Jumaat, 9 Mei 2008

TIDAK SETUJU HAPUS ISA - IBRAHIM ALI

KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen semalam mencadangkan kerajaan mengekalkan undang-undang pencegahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi memastikan negara bebas daripada huru-hara yang dicetuskan pihak tidak bertanggungjawab.

Walaupun sudah dua kali dikenakan ISA, Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas), mempertahankan ISA dan tidak setuju dengan cadangan beberapa pihak supaya akta itu dihapuskan, tambahan pula undang-undang itu sendiri digubal institusi Parlimen.

Bagaimanapun, Ibrahim berkata, beberapa pengubahsuaian perlu dilaksanakan bagi memantapkan undang-undang itu serta memastikan tidak wujud penganiayaan tahanan.


"Pengubahsuaian perlu dibuat pada Seksyen 8(1)(a) supaya kuasa menahan tanpa perbicaraan dipindahkan daripada Menteri Dalam Negeri kepada Majlis Keselamatan Negara yang diwakili beberapa pihak termasuk Ketua Polis Negara dan wakil Suhakam.

"Selepas 14 hari ditahan, seseorang itu mesti didakwa di mahkamah,” katanya membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, semalam.

Ibrahim yang popular dengan gelaran ‘putera katak’ kerana sering melompat parti, menjelaskan ISA mampu mentarbiah seseorang yang menggelarkan diri mereka ‘pejuang’ dan beliau sendiri mendapat ijazah ketika berada dalam tahanan.


"Kalau takut (ISA) jangan jadi pejuang. ISA adalah untuk pencegahan. Negara ini yang berbilang kaum banyak golongan pelampau. Jika tidak bertindak cepat menerusi ISA, negara mudah terdedah kepada huru-hara.

"Saya boleh kumpul 60,000 orang membantah sesuatu perkara, tetapi demi kebaikan negara kita tidak buat perkara ini," katanya mengaitkan tindakan kumpulan tertentu menunjuk perasaan di tengah-tengah ibu kota.

Ibrahim yang menggunakan sepenuhnya kesempatan setengah jam membahaskan usul itu, tidak memberi laluan kepada mana-mana Ahli Parlimen mencelah, turut mengemukakan beberapa cadangan lain termasuk meminta kerajaan memperkasa orang Melayu dengan melaksanakan Fasal 153 Perlembagaan Persekutuan berhubung Hak Keistimewaan orang Melayu.

"Matlamat daripada langkah itu ialah menyelesaikan isu penyusunan semula masyarakat. Selagi ia tidak tercapai, kita membiarkan api dalam sekam terus wujud, tambahan pula dalam keadaan sekarang ada pihak tertentu yang sudah berani menyentuh sentimen orang Melayu dengan mempersoalkan kedaulatan Raja-Raja Melayu," katanya sambil menyifatkan orang Melayu sekarang terlalu banyak bertolak ansur.

Ibrahim berkata, sesudah 18 tahun selepas berakhirnya pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada 1990, pegangan ekuiti orang Melayu hanya 18.9 peratus daripada sasaran 30 peratus; bukan Melayu 40.6 peratus dan asing 40.5 peratus.

Beliau turut menyentuh mengenai isu Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) yang membuat pelbagai dakwaan mengejutkan termasuk berlaku pembunuhan kaum India secara terancang dan kuil Hindu dirobohkan.

Ibrahim berkata, kerajaan perlu membuat penjelasan berhubung perkara itu dengan menerbitkan kertas putih supaya semua dakwaan itu tidak lagi menghantui rakyat Malaysia.

"Saya nak menjadi ahli Parlimen berkelas dunia. Saya tak percaya dakwaan ini betul. Justeru, dalam isu keselamatan, kerajaan mesti membuat keputusan yang konsisten.

"Ini tidak, sekali tangkap, sekali bebas, sekali dakwa di mahkamah sekali ampun, sedangkan di Batu Burok (Terengganu), sampai sekarang ditahan. Ini yang rakyat fikirkan," katanya merujuk kepada dua suspek yang didakwa mencetuskan kekecohan dalam ceramah tanpa permit pembangkang di Kuala Terengganu awal tahun ini.

Walaupun sering melompat parti, Ibrahim berkata, beliau seorang yang sentiasa mengenang budi.

Justeru, beliau menyanggah tindakan beberapa pihak yang selalu mencaci dan mengkritik Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, tanpa Dr Mahathir, Malaysia tidak akan menjadi seperti sekarang. Memang beliau ada juga kelemahan dan beliau sendiri turut mengkritik beberapa isu tertentu.

"Hari ini seolah-olah dia (Dr Mahathir) betul-betul tidak berguna. Dia bukan nak jadi Perdana Menteri dan nasihat yang beliau beri sepatutnya kerajaan terima dengan terbuka...ini tidak, orang surat khabar terus cucuk, kita melenting.

"Jika terus begini, negara kita akan hilang rahmat," katanya.

MataHatiJohor~ : YB Ibrahim Ali seorang pemimpin yang memang kuat jati diri Melayunya. Jiwa beliau jiwa Melayu sama seperti Jiwa Melayu UMNO juga walaupun telah dipecat dari UMNO. Cuma beliau telah disingkirkan secara tidak demokrasi dari UMNO oleh kepimpinan UMNO sekarang.

Beliau pernah ditahan di bawah Akta ISA dan tahu benar apa yang dirasai oleh tahanan ISA. Hari ini, walaupun tidak lagi bersama Kerajaan BN, beliau tetap memegang pendirian yang sama bahawa ISA masih diperlukan di negara berbilang kaum seperti Malaysia ini. Hanya ianya perlu dimantapkan bagi mengelakkan penyalahgunaannya.

Saya yakin sekiranya Pakatan Rakyat memerintah pun ISA akan dikekalkan juga kerana pemikiran mereka pemikiran pembangkang. Mereka lebih sering memikirkan bagaimana untuk menggugat kerajaan sediada, justeru mereka tentunya tidak akan membenarkan ini berlaku semasa mereka di puncak kuasa.

0 ulasan: