa diamalkan dalam parti dengan memberi hak kepada bahagian untuk menentukan peralihan kuasa itu. Saya memang setuju dengan pandangan Najib itu. Seharusnya kita menghormati demokrasi yang diamalkan parti."


AYAT-AYAT 'BODEK'

DATUK ALWI CHE AHMAD - Ketua Penerangan UMNO Kelantan

"Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin wajar melepaskan jawatannya sebagai menteri Kabinet jika beliau tidak berpuas hati dengan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi."


DATUK AZALINA OTHMAN SAID - Menteri Pelencongan

"Isu itu tidak patut dibangkitkan lagi kerana tiada usul di peringkat akar umbi mengenainya semasa mesyuarat perwakilan di peringkat cawangan baru-baru ini. (Hai... semua dah tahu ada usul sehingga ada arahan supaya jangan buat usul tentang perkara ini. Tak tahu atau buat-buat terlupa)

"Sebenarnya dalam apa juga perjuangan kita harus berpegang kepada prinsip kesetiaan kepada keputusan mesyuarat yang menjadi tanggungjawab bersama.Sekiranya mana-mana pihak tidak menghormati keputusan bersama ini, maka adalah wajar mereka mengundurkan diri dan mengutarakan pendapat atas kedudukan peribadi mereka."


DATUK SERI MOHAMED KHALED NORDIN - Menteri Pengajian Tinggi

"Semua pemimpin dan ahli UMNO perlu bertenang dan tidak terlalu emosi ketika mengeluarkan kenyataan berkaitan masalah dalaman parti kepada pihak media. Tindakan mendesak pihak tertentu berhubung isu peralihan kuasa adalah tidak wajar kerana ia hanya mengeruhkan keadaan."

DATUK IR MOHD ZIN MOHAMED - Menteri Kerja Raya

Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin diminta tidak mempersoalkan keputusan parti mengenai tarikh peralihan kuasa pucuk pimpinan tertinggi negara yang telah dipersetujui pada 2010.Isu peralihan kuasa sebenarnya sudah selesai dan tiada alasan untuk mana-mana pihak mempertikaikan lagi. Keputusan bersama juga sudah diperoleh di peringkat MT. Sehingga kini semuanya berjalan lancar tanpa sebarang masalah."


DATUK MOHAMAD NORZA ZAKARIA - Ahli Majlis Tertinggi UMNO

"Muhyiddin tidak boleh melanggar tradisi parti yang selama ini menghormati ketua. Tindakan Muhyiddin yang menggunakan media dan melepaskan perasaan tidak puas hati dilihat tidak beradat dan hanya menghabiskan masa sendiri. Kita sokong keputusan MT. Ini tanggungjawab yang perlu diambil bersama dan bukan buat keputusan sendiri. Jangan bersikap tidak hormat ketua. Jangan membuat alasan keputusan pilihan raya untuk menyalahkan sesiapa. Seharusnya Tan Sri Muhyiddin tarik diri dan letak jawatan. Masyarakat hendak tengok menteri yang jalankan tanggungjawab dan bukan politiking semata- mata," jelasnya.

~MataHati~: Selepas ini, apabila UMNO Bahagian-Bahagian mula bermesyuarat dan mula mencalonkan Najib sebagai Presiden dan Tan Sri Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden, sama-samalah kita dengar AYAT-AYAT BODEK ini insyaAllah akan bertukar menjadi AYAT_AYAT PUSING. Sama-sama kita nantikan. Semuanya hanya memikirkan kedudukan pribadi - bukan kepentingan Agama, Bangsa dan Negara.

Selasa, 15 Julai 2008

Muhyiddin lebih berpeluang menang jawatan Timbalan Presiden UMNO

15/07/2008 2:04pm
KUALA LUMPUR 15 Julai – Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai peluang yang lebih cerah untuk memenangi jawatan Timbalan Presiden UMNO sekiranya pemilihan bagi jawatan itu dibuat secara terbuka.

Bekas Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, ini berikutan tanggapan umum yang melihat Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai seorang pemimpin yang lemah dan tidak pernah mempunyai pendirian sendiri.

Beliau turut membayangkan Muhyiddin akan lebih diterima sebagai Perdana Menteri oleh ahli-ahli UMNO yang tidak dikongkong oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan orang-orang luar UMNO berbanding Najib.

Bekas Perdana Menteri itu juga menyatakan keyakinannya Abdullah akan memanipulasi mesyuarat Agung UMNO Disember ini agar ahli-ahli UMNO mengundi calon pilihannya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pejabat Pentadbiran dan Biro Pengaduan Awam Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) di sini hari ini. - Utusan

Isnin, 14 Julai 2008

Saya tidak tersepit - Muhyiddin

MUAR 13 Julai - Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) berkata, beliau tidak pernah berasa dirinya tersepit atau berada dalam dilema berikutan pelan peralihan kuasa antara Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, beliau tidak terjejas dengan tindakan ramai pemimpin UMNO yang mengumumkan hasrat untuk bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti Disember ini.

Malah, sebagai salah seorang pemimpin tertinggi parti, beliau juga tidak berasa tergugat dengan senario politik ketika ini, sebaliknya percaya beliau perlu terus bersuara untuk menyampaikan luahan rakyat selagi diperlukan.

Mengenai kedudukannya dalam parti, Muhyiddin berkata, beliau masih belum memutuskan sama ada untuk mempertahankan jawatan Naib Presiden yang disandangnya sejak tiga penggal lalu kerana beliau masih mempunyai tempoh untuk memikirkan hal itu semasak-masaknya.

Apa yang penting, kata beliau, jawatannya dalam parti bukan untuk kepentingan diri, sebaliknya untuk ahli-ahli parti kerana ahli-ahli UMNO mengharapkan pemimpin yang boleh bersuara.

"Apa yang saya suarakan selama ini adalah untuk UMNO dan bukannya untuk kepentingan diri sendiri. Saya tidak memaksa orang untuk memilih atau mencalonkan saya tetapi jika rakyat mahu saya terus bersuara, saya akan terus berbuat demikian demi kepentingan negara dan parti," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Tahunan Serentak UMNO cawangan-cawangan dalam Bahagian Pagoh di Kompleks Seri Pekembar Pagoh dekat sini hari ini.

Muhyiddin menambah: "Saya juga tidak pernah berada dalam dilema atau tertekan dalam soal perebutan jawatan dalam parti. Bagi saya, jawatan atau kedudukan itu tidak penting, namun selaku pemimpin dalam UMNO saya akan terus bersuara bagi meluahkan apa yang dimahukan oleh rakyat demi kepentingan orang Melayu."

Muhyiddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Pagoh mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris kelmarin yang menyebut beliau merupakan pemimpin yang kini berada dalam dilema apabila Abdullah mengumumkan pelan peralihan kuasa kepada Najib pada Jun 2010.

Selain itu, keputusan pucuk pimpinan parti agar jawatan nombor satu dan dua dalam parti itu tidak dicabar menyebabkan Muhyiddin tidak dapat bertanding ke jawatan yang lebih tinggi.

Pada masa yang sama, pengumuman sembilan pemimpin UMNO untuk bertanding jawatan Naib Presiden parti termasuk yang terbaru semalam yang dibuat oleh ahli Majlis Tertinggi (MT), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin juga dilihat seolah-olah mengecilkan peluang Muhyiddin untuk mempertahankan jawatan tersebut.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, pelan peralihan kuasa yang diumumkan Perdana Menteri merupakan langkah yang sesuai bagi beliau (Abdullah) menangani situasi politik dalaman dan luaran termasuk masalah-masalah rakyat sebelum menyerahkannya kepada timbalannya.

Katanya, orang melihat pelan peralihan kuasa itu daripada pelbagai tafsiran berbeza. "Ada yang kata bagus dan ada juga yang kata terlalu lama," ujar beliau.

Bagi dirinya, kata beliau, tempoh itu memang agak panjang kerana dalam masa dua tahun persoalan timbul adakah keadaan politik dan ekonomi akan menjadi pulih atau sebaliknya.

"Bagaimanapun, Perdana Menteri juga memerlukan masa untuk memulihkan keyakinan rakyat sebelum beliau menyerahkan jawatan itu kepada timbalannya (Najib). Kita tidak mahu semasa Abdullah menyerahkan jawatannya itu, pelbagai masalah timbul akibat politik yang masih tidak stabil.

"Apa yang penting ialah dalam tempoh dua tahun itu, apakah pengisiannya dan bagaimana Perdana Menteri dapat memberikan tugas-tugas yang penting kepada timbalan beliau untuk dilaksanakan dengan sebaik mungkin oleh penggantinya," jelasnya.

Muhyiddin pada masa yang sama turut mengulangi pendiriannya bahawa gesaan supaya berlaku peralihan kuasa itu yang dicadangkan oleh beliau sendiri suatu ketika dahulu bukannya untuk kepentingan mana-mana pihak, tetapi demi parti dan ahli-ahli UMNO.

~MataHatiJohor~ : UMNO terpaksa menerima Ku Li sebagai Presiden dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden. Maka akan berakhirkah riwayat politik Datuk Seri Najib lantaran politik play safenya ?

Isnin, 9 Jun 2008

UPDATE HUJUNG MINGGU


Saya sekali lagi ingin mengesahkan bahawa berita TERKINI : NAJIB- PRESIDEN MUHYIDDIN-TIMBALAN yang saya tulis di blog saya ini adalah dipercayai sangat benar kesahihannya.

Dari perbualan dengan beberapa orang Yang Berhormat pada hujung minggu yang lalu, mereka semua mengakui bahawa perkara ini telah bocor sebelum pengumuman rasmi akan dibuat oleh Datuk Seri Najib sedikit masa lagi.

Majlis Tertinggi UMNO telah sebulat suara mendesak Pak Lah berundur demi masa depan UMNO dan orang Melayu. Oleh kerana desakan MT telah dibuat secara sebulat suara, ini membuatkan Pak Lah terpaksa menerima desakan dan difahamkan beliau tidak akan mempertahankan Jawatan Presiden UMNO dan akan memberikan laluan kepada Datuk Seri Najib bagi jawatan Presiden manakala Tan Sri Muhyiddin pula sebagai Timbalan Presiden.

Pengunduran Pak Lah yang dijangka akan berlaku sebelum November ini tentunya akan menyelesaikan sebahagian besar masalah UMNO khususnya di dalam memulihkan persepsi rakyat terhadap UMNO yang telah dicemari dengan isu campurtangan keluarga PM khususnya menantunya Khairi Jamaluddin dalam pentadbiran kerajaan pimpinannya. Ini tentunya sangat membantu memulihkan imej UMNO selain menyebabkan Pembangkang akan kehilangan modal politik yang besar dan berkesan.

Sehingga waktu itu, penulis mengharapkan kepada semua pembaca khususnya Rakan KPUMaya dan MyKMUJohor agar mula memfokuskan kepada perjuangan merealisasikan pelan peralihan kuasa ini seperti yang telah dipersetujui sebulat suara oleh Majlis Tertinggi UMNO itu.

Untuk makluman semua, sejak beberapa bulan yang lalu, pihak Pembangkang telah pun mula menyerang keperibadian Datuk Seri Najib dengan menghebahkan tuduhan-tuduhan tanpa bukti bagi menjatuhkan kredibiliti Datuk Seri Najib. Saya menyeru agar kita semua di sini tidak terpengaruh dengan turut sama menyebarkan tuduhan tersebut dan menjadi agen secara tidak langsung kepada Pembangkang.

Saya mengharapkan semoga KPUMaya dan MyKMUJohor akan benar-benar menjadi benteng kepada UMNO di dalam menyerang balas tohmahan dan tuduhan tanpa bukti dari pihak Pembangkang yang merupakan matlamat sebenar kewujudan KPUMaya dan MyKMUJohor di dunia cyber ini.

Salam Perjuangan.

Sayangkan Bangsa - Nescaya Kamu Sentiasa Memberikan Yang Terbaik Untuk Bangsa Mu.

Rabu, 4 Jun 2008

TERKINI : NAJIB PRESIDEN - MUHYIDDIN TIMBALAN




~MataHatiJohor~:Berita terbaharu yang saya terima sendiri dari orang kanan kedua-dua pemimpin harapan rakyat Malaysia pada ketika ini iaitu Datuk Seri Najib dan Tan Sri Muhyiddin adalah bahawa sudah ada persefahaman untuk menerima hakikat bahawa akar umbi UMNO mahukan perubahan segera kepimpinan tertinggi UMNO.

Justeru berita yang paling menggembirakan kita semua pada hari ini adalah YAB Datuk Seri Najib dikatakan telah bersetuju untuk menerima pencalonan bagi jawatan Presiden UMNO berganding bersama Tan Sri Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden UMNO.
Keputusan ini dikatakan dibuat berdasarkan meningkatnya desakan ahli dan pemimpin UMNO di peringkat akar umbi yang menyuarakan desakan supaya Pak Lah segera melakukan proses peralihan kuasa kepada Timbalannya ini.

Ditanya mengapa sebelum ini Datuk Seri Najib berpendirian untuk bersama-sama berganding dengan Pak Lah, sumber saya mengatakan bahawa Datuk Seri Najib menyangkakan Pak Lah akan melakukan proses peralihan kuasa sebelum pemilihan UMNO pada bulan Disember nanti. Pernyataan Pak Lah ini yang semakin berubah amat berbeza dengan penyataannya yang dibuat selepas mengadakan pertemuan dengan UMNO Johor bulan lalu dan ini membuatkan Datuk Seri Najib semakin ragu dengan keikhlasan Pak Lah untuk melakukan proses peralihan kuasa.

Berdasarkan senario politik semasa yang agak tidak menentu serta persepsi buruk rakyat terhadap UMNO dan kerajaan ditambah pula dengan keadaan ekonomi dan krisis tenaga dan makanan yang kian meruncing, maka terdapat keperluan bagi Datuk Seri Najib mengambil langkah kehadapan bagi menyelamatkan parti dan negara ke arah membaiki segala kelemahan yang telah dilakukan oleh Pak Lah.

"Memandangkan tidak banyak tindakan yang telah dilakukan oleh Pak Lah bagi membaiki dan menangani segala kelemahan dalam pentadbirannya serta campurtangan keluarganya maka Datuk Seri Najib merasa bertanggungjawab dan terpanggil untuk menyahut desakan seluruh ahli UMNO dan rakyat Malaysia dari semua peringkat untuk mengetuai proses menguatkan semula UMNO dan memulihkan persepsi rakyat terhadap UMNO, Barisan Nasional dan Kerajaan."

Sumber itu menyatakan bahawa "proses ini dijangka akan mengambil masa selama 6 bulan sahaja. Selepas bulan Disember atau mulai tahun 2009, Kerajaan di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib selaku Perdana Menteri sudah boleh memfokuskan kepada menangani segala cabaran yang sedang dihadapi oleh rakyat termasuk isu kenaikan harga minyak dan krisis makanan."

Justeru itu saya menyeru kepada semua pembaca supaya bergandingbahu bagi memastikan usaha pembaharuan ini akan berjaya dilakukan. Pada ketika ini semua pihak di dalam UMNO harus memastikan YAB Datuk Seri Najib dan Tan Sri Muhyiddin mendapat pencalonan yang secukupnya bagi melayakkan mereka bertanding jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO.

Semoga Allah merestui perjuangan mereka untuk agama, bangsa dan negara.

Sabtu, 24 Mei 2008

BUKAN BUDAYA UMNO KEKANG ANGGOTA BERI PENDAPAT (dulu lah...)


24/05/2008 6:32pm

KUALA LUMPUR 24 Mei — Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bukan budaya parti itu untuk mengekang atau menghalang anggotanya daripada menyuarakan pendapat mereka atau mendesak pemimpin.

Beliau berkata, UMNO ialah sebuah parti demokratik dan oleh itu semua anggotanya bebas menyatakan pendapat masing-masing.

"Jika tidak, ahli UMNO akan dianggap sebagai ’yes man’ atau terdiri daripada pembodek sahaja.

"Bagaimanapun, kita perlu gunakan cara yang sesuai untuk menegur atau mendesak pemimpin,” katanya kepada pemberita selepas memberi taklimat berhubung kod etika parti kepada anggota Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Muhyiddin berkata demikian ketika diminta memberi penjelasan sama ada tindakan anggota Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Tun Mahathir yang sering mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan, tidak boleh dilakukan. -

~Bernama

~MataHatiJohor~ : BERITA DI ATAS SEPATUTNYA DITULIS BEGINI :

KUALA LUMPUR 24 Mei — Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, (DAHULU) bukan budaya parti itu untuk mengekang atau menghalang anggotanya daripada menyuarakan pendapat mereka atau mendesak pemimpin.

Beliau berkata, UMNO ialah sebuah parti (YANG SUDAH TIDAK) demokratik (LAGI) dan oleh itu semua anggotanya (TIDAK BOLEH) bebas menyatakan pendapat masing-masing.

"Ahli (KHUSUSNYA PEMIMPIN) UMNO (ADALAH) sebagai ’yes man’ (TERBAIK KEPADA PAK NO LAH) atau (PALING TEPAT LAGI ADALAH) terdiri daripada pembodek sahaja.


Muhyiddin berkata demikian ketika diminta memberi penjelasan sama ada tindakan anggota Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Tun Mahathir yang sering mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan, tidak boleh dilakukan. -

~Apa ni Tan Sri... Jangan buat kami juga hilang keyakinan pada Tan Sri. Cakap betul-betul...