Memaparkan catatan dengan label UMNO. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label UMNO. Papar semua catatan

Jumaat, 15 Mei 2009

PERSIDANGAN UMNO PERINGKAT CAWANGAN BERMULA



KUALA LUMPUR, 15 April – Ibu Pejabat UMNO mengeluarkan pekeliling memaklumkan bahawa tarikh-tarikh Persidangan Tahunan Cawangan dan Perwakilan Bahagian termasuk Pergerakan Sayap-sayap bagi tahun 2009.

Sehubungan itu, dimaklumkan bahawa Persidangan Tahunan bagi tahun 2009 adalah seperti berikut:

1. Persidangan Tahunan Cawangan 2009

1.1. Cawangan-cawangan bolehlah mengadakan Persidangan Tahunannya bila-bila masa mulai hari Jumaat, 15 Mei 2009 sehingga hari Selasa, 30 Jun 2009.

1.2. Cawangan-cawangan yang telah berdaftar pada atau sebelum 31 Disember 2008 serta telah memperolehi Sijil Pendaftaran Cawangannya sahaja yang layak mengadakan Persidangan Tahunannya untuk tahun 2009.

1.3. Tarikh bagi semua Persidangan Tahunan Cawangan hendaklah ditentukan oleh Bahagian setelah berunding dengan Cawangan berkenaan.

1.4. Merujuk kepada Peraturan Persidangan 5.3 “Persidangan Cawangan hendaklah diadakan pada satu tempat yang berkecuali dalam Cawangan berkenaan, melainkan jika tidak ada kemudahan di situ maka Persidangan bolehlah diadakan di mana-mana tempat yang munasabah termasuk di luar Cawangan setelah berunding dengan Bahagian”.

1.5. Setiausaha Cawangan hendaklah memberitahu ahli-ahli secara bertulis sekurang-kurangnya tujuh (7) hari terlebih dahulu daripada hari diadakan Persidangan Tahunan Cawangan.

1.6. Sebarang permohonan untuk menunda tarikh-tarikh persidangan Tahunan Cawangan di luar daripada tempoh yang telah ditetapkan tidak akan diluluskan.

1.7. Persidangan Cawangan hendaklah terdiri daripada :-

i. Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap
ii. Ahli-ahli Jawatankuasa Cawangan
iii. Ahli-ahli Cawangan yang telah menjelaskan yuran tahunannya sebelum atau pada 31 Disember 2008.

1.8. Sesuai dengan Fasal 17.5 Perlembagaan UMNO, di antara tugas-tugas Persidangan Cawangan ialah:-

FASAL 17.5.6
Memilih Wakil-wakil ke Perwakilan Bahagian. Wakil-wakil yang tidak dipilih di dalam Persidangan Cawangan atau sebarang pertukaran selepas itu tidak sah.

FASAL 17.5.8
Tertakluk kepada Fasal 8.4.3, mencadangkan 7 nama untuk dipilih sebagai wakil UMNO Bahagian ke Perhimpunan Agung UMNO.

2. Persidangan Tahunan Pergerakan Wanita, Pemuda Dan Puteri Cawangan 2009

2.1.1. Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Cawangan bolehlah mengadakan Persidangan Tahunan masing-masing bila-bila masa mulai dari hari Jumaat, 15 Mei 2009 sehingga hari Selasa, 30 Jun 2009.

2.2.2. Persidangan Tahunan Pergerakan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri Cawangan hendaklah diadakan terlebih dahulu sebelum Persidangan Tahunan Cawangan masing-masing.

2.2.3. Penolong Setiausaha Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Cawangan hendaklah memberitahu ahli-ahli secara bertulis sekurang-kurangnya tujuh (7) hari terlebih dahulu daripada hari diadakan persidangan masing-masing.

2.2.4. Persidangan Tahunan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Cawangan hendaklah terdiri daripada :-

i. Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap Pergerakan

ii. Ahli-ahli Jawatankuasa Pergerakan UMNO Cawangan

iii. Ahli-ahli Pergerakan UMNO Cawangan yang telah menjelaskan yuran tahunannya sebelum atau pada 31 Disember 2008.

iv. Tidak lebih dari dua orang wakil daripada Jawatankuasa UMNO Cawangan.

2.2.5. Sesuai dengan Fasal 19.4, Peraturan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri, tugas-tugas Persidangan Tahunan Cawangan masing-masing adalah :-

FASAL 19.4.3
Memilih dua (2) orang wakil ke Mesyuarat Perwakilan Wanita/Pemuda/Puteri UMNO Bahagian sebagaimana Fasal 14.2.4 Peraturan ini.

FASAL 19.4.5
Tertakluk kepada Fasal 9.2.4 Peraturan ini, mencadangkan dua (2) orang wakil Wanita/Pemuda/Puteri UMNO Bahagian ke Perhimpunan Agung Wanita/Pemuda/Puteri UMNO Malaysia.

MESYUARAT PERWAKILAN BAHAGIAN

2.3.1. Bahagian-Bahagian bolehlah mengadakan Mesyuarat Perwakilan Bahagiannya bila-bila masa mulai hari Khamis, 16 Julai 2009 sehingga hari Ahad, 16 Ogos 2009.

2.3.2. Bahagian hendaklah menetapkan tarikh, masa dan tempat Mesyuarat Perwakilan Bahagian dalam tempoh yang dinyatakan di atas. Badan Perhubungan UMNO Negeri hendaklah menentukan Pemerhati-pemerhatinya ke Mesyuarat Perwakilan Bahagian tersebut.

2.3.3. Merujuk kepada Peraturan Persidangan 5.2 “ Mesyuarat Perwakilan Bahagian hendaklah diadakan pada satu tempat dalam Bahagian yang berkenaan, tetapi jika tidak ada kemudahan di situ maka kebenaran boleh diberi oleh Majlis Tertinggi untuk mengadakan perwakilan di luar Bahagian.

2.3.4. Setiausaha Bahagian hendaklah memberitahu Cawangan secara bertulis sekurang-kurangnya empat belas (14) hari terlebih dahulu daripada hari diadakan Perwakilan Bahagian.

2.3.5. Sebarang permohonan untuk menunda tarikh Mesyuarat
Perwakilan Bahagian di luar daripada tempoh yang telah ditetapkan tidak akan diluluskan.

2.3.6. Mesyuarat Perwakilan Bahagian hendaklah terdiri daripada :-

i. Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap
ii. Ahli-ahli Jawatankuasa Bahagian
iii. Ketua Cawangan yang Cawangannya telah mengadakan Persidangan dan telah menjelaskan yuran kepada Bahagian bagi tahun 2008. Ketua Cawangan yang menjadi Ahli Jawatankuasa Bahagian berhak melantik gantinya yang terdiri daripada Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap atau Ahli Jawatankuasa Cawangan.
iv. Wakil-wakil yang dilantik oleh Persidangan Cawangan sebanyak seorang wakil bagi tiap-tiap lima puluh orang ahli yang telah menjelaskan yurannya sebelum atau pada 31 Disember 2008, tetapi jumlah Ahli Perwakilan itu tidak lebih daripada lima (5) orang dari satu (1) Cawangan.
v. Tidak lebih daripada sepuluh (10) orang wakil Pergerakan Wanita, sepuluh (10) orang wakil Pergerakan Pemuda dan sepuluh (10) orang wakil Pergerakan Puteri yang dipilih oleh Perwakilan Bahagiannya masing-masing.

2.3.7 Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian boleh dirasmikan oleh Ahli Majlis Tertinggi ataupun sesiapa saja yang difikirkan sesuai untuk merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian masing-masing.

MESYUARAT PERWAKILAN PERGERAKAN WANITA, PEMUDA DAN PUTERI BAHAGIAN

2.4.1. Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian bolehlah mengadakan Mesyuarat Perwakilannya pada bila-bila masa mulai dari hari Khamis, 16 Julai 2009 sehingga hari Ahad, 16 Ogos 2009. Semua Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian hendaklah diadakan sebelum Mesyuarat Perwakilan Bahagian masing-masing.

2.4.2. Tarikh Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian hendaklah ditentukan oleh Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri Bahagian dengan persetujuan Bahagian masing-masing.

2.4.3. Penolong Setiausaha Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian hendaklah memberitahu ahli-ahli secara bertulis sekurang-kurangnya empat belas (14) hari terlebih dahulu daripada hari diadakan Mesyuarat Perwakilan diadakan.

2.4.4. Sebarang permohonan untuk menunda tarikh Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian di luar daripada tempoh yang telah ditetapkan tidak akan diluluskan.

2.4.5. Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian hendaklah terdiri daripada :-

i. Pengerusi Tetap Pergerakan UMNO Bahagian dan Timbalan Pengerusi Tetap Pergerakan UMNO Bahagian.
ii. Jawatankuasa Pergerakan UMNO Bahagian.
iii. Ketua-ketua Pergerakan UMNO Cawangan. Sekiranya ia menjadi Ahli Jawatankuasa Pergerakan UMNO Bahagian, maka bolehlah ia melantik gantinya yang terdiri daripada Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap atau Ahli Jawatankuasa Pergerakan Cawangan UMNO.
iv. Dua (2) orang wakil yang dipilih oleh Mesyuarat Persidangan Pergerakan UMNO Cawangan dalam Bahagian itu, mana-mana wakil yang tidak dapat hadir tidak boleh melantik gantinya.
v. Tidak lebih dari tiga (3) orang wakil daripada Jawatankuasa UMNO Bahagian.

2.4.6. Sesuai dengan Fasal 14.3, Peraturan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri, tugas-tugas Mesyuarat Perwakilan masing-masing adalah:-

FASAL 14.3.3
Memilih Sepuluh (10) orang wakil Perhimpunan Agung Wanita/Pemuda/Puteri UMNO Bahagian menurut Fasal 14.4.6 Perlembagaan UMNO.

FASAL 14.3.4
Memilih dua (2) orang wakil Perhimpunan Agung Wanita/Pemuda/Puteri UMNO Malaysia menurut Fasal 9.2.4 Peraturan ini.

3. BORANG 9 ( AKTA PERTUBUHAN 1966 )

Semua Cawangan dan Bahagian hendaklah mengisi Borang 9 ( Akta Pertubuhan 1966 ), bersama minit Mesyuarat (Peringatan Persidangan/Perwakilan), senarai Ahli-ahli Jawatankuasa dan Penyata Kewangan kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa enam puluh (60) hari selepas persidangan, bagi memenuhi kehendak peruntukan di bawah Akta Pertubuhan. Tindakan ini perlu diambil bagi mengelakkan daripada berlakunya pembatalan mana-mana Bahagian atau Cawangan oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia.

4. KEDUDUKAN AHLI YANG MUFLIS

Sesuai dengan Fasal 9 ‘A’ (1) (d) dan 9 ‘A’ (7) (c) Akta Pertubuhan 1966, dan Fasal 6.3.4 Perlembagaan UMNO, maka seseorang muflis tidak dibenarkan bertanding atau memegang sebarang jawatan di mana-mana peringkat Persidangan Tahunan Cawangan atau mesyuarat Perwakilan Bahagian, termasuk Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri. Mereka juga dilarang untuk menjadi wakil dari Cawangan ke Bahagian atau dari Bahagian ke Perhimpunan Agung UMNO.

5. PENGERUSI TETAP

Semua Pengerusi Tetap yang mempengerusikan mana-mana Persidangan Tahunan Cawangan termasuk Pergerakan Wanita, Pemuda dan Pergerakan Puteri dikehendaki menandatangani Surat Akaun dan membaca surat tersebut di hadapan Perwakilan untuk mengesahkan mereka tidak muflis.

Sehubungan itu, Ibu Pejabat UMNO berharap agar semua pihak yang terbabit akan mengambil tindakan sewajarnya dan dapat mematuhi semua aturan dalam persidangan yang telah digariskan dalam parti.

Selamat Bersidang!

Isnin, 11 Mei 2009

DIRGAHAYU UMNO (63 Tahun Perjuangan Sebuah Bangsa)




63 tahun yang lalu, pada 11hb. Mei 1946, setelah melalui beberapa pertemuan dan perbincangan, pemimpin-pemimpin Melayu dari pelbagai persatuan dari seluruh tanahair telah bersepakat untuk menyatukan seluruh perjuangan Bangsa Melayu di Tanah Melayu yang selama ini terpisah-pisah atas faktor primordial dan parochial.

Perjuangan orang Melayu yang pernah dijajah ratusan tahun hanya berjaya apabila ianya disatukan dibawah satu wadah: Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, PEKEMBAR atau UMNO.

Sebelum itu Melayu berjuang secara terpisah-pisah kerana mementingkan semangat kesukuan dan kedaerahan. Melayu Kelantan berjuang untuk orang Kelantan. Melayu Perak berjuang untuk orang Perak. Begitu juga Melayu dari negeri-negeri yang lain termasuk Melayu Johor.

Lahirlah bermacam-macam persatuan seperti API (Angkatan Pemuda Insaf), KMM (Kesatuan Melayu Muda), PETA (Pembela Tanahair), LKMJ (Lembaga Kesatuan Melayu Johor), PMSJ (Pergerakan Melayu Semenanjung Johor dan banyak lagi. Masing-masing mempunyai matlamat perjuangan yang sama iaitu untuk menentang penjajahan Inggeris, tetapi mereka terpisah kerana semangat negatif, yang mengecilkan perjuangan mereka iaitu semangat kesukuan dan kedaerahan.

Dato Onn Jafar adalah tokoh pemimpin Melayu yang telah berjaya menyatu dan memperkasakan perjuangan Melayu melalui satu sahaja wadah Perjuangan iaitu UMNO.

Walaupun UMNO telah ditubuhkan pada tahun 1946, masih ada persatuan Melayu seperti SABERKAS dan Persetiaan Melayu Kelantan yang masih berdegil dan enggan membenarkan ahlinya menjadi ahli UMNO secara terus.

Dengan kebijaksanaan Allahyarham Dato’ Onn Jaafar, melalui sebuah ucapannya pada tarikh 27hb Disember 1947, beliau telah berjaya menyedarkan orang Melayu tentang kesilapan ini dan perjuangan Melayu dapat disatukan melalui parti UMNO yang unggul.

Kesannya, hanya sepuluh tahun sahaja kemudian daripada itu, iaitu pada tahun 1957, Tanah Melayu telah mencapai kemerdekaannya setelah melalui zaman penjajahan yang penuh keperitan dan penghinaan kira-kira selama 450 tahun. Peringatan Dato Onn ini kepada orang Melayu telah dilafaskannya kira-kira 63 tahun yang lalu.

Hari ini terdapat juga dari kalangan kita yang berjuang dengan mengajak dan menyeru orang Melayu khususnya Ahli UMNO agar kembali semula ke era atau zaman kelemahan perjuangan Melayu. Mereka ini berusaha untuk melemahkan UMNO. Mereka mengajak orang Melayu berundur kebelakang. Mereka mengajak orang Melayu membongkar kubur pejuang-pejuang kesukuan dan kedaerahan yang telah lama dikuburkan oleh UMNO dan cuba menghidupkan tulang-tulang yang telah reput itu.

Menyentuh tentang mereka ini, saya teringat akan sebuah pesanan Lukmanul Hakim yang terkenal itu kepada anaknya. Lukmanul Hakim pernah berpesan kepada anaknya : “wahai anakku, Jika kamu tidak dapat menjadi garam yang boleh menahan ikan dari menjadi busuk, maka janganlah sekali-kali kamu menjadi langau yang akan mempercepatkan lagi ikan itu menjadi busuk.

Moral atau pengajaran yang boleh kita dapat dari pesanan Lukman Hakim itu adalah : Jika kita tidak dapat untuk menyumbang kepada memastikan UMNO terus utuh dan kuat bagi menjayakan agenda perjuangan bangsa Melayu, maka janganlah pula kita menjadi orang yang beria-ia dan bersungguh-sungguh berusaha untuk merosak dan menjahanamkan UMNO yang keramat ini. Mudah-mudahan, kita akan mendapat pengajaran dari pesanan yang sungguh amat bermakna ini.

Dalam setiap langkah perjuangan UMNO, ianya hanya boleh berjaya jika ia terus diberikan sokongan, khususnya oleh orang-orang Melayu. Lagi ramai orang Melayu menyokong UMNO, lagi pantas, lagi mudah dan lagi cepat UMNO bergerak, untuk memberi pembelaan dan perjuangan kepada orang-orang Melayu.

Orang Melayu tidak menyokong UMNO hanya kerana nama pertubuhan kita adalah UMNO. Orang Melayu akan terus memberikan sokongan yang berterusan kepada UMNO, hanya jika kita sentiasa berjuang untuk memelihara kekuasaan politik, kesejahteraan ekonomi dan martabat sosial serta mempertingkatkan kesucian agama islam dan keagongan bangsa kita.

Keputusan Pilihanraya Umum ke 12 (PRU12) yang lalu telah menunjukkan bahawa, ada tanda-tanda bahawa orang Melayu khususnya generasi muda, telah mula hilang kepercayaan kepada parti kita UMNO. Selain Kelantan, kini Kedah, Perak (dapat kita tawan kembali), Pulau Pinang dan Selangor telah berjaya ditawan oleh Parti Pembangkang. Negeri Johor yang terkenal selama ini sebagai kubu kuat UMNO, juga telah berjaya dicerobohi oleh pihak pembangkang.

Lanjutan dari kemerosotan Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum yang lalu, telah menyebabkan kegawatan dalam parti kita UMNO. Begitu juga dalam parti-parti komponen BN yang lain. Masing-masing cuba menuding jari menyalahkan pihak yang lain.

Tindakan menyalahkan pihak lain tidak akan menyelesaikan masalah yang sedang kita hadapi, melainkan kita sendiri harus mengkaji semula kelemahan dan kesilapan diri kita, seterusnya mengambil jalan secepat mungkin, untuk memperbaiki kelemahan dan kesilapan tersebut. Masa terus berjalan. Jika kita lambat bertindak dan terus menyalahkan pihak lain, kemungkinan untuk bangkit semula dalam Pilihanraya Umum yang akan datang menjadi semakin tipis.

Kesan dari keputusan PRU12 yang lalu juga, telah menyebabkan orang-orang Melayu yang merasa cemas dan tergugat, mula mengambil tindakan menubuhkan bermacam-macam pertubuhan. Dalam keadaan kita mahu menyatukan Orang Melayu yang telah mula berpecah, tindakan ini tentunya tidak akan membantu. Malah tindakan menubuhkan lebih banyak pertubuhan ini akan menambahkan lagi perpecahan kepada Orang Melayu.

Namun bagi saya, keadaan ini juga sebenarnya boleh ditafsirkan sebagai menunjukkan, bahawa sudah ada tanda-tanda Orang Melayu mula merasakan bahawa mereka tidak boleh lagi mengharapkan Parti UMNO untuk menjamin dan membela nasib mereka. Orang Melayu mula merasa tidak selamat lagi.

Banyak seminar, banyak forum dan perbincangan telah diadakan untuk mengkaji apa yang sebenarnya telah terjadi kepada UMNO dan Barisan Nasional, pada PRU12 yang lalu. Maka begitu banyak sebab telah kenal pasti sebagai punca kepada keadaan ini. Banyak juga cadangan yang telah diterima oleh UMNO untuk dilaksanakan, bagi mengembalikan keyakinan dan sokongan pengundi kepada parti kita.

Apa yang pasti, persepsi atau pandangan masyarakat dan pengundi terhadap parti kita telah banyak merosot dan berubah. Ahli UMNO kini dilihat mementingkan diri sendiri berbanding melaksanakan tanggungjawabnya untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Ahli UMNO jugai dilihat lebih gemar mengejar jawatan bagi kepentingan diri dan kumpulan mereka sendiri. Ahli UMNO kini dilihat malah dituduh sebagai orang yang rasuah.

Ahli UMNO juga digambarkan sebagai gila kuasa sehingga sanggup menghabiskan wang yang banyak untuk menyogok dan merasuah bagi mendapatkan jawatan tertentu dalam parti.

Bermacam-macam persepsi buruk yang telah dilabelkan kepada UMNO. Semua ini tidak boleh kita ambil dan pandang ringan kerana semua inilah yang menentukan kemenangan atau kejayaan parti kita pada masa depan.

Samada kita suka atau tidak dengan setiap persepsi mahupun label buruk yang telah diberikan kepada parti kita, rakyat atau pengundi telah membuat keputusan di peti-peti undi pada PRU12 yang lalu.

Samada kita menerimanya atau menafikannya, kita telah kehilangan 4 buah lagi negeri pada PRU12 yang lalu. Adakah kita sanggup kehilangan beberapa buah negeri lagi pada PRU13 yang akan datang.

Jika kita terus berbalah dan menyalahkan pihak lain serta tidak cepat bertindak, kita malah mungkin akan menerima kekalahan yang lebih teruk lagi, dan mungkin juga akan terus kehilangan kuasa di peringkat Kerajaan Persekutuan. Adakah kita sanggup perkara ini terjadi kepada parti kita.

Tidak ada maknanya jawatan dalam parti yang kita perolehi dengan menggunakan sogokan itu, sekiranya parti kita telah kehilangan kuasa untuk memerintah.

Justeru itu, marilah kita bermuhasabah diri. UMNO tidak boleh kalah dalam pilihanraya. UMNO tidak mampu untuk menerima kekalahan dalam pilihanraya.

UMNO yang keramat ini mempunyai tanggungjawab besar kepada kelangsungan dan masa depan Bangsa Melayu. UMNO, parti keramat yang banyak berjasa ini, memikul amanah yang sungguh besar bagi memartabatkan Bangsa Melayu.

Kepada UMNO diletakkan harapan yang tinggi untuk memastikan Bangsa melayu dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa yang lain. Dan kepada UMNO jugalah diharapkan menjadi benteng kepada ketinggian syiar Islam di Negara bertuah ini.

Maka pada hari ini, saya ingin menyeru kepada semua ahli dan pemimpin UMNO, marilah kita bersatu memulih dan mengembalikan semula kepercayaan dan sokongan rakyat kepada parti kita. Marilah kita berganding bahu menyelamat dan menguatkan semula parti kita yang telah banyak berjasa ini. UMNO telah berusia 63 tahun.

Jika diibaratkan seperti kenderaan, UMNO telah ditunggangi oleh Orang Melayu selama 63 tahun. UMNO telah tua. UMNO perlu dipulihkan dan diberikan tenaga semula. UMNO perlu diREMAJAkan semula agar parti kita ini dapat terus diterima, dipercayai dan diberikan sokongan tidak berbelah bahagi oleh Orang Melayu.

UMNO perlu diremajakan semula agar dapat terus berkhidmat kepada masyarakat dan orang Melayu. UMNO perlu diremajakan semula agar Bangsa Melayu terus berkuasa di Negaranya sendiri. UMNO perlu diremajakan semula kerana Orang Melayu belum mampu untuk hidup tanpa kuasa politik UMNO.

Sebagai generasi muda dan generasi pelapis yang akan mewarisi UMNO, marilah kita mulakan langkah untuk meremajakan UMNO. Marilah kita tingkatkan azam dan semangat kita untuk terus berkhidmat kepada masyarakat melalui UMNO.

Marilah kita mengukuhkan kesatuan kita. Marilah kita menunjukkan sifat prihatin kita terhadap segala permasalahan yang sedang berlaku dalam masyarakat. Marilah kita buangkan sifat-sifat dan prilaku buruk yang telah menyebabkan masyarakat dan pengundi memandang serong kepada parti kita.

Marilah kita mendekati semula masyarakat yang mungkin telah kita tinggalkan suatu masa dahulu kerana kesibukkan kita. Marilah kita menunjukkan contoh dan imej yang baik kepada masyarakat, kerana sebagai pemimpin dan ahli parti, diri, peribadi dan perlakuan kita adalah cerminan kepada parti kita. Baik pandangan masyarakat kepada kita, insyaAllah baiklah juga pandangan mereka kepada parti kita UMNO.

Sebaliknya, jika buruk pandangan mereka kepada kita, maka buruk jugalah pandangan mereka kepada parti kita UMNO.

Marilah kita mengembalikan semula persepsi dan keyakinan masyarakat supaya mudah-mudahan, UMNO akan kembali diterima dan menjadi satu-satunya parti yang mampu menjadi pembela kepada nasib dan masa depan Bangsa Melayu seperti dahulu.

MataHati : "Sayangkan Bangsa adalah 'Roh' kepada perjuangan UMNO selama 63 tahun ini. Hanya dengan memiliki perasaan Sayangkan kepada Bangsa Melayu akan memastikan kita akan sentiasa cuba memberikan yang terbaik dan menghindarkan sesuatu yang buruk dari menimpa kepada bangsa kita"

Selamat Hari UMNO yang ke 63 tahun. Bersama kita memperkasa dan memelihara UMNO agar dapat kita wariskan kegemilangannya kepada generasi akan datang, InsyaAllah.

Isnin, 9 Februari 2009

NASKAH PERLEMBAGAAN UMNO

Perlembagaan UMNO

Sabtu, 31 Januari 2009

UMNO DIHINA DI ERA 'PRESIDEN GAGAL'



Nik Aziz anggap UMNO pokok hampir mati

30/01/2009 4:15pm

KOTA BAHARU 30 Jan. - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan perkembangan dalam UMNO sekarang menunjukkan parti itu hilang daya tarikan sehingga ada pemimpinnya yang berpaling tadah.

Katanya kalau diibaratkan sebatang pokok, UMNO kini sebuah parti yang hampir mati dan akan gugur sendiri dahannya satu persatu sebelum menjadi pokok mati.

“UMNO kini tiada daya tarikan atau `graviti’ untuk menarik rakyat menyokong perjuangannya dan ini menyebabkan ramai ahli dan pemimpinnya mula berpaling tadah menyertai parti pembangkang, terutama Pas,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Anggota Exco Kerajaan Negeri Datuk Anuar Tan di sini hari ini.

MataHati~ UMNO yang telah memerdekakan negara ini dari penjajah. UMNO yang menjadi teras Kerajaan telah berjaya mengisi kemerdekaan sehingga menjadikan Malaysia sebuah negara Islam yang disegani. Hanya kerana seorang Presidennya yang gagal memimpin, UMNO kini dihina. Dihina oleh bekas parti serpihannya sendiri.

Di manakah letaknya maruah pemimpin-pemimpin UMNO yang masih mempertahankan 'Presiden Gagal' Abdullah Bin Ahmad. Mengapakah UMNO terus merelakan satu demi satu kerosakan dilakukan oleh 'Presiden Gagal' Abdullah Bin Ahmad.

'Presiden Gagal' Abdullah Bin Ahmad adalah individu yang bertanggungjawab menyebabkan UMNO dihina. 'Presiden Gagal' Abdullah Bin Ahmad adalah individu yang akan dikutuk kerana menyebabkan UMNO dihina. Kerana jika UMNO terhina maka sebenarnya Melayu juga akan terhina.

Bangkitlah UMNO. Singkirkan 'Presiden Gagal' itu beserta anak, menantu dan kroni mereka. Binalah UMNO yang baru. UMNO yang bermaruah. UMNO yang mampu mengembalikan kemajuan dan kestabilan negara. UMNO yang boleh menjadi sandaran kepada masa depan agama, bangsa dan tanahair. Bangkitlah UMNO.

Rabu, 28 Januari 2009

UMNO KIAN HANCUR - MARI SELAMATKAN UMNO

Assalamualaikum wbt.

Rakan-rakan KPUMaya yang saya hormati.

Samada kita mahu mengakui ataupun terus menafikan, hakikatnya parti kita UMNO sedang berada dalam kedudukan yang cukup lemah semenjak ianya ditubuhkan lebih 63 tahun yang lalu.

Ada yang mengatakan semuanya bermula semenjak PRU12 pada Mac 2008 yang lalu. Ada juga yang berpendapat bahawa bibit-bibit kelemahan ini telah lama berputik dalam UMNO.

Yang paling jelas, UMNO ditimpa pelbagai masalah yang datang satu demi satu di era kepimpinan Presiden dan Perdana Menteri Abdulah Ahmad yang akan dikenang dalam sejarah UMNO sebagai Presiden Yang Gagal.

UMNO begitu penting kepada Bangsa Melayu Islam di Malaysia. Masa depan UMNO berkait rapat dengan masa depan Bangsa Melayu Islam di Malaysia. Lemahnya UMNO akan menyebabkan lemahnya kuasa politik Melayu ketika berhadapan dengan permintaan melampau kaum-kaum lain di Malaysia.

Justeru mahu atau tidak, UMNO perlu diperkukuhkan semula. Ahli UMNO dan rakyat Malaysia sedang menanti ketibaan Mac 2009 bagi melihat kesungguhan UMNO untuk berubah dan kembali kepada perjuangan asalnya untuk membela agama, bangsa dan tanahair.

Cahaya dan harapan tetap bersinar di hadapan sekiranya kita sebagai ahli UMNO tetap bersatu dengan barisan kepimpinan yang bakal menerajui UMNO mulai Mac 2009 nanti.

Sebagai ahli, marilah kita memainkan peranan kita walau sekecil zarah sekalipun bagi membantu memantapkan semula perjuangan parti kita UMNO.

Di sini saya memohon agar dapatlah kiranya kita berkongsi pendapat dan pandangan akan bagaimana kaedah dan pendekatan yang boleh digunapakai oleh pucuk pimpinan UMNO yang baru dalam menerajui UMNO ke arah perubahan bagi memulihkan sokongan rakyat terhadap parti yang telah banyak berjasa ini.

Segala pandangan ini akan dipersembahkan kepada YAB Datuk Seri Mohd Najib sebagai pandangan dari KPUMaya.

Sila klik di sini untuk memberikan pandangan. Selamat berdiskusi...

Isnin, 18 Ogos 2008

CERITA POLITIK SAYA




Sebenarnya, saya bermula di FaceBook.com dengan menubuhkan KELAB PENYOKONG UMNO @ kami ringkaskan sebagai KPUMaya. Secara ikhlasnya saya sudah kurang berminat untuk meneruskan pengelibatan saya dalam politik apabila YAB Tun Dr Mahathir Mohamad bersara dalam politik. Bagi saya, Tun merupakan sumber inspirasi dalam perjuangan saya terhadap agama, bangsa dan negara. Bersaranya Tun menyebabkan semangat juang saya juga semakin pudar. Keadaan politik yang aman semasa awal peralihan kuasa dari Tun kepada Pak Lah khususnya kemenangan besar BN dalam PRU11 juga membuatkan saya merasakan lebih yakin untuk bersara awal dalam politik UMNO. Keangkuhannya selepas kejayaan besar BN itu pula membuat saya meluat dengan politik UMNO.

Saya melaksanakan tugas terakhir sebagai Ketua Pemuda Penaja UMNO Bahagian Pengerang dengan menyediakan jentera pilihanraya pemuda yang memiliki semangat juang yang tinggi bagi membantu BN Pengerang menghadapi PRU11. Setelah itu saya tidak lagi melibatkan diri dalam politik UMNO. Saya hanya menyumbangkan idea melalui penulisan teks ucapan bagi rakan2 pemimpin UMNO serta membuat dan mengarang usul-usul setiap kali mereka bersidang.

Keputusan PRU12 membuatkan saya tersentak. Saya mengakui kesilapan saya kerana sebagai ahli UMNO yang begitu menghormati Tun, saya sepatutnya meneruskan perjuangan Tun dan bukan turut bersara serta lemah semangat apabila Tun bersara dari politik.

Selepas PRU12, saya mulakan sayangbangsa.blogspot.com. Saya menggunakan SayangBangsa kerana saya diajarkan bahawa semangat SAYANGKAN BANGSA adalah ROH kepada perjuangan UMNO. Kerana SAYANGKAN BANGSA lah menyebabkan UMNO terus mendapatkan sokongan dari orang Melayu selama ini. Saya juga mula aktif di FaceBook.com dengan menubuhkan KPUMaya. Mulanya dengan niat ingin tahu bahawa adakah benar dakwaan bahawa pelayar internet yang kebanyakannya generasi muda berpendidikan tinggi semuanya sudah hilang keyakinan terhadap UMNO.

Setelah beberapa bulan mengendalikan KPUMaya, dan mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan beberapa ahli KPUMaya, saya membuat kesimpulan bahawa pandangan awal saya adalah tidak benar 100%. Masih ada ruang untuk UMNO membetulkan keadaan dan salah tanggapan oleh masyarakat pada ketika ini.

Bergerak dari situ saya telah mendapat kesimpulan bahawa terdapat 2 kumpulan utama generasi muda di Internet. Pertama adalah kumpulan yang sememangnya Pro Pembangkang & anti Gov. Kedua adalah kumpulan yang Anti Gov (khususnya Pak Lah & KJ) tetapi Pro TDM. Kumpulan kedua ini rata2nya adalah berpendidikan tinggi, berpemikiran rasional serta mampu berhujah dengan baik tentang isu2 semasa.

Oleh kerana kedua dua kumpulan ini sebelum ini tidak terlibat pun dalam real politik, maka kebanyakannya tidak memahami situasi sebenar dalam politik UMNO. Kurangnya pemahaman tentang sepak terajang politik UMNO ini menyebabkan meraka mudah terkeliru dengan segala dakyah yang disogokkan kepada mereka oleh penceramah pembangkang mahupun media alternatif.

Sebagai contoh : ada yang mencadangkan supaya Menteri dan Wakil Rakyat tidak perlu mendapat GAJI. Pemimpin UMNO tidak boleh terlibat dalam perniagaan. Dari pengalaman saya sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian, pandangan ini semua tak berapa betul dan boleh menyebabkan UMNO semakin lemah.

Justeru pada pandangan saya, sebagai seorang yang sayangkan bangsa, kita harus membantu mengembalikan kekuatan UMNO dari luar (kerana kita tiada jawatan dalam UMNO) dengan cara masing-masing.

Tun sedang berusaha mengukuhkan UMNO dari luar dengan caranya yang tersendiri. Saya berpendirian sama seperti Tun bahawa sekiranya kita berjaya meningkatkan desakan dan tekanan sehingga Pak Lah meletakkan jawatan, maka UMNO akan lebih mudah dalam usaha mengembalikan sokongan rakyat terhadap UMNO dan Kerajaan.

Pak Lah & KJ adalah liabiliti yang paling berat bagi UMNO pada masa ini. Perginya Pak Lah akan membawa bersamanya sebahagian besar dari penyakit dan masalah yang sedang UMNO hadapi pada ketika ini. Lebih awal beliau berundur akan memberikan lebih banyak masa kepada penggantinya untuk melakukan perubahan secara besar-besaran untuk memulihkan UMNO secara keseluruhannya.

2010 terlalu lewat. Jika Datuk Seri Najib yang kita harap akan menjadi PM pada ketika itu, saya khuatir penerimaan rakyat dan ahli UMNO terhadap Najib sebagai PM akan kurang meyakinkan. Kerana, sehingga kini pun, saya dapati strategi pembangkang untuk membunuh karaktor politik Najib telah berjaya sehingga penyokong kerajaan dan UMNO sendiri pun sudah merasa ragu-ragu terhadap penafian beliau bahawa beliau tidak terlibat dengan kes Altantuya contohnya.

Dengan masa selama 2 tahun lagi, Pak Lah sebenarnya memberikan ruang dan peluang kepada Pembangkang untuk 'mengerjakan' Datuk Najib dengan lebih teruk lagi.

Dengan persepsi buruk rakyat, adakah ini akan membantu Datuk Najib dalam usaha untuk memulihkan UMNO bagi menghadapi PRU13 lebih-lebih lagi dengan masa yang tinggal sedikit. Kerosakan kesan dari penyakit yang telah dibawa oleh Pak Lah bukan hanya terhadap UMNO & Kerajaan tetapi juga melibatkan Barisan Nasional. BN sudah bercelaru pada ketika ini kerana kelemahan Pengerusi BN itu sendiri menyebabkan Pemimpin parti komponen BN berani untuk menuntut lebih dari yang sepatutnya.

Inilah sebenarnya yang perlu direnung oleh setiap orang yang sayangkan bangsanya dan sayangkan UMNO kerana kepercayaan bahawa hanya UMNO sahaja yang benar-benar konsisten dalam memperjuangkan Kedaulatan Politik Melayu di bumi Malaysia ini.

Walau bagaimana pun, saya juga berpandangan bahawa, UMNO tidak boleh hanya memperkasakan semula dirinya sahaja. UMNO juga harus membantu rakan-rakan komponen BN kembali kukuh.

Sekiranya UMNO sahaja yang kukuh dan kuat sedangkan parti komponen BN yang lain lemah : maka HAK-HAK MELAYU AKAN TERPAKSA DILEPASKAN SEDIKIT BAGI MENDAPATKAN SEMULA SOKONGAN KAUM LAIN TERHADAP PARTI KOMPONEN BN.

Lebih-lebih lagi jika UMNO itu lemah tetapi parti komponen BN yang lain kukuh : maka HAK-HAK MELAYU JUGA TERPAKSA DILEPASKAN BAGI MERAYU SOKONGAN PENGUNDI DAN PENYOKONG PARTI KOMPONEN BN TERHADAP CALON-CALON UMNO DALAM PILIHANRAYA.

Dan yang lebih penting lagi BAGI MEMASTIKAN JAWATAN PERDANA MENTERI TETAP MENJADI MILIK ORANG MELAYU.

Isnin, 4 Ogos 2008

DIARI SEORANG PEMIMPIN




Jangan taksub padaku
Biar apa dikata
Biar apa dikota
Biar apa ditulis
Tak semua itu sempurna

Aku bukan seharusnya dipuji dan dipuja
Takut ada yang terlupa dan terleka
Tuhan lebih berkuasa
Dan aku cuma pelaksana
Seorang khalifah di atas dunia

Kesempatan ini
Terpikul amanah di bahu
Tergalas tugas peneraju
Memimpin umat manusia
Ada teman - Ada seteru

Wahai pengikutku
Aku hanya makhluk
Mungkin hari ini kalian memuji
Kejayaan bertapak di depan mata
Mungkin esok kalian membenci
Kegagalan tersaji dan impian tak dipenuhi

Di atas kelemahan insan
Jangan diri dilambung tinggi
Tak jejak ke tanah
Tergantung di awang-awangan

~MataHati~ : Masih terkejut dengan apa yang telah berlaku dalam Persidangan UMNO Cawangan F Air Tawar Satu. Setelah lebih separuh abad UMNO berjasa kepada Melayu, Ahli UMNO masih mahu terus menunggangi UMNO yang telah lemah itu. Bukankah UMNO perlu diperkasakan semula. Hanya UMNO yang kukuh dan kuat mampu menjamin pencapaian matlamat Melayu.

Kepada PEMIMPIN - bait-bait di atas untuk renungan dan ingatan. Jangan biarkan pengikut anda hilang kawalan sehingga sanggup memalukan kawan dan rakan. Nasyid di bawah juga sesuai untuk renungan semua yang bergelar pemimpin.

Terima kasih kepada semua.

Khamis, 12 Jun 2008

HARIMAU UMNO - SHAHIDAN KASSIM



Sukacita dimaklumkan Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim juga sudah mengendalikan blognya di http://pakteh-harimauumno.blogspot.com/ Penulis sempat meninggalkan komen kepadanya seperti di bawah semasa melawat blognya sebentar tadi.
...............................................................

Tahniah kerana Datuk Seri pun dah menceburkan diri dalam dunia blogging. Sepatutnya dari dahulu lagi pemimpin2 UMNO melakukan perkara ini.

Kami di Kelab Maya UMNO pernah membangkitkan kepentingan perang saraf melalui ruang cyber semenjak Tok Pa jadi ketua Penerangan lagi - tetapi dipandang sepi.

Untuk makluman Datuk Seri saya juga adalah salah seorang anak buah Datuk Seri di Kompleks Wilayah dulu semasa Datuk Seri menjadi Pengerusi Backbenchers Club.

Saya amat mengharapkan agar Datuk Seri benar2 menjadi Harimau UMNO dalam mana semua pemimpin lain menjadi kaki ampu dan kaki bodek kepada PM. Saya amat yakin dengan perwatakan Datuk Seri.

UMNO sedang dalam permasalahan yang sangat berbahaya. Jika semua pemimpin UMNO masih tidak berubah - alamat pupuslah UMNO pada PRU13 nanti seperti kata Tan Sri Sanusi Junid.

Sebagai bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian, saya dengan rendah diri ingin mengingatkan Datuk Seri bahawa 'Dalam Politik Kita Tidak Boleh Bertuankan 'Sesiapa'. Tuan Kita Yang Sebenar Adalah Perjuangan Mengangkat Maruah & Martabat Agama, Bangsa & Negara.'

UMNO lebih penting dari Pak Lah. Orang Melayu boleh kehilangan seribu Pak Lah tetapi Orang Melayu tidak boleh kehilangan UMNO. Kemusnahan UMNO bermakna kemusnahan kepada Bangsa Melayu.

Saya mendoakan semoga Datuk Seri akan menulis dari hati yang tulus dan ikhlas kepada perjuangan UMNO. Kini rakyat boleh menilai perjuangan Datuk Seri melalui apa yang Datuk Seri tulis di dalam Blog ini.

Sekian.

Sayangkan Bangsa Nescaya Kamu Akan Sentiasa Memberikan Yang Terbaik Untuk Bangsa Mu.

Rabu, 11 Jun 2008

UMNO PUPUS TAHUN 2013



Ahmad Lutfi Othman & Azamin Amin
Sun | Jun 01, 08 | 6:26:44 am MYT

Tan Sri Sanusi Junid memang dikenali suka berterus-terang. Walaupun sudah bersara dari politik, bekas Naib Presiden Umno ini turut mencipta kejutan bersama Tun Dr Mahathir Mohamad, apabila mengsiytihar turut keluar Umno.

Beliau tidak ragu-ragu menjangkakan Umno akan hilang kuasa sepenuhnya dalam pilihan raya akan datang jika langkah pemulihan tidak dilaksanakan sebaiknya, yakni dengan memastikan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan.

Beliau tidak mengambil masa lama untuk bersetuju diwawancara Harakah. Petang Ahad, 25 Mei lalu, di kediamannya, Bangsar, Sanusi berbicara panjang bersama Ketua Pengarang, Ahmad Lutfi Othman dan wartawan Azamin Amin. Berikut adalah sedutan wawancara berkenaan.

Harakah: Ramai tahu sebab Tun Dr Mahathir MOhamad keluar Umno. Apa pula hujah Tan Sri mengikut jejak Dr Mahathir, apakah sama atau ada alasan lain?

Sanusi Junid: Sama alasan dengan Mahathir dan ada alasan saya sendiri. Tetapi saya lihat seperti Mahathir lihat, Umno sekarang ini bukan macam Umno yang dulu. Umno yang ditubuhkan pada 1946 dan batal pada 1987 kemudian dihidupkan balik adalah Umno yang sama, tetapi Umno hari ini banyak berubah.

Umno dulu perjuangkan Islam sebagai agama rasmi, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, konsep raja berpelembagaan dan demokrasi berparlimen. Sekarang kita lihat Islam agama rasmi, tetapi diperkenalkan pula Islam Hadhari. Apa pentingnya Islam Hadhari? Salah satu sebab undi lari dari Umno ialah konsep Islam Hadhari itu, walaupun berjuta ringgit dihabiskan untuknya. Begitu juga dengan kedudukan bahasa Melayu yang semacam terhalang.

Dulu tidak pernah ada orang berani mencabar atau mengkritik hak istimewa orang Melayu yang tercatit dalam Perlembagaan. Ia bukan bermaksud menekan orang bukan Melayu. Ini sekadar melibatkan biasiswa, lesen dan tanah. Daripada inilah yang boleh kita buat macam-macam projek seperti Felda dan Felcra. Dengan hak ini juga kita beri biasiswa dan selari dengan Islam kita wujudkan pula Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Malah kewujudan UIA adalah ciptaan yang paling hebat dalam konteks dunia Islam.

Dulu orang tidak berani persoal raja-raja. Kita kalau nak lantik Menteri Besar, kita beri gambaran dahulu kepada raja. Macam Sultan Johor yang sudah tahu siapa akan jadi MB sebelum pilihan Raya, tetapi kenapa tidak kepada raja di Terengganu dan Perlis? Bila kita sendiri tak hormat raja, orang lain pun akan ikut sama.

Banyak yang keliru dalam Umno?

Ya, banyak perkara yang nampak keliru dan tak jelas sekarang. Yang tak faham khususnya generasi muda dalam Umno, kerana tidak ada pendidikan tentang itu. Dulu ada seminar, misalnya saya mengikuti Persidangan Pemuda Umno Kebangsaan di Morib pada 1965, dibentangkan kertas-kertas kerja dan kita dapat tahu darinya.

Ada dua golongan ahli Umno yang tidak bertambah ilmu walaupun dia seorang pandai. Pertama kaum wanita yang kerjanya menghidangkan makanan. Orang sibuk kursus atau berseminar, mereka sibuk dengan masakan. Kalau kita tanya, ada tidak pergi seminar, mereka jawab ada. Tapi mereka ini tak tau apa berlaku dalam Umno.

Kedua, golongan yang masuk dalam Umno, ada lantikan daripada atas. Dia dipilih mungkin sebab keluarga dan lepas dipilih, terus ke pangkat besar. Sekarang ada menteri Umno bagi komen, Umno haram kerana Mahathir. Kedua, Operasi Lalang pun sebab Mahahtir.

Pemecatan Tun Salleh kerana Mahathir. Ini subjek yang cukup popular. Nampaknya orang yang bertanggungjawab memberi penerangan kepada negara dan parti tidak faham hal ini.

Abdullah pun keliru juga nampaknya?

Saya ada dalam Majlis Tertinggi dan Kabinet, malah Dato' Seri Abdullah juga ada. Apa alasan dia boleh kata Mahathir yang suruh tangkap Operasi Lalang. Tak suruh pun, itu kerja polis. Pemecatan Tun Salleh ditentukan oleh tribunal; jika perlu minta maaf, tribunallah minta maaf bukannya kerajaan.

Sekarang banyak perkara aneh. Macam kes ketuk-ketampi yang didakwa babitkan perempuan China. Terus kita hantar menteri ke negara itu untuk minta maaf. Rupanya perempuan Melayu. Ooo ... kalau perempuan Melayu tak payah minta maaflah ya?

Baru-baru ini isu keluar keris. Mana ada orang Cina takut keris Melayu ini. Keris tak ada kuasa apa-apa. Ia hanya simbol.

Orang Cina tak suruh minta maaf pun. Tetapi yang kita pergi minta maaf itu buat apa ? Di mana kewibawaan kita dan kekuatan jiwa pemimpin Umno.

Saya rasa aneh. Sebagai menteri yang cukup lama dalam Kabinet dan bekas Setiausaha Agung Umno, bolehkah saya duduk di situ, walhal saya tahu apa yang jadi dan melihat Dr Mahathir dikata orang?

Kata pada Dr Mahathir pun dengan cara di luar tertib dan adab Melayu. Sedangkan Mahathir pernah melantik orang-orang ini yang terdiri daripada anak kawan dia.

Dia lantik sebab ada perhitungan politik dan kemampuan serta kebolehan seseorang. Lantik bapa sebagai duta, sekarang anak-anak itu yang kutuk dan serang dia sampai tak ada sopan langsung. Dulu salam cium tangan sekarang mengata macam Mahathir ini haiwan!

Ini bukan Umno dulu. Islam pun, Islam lain. Dalam soal bahasa pun kita tidak ada fokus. Soal raja pun sudah tidak ada ketertiban dan adab sopan. Hak keistimewaan orang Melayu pun sudah jadi 'tak ketahuan'.

Nak tubuhkan suruhanjaya lantik hakim. Apa salah sistem sekarang? Pihak kehakiman yang pilih, beri pada Perdana Menteri yang bawa ke kabinet, dan sembah kepada Agong, dan Agong runding dengan Raja-Raja. Kalau tak setuju, kita ketepikan. Tapi mereka tak tambah. Menolak cadangan itu ada. Tambah mana yang suka, itu tidak ada.

Begitu juga hal lobi. Untuk buat kerja di universiti, kontrak RM500,000, ada orang-orang besar di Putrajaya hantar surat lobi saya. Siapa yang tak lobi? Semua orang lobi. Tetapi setakat mana berkesan lobi itu, itu yang perlu diberi perhatian. Berapa orang yang jadi menteri melobi melalui saya, ramai. Yang nak jadi menteri besar, timbalan menteri. Adakah salah dia melobi? Tak salah melobi.

Begitu juga dengan perniagaan. Ada tokoh politik yang tetapkan syarat nak sekian banyak komisyen beri projek kepada orang berniaga. Kita tak boleh salahkan peniaga. Kita mesti salahkan orang yang minta.

Rasuah pula satu isu. Saya pernah tengok ada tokoh di universiti menentang sungguh rasuah tetapi bila masuk dalam kerajaan, senyap. Tak ada apa-apa pun. Takkan duduk dalam kerajaan lima enam tahun, takkan tak boleh bertindak terhadap orang yang rasuah.

Tapi nak bertindak mesti ada buktilah. Bukan senang nak tangkap orang rasuah. Jangan kerana nak tambah undi, kita kata nak hapus rasuah. Tetapi sekarang tengok apa dah jadi. Ini semua menyebabkan kita naik muak.

Tan Sri tak nampak apa-apa perubahan dalam Umno selepas 8 Mac?

Tun Mahathir tidak mahu lihat Umno hapus. Kecenderungan untuk Umno pupus sudah ada. Tengoklah apa yang dibuat pimpinan Umno selepas pilihan raya lalu, lihat perlantikan menteri, lihat komentar-komentar, seolah-olah tak ambil iktibar. Jika ia berlanjutan, pada 2013, Umno akan pupus. Waktu itu tak usahlah fikir siapa bakal PM.

Ada orang kata Mahathir boleh menyatupadukan semula. Tak usah fikirlah. Tak boleh dah. Orang sudah tak mahu dengar cakap dia. Kita lepas dan biarkan tokoh-tokoh kata kat dia, macam itukah cara nak berdamai dan nak cari kawan?

Kalau dia tunggu dalam Umno dan sampai 2013, maka dia adalah sebahagian daripada kemusnahan Umno dan dia adalah sebahagian daripada pemimpin yang tak mampu pertahankan Umno.

Itu sebab, dia beri syarat. Daripada Abdullah lebih baik orang lain yang jadi PM. Mungkin kita boleh bekerjasama balik. Mungkin orang lain belum ada kepentingan keluarga, kepentingan peribadi.

Perwatakan Abdullah sejak dulu rasanya tidak berubah. Kalau dia lemah, maknanya dia lemah sejak dulu. Soalnya, apakah Mahathir ketika melantiknya sebagai pengganti beliau tidak menyedari kelemahan Abdullah yang cukup ketara itu?

Mahathir sedar akan kesilapannya dan tahu Abdullah lemah tetapi masa itu tidak ada banyak pilihan. Najib masih muda, jadi Mahathir hitungkan kedua-dua mereka adalah ideal.

Mau tak mau Abdullah Timbalan Presiden Umno ketika itu dan imejnya 'Mr Clean'. Pejabat Mahathir di Yayasan Perdana di Putrajaya, maknanya dia sanggup untuk beri khidmat nasihat atau bantu Abdullah dalam segala hal.

Waktu Mahathir lantik nampak dia baik, bersih. Itu tak salah Mahahtir. Rakyat juga percaya dia 'Mr Clean' sehingga menang besar 2004. Masa menang 2004, dia kata faktor dia sahaja tetapi bila kalah 2008, dia kata bukan salah dia seorang pula. Kenapa dia tak mengaku.

Ada pihak beranggapan, berbanding 1999, Umno tidak kalah teruk kali ini. Yang kalah ialah MCA, MIC dan Gerakan sebab banyak kerusi Umno masih menang.

Kalau kita pilih macam itu, memanglah. Dia pergi Perlis dia kata kita menang, betullah itu. Tetapi kalau dia pergi Kedah, Selangor, Perak bolehkah kata dia menang? Begitu juga di Wilayah Persekutuan. Malah di Johor, ada 322,000 undi rosak. Itu semua undi Melayu, campur sikit bukan Melayu.

Waktu taklimat sebelum pilihan raya dalam Majlis Tertinggi Umno, ada laporan kata di Selangor, pembangkang sifar, macam itu juga tentang Perak dan Kedah, malah Kelantan pun cerah untuk ditawan. Dari mana datang sumber ini?

Padahal waktu saya menjadi Menteri Besar Kedah, saya tahu nak kalah tapi akhirnya kita berjaya menang dua pertiga walaupun Parlimen kalah banyak. Jadi saya letak jawatan sebab tak mampu dah, jadi beri peluang orang lain.

Bn kalah hanya hanya kerana undi bukan Melayu. Orang Melayu sendiri sudah tidak undi Umno. Itu yang ramai lihat Umno cukup lemah kepimpinna. Mengenai protes orang India, mulanya mereka hanya marahkan beberapa individu MIC, tetapi disebabkan lemah kepimpinan di atas, menolak BN seluruhnya.

Mungkinkah tindakan Mahathir dan Tan Sri sendiri keluar Umno, bukan menyebabkan Umno akan pulih malah lebih teruk lagi?

Mahathir meletakkan senario 2013 supaya ahli-ahli Umno sedar. Sekarang Mahathir dilihat keluar seorang tetapi tindakannya itu menyebabkan ratusan ribu yang lain kesal dengan kepimpinan yang ada. Bila pilihan raya ke-13, lagi teruklah kalah.

Kenapa tunggu 2013 baru nak berubah. Biarlah berubah dari sekarang. Begitu juga tahun 1969, Tun Razak dan Dato' Asri daripada PAS sama-sama berjumpa nak selesaikan masalah. Ada berlaku pada waktu sekarang?

Pada tahun 1969, pembangkang tak berapa pandai. Mereka, yakni pembangkang bukan Melayu, sakitkan hati orang Melayu. Buat demonstrasi sana sini. Tapi kali ini, bila menang banyak, mereka cukup berhati-hati. Saya dapat sms daripada mereka yang meminta penyokong bertenang, "jangan keluar rumah, jangan tunjuk kita suka, jangan bagi orang Melayu marah".

Dia tahu Melayu tidak akan mengamuk selagi tidak 'provoke'. Apa pasal Cina dan India ceti cukup baik dengan orang Melayu, bagi pinjam duit, jual barang dan beri hutang. Tapi kalau kacau anak dara orang Melayu, berparanglah dia!

Mengapa asyik kata kita menang, tanpa turun ke bawah, dengar masalah rakyat. Mereka tak faham budaya orang Melayu sebab guna teori Tingkat 4 JPM.

Mahathir mendakwa Umno kini jadi parti Abdullah, semua orang takut kepadanya, walhal watak Abdulllah sebenarnya bukanlah begitu keras. Yang nampak keras adalah watak Mahathir sendiri.

Saya rasa ada baiknya sistem Mahathir. Bila orang lihat dia keras, yang keras itu dia. Manakala Abdullah, dia tidak bergerak seorang. Dia ada anak dan dia ada menantunya. Kalau dia lembut tapi anak menantu keras macam mana? Jadi ramai orang marah pada Pak Lah kerana menantunya.

Di Putrajaya, berapa ramai pegawai kerajaan yang marah tetapi mereka tak tunjuk. Semuanya senyum macam Abdullah. Peranan dan pengaruh pegawai kerajaan tak boleh buat main. Pegawai kerajaan juga faktor penting dalam kekuatan Umno.

Tempoh empat tahun sudah cukup untuk Tingkat 4 ini merosakkan kekuatan Umno selama ini. Mungkin Abdullah tak tahu, tapi itu semua di bawah dia.

Isunya, apakah dalam MT Umno dan Kabinet tiada suara yang berani menegur walaupun mereka mengetahui pengaruh Tingkat 4 boleh menjahanamkan BN?

Saya rasa tidak ada. Sebabnya orang beranggapan Tingkat 4 itu genius dan cerdik, lulusan Oxford, Cambridge dan Harvard. Seolah-olah merasakan wahyu datang daripada mereka.

Sepatutnya kena dengar di kampung, Kemas kata apa, polis kata apa, military kata apa, pegawai kerajaan kata apa. Kita kena dengar semua ini. Kita ada cukup 'feedback' agensi. Tapi kita tak nak dengar. Kalau semua orang kemukakan fakta yang benar tapi kita buat tindakan salah maknanya ada orang lain yang jadi penasihatnya.

Masing-masing fikir jawatan. Yang jadi menteri kena pertahankan kuasa. Ada masalah displin pun boleh jadi menteri. Kalau ada tokoh rasuah, dia tak berani nak bersuara malah dia akan maki-maki pula Mahathir. Di peringkat bahagian juga ada yang lawan sesama sendiri.

Mungkin ahli Umno menunggu untuk buat perubahan dalam pemilihan parti akhir tahun ini.

Saya rasa tidak akan ada perubahan dalam parti. Ketua-ketua bahagian memang dibawa bertemu. Ada yang kena ancam. Dalam kerajaan banyak kemudahan boleh dapat jika sokong orang di atas.

Silap-silap, pada perhimpunan nanti, tidak ada yang berani mengusulkan Pak Lah letak jawatan malah suruh kekal terus jadi Presiden Umno. Itulah yang membuatkan Mahathir terpaksa bertindak sebegitu rupa supaya sampai mesej perubahan.

Adakah mesej itu sampai di peringkat bawahan?

Inilah Harakah yang kena beritahu kepada semua, itu sebab Harakah kena tolong Umno (ketawa).

Adakah Tan Sri juga akan masuk kembali pada Umno setelah Abdullah letak jawatan?


Insya-Allah tetapi tidaklah automatik. Masuk kembali Umno kita kena minta. Saya tidak ada hak, itu terserah pimpinan baru. Dan saya tak mahu ajak keluar Umno, terpulanglah.

Tindakan keluar Umno boleh betulkan keadaan?

Kita tak boleh berubah kalau kita masih di situ, jadi kita keluarlah. Jadi bila orang tanya, kita jelaskanlah. Cuma kesempatan itu terbataslah. Harapkan Harakah dapat jelaskan (ketawa). Ini akhbar pertama 'interview' saya setelah keluar Umno.

Mengimbau keputusan pilihan raya 1999, mengapa Tan Sri berundur dari jawatan Menteri Besar sedangkan Umno masih menang dua pertiga di Kedah?

Jadi menteri atau menteri besar bukan payah sangat, Kalau Perdana Menteri nak saya jadi menteri, jadilah. Kita pakai 'bush jaket' yang baru. oklah. Kita ada 'civil service' yang bagus malah terbaik di dunia.

Sekarang imej Melayu cukup busuk. Jadi hakim pun, hakim tak berguna, perempuan kita macam Suffiah, terpelajar tapi jadi pelacur. Jadi menteri pun dikatakan rasuah.

Keputusan di Kedah ketika itu tidaklah seburuk mana tetapi Parlimen Umno kalah banyak. Adalah tidak adil saya tunggu, jadi saya letak jawatan. Lebih baik serah pada orang lain. Orang yang dah melalui kekalahan walaupun tidak seteruk sekarang lebih baiklah berundur, selayaknya dia berhenti. Jadi ikutlah cara saya.

Sekarang mana ada isu mata lebam Anwar lagi, tetapi kerana perpecahan di kalangan orang India serta Hindraf, perpecahan orang Cina terhadap MCA, di Pulau Pinang isu Patrick Lim, juga merebak perasaan marah kakitangan awam orang terhadap penyapu di Selangor. Yang menyeluruh ialah faktor orang meluat pada Tingkat 4. Campur ini semua kita kalah.

Saya juga nampak ada kecenderungan Abdullah untuk menunjukkan kepada pihak luar bahawa kita berubah.

Sedangkan PAS tidak pernah berubah, dari dulu sampai sekarang. Hanya yang berubah ialah pemimpin dan 'style' pemimpinnya saja. PAS masih berpandukan pada al-Quran dan Hadis itu jugalah, tidak berubah. Dulu pun Mat Sabu itu juga, sekarang Mat Sabu itu juga. Dan PAS menang sebab Umno dah berubah. Bukan saja pemimpinnya berubah, Umno juga turut berubah.

Tunku Abdul Rahman, bila orang tak mahu padanya, dia berhenti. Dato' Onn tahu orang tak mahu dia, dia berhenti. Seluruh lima buah negeri dan Wilayah Persekutauan dan Negeri Sembilan hampir kalah dan di Johor ada undi rosak 322,000. Adakah ini masih tidak ada signal lagi?

Mungkin pengundi bukan Melayu berubah kepada BN balik nanti?

Undi India mungkin berubah tapi bergantung pula sikap kerajaan Pakatan Rakyat. Cina lebih terkesan dengan faktor kepimpinan Umno dan sensitif kepada ekonomi. Umpamanya dalam isu koridor, semua ada cerita pertanian. Bila saya tanya para pegawai pun tak tahu. EPU pun tak tahu.

Kita hilang Batu Putih sedangkan Wilayah Pembangunan Iskandar lebih teruk daripada itu. Kita dengan Singapura sudah banyak kali kalah, misalnya isu Jambatan Bengkok, air, WPI dan Batu Putih.

Tujuan bina jambatan supaya kapal kita boleh lalu ke Laut Cina Selatan tanpa melalui pelabuhan Singapura. Ada orang kata bila Abdullah tak ada nanti, kita boleh buat jambatan itu. Tak mungkin. Sebab syarikat keretapi laju nanti akan guna causeway dan akan tambak lagi. Takkan masa akan datang kita nak korek untuk buat jambatan. Kita tak tahu berapa lama jaminan tambak itu tak boleh dikorek.

Tan Sri sebut Dato' Seri Anwar Ibrahim bukan faktor utama lagi, tapi kini ramai bercakap tentang peluangnya untuk menjadi perdana menteri, misalnya melalui kes lompat parti.

Saya rasa Anwar akan relevan jika Abdullah masih ada di situ. Kalau Abdullah tak ada, barang kali peluang Anwar tiada. Maknanya, bukan Mahathir yang bantu Anwar seperti yang dikatakan akhbar NST. Jika Abdullah masih di situ, Anwar akan ambil alih pada 2013 dan dia akan capai ke situ.

Itu sebab mereka semua mahu Pak Lah. Anwar tak suruh Pak Lah berhenti. Tidak ada undi tak percaya dalam Parlimen. Memang mereka kata Pak Lah lemah tapi pembangkang tak suruh beliau berhenti.

Kalau dia tak berhenti, kita tak tahu berapa lagi orang yang tinggal dalam Umno. Mahahtir keluar, orang harap sesuatu akan berlaku. Mahathir keluar dan minta Abdullah berhenti untuk selamatkan Umno, bukan beri laluan kepada Anwar. Apa pun segalanya terbuka untuk pelbagai kemungkinan.

Jangan Abdullah fikir tak perlu bimbang terhadap Najib sebab Najib ada saingan Tan Sri Muhyidin Yasin. dengan Najib. Abdullah mungkin fikir tak perlu bimbang hal Anwar kerana masalahnya dengan Mahathir. Jangan andaikan Tengku Razaleigh pula Dr Mahathir tak boleh terima. Semua andaian kita kena jaga.

Tapi, akhirnya yang menentukan ialah Allah SWT. Orang yang mula-mula teringin nak jadi PM ialah Dato' Onn tetapi tidak dalam ketentuan Allah, begitu juga yang lain-lain seperti Tun Ismail, Musa Hitam, Ghafar Baba, semua tidak berpeluang jadi PM. Malah Tunku pun tidak pernah terfikir untuk jadi PM sebelum dipelawa Tun Razak.

Mengenai Abdullah, saya tidak ada apa-apa hal peribadi dengannya. Walaupun Abdullah awan saya tetapi dalam hidup kita mesti pentingkan prinsip. Saya tengok orang Melayu banyak rosak sebab kita pentingkan kawan daripada menyokong prinsip.

Orang yang sedar ada kesilapan dalam Umno mesti cuba betulkan kesilapan itu. Abdullah memang nak lawan Mahathir, dia mahu berbeza dengan Mahathir. Kalau dulu Mahahtir tidak mahu jumpa ketua-ketua pelbagai agama, Abdullah mahu jumpa. Dulu Mahathir marahkan Australia, dia pula bercuti di sana. Dengan Amerika dia buat baik juga. Dia bagi award kepada pegawai kerajaan British di Malaya dulu. Mahathir buat jambatan, dia batalkan.

Apa pun perancangan kita, akhir kalimah semua ditentukan Allah. Saya mendoakan semoga semuanya selamat, bangsa melayu selamat, umat Islam dan tanahair kita selamat._

(HARAKAH)

Selasa, 10 Jun 2008

MENGEMBALIKAN DEMOKRASI UMNO


Sistem kuota boleh galak rasuah politik – Muhyiddin

10/06/2008 2:02pm

KUALA LUMPUR 10 Jun – Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi mengulangi gesaannya agar sistem kuota untuk melayakkan seseorang bertanding dalam pemilihan parti tidak diteruskan kerana ia boleh menggalakkan amalan rasuah.

"Saya berpendapat sebaik mungkin cari jalan agar sistem ini tidak diteruskan kerana selain ia tidak sesuai, ia boleh menggalakkan amalan rasuah politik.

"Apabila seseorang bertanding, dia perlu mendapat sejumlah pencalonan contohnya 30 peratus, tetapi baru dapat 10 peratus dan kurang 20 peratus lagi, tidakkah mungkin terdorong mereka untuk menggunakan wang supaya dapat pencalonan dan ini ternyata amalan tidak sihat,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program “Hello Malaysia” yang disiarkan di saluran 502 Astro malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Luar yang juga anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Dr Rais Yatim semalam yang kecewa kerana cadangannya supaya Umno menghapuskan sistem kuota untuk melayakkan seseorang bertanding tidak mendapat sokongan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata sistem kuota bukan khas untuk bertanding bagi jawatan tertinggi parti tetapi untuk semua jawatan sehingga ke akar umbi.

"Tetapi kita dapati dari awal sistem ini sebenarnya bukan satu perkara yang seharusnya kita teruskan walaupun telah digunakan sejak dulu kerana dalam perlembagaan Umno disebutkan setiap ahli Umno berhak bertanding apa jua jawatan,” katanya.

Beliau berkata mana-mana anggota parti mempunyai kebebasan untuk bertanding di mana-mana jawatan sepertimana yang diamalkan dalam sistem demokrasi.

"Bermakna kalau nak bertanding apa-apa jawatan mesti ada kelayakan sedangkan dalam amalan demokrasi seperti pilihan raya umum tiada kuota memerlukan 1,000 orang untuk mencalon, cadang dan sokong maka calon berkenaan layak bertanding,” katanya.

Sistem kuota itu yang diluluskan Perhimpunan Agung Khas Umno pada Oktober 1988 antara lain menetapkan calon jawatan Presiden perlu mendapat sekurang-kurang nya 30 peratus pencalonan atau 57 daripada 191 bahagian, manakala Timbalan Presiden (20 peratus), Naib Presiden (10 peratus) dan ahli MT (lima peratus).

Muhyiddin berkata sistem itu mungkin tidak dapat dihapuskan pada masa kini kerana untuk meminda perlembagaan memerlukan beberapa syarat untuk dipenuhi seperti seluruh bahagian mengadakan persidangan dan separuh daripadanya bersetuju mengadakan persidangan khas bagi mencadangkan agar sistem itu dihapuskan.

"Setakat ini tidak berlaku kerana hanya beberapa bahagian saja yang bersidang dan ini tidak memenuhi kehendak dalam perlembagaan, kedua MT sendiri yang buat keputusan untuk pinda dan ini tidak berlaku kerana mungkin pihak-pihak dalam MT tidak melihat ini sebagai satu keperluan.

"Jika kedua-dua cara ini tidak diputuskan maka tidak mungkinlah sistem kuota itu tidak boleh dipinda dan mahu ia dikekalkan,” katanya.

Beliau berkata parti perlu kembali kepada sistem demokrasi yang tulen dan anggota tidak perlu merasa bimbang dan takut jika kalah ketika bertanding kerana mereka mempunyai kekuatan dan kelayakan yang akan dipilih oleh anggota yang lain.

"Apa perlu kita bimbang dan takut jika kita betul-betul seorang pemimpin yang banyak jasa, kalaupun orang yang hendak bertanding itu orang yang tidak terkenal atau tidak layak itu hak mereka dan tentu anggota parti yang sudah lama berjuang dalam Umno tahu menilai yang mana kaca yang mana berlian,” katanya. — BERNAMA.

Isnin, 9 Jun 2008

UPDATE HUJUNG MINGGU


Saya sekali lagi ingin mengesahkan bahawa berita TERKINI : NAJIB- PRESIDEN MUHYIDDIN-TIMBALAN yang saya tulis di blog saya ini adalah dipercayai sangat benar kesahihannya.

Dari perbualan dengan beberapa orang Yang Berhormat pada hujung minggu yang lalu, mereka semua mengakui bahawa perkara ini telah bocor sebelum pengumuman rasmi akan dibuat oleh Datuk Seri Najib sedikit masa lagi.

Majlis Tertinggi UMNO telah sebulat suara mendesak Pak Lah berundur demi masa depan UMNO dan orang Melayu. Oleh kerana desakan MT telah dibuat secara sebulat suara, ini membuatkan Pak Lah terpaksa menerima desakan dan difahamkan beliau tidak akan mempertahankan Jawatan Presiden UMNO dan akan memberikan laluan kepada Datuk Seri Najib bagi jawatan Presiden manakala Tan Sri Muhyiddin pula sebagai Timbalan Presiden.

Pengunduran Pak Lah yang dijangka akan berlaku sebelum November ini tentunya akan menyelesaikan sebahagian besar masalah UMNO khususnya di dalam memulihkan persepsi rakyat terhadap UMNO yang telah dicemari dengan isu campurtangan keluarga PM khususnya menantunya Khairi Jamaluddin dalam pentadbiran kerajaan pimpinannya. Ini tentunya sangat membantu memulihkan imej UMNO selain menyebabkan Pembangkang akan kehilangan modal politik yang besar dan berkesan.

Sehingga waktu itu, penulis mengharapkan kepada semua pembaca khususnya Rakan KPUMaya dan MyKMUJohor agar mula memfokuskan kepada perjuangan merealisasikan pelan peralihan kuasa ini seperti yang telah dipersetujui sebulat suara oleh Majlis Tertinggi UMNO itu.

Untuk makluman semua, sejak beberapa bulan yang lalu, pihak Pembangkang telah pun mula menyerang keperibadian Datuk Seri Najib dengan menghebahkan tuduhan-tuduhan tanpa bukti bagi menjatuhkan kredibiliti Datuk Seri Najib. Saya menyeru agar kita semua di sini tidak terpengaruh dengan turut sama menyebarkan tuduhan tersebut dan menjadi agen secara tidak langsung kepada Pembangkang.

Saya mengharapkan semoga KPUMaya dan MyKMUJohor akan benar-benar menjadi benteng kepada UMNO di dalam menyerang balas tohmahan dan tuduhan tanpa bukti dari pihak Pembangkang yang merupakan matlamat sebenar kewujudan KPUMaya dan MyKMUJohor di dunia cyber ini.

Salam Perjuangan.

Sayangkan Bangsa - Nescaya Kamu Sentiasa Memberikan Yang Terbaik Untuk Bangsa Mu.

Sabtu, 24 Mei 2008

BUKAN BUDAYA UMNO KEKANG ANGGOTA BERI PENDAPAT (dulu lah...)


24/05/2008 6:32pm

KUALA LUMPUR 24 Mei — Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bukan budaya parti itu untuk mengekang atau menghalang anggotanya daripada menyuarakan pendapat mereka atau mendesak pemimpin.

Beliau berkata, UMNO ialah sebuah parti demokratik dan oleh itu semua anggotanya bebas menyatakan pendapat masing-masing.

"Jika tidak, ahli UMNO akan dianggap sebagai ’yes man’ atau terdiri daripada pembodek sahaja.

"Bagaimanapun, kita perlu gunakan cara yang sesuai untuk menegur atau mendesak pemimpin,” katanya kepada pemberita selepas memberi taklimat berhubung kod etika parti kepada anggota Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Muhyiddin berkata demikian ketika diminta memberi penjelasan sama ada tindakan anggota Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Tun Mahathir yang sering mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan, tidak boleh dilakukan. -

~Bernama

~MataHatiJohor~ : BERITA DI ATAS SEPATUTNYA DITULIS BEGINI :

KUALA LUMPUR 24 Mei — Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, (DAHULU) bukan budaya parti itu untuk mengekang atau menghalang anggotanya daripada menyuarakan pendapat mereka atau mendesak pemimpin.

Beliau berkata, UMNO ialah sebuah parti (YANG SUDAH TIDAK) demokratik (LAGI) dan oleh itu semua anggotanya (TIDAK BOLEH) bebas menyatakan pendapat masing-masing.

"Ahli (KHUSUSNYA PEMIMPIN) UMNO (ADALAH) sebagai ’yes man’ (TERBAIK KEPADA PAK NO LAH) atau (PALING TEPAT LAGI ADALAH) terdiri daripada pembodek sahaja.


Muhyiddin berkata demikian ketika diminta memberi penjelasan sama ada tindakan anggota Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Tun Mahathir yang sering mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan, tidak boleh dilakukan. -

~Apa ni Tan Sri... Jangan buat kami juga hilang keyakinan pada Tan Sri. Cakap betul-betul...

Jumaat, 23 Mei 2008

KESETIAAN KEPADA UMNO





FRIDAY, MAY 23, 2008
www.chedet.com

1. Saya kurang faham dakwaan pemimpin-pemimpin tertentu UMNO bahawa mengkritik atau mendesak Presiden UMNO berhenti bermakna tidak setia kepada UMNO.

2. Tun Razak dan beberapa pemimpin UMNO yang lain telah tidak bersetuju dengan yang di Pertua UMNO Dato Onn Jaafar berkenaan dengan cadangannya untuk buka UMNO kepada semua kaum sehingga Dato Onn terpaksa undur.

3. Apakah sikap dan perbuatan Tun Razak dan rakan-rakannya ketika itu bermakna mereka tidak sayang dan tidak setia kepada UMNO?

4 Pada 1969-71 Tun Razak dan lain-lain pemimpin UMNO secara tidak langsung tidak bersetuju dengan kepimpinan Tunku Abdul Rahman dan Tunku telah undur diri.

5. Apakah Tun Razak kerana menolak kepimpinan Tunku, iaitu tidak setia kepada Tunku sebagai Presiden UMNO maka dianya tidak setia kepada parti?

6. Pada tahun-tahun 1986-7 [Tun] Musa Hitam, Tengku Razaleigh dan DATO SERI ABDULLAH AHMAD BADAWI bertindak untuk menjatuhkan saya sebagai Presiden UMNO. Mereka jelas tidak setia kepada saya.


7. Apakah saya tuduh mereka tidak setia kepada parti? Apakah mereka dilarang berjumpa ahli-ahli UMNO? Apakah mereka ditegah berkempen untuk memburukkan nama saya, tidak undi saya? Apakah tentangan terhadap saya dianggap oleh saya dan oleh mereka sebagai tidak setia ada parti?

8. Sepatutnya setelah Dato Seri Abdullah kalah dia tidak diterima masuk UMNO Baru kerana tidak setia kepada saya.

9. Tetapi dia diterima masuk dan dibenar bertanding jawatan ahli Majlis Tertinggi dan kemudian Naib Presiden.


10. Jika saya pegang kepada tafsiran sesiapa yang tidak setia kepada saya tidak setia kepada parti, apakah akan saya lantik sekali lagi Dato Seri Abdullah sebagai Menteri dan kemudian sebagai Timbalan Perdana Menteri, dan seterusnya.

11. Saya tak suruh ahli UMNO sokong apa yang saya lakukan.

12. Tetapi fikirkanlah akan kewajaran dakwaan sesiapa yang tidak setia kepada Dato Seri Abdullah adalah tidak setia kepada parti UMNO.

13. Apakah UMNO adalah Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi adalah UMNO?

14. Jika Abdullah Ahmad Badawi dengan UMNO adalah sama dan satu, maka parti ini bukan lagi UMNO. Apa perlunya saya jadi ahli dalam parti Abdullah Ahmad Badawi?

15. Hanya mereka yang berkepentingan sahaja yang menyebar dan mendokong konsep UMNO adalah Dato Seri Abdullah dan tanpa kesetiaan kepada Dato Seri Abdullah maka ahli tidak setia kepada UMNO.

POSTED BY DR. MAHATHIR MOHAMAD AT 6:20 AM
...........................................................

~MataHatiJohor~ said...
Assalamualaikum YAB Tun,

Budaya Mengampu begitu subur diera kepimpinan Abdullah Badawi kerana semua orang sudah tahu kelemahan Perdana Menteri yang suka dipuji.

Sesiapa yang mengampu dan paling banyak memberikan pujian sering pula diberikan keutamaan dan tempat oleh Perdana Menteri menyebabkan semua yang ingin mendapatkan keutamaan dan tempat berlumba-lumba untuk memberikan pujian dan ampuan kepada Perdana Menteri.

Kelemahan Perdana Menteri ini digunakan sepenuhnya oleh semua yang berada disekelilingnya termasuk keluarga dan menantunya. Oleh kerana sudah biasa dan keseronokan bila diampu dan dipuji, kini sesiapa yang menentang pandangannya akan diugut dengan surat dan tindakan disiplin dengan dakwaan tidak setia kepada parti. Kesetiaan kepadanya disamakan dengan kesetiaan kepada parti.

Kepimpinan sebegini sangat bahaya kepada negara kerana ianya akan membantutkan keupayaan berfikir rakyat dan pemimpin. Pemimpin terutamanya hanya berfikir bagaimana untuk mengembirakan Perdana Menteri walaupun rakyat kebanyakannya tidak akan merasa gembira seperti yang telah ditunjukkan di dalam PRU12 yang lalu.

Kepimpinan sebegini juga bahaya kepada negara kerana mereka yang tidak berkelayakan dan pernah melakukan jenayah pun boleh dilantik menjadi Menteri hanya kerana mereka ini telah berjaya menjadi kaki ampu yang paling hebat sekali seperti Menteri yang menjaga rakyat di luar bandar sekarang ini.

Negara tidak akan bertambah maju malah akan jauh ketinggalan, amalan rasuah dan nepotisme & usahawan palsu akan meningkat kerana urusan pentadbiran negara akan dikuasai oleh pengampu-pengampu yang sangat berkuasa didalam menentukan siapa, mendapat apa, bila dan bagaimana.

Kesetiaan kepada parti dan negara akan diukur dari sejauh mana ahli parti dan pemimpin dapat mengampu dan memuji Perdana Menteri dan bukannya dari kesetiaan kepada perjuangan untuk membela agama, bangsa dan tanahair.

Pengampu dan pembodek ini pula dijadikan seperti 'kaki pukul' yang akan 'membelasah' sesiapa sahaja yang cuba mengkritik Perdana Menteri. Perdana Menteri tidak perlu menjawab terhadap kritikan kerana pengampu sudah sedia dikelilingi media untuk segera mempertahankan Perdana Menteri dan menyerang kembali pengkritik dengan mendedahkan keburukan pengkritik tanpa menjawab setiap kritikan yang telah dilemparkan.

Dengan ini, saya Bekas Ketua Penaja, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pengerang, hilang keyakinan dan tidak berminat lagi untuk menjadi ahli kepada kepada sebuah Parti yang sudah dipesongkan matlamat dan perjuangan sebenarnya oleh Abdullah Ahmad Badawi. Saya akan memohon semula menjadi Ahli UMNO apabila UMNO dapat dikembalikan semula seperti perjuangan asalnya.

Terima kasih.


Moderator
KELAB PENYOKONG UMNO (KPUMaya)
http://www.facebook.com/topic.php?topic=4403&uid=11214944403
MAY 23, 2008 8:34 AM

Selasa, 20 Mei 2008

APABILA TUN DR MAHATHIR KELUAR UMNO

~MataHatiJohor~ "Jasad sudah meninggalkan UMNO sejak Tun meletakkan jawatan PM dahulu"

Malam semalam, saya merasa cukup tertekan, marah, meluat dan segala macam rasa lagi terhadap Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO kerana telah 'buta Mata & Hati serta pekak telinga' dengan desakan dan mesej jelas yang meminta beliau mengundur diri.

Lantas saya mengambil keputusan untuk turut serta menghebahkan catatan 70 Dalil Pak Lah Hilang Kelayakan Memimpin Negara. Namun saya masih berlapik juga kerana tidak copy & paste isi kandungan 70 Dalil sebaliknya hanya linkkan web tersebut dengan gambar-gambar di ruangan 'Suara Hati Rakyat'.

Kerana sayangkan UMNO, saya tetap merasa bersalah kerana terlibat sama mendedahkan kelemahan Presiden Parti saya sendiri. Tetapi ini adalah jalan terakhir yang terpaksa saya ambil untuk mengajak lebih ramai lagi mendesak Perdana Menteri segera meletak jawatan sebelum satu lagi 'angka 13' yang akan membawa bencana tiba.

Rupa-rupanya, saya tidak keseorangan merasa resah malam semalam. Ternyata Tun Dr. Mahathir juga telah mengambil jalan terakhir untuk memberikan tekanan kepada Pak Lah iaitu mengistiharkan dirinya keluar dari UMNO tengahari tadi. Apakah yang akan berlaku selepas ini. Apakah kesan tindakan Tun Dr Mahathir ini kepada matlamat untuk merubah kepimpinan tertinggi UMNO. Adakah tindakan Tun ini akan diikuti oleh lebih ramai lagi pemimpin UMNO khususnya para Ahli Parlimen dari UMNO?.

Sedikit sebanyak, tindakan Tun keluar dari UMNO akan memberikan tekanan kepada Pak Lah. Ramai ahli UMNO yang sudah tidak mempunyai jawatan dan kepentingan pribadi akan menyokong tindakan Tun Dr Mahathir jika pun mereka tidak turut serta keluar dari UMNO. Ahli biasa dan penyokong UMNO akan menyokong tindakan Tun dan mereka akan terkilan kerana parti membiarkan keadaan di mana membuatkan seorang pemimpin yang telah terlalu banyak berjasa kepada agama, bangsa dan negara keluar dari parti. Ini akan menyemarakkan api dalam sekam UMNO.

Namun di dalam sistem UMNO yang sudah tidak demokratik lagi, ahli biasa walau bagaimana ramai pun tidak akan mampu untuk menggugat mana-mana pemimpin. Sistem ketaatan membuta tuli kepada pemimpin telah begitu disuburkan di dalam UMNO era Pak Lah. Ahli di peringkat UMNO Bahagian begitu takutkan kepada Ketua Bahagian. Begitu juga Ketua-Ketua Bahagian begitu takutkan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri dan semua pemimpin UMNO dari semua peringkat ini begitu takut walaupun untuk bersuara menyatakan "Titanic kita sedang menjunam" kepada Presiden parti.

Lagi pula, sistem memilih pemimpin dalam UMNO juga sangat kurang demokratik dan menggalakkan rasuah politik. Daripada jumlah ahli UMNO yang seramai 3 juta lebih ahli, kuasa memilih dan menentukan kedudukan pemimpin hanya diberikan kepada seramai 2000 lebih orang ahli sahaja. Ini memudahkan mereka yang tidak layak tetapi memiliki kuasa wang untuk merasuah perwakilan. Bagi musuh-musuh negara, usaha menjatuhkan pemimpin sebuah negara bernama Malaysia tidak memerlukan jumlah wang yang besar sebesar menjatuhkan Saddam Hussin.

Berbalik kepada isu Tun Dr Mahathir, Justeru saya menjangkakan tindakan Tun Dr Mahathir ini tidak akan diikuti oleh pemimpin UMNO yang lain. Lebih-lebih lagi dalam keadaan pemilihan parti yang semakin hampir. Masing-masing sedang merancang untuk melangkah keatas hirearki kepimpinan parti. Pemimpin-pemimpin UMNO mmenyedari keadaan gawat politik negara ketika ini. Namun mereka ini bukan mahu meletakkan semula UMNO dilandasan perjuangan asalnya, tetapi sebaliknya semakin terdesak untuk merompak projek-projek kerajaan sebelum kerajaan ini jatuh ke dalam gaung yang tidak boleh bangkit lagi.

Apa yang boleh kita harapkan adalah 'api dalam sekam UMNO' iaitu ahli-ahli biasa UMNO dapat memainkan peranan dalam persidangan-persidangan UMNO Cawangan seterusnya ke Mesyuarat-Mesyuarat Perwakilan Bahagian dan direalisasikan dalam kotak-kotak undi pemilihan Presiden pada pemilihan UMNO Disember nanti.

Percayalah, "Duri Dalam Daging yang telah terkeluar" itu tidak akan pernah berputus asa berjuang untuk memartabatkan agama, bangsa dan negaranya. Sebaliknya Duri Hitam sebenar yang ada dalam Iskandar Malaysia yang sanggup menggadaikan maruah negara kepada Singapura itulah yang sewajarnya dikutuk oleh setiap Melayu 7 keturunan dari sekarang. Dan Duri Hitam sempat mengingatkan Presiden yang telah menyesatkan ahli-ahli UMNO. Katanya secara berkias, "kepada ahli Umno yang tersesat jalan supaya menggunakan keadaan mengejutkan itu untuk bertafakur dan kembali ke pangkal jalan bagi kebaikan bersama".

Keluarnya Tun Dr Mahathir dari UMNO tidak akan mengkucar-kacirkan UMNO. Kepimpinan Pak Lah yang lemah yang menyebabkan bukan sahaja UMNO yang kucar kacir tetapi juga Barisan Nasional, Kerajaan, Parlimen, rakyat dan negara keseluruhannya.

Pak Lah - sayangkan bangsa mu. Berundurlah secara terhormat. Buangkan ego mu. Rendahkan hati mu. Tinggalkan sikap dan muka sombong mu. Bersaralah dari politik. Banyakkan membaca. Di Yayasan Kepimpinan Perdana nanti, anda boleh belajar semula dari bekas-bekas Perdana Menteri bagaimana untuk menguruskan sebuah negara yang berbilang kaum ini dengan lebih mendalam lagi.

................................................................................
Syarat Dr Mahathir mustahil dipenuhi: Musa

Oleh Norfatimah Ahmad dan Nazura Ngah

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam menyifatkan keputusan Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan keluar Umno selepas 22 tahun menerajui parti itu umpama ‘duri yang sudah keluar dari daging’.

Musa berkata, walaupun sedih dan dukacita mendengar berita itu, terutama ketika Umno menghadapi keadaan yang sangat mencabar, beliau berharap ahli Umno menerima keputusan Dr Mahathir dengan hati terbuka dan tenang kerana yakin ada hikmah di sebaliknya.

“Duri dalam daging sudah pun terkeluar dan mulai sekarang pucuk pimpinan harus menumpukan usaha mereka kepada, pertama menerima hakikat bahawa Umno sekarang bukan lagi sekuat atau diterima sepenuhnya oleh rakyat terutama Melayu dan kedua, konsep ‘Mahathirsme’ sudah berlalu dan Umno harus balik kepada konsep ‘Bersih, Cekap, Amanah’ yang pada awal 80-an dulu diterima dengan begitu positif,” katanya dalam kenyataan dari luar negara, semalam.

Musa juga mengingatkan ahli Umno yang tersesat jalan supaya menggunakan keadaan mengejutkan itu untuk bertafakur dan kembali ke pangkal jalan bagi kebaikan bersama.

“Sambarlah peluang keemasan ini... bertafakurlah dan berhati-hatilah dengan tenang serta... baliklah ke pangkal jalan.

“Ingatlah, yang lebih penting ialah Umno,” katanya.

Isnin, 19 Mei 2008

TUN DR MAHATHIR KELUAR UMNO


TUN Dr Mahathir Mohamad secara terbuka mengumumkan keluar daripada Umno sebagai protes kepada keengganan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan mengajak ahli lain keluar parti bersamanya. Bagaimanapun beliau menasihatkan "ahli yang keluar Umno tidak menyertai parti lawan dan masuk semula Umno apabila Abdullah meletak jawatan".

ALOR STAR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini mengumumkan keluar dari Umno berkuatkuasa serta merta.

Dr Mahathir yang juga adalah anggota Umno seumur hidup berkata, beliau bertindak demikian kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan Umno sekarang yang gagal membela nasib orang Melayu di negara ini.

"Saya umum saya keluar parti hari ini," katanya di hadapan kira-kira 1,000 hadirin yang kebanyakannya anggota Umno Kedah pada majlis bertajuk "Nasib Kedudukan Bangsa Melayu" di sebuah hotel di sini hari ini.


Bekas Presiden Umno itu juga berkata, beliau hanya akan kembali menjadi anggota Umno selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Presiden Umno meletak jawatan atau tidak lagi menjadi pemimpin utama negara.

"Saya akan menulis surat kepada Umno bagi memaklumkan mereka (mengenai keluar dari Umno)," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis anjuran Dewan Perhimpunan Melayu Kedah itu, Dr Mahathir dengan wajah kecewa berkata beliau terpaksa mengambil tindakan keluar Umno yang dianggotai sejak 1946 kerana berpendapat parti itu tidak lagi dapat berperanan sebagai sebuah parti politik sebenar untuk membela nasib Melayu, sepertimana hasrat sejarah penubuhannya.

70 DALIL PAK LAH HILANG KELAYAKAN MEMIMPIN NEGARA







~MataHatiJohor~ : Saya seperti juga kebanyakan rakyat Malaysia dan Ahli UMNO yang lain, semakin hilang sabar apabila nampak gayanya Pak Lah seperti tidak langsung memperdulikan harapan dan desakan supaya beliau mengundur diri. Apakah yang masih dirisaukannya. Harta menantu dan anak-anaknya tidak akan habis selama tujuh keturunan pun. Apakah Pak Lah mahu lebih banyak keburukannya didedahkan?.

Klik mana-mana gambar di ruangan 'suara hati rakyat' di bar sebelah untuk mendapatkan 70 Dalil seperti yang telah tersiar di Malaysia Today sedikit masa dahulu.