Selasa, 10 Jun 2008

MENGEMBALIKAN DEMOKRASI UMNO


Sistem kuota boleh galak rasuah politik – Muhyiddin

10/06/2008 2:02pm

KUALA LUMPUR 10 Jun – Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi mengulangi gesaannya agar sistem kuota untuk melayakkan seseorang bertanding dalam pemilihan parti tidak diteruskan kerana ia boleh menggalakkan amalan rasuah.

"Saya berpendapat sebaik mungkin cari jalan agar sistem ini tidak diteruskan kerana selain ia tidak sesuai, ia boleh menggalakkan amalan rasuah politik.

"Apabila seseorang bertanding, dia perlu mendapat sejumlah pencalonan contohnya 30 peratus, tetapi baru dapat 10 peratus dan kurang 20 peratus lagi, tidakkah mungkin terdorong mereka untuk menggunakan wang supaya dapat pencalonan dan ini ternyata amalan tidak sihat,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program “Hello Malaysia” yang disiarkan di saluran 502 Astro malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Luar yang juga anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Dr Rais Yatim semalam yang kecewa kerana cadangannya supaya Umno menghapuskan sistem kuota untuk melayakkan seseorang bertanding tidak mendapat sokongan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata sistem kuota bukan khas untuk bertanding bagi jawatan tertinggi parti tetapi untuk semua jawatan sehingga ke akar umbi.

"Tetapi kita dapati dari awal sistem ini sebenarnya bukan satu perkara yang seharusnya kita teruskan walaupun telah digunakan sejak dulu kerana dalam perlembagaan Umno disebutkan setiap ahli Umno berhak bertanding apa jua jawatan,” katanya.

Beliau berkata mana-mana anggota parti mempunyai kebebasan untuk bertanding di mana-mana jawatan sepertimana yang diamalkan dalam sistem demokrasi.

"Bermakna kalau nak bertanding apa-apa jawatan mesti ada kelayakan sedangkan dalam amalan demokrasi seperti pilihan raya umum tiada kuota memerlukan 1,000 orang untuk mencalon, cadang dan sokong maka calon berkenaan layak bertanding,” katanya.

Sistem kuota itu yang diluluskan Perhimpunan Agung Khas Umno pada Oktober 1988 antara lain menetapkan calon jawatan Presiden perlu mendapat sekurang-kurang nya 30 peratus pencalonan atau 57 daripada 191 bahagian, manakala Timbalan Presiden (20 peratus), Naib Presiden (10 peratus) dan ahli MT (lima peratus).

Muhyiddin berkata sistem itu mungkin tidak dapat dihapuskan pada masa kini kerana untuk meminda perlembagaan memerlukan beberapa syarat untuk dipenuhi seperti seluruh bahagian mengadakan persidangan dan separuh daripadanya bersetuju mengadakan persidangan khas bagi mencadangkan agar sistem itu dihapuskan.

"Setakat ini tidak berlaku kerana hanya beberapa bahagian saja yang bersidang dan ini tidak memenuhi kehendak dalam perlembagaan, kedua MT sendiri yang buat keputusan untuk pinda dan ini tidak berlaku kerana mungkin pihak-pihak dalam MT tidak melihat ini sebagai satu keperluan.

"Jika kedua-dua cara ini tidak diputuskan maka tidak mungkinlah sistem kuota itu tidak boleh dipinda dan mahu ia dikekalkan,” katanya.

Beliau berkata parti perlu kembali kepada sistem demokrasi yang tulen dan anggota tidak perlu merasa bimbang dan takut jika kalah ketika bertanding kerana mereka mempunyai kekuatan dan kelayakan yang akan dipilih oleh anggota yang lain.

"Apa perlu kita bimbang dan takut jika kita betul-betul seorang pemimpin yang banyak jasa, kalaupun orang yang hendak bertanding itu orang yang tidak terkenal atau tidak layak itu hak mereka dan tentu anggota parti yang sudah lama berjuang dalam Umno tahu menilai yang mana kaca yang mana berlian,” katanya. — BERNAMA.

1 ulasan:

Unknown berkata...

Najib tengah terbayang jadi PM pada 2010. tapi jgn lupe Muhyiddin sdn mencongak dgn mesin kira utk bertandng Timbalan Presiden. Nak tak nak terpaksa juga Najib bertanding Presiden dan memungkiri kesetiannya pada Pak Lah melalui Peralihan Kuasa. Yang paling pening Najib, yang tgh suka hati Pak Lah sbb buat Najib tak senang hati nak lawan Presiden atau tunggu 2010. Aduiiiiii