APABILA TUN DR MAHATHIR KELUAR UMNO
~MataHatiJohor~ "Jasad sudah meninggalkan UMNO sejak Tun meletakkan jawatan PM dahulu"
Malam semalam, saya merasa cukup tertekan, marah, meluat dan segala macam rasa lagi terhadap Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO kerana telah 'buta Mata & Hati serta pekak telinga' dengan desakan dan mesej jelas yang meminta beliau mengundur diri.
Lantas saya mengambil keputusan untuk turut serta menghebahkan catatan 70 Dalil Pak Lah Hilang Kelayakan Memimpin Negara. Namun saya masih berlapik juga kerana tidak copy & paste isi kandungan 70 Dalil sebaliknya hanya linkkan web tersebut dengan gambar-gambar di ruangan 'Suara Hati Rakyat'.
Kerana sayangkan UMNO, saya tetap merasa bersalah kerana terlibat sama mendedahkan kelemahan Presiden Parti saya sendiri. Tetapi ini adalah jalan terakhir yang terpaksa saya ambil untuk mengajak lebih ramai lagi mendesak Perdana Menteri segera meletak jawatan sebelum satu lagi 'angka 13' yang akan membawa bencana tiba.
Rupa-rupanya, saya tidak keseorangan merasa resah malam semalam. Ternyata Tun Dr. Mahathir juga telah mengambil jalan terakhir untuk memberikan tekanan kepada Pak Lah iaitu mengistiharkan dirinya keluar dari UMNO tengahari tadi. Apakah yang akan berlaku selepas ini. Apakah kesan tindakan Tun Dr Mahathir ini kepada matlamat untuk merubah kepimpinan tertinggi UMNO. Adakah tindakan Tun ini akan diikuti oleh lebih ramai lagi pemimpin UMNO khususnya para Ahli Parlimen dari UMNO?.
Sedikit sebanyak, tindakan Tun keluar dari UMNO akan memberikan tekanan kepada Pak Lah. Ramai ahli UMNO yang sudah tidak mempunyai jawatan dan kepentingan pribadi akan menyokong tindakan Tun Dr Mahathir jika pun mereka tidak turut serta keluar dari UMNO. Ahli biasa dan penyokong UMNO akan menyokong tindakan Tun dan mereka akan terkilan kerana parti membiarkan keadaan di mana membuatkan seorang pemimpin yang telah terlalu banyak berjasa kepada agama, bangsa dan negara keluar dari parti. Ini akan menyemarakkan api dalam sekam UMNO.
Namun di dalam sistem UMNO yang sudah tidak demokratik lagi, ahli biasa walau bagaimana ramai pun tidak akan mampu untuk menggugat mana-mana pemimpin. Sistem ketaatan membuta tuli kepada pemimpin telah begitu disuburkan di dalam UMNO era Pak Lah. Ahli di peringkat UMNO Bahagian begitu takutkan kepada Ketua Bahagian. Begitu juga Ketua-Ketua Bahagian begitu takutkan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri dan semua pemimpin UMNO dari semua peringkat ini begitu takut walaupun untuk bersuara menyatakan "Titanic kita sedang menjunam" kepada Presiden parti.
Lagi pula, sistem memilih pemimpin dalam UMNO juga sangat kurang demokratik dan menggalakkan rasuah politik. Daripada jumlah ahli UMNO yang seramai 3 juta lebih ahli, kuasa memilih dan menentukan kedudukan pemimpin hanya diberikan kepada seramai 2000 lebih orang ahli sahaja. Ini memudahkan mereka yang tidak layak tetapi memiliki kuasa wang untuk merasuah perwakilan. Bagi musuh-musuh negara, usaha menjatuhkan pemimpin sebuah negara bernama Malaysia tidak memerlukan jumlah wang yang besar sebesar menjatuhkan Saddam Hussin.
Berbalik kepada isu Tun Dr Mahathir, Justeru saya menjangkakan tindakan Tun Dr Mahathir ini tidak akan diikuti oleh pemimpin UMNO yang lain. Lebih-lebih lagi dalam keadaan pemilihan parti yang semakin hampir. Masing-masing sedang merancang untuk melangkah keatas hirearki kepimpinan parti. Pemimpin-pemimpin UMNO mmenyedari keadaan gawat politik negara ketika ini. Namun mereka ini bukan mahu meletakkan semula UMNO dilandasan perjuangan asalnya, tetapi sebaliknya semakin terdesak untuk merompak projek-projek kerajaan sebelum kerajaan ini jatuh ke dalam gaung yang tidak boleh bangkit lagi.
Apa yang boleh kita harapkan adalah 'api dalam sekam UMNO' iaitu ahli-ahli biasa UMNO dapat memainkan peranan dalam persidangan-persidangan UMNO Cawangan seterusnya ke Mesyuarat-Mesyuarat Perwakilan Bahagian dan direalisasikan dalam kotak-kotak undi pemilihan Presiden pada pemilihan UMNO Disember nanti.
Percayalah, "Duri Dalam Daging yang telah terkeluar" itu tidak akan pernah berputus asa berjuang untuk memartabatkan agama, bangsa dan negaranya. Sebaliknya Duri Hitam sebenar yang ada dalam Iskandar Malaysia yang sanggup menggadaikan maruah negara kepada Singapura itulah yang sewajarnya dikutuk oleh setiap Melayu 7 keturunan dari sekarang. Dan Duri Hitam sempat mengingatkan Presiden yang telah menyesatkan ahli-ahli UMNO. Katanya secara berkias, "kepada ahli Umno yang tersesat jalan supaya menggunakan keadaan mengejutkan itu untuk bertafakur dan kembali ke pangkal jalan bagi kebaikan bersama".
Keluarnya Tun Dr Mahathir dari UMNO tidak akan mengkucar-kacirkan UMNO. Kepimpinan Pak Lah yang lemah yang menyebabkan bukan sahaja UMNO yang kucar kacir tetapi juga Barisan Nasional, Kerajaan, Parlimen, rakyat dan negara keseluruhannya.
Pak Lah - sayangkan bangsa mu. Berundurlah secara terhormat. Buangkan ego mu. Rendahkan hati mu. Tinggalkan sikap dan muka sombong mu. Bersaralah dari politik. Banyakkan membaca. Di Yayasan Kepimpinan Perdana nanti, anda boleh belajar semula dari bekas-bekas Perdana Menteri bagaimana untuk menguruskan sebuah negara yang berbilang kaum ini dengan lebih mendalam lagi.
................................................................................
Syarat Dr Mahathir mustahil dipenuhi: Musa
Oleh Norfatimah Ahmad dan Nazura Ngah
KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam menyifatkan keputusan Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan keluar Umno selepas 22 tahun menerajui parti itu umpama ‘duri yang sudah keluar dari daging’.
Musa berkata, walaupun sedih dan dukacita mendengar berita itu, terutama ketika Umno menghadapi keadaan yang sangat mencabar, beliau berharap ahli Umno menerima keputusan Dr Mahathir dengan hati terbuka dan tenang kerana yakin ada hikmah di sebaliknya.
“Duri dalam daging sudah pun terkeluar dan mulai sekarang pucuk pimpinan harus menumpukan usaha mereka kepada, pertama menerima hakikat bahawa Umno sekarang bukan lagi sekuat atau diterima sepenuhnya oleh rakyat terutama Melayu dan kedua, konsep ‘Mahathirsme’ sudah berlalu dan Umno harus balik kepada konsep ‘Bersih, Cekap, Amanah’ yang pada awal 80-an dulu diterima dengan begitu positif,” katanya dalam kenyataan dari luar negara, semalam.
Musa juga mengingatkan ahli Umno yang tersesat jalan supaya menggunakan keadaan mengejutkan itu untuk bertafakur dan kembali ke pangkal jalan bagi kebaikan bersama.
“Sambarlah peluang keemasan ini... bertafakurlah dan berhati-hatilah dengan tenang serta... baliklah ke pangkal jalan.
“Ingatlah, yang lebih penting ialah Umno,” katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan