UCAPAN DASAR DAN PERASMIAN MESYUARAT PERWAKILAN PERGERAKAN PEMUDA UMNO BAHAGIAN KOTA TINGGI 2008
Oleh : YB. SDRA. HJ. RASMAN BIN HJ. ITHNAIN
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kota Tinggi
(Kini Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kota Tinggi)
Tarikh : 26hb. Oktober 2008
Tempat : Dewan Kg. Gembut, Tanjung Sedili, Kota Tinggi, Johor.
=====================================================
BismillahirRahmanirRahim.
Assalamualaikum wbt.
Segala puji bagi Allah, kita memuji-Nya, memohon pertolongan dan ampunan kepada-Nya, kita berlindung kepada Allah dari kejahatan diri kita dan keburukan amalan-amalan kita, barangsiapa yang Allah tunjuki maka tidak ada yang dapat menyesatkannya, dan barang siapa yang Allah sesatkan maka tidak ada yang dapat memberinya hidayah. Saya bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya kecuali Allah, dan saya bersaksi bahawa Nabi Muhammad saw. adalah hamba dan utusan Allah swt.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan, Saudara Rakan-Rakan Seperjuangan Sekelian,
1. Bagi pihak Pergerakan Pemuda, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, PEKEMBAR atau UMNO, Bahagian Kota Tinggi, dengan penuh sukacitanya, saya ingin mengalu-alukan kehadiran tuan-tuan dan puan-puan, saudara dan saudari ke Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kota Tinggi bagi tahun 2008. Sesungguhnya kehadiran kita di sini pada pagi ini, adalah merupakan suatu tanggungjawab dan komitmen yang tidak berbelah bahagi kita, kepada perjuangan Parti kita UMNO. Kehadiran kita di sini pada pagi ini juga adalah bagi menunaikan serta menjayakan kewajipan dan tanggungjawab kita serta selaras dengan kehendak parti menurut Peraturan dan Perlembagaan UMNO. Mudah-mudahan, kehadiran kita pada hari ini, akan mendalamkan kesedaran, membangkitkan semangat juang, dan menyemarakkan kegigihan kita untuk meneruskan perjuangan dalam UMNO, demi bangsa, agama dan negara, seterusnya, mendapat ganjaran yang setimpal daripada Allah swt terhadap segala usaha dan pengorbanan yang telah dan bakal kita lakukan, InsyaAllah.
2. Saya juga ingin memanjatkan rasa penuh kesyukuran, kehadrat Allah swt. kerana dengan izinnya, Persidangan Pergerakan Pemuda di Peringkat Cawangan – Cawangan, telah berjalan dengan sempurna dan jayanya, tanpa ada sebarang masalah yang besar. Justeru itu, saya ingin mengucapkan, ucapan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih, kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Pemuda Bahagian, khususnya Saudara Cikgu Ishak Bin Ismail, selaku Setiausaha Pemuda Bahagian, serta seluruh Ketua-Ketua Pergerakan Pemuda Cawangan, yang telah memberikan kerjasama, di dalam memastikan, Mesyuarat Pemuda di peringkat Cawangan-Cawangan, dapat dijalankan dengan lancarnya.
3. Kepada yang telah terpilih sebagai Ketua Pemuda Cawangan, Ahli Jawatankuasa Pemuda Cawangan, serta dipilih pula menjadi Perwakilan Pemuda Cawangan ke Mesyuarat Pemuda Bahagian pada hari ini, sukalah saya ingin merakamkan, ucapan syabas dan tahniah, kepada saudara semua. Gunakanlah setiap kesempatan dan peluang yang ada, untuk menaburkan khidmat dan bakti kepada masyarakat. Penyertaan kita dalam UMNO adalah bertujuan untuk berkhidmat, dan membawa kejayaan kepada masyarakat, terutamanya bangsa Melayu. Dan ini tentunya akan memberikan banyak peluang kepada kita, semua untuk menunaikan kewajipan fardhu kifayah kita kepada masyarakat. Yang bertanggungjawab di antara kita, iaitu yang telah terpilih untuk memegang jawatan, haruslah bersedia untuk berkhidmat dan memikul tanggungjawab dengan seberapa baik yang mungkin, menurut kemampuan masing-masing, meskipun kadangkala kita tidak dapat, memenuhi kehendak hati kita, dari segi tempat dan ganjaran di dunia.
4. Ingatlah, Tuhan tidak akan memberikan kita sesuatu tanggungjawab sekiranya kita tidak mampu untuk melaksanakannya. ‘Hendak seribu daya – Tak hendak seribu dalih’. Hanya yang banyak alasan akan cuba melarikan diri dari tanggungjawab yang telah diamanahkan kepadanya.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan, Saudara Rakan-Rakan Seperjuangan Sekelian,
5. Mesyuarat Pergerakan Pemuda Bahagian pada kali ini merupakan Mesyuarat yang istimewa. Mesyuarat kali ini istimewa kerana kita baru sahaja selesai menghadapi Pilihanraya Umum ke 12, yang telah berlangsung pada bulan Mac yang lalu. Mesyuarat kali ini juga istimewa kerana Kepimpinan Parti kita telah memberikan kepercayaan kepada Pemuda, untuk menjadi Calon mewakili Barisan Nasional, bagi kerusi Dewan Undangan Sedili. Selaku Calon yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Bahagian, saya sesungguhnya merasa kagum dan begitu berbangga serta ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah serta terima kasih, kepada saudara-saudara semua kerana telah menunjukkan semangat yang tinggi, penuh disiplin, sanggup berkorban, berkerja kuat siang dan malam, berpanas dan berhujan, dan tidak mementingkan upah dan ganjaran di dalam melaksanakan tanggungjawab saudara sebagai jentera parti.
6. Sebagai manusia yang hanya makhluk tuhan, kita dituntut supaya sentiasa bersyukur. Sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian, sesungguhnya saya amat bersyukur kerana ahli-ahli saya telah menjalankan tugas dengan penuh rasa tanggungjawab, selaras dengan kehendak, tuntutan dan arahan parti.
7. Saya juga tidak lupa untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih saya, kepada seluruh penduduk dan pengundi dalam Kawasan Parlimen Kota Tinggi dan Dewan Undangan Negeri Johor Lama amnya, dan Dewan Undangan Negeri Sedili khasnya, yang telah bekerja keras untuk memastikan kemenangan calon-calon dari Barisan Nasional. Ucapan terima kasih saya ini khasnya saya tujukan kepada seluruh jentera parti kita di peringkat cawangan-cawangan, khususnya Ketua-Ketua UMNO Cawangan, Pegawai-Pegawai serta Ahli Jawatankuasanya, Ketua-Ketua Wanita Cawangan, Pegawai-Pegawai serta Ahli Jawatankuasanya, Ketua-Ketua Pemuda Cawangan, Pegawai-Pegawai serta Ahli Jawatankuasanya juga tak lupa kepada Ketua-Ketua Puteri Cawangan, Pegawai-Pegawai serta Ahli Jawatankuasanya. Terima kasih juga saya ucapkan kepada semua pihak termasuk NGO-NGO yang ada di Kota Tinggi dan khususnya di DUN Sedili serta orang perseorangan yang telah menyumbang kepada kemenangan calon-calon Barisan Nasional. Begitu ramai yang telah membantu dan memberikan sokongan sehingga saya tidak mampu untuk menyebutkan semuanya sekali. Terima kasih semua. Terima kasih.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan, Saudara Rakan-Rakan Seperjuangan Sekelian,
8. Sebagai ahli UMNO dan jentera pilihanraya, kita berhak merasa bangga di atas kejayaan parti kita. Lebih-lebih lagi kita berbangga, kerana kita turut memainkan peranan dan menyumbang terhadap kejayaan tersebut. Tetapi setakat berbangga dengan kejayaan lalu, belum boleh menjamin kejayaan UMNO pada masa hadapan. UMNO perlu bergerak setiap masa. Perjuangannya tiada berkesudahan, manakala pengorbanan kita perlu berterusan. Setiap hari kita bergerak dalam UMNO adalah langkah permulaan yang mesti diteruskan, jika kita mahu sampai kepada matlamat parti kita.
9. Dalam setiap langkah perjuangan UMNO, ianya hanya boleh berjaya jika ia terus diberikan sokongan, khususnya oleh orang-orang Melayu. Lagi ramai orang Melayu menyokong UMNO, lagi pantas, lagi mudah dan lagi cepat UMNO bergerak, untuk memberi pembelaan dan perjuangan kepada orang-orang Melayu. Orang Melayu tidak menyokong UMNO hanya kerana nama pertubuhan kita adalah UMNO. Orang Melayu akan terus memberikan sokongan yang berterusan kepada UMNO, hanya jika kita sentiasa berjuang untuk memelihara kekuasaan politik, kesejahteraan ekonomi dan martabat sosial serta mempertingkatkan kesucian agama islam dan keagongan bangsa kita.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan, Saudara Rakan-Rakan Seperjuangan Sekelian,
10. Saya membangkit soal sokongan orang Melayu kepada UMNO ini adalah kerana, keputusan Pilihanraya Umum ke 12 (PRU12) yang lalu telah menunjukkan bahawa, ada tanda-tanda bahawa orang Melayu khususnya generasi muda, telah mula hilang kepercayaan kepada parti kita UMNO. Selain Kelantan, kini Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor telah berjaya ditawan oleh Parti Pembangkang. Negeri Johor yang terkenal selama ini sebagai kubu kuat UMNO, juga telah berjaya dicerobohi oleh pihak pembangkang.
11. Lanjutan dari kemerosotan Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum yang lalu, telah menyebabkan kegawatan dalam parti kita UMNO. Begitu juga dalam parti-parti komponen BN yang lain. Masing-masing cuba menuding jari menyalahkan pihak yang lain. Tindakan menyalahkan pihak lain tidak akan menyelesaikan masalah yang sedang kita hadapi, melainkan kita sendiri harus mengkaji semula kelemahan dan kesilapan diri kita, seterusnya mengambil jalan secepat mungkin, untuk memperbaiki kelemahan dan kesilapan tersebut. Masa terus berjalan. Jika kita lambat bertindak dan terus menyalahkan pihak lain, kemungkinan untuk UMNO dan Barisan Nasional bangkit semula dalam Pilihanraya Umum yang akan datang menjadi semakin tipis.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan, Saudara Rakan-Rakan Seperjuangan Sekelian,
12. Kesan dari keputusan PRU12 yang lalu juga, telah menyebabkan orang-orang Melayu yang merasa cemas dan tergugat, mula mengambil tindakan menubuhkan bermacam-macam pertubuhan. Dalam keadaan kita mahu menyatukan Orang Melayu yang telah mula berpecah, tindakan ini tentunya tidak akan membantu. Malah tindakan menubuhkan lebih banyak pertubuhan ini akan menambahkan lagi perpecahan kepada Orang Melayu. Namun bagi saya, keadaan ini juga sebenarnya boleh ditafsirkan sebagai menunjukkan, bahawa sudah ada tanda-tanda Orang Melayu mula merasakan bahawa mereka tidak boleh lagi mengharapkan Parti UMNO untuk menjamin dan membela nasib mereka. Orang Melayu mula merasa tidak selamat lagi.
13. Banyak seminar, banyak forum dan perbincangan telah diadakan untuk mengkaji apa yang sebenarnya telah terjadi kepada UMNO dan Barisan Nasional, pada PRU12 yang lalu. Maka begitu banyak sebab telah kenal pasti sebagai punca kepada keadaan ini. Banyak juga cadangan yang telah diterima oleh UMNO untuk dilaksanakan, bagi mengembalikan keyakinan dan sokongan pengundi kepada parti kita.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan, Saudara Rakan-Rakan Seperjuangan Sekelian,
14. Apa yang pasti, persepsi atau pandangan masyarakat dan pengundi terhadap parti kita telah banyak merosot dan berubah. Ahli UMNO kini dilihat mementingkan diri sendiri berbanding melaksanakan tanggungjawabnya untuk berkhidmat kepada masyarakat. Ahli UMNO kini dilihat lebih gemar mengejar jawatan bagi kepentingan diri dan kumpulan mereka sendiri. Ahli UMNO kini dilihat malah dituduh sebagai orang yang rasuah. Ahli UMNO juga digambarkan sebagai gila kuasa sehingga sanggup menghabiskan wang yang banyak untuk menyogok dan merasuah bagi mendapatkan jawatan tertentu dalam parti. Bermacam-macam persepsi buruk yang telah dilabelkan kepada UMNO. Semua ini tidak boleh kita ambil dan pandang ringan kerana semua inilah yang menentukan kemenangan atau kejayaan parti kita pada masa depan.
15. Samada kita suka atau tidak dengan setiap persepsi mahupun label buruk yang telah diberikan kepada parti kita, rakyat atau pengundi telah memberikan mesej buruk ini melalui di peti-peti undi pada PRU12 yang lalu. Samada kita menerimanya atau menafikannya, kita telah kehilangan 4 buah lagi negeri pada PRU12 yang lalu. Adakah kita sanggup kehilangan beberapa buah negeri lagi pada PRU13 yang akan datang. Jika kita terus berbalah dan menyalahkan pihak lain serta tidak cepat bertindak, kita malah mungkin akan menerima kekalahan yang lebih teruk lagi, dan mungkin juga akan terus kehilangan kuasa di peringkat Kerajaan Persekutuan. Adakah kita sanggup perkara ini terjadi kepada parti kita. Tidak ada maknanya jawatan dalam parti yang kita perolehi dengan menggunakan sogokan itu, sekiranya parti kita telah kehilangan kuasa untuk memerintah.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan, Saudara Rakan-Rakan Seperjuangan Sekelian,
16. Justeru itu, marilah kita bermuhasabah diri. UMNO tidak boleh kalah dalam pilihanraya. UMNO tidak mampu untuk menerima kekalahan dalam pilihanraya. UMNO yang keramat ini mempunyai tanggungjawab besar kepada kelangsungan dan masa depan Bangsa Melayu. UMNO, parti keramat yang banyak berjasa ini, memikul amanah yang sungguh besar bagi memartabatkan Bangsa Melayu. Kepada UMNO diletakkan harapan yang tinggi untuk memastikan Bangsa melayu dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa yang lain. Dan kepada UMNO jugalah diharapkan menjadi benteng kepada ketinggian syiar Islam di Negara bertuah ini.
17. Maka pada hari ini, saya ingin menyeru kepada semua yang ada di dewan ini, marilah kita bersatu memulih dan mengembalikan semula kepercayaan dan sokongan rakyat kepada parti kita. Marilah kita berganding bahu menyelamat dan menguatkan semula parti kita yang telah banyak berjasa ini. UMNO telah berusia 62 tahun. Jika diibaratkan seperti kenderaan, UMNO telah ditunggangi oleh Orang Melayu selama 62 tahun. UMNO telah tua. UMNO perlu dipulihkan dan diberikan tenaga semula. UMNO perlu diREMAJAkan semula agar parti kita ini dapat terus diterima, dipercayai dan diberikan sokongan tidak berbelah bahagi oleh Orang Melayu.
18. UMNO perlu diremajakan semula agar dapat terus berkhidmat kepada masyarakat dan orang Melayu. UMNO perlu diremajakan semula agar Bangsa Melayu terus berkuasa di Negaranya sendiri. UMNO perlu diremajakan semula kerana Orang Melayu belum mampu untuk hidup tanpa kuasa politik UMNO.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan, Saudara Rakan-Rakan Seperjuangan Sekelian,
19. Sebagai generasi muda dan generasi pelapis yang akan mewarisi UMNO, marilah kita mulakan langkah untuk meremajakan semula UMNO. Marilah kita tingkatkan azam dan semangat kita untuk terus berkhidmat kepada masyarakat melalui UMNO. Marilah kita mengukuhkan kesatuan kita. Marilah kita menunjukkan sifat prihatin kita terhadap segala permasalahan yang sedang berlaku dalam masyarakat. Marilah kita buangkan sifat-sifat dan prilaku buruk yang telah menyebabkan masyarakat dan pengundi memandang serong kepada parti kita. Marilah kita mendekati semula masyarakat yang mungkin telah kita tinggalkan suatu masa dahulu kerana kesibukkan kita. Marilah kita menunjukkan contoh dan imej yang baik kepada masyarakat, kerana sebagai pemimpin dan ahli parti… diri, peribadi dan perilaku kita adalah cerminan kepada parti kita. Baik pandangan masyarakat kepada kita sebagai pemimpin dan ahli UMNO, insyaAllah baiklah juga pandangan masyarakat kepada parti kita UMNO. Sebaliknya, jika buruk pandangan mereka kepada kita, maka buruk jugalah pandangan mereka kepada parti kita UMNO. Marilah kita mengembalikan semula persepsi dan keyakinan masyarakat supaya mudah-mudahan, UMNO akan kembali diterima dan menjadi satu-satunya parti yang mampu menjadi pembela kepada nasib dan masa depan Bangsa Melayu seperti dahulu.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan, Saudara Rakan-Rakan Seperjuangan Sekelian,
20. Persidangan Pemuda pada tahun ini juga amat penting kerana kita akan mengadakan pemilihan untuk memilih Ketua dan Ahli Jawatankuasa yang baru bagi meneruskan perjuangan Pemuda sebagai sayap penting kepada parti kita UMNO di Kota Tinggi ini. Seperti juga yang sudah-sudah, mereka yang terpilih untuk memimpin Pemuda Bahagian sebenarnya adalah juga memimpin seluruh pemuda Melayu dalam parlimen Kota Tinggi. Dalam keadaan politik seperti yang saya sebutkan sebentar tadi, tanggungjawab yang bakal menanti Pemuda adalah lebih besar dan lebih mencabar lagi.
21. Sepanjang saya menjadi Ketua kepada saudara semua, saya dan seluruh barisan AJK Pemuda Bahagian telah cuba untuk melakukan yang terbaik, bagi faedah kita semua. Bermula dengan menyatukan semula pemuda selepas pertandingan pada tahun 2004, kami kemudiannya cuba memberikan pendedahan dan motivasi untuk meningkatkan daya juang pemuda di semua peringkat. Semua peringkat kepimpinan tertinggi pemuda telah saya berikan peluang untuk bertemu dengan saudara-saudara bagi beramah mesra dan memberikan ucapan serta motivasi perjuangan. Kita bermula dengan YB Datuk Razali Ibrahim, Ketua Pemuda UMNO Negeri Johor. Kemudiannya diikuti pula oleh YB Sdra Khairy Jamaluddin, Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Pada persidangan yang lalu pula, kita berjaya membawa YB Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang juga Menteri Pelajaran untuk merasmikan persidangan kita.
22. Begitu juga lokasi persidangan kita, dari Dewan Jubli Intan, kita bersidang di DUN Johor Lama pada tahun lalu. Pada tahun ini kita bersidang di dalam Kawasan DUN Sedili pula. Semuanya kita merancang dengan penuh teliti agar tidak ada pihak yang berkecil hati. Kami sedaya mungkin cuba mengelakkan apa yang dikatakan sebagai ‘rumah sudah siap – pahat masih berbunyi.’
23. Dari segi program pula, berbagai-bagai program telah kita anjurkan meliputi beberapa aspek yang penting kepada generasi muda termasuk yang berkaitan dengan kefahaman terhadap perjuangan parti, aspek pendidikan, agama, ekonomi dan keusahawanan, juga sosial serta kebudayaan. Semuanya juga telah kita rancangkan dengan penuh teliti agar ianya mencapai matlamat dan sasaran yang telah ditetapkan. Walaupun ada pihak yang memfitnah, mengatakan Pemuda tidak melakukan apa-apa program, saya tidak pernah mahu menjawabnya, kerana saudara semua tahu dan sedar serta terlibat dalam semua program yang telah kita laksanakan.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan, Saudara Rakan-Rakan Seperjuangan Sekelian,
24. Kembali kepada soal pemilihan parti, saya sungguh amat terharu dan terkilan, kerana semasa saya menjadi Ketua Pemuda Bahagian, telah berlaku di mana beberapa orang ahli UMNO Bahagian kita yang juga merupakan calon yang telah layak bertanding dalam pemilihan pada kali ini, telah dikenakan tindakan disiplin dan kehilangan hak untuk memilih dan dipilih selama tiga tahun. Kepada Sdra Muzaidi Makmor, saya ingin menasihatkan supaya berbanyak-banyak bersabar. Terimalah ini sebagai qada’ dan qadar dari Allah swt. Kita manusia yang lemah ini hanya mampu merancang, Allah juga yang maha berkuasa untuk menentukan segala-galanya. Saudara masih muda dan mempunyai banyak masa. Tentu ada hikmahnya terhadap apa yang telah saudara alami ini. Peristiwa ini diharapkan akan mematangkan saudara dalam menempuh liku-liku perjuangan dalam UMNO. Peristiwa ini juga akan mengenalkan saudara, siapa kawan dan siapa lawan. Peristiwa ini tidak seharusnya dibiarkan mematahkan semangat saudara, sebaliknya, jadikanlah peristiwa ini suatu peristiwa yang akan menguatkan lagi semangat saudara untuk berjuang dan menaburkan khidmat bakti dalam UMNO. Dan yang paling penting lagi, peristiwa ini juga haruslah menjadi pengajaran kepada kita semua agar ianya tidak berulang lagi pada masa-masa yang akan datang. InsyaAllah.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan, Saudara Rakan-Rakan Seperjuangan Sekelian,
25. Di dalam keghairahan untuk merebut jawatan pada pemilihan parti kita pada kali ini juga, saya dapati, ada pihak yang telah membangkitkan semula isu-isu lama yang telah terbukti dalam sejarah sebagai unsur negatif yang boleh merosakkan parti. Isu yang telah dijadikan modal politik oleh sesetengah daripada kita ini merupakan perkara-perkara yang telah dikenalpasti pernah membantut dan menyebabkan perjuangan Orang Melayu untuk mencapai kemerdekaan kurang berkesan. Malah isu ini juga yang telah menyebabkan perjuangan Bangsa Melayu sentiasa gagal sehingga Orang Melayu terjajah dengan begitu lama sekali, iaitu kira-kira 450 tahun.
26. Isu yang saya maksudkan adalah isu kesukuan dan kedaerahan (primordial dan parochial). Orang Melayu yang telah selama 62 tahun bersatu kukuh di bawah UMNO kini cuba dipecah-pecahkan kepada : Melayu kampung tradisional, Melayu FELDA dan Melayu Bandar. Jika orang yang membangkitkan perkara ini datangnya dari kaum lain, atau dari Parti Pembangkang, maka kita jelas, bahawa mereka sememangnya berniat jahat, iaitu untuk melihat ahli-ahli UMNO berpecah belah dan akhirnya parti kita UMNO khasnya dan Orang Melayu amnya menjadi lemah. Perpecahan dan kelemahan Orang Melayu dan UMNO akan memungkinkan mereka mengalahkan UMNO dan Barisan Nasional pada Pilihanraya akan datang. Tetapi malangnya, unsur yang sangat negatif ini didalangi oleh ahli UMNO sendiri yang begitu taksub dan ghairah dengan jawatan sehingga mereka tidak sedar, bahawa mereka sedang melemahkan parti UMNO sendiri.
27. Bagi saya, mereka yang membangkitkan isu ini sebenarnya, oleh kerana keghairahan merebut jawatan, terlupa akan sejarah pahit getir perjuangan bangsa-bangsa yang pernah dijajah seperti bangsa Melayu di Indonesia dan begitu juga perjuangan bangsa kita sendiri di Tanah Melayu ini, untuk mencapai kemerdekaan dari British.
28. Keghairahan mengejar jawatan dalam parti telah menyebabkan mereka tidak sedar bahawa mereka ini telah mengajak semula kita, Orang-orang Melayu mengundur ratusan tahun ke belakang. Sebab itu saya sering tekankan bahawa kepimpinan memerlukan ilmu pengetahuan. Sepatutnya pertandingan untuk menjadi pemimpin dalam parti adalah pertandingan untuk memberikan khidmat kepada masyarakat. Pertandingan untuk menyatukan Orang-orang Melayu yang telah mula terpengaruh dengan idea-idea ‘kesamarataan’ yang dibawa oleh Anwar Ibrahim, Parti Keadilan Rakyat dan DAP. Pertandingan dalam UMNO juga seharusnya menjadi pertandingan idea, siapa mempunyai idea yang lebih besar, yang mampu mengukuhkan parti dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat khususnya orang-orang Melayu…sebaliknya bukan membangkitkan isu-isu yang buruk dan negatif seperti ini.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan, Saudara Rakan-Rakan Seperjuangan Sekelian,
29. Oleh kerana ramai di kalangan kita telah mula terkeliru, lebih-lebih lagi pihak yang telah menjadikan unsur-unsur negatif ini sebagai modal kempen mereka, izinkan saya selaku Ketua kepada Pemuda-Pemuda Melayu di Parlimen Kota Tinggi ini untuk menghuraikan kekeliruan ini bagi mengelakkan kita semua ahli-ahli Pergerakan Pemuda UMNO dan seluruh ahli UMNO khasnya, serta seluruh Bangsa Melayu amnya, dari menjadi lemah mendapat kerugian di kemudian hari.
Tuan-Tuan, Puan-Puan, Saudara Rakan Seperjuangan Sekelian,
30. Saya ingin mengajak semua yang ada di sini untuk melihat semula sejarah perjuangan Bangsa Melayu di Kepulauan Melayu khasnya di Indonesia. Sama seperti Tanah Melayu, Indonesia juga adalah sebuah negara yang pernah dijajah. Sejarah telah membuktikan bahawa, perjuangan rakyat Indonesia untuk menentang penjajahan Belanda selama ratusan tahun telah melalui beberapa peringkat. Peringkat pertama adalah di peringkat kesukuan. Banjar dengan banjarnya, Bugis dengan bugisnya, Sunda dan Batak dengan suku masing-masing. Madura berjuang untuk suku Madura sahaja. Di dalam peringkat ini juga terdapat sekali bersamanya semangat kepulauan atau kedaerahan. Rakyat di pulau Jawa hanya berjuang untuk pulau Jawa dan tidak sanggup untuk memperjuangkan kemerdekaan pulau-pulau yang lain. Sumatera dan pulau yang lain berjuang bersendirian untuk membebaskan pulau masing-masing dari pada penjajahan Belanda. Ratusan tahun mereka berjuang tetapi tidak mampu menghalau penjajah keluar dari negara ‘segantang lada’ itu.
31. Perjuangan menerusi kaedah yang terpisah-pisah ini telah menemui jalan buntu, malah sebenarnya adalah merupakan faktor yang melambatkan malah menggagalkan usaha rakyat Indonesia mencapai kemerdekaan dari penjajah Belanda. Menyedari bahawa tiadanya kesatuan menyukarkan mereka mencapai matlamat untuk mendapatkan kemerdekaan, maka tercetus idea untuk berjuang secara lebih besar dengan mengambil konsep perjuangan dan penyatuan Bangsa Indonesia. Pemuda-Pemuda di Indonesia, pada 28hb Oktober 1928 telah bersumpah bagi menyatukan perjuangan seluruh bangsa Indonesia dengan sebuah deklarasinya yang sangat tersohor: “Kami Setanahair; TANAHAIR INDONESIA, Kami Sebangsa; BANGSA INDONESIA, Kami Sebahasa; BAHASA INDONESIA.”
32. Melalui deklarasi atau sumpah keramat ini, segala usaha, segala fikir dan segala tenaga disatukan di bawah suatu gagasan perjuangan, dan akhirnya Indonesia berjaya mencapai kemerdekaannya 20 tahun kemudian iaitu pada 17hb Ogos 1948. Sukarno atau lebih terkenal dengan panggilan Bung Karno, pemimpin Agong Revolusi Indonesia itu, telah menyedarkan Bangsa Indonesia tentang pentingnya kesatuan dalam perjuangan, kira-kira 80 tahun yang lampau.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan, Saudara Rakan-Rakan Seperjuangan Sekelian,
33. Di Tanah Melayu juga pernah berlaku hal yang serupa. Perjuangan orang Melayu yang pernah dijajah ratusan tahun hanya berjaya apabila ianya disatukan dibawah satu wadah: Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, PEKEMBAR atau UMNO. Sebelum itu, Melayu berjuang secara terpisah-pisah kerana mementingkan semangat kesukuan dan kedaerahan. Melayu Kelantan berjuang untuk orang Kelantan. Melayu Perak berjuang untuk orang Perak. Begitu juga Melayu dari negeri-negeri yang lain termasuk Melayu Johor. Maka lahirlah bermacam-macam persatuan seperti API (Angkatan Pemuda Insaf), KMM (Kesatuan Melayu Muda), PETA (Pembela Tanahair), LKMJ (Lembaga Kesatuan Melayu Johor), PMSJ (Pergerakan Melayu Semenanjung Johor) dan banyak lagi.
34. Masing-masing mempunyai matlamat perjuangan yang sama iaitu untuk menentang penjajahan Inggeris, tetapi mereka terpisah kerana semangat negatif, yang mengecilkan perjuangan mereka, iaitu semangat kesukuan dan kedaerahan. Dato Onn Jafar adalah tokoh pemimpin Melayu yang telah berjaya menyatu dan memperkasakan perjuangan Melayu melalui satu wadah perjuangan sahaja, iaitu UMNO. Walaupun UMNO telah ditubuhkan pada tahun 1946, masih ada persatuan Melayu seperti SABERKAS dan Persetiaan Melayu Kelantan yang masih berdegil dan enggan membenarkan ahlinya menjadi ahli UMNO secara terus.
35. Dengan kebijaksanaan Allahyarham Dato’ Onn Jaafar, melalui sebuah ucapannya pada tarikh 27hb Disember 1947, beliau telah berjaya menyedarkan orang Melayu tentang kesilapan ini dan akhirnya perjuangan Bangsa Melayu dapat disatukan melalui parti UMNO yang unggul. Kesannya, hanya sepuluh tahun sahaja kemudian daripada itu, iaitu pada tahun 1957, Tanah Melayu telah mencapai kemerdekaannya setelah melalui zaman penjajahan yang penuh keperitan dan penghinaan selama kira-kira 450 tahun. Peringatan Dato Onn ini kepada orang Melayu telah dilafaskannya kira-kira 62 tahun yang lalu.
36. Hari ini terdapat sebahagian dari kalangan kita, yang berjuang dengan mengajak dan menyeru orang Melayu khususnya Ahli UMNO agar kembali semula ke era atau zaman kelemahan perjuangan Bangsa Melayu. Mereka ini berkempen ke cawangan-cawangan berusaha untuk melemahkan UMNO. Mereka mengajak Orang-Orang Melayu berundur ke jauh ke belakang. Mereka mengajak orang Melayu membongkar kubur pejuang-pejuang kesukuan dan kedaerahan yang telah lama dikuburkan oleh UMNO dan cuba menghidupkan semula tulang-tulang yang telah reput itu.
37. Keghairahan dan ketaksuban kepada pangkat dan jawatan dalam parti telah menyebabkan mereka keliru dan melakukan kesilapan. Saya memohon agar kita semua tidak melupakan sejarah perjuangan dan pahit getir bangsa Melayu, bangsa kita sendiri. Dengan kefahaman dan penghayatan terhadap sejarah perjuangan bangsa kita, InsyaAllah, akan dapat mengelakkan diri kita dari terus melakukan kesilapan dan diperalatkan sehingga boleh menyebabkan UMNO menjadi musnah. Kita semua harus sedar bahawa sesiapa pun yang telah dipilih untuk memimpin, ianya bertanggungjawab terhadap semua ahli, tidak kira dari mana ia berasal, samada dari Kampung Tradisional, dari Felda mahu pun dari Bandar. Mereka harus mendapat layanan dan pembelaan yang sama kerana mereka juga membayar yuran RM 1 seperti ahli-ahli yang lain.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan, Saudara Rakan-Rakan Seperjuangan Sekelian,
38. Menyentuh tentang mereka ini, saya ingin mengingatkan sekali lagi akan sebuah pesanan Lukmanul Hakim yang terkenal itu kepada anaknya. Lukmanul Hakim pernah berpesan kepada anaknya : “wahai anakku, Jika kamu tidak dapat menjadi garam yang boleh menahan ikan dari menjadi busuk, maka janganlah sekali-kali kamu menjadi langau yang menyebabkan dan mempercepatkan ikan itu menjadi busuk.” Moral atau pengajaran yang boleh kita dapat dari pesanan Lukmanul Hakim itu adalah : Jika kita tidak dapat untuk menyumbang kepada memastikan UMNO terus utuh dan kuat bagi menjayakan agenda perjuangan bangsa Melayu, maka janganlah pula kita menjadi orang yang beria-ia dan bersungguh-sungguh berusaha untuk merosak dan menjahanamkan parti UMNO yang sungguh keramat ini. Mudah-mudahan, kita akan mendapat pengajaran dari pesanan yang sungguh amat bermakna ini.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan, Saudara Rakan-Rakan Seperjuangan Sekelian,
39. Sebelum saya terlupa, kepada rakan-rakan yang telah melepasi had umur dalam pemuda, Pergerakan Pemuda Bahagian ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas segala sumbangan, khidmat bakti dan jasa yang telah dicurahkan kepada parti dan khususnya Pergerakan Pemuda selama ini. InsyaAllah, keikhlasan perjuangan dan khidmat bakti serta masa berharga yang telah saudara korbankan selama ini akan sentiasa dikenang dan mendapat ganjaran baik sebagai suatu amalan yang soleh dari Allah swt. Justeru itu saya berdoa dan mengharapkan, janganlah amalan soleh itu terhenti setakat ini sahaja. Sebaliknya teruskanlah khidmat bakti yang amat bermakna dan sungguh-sungguh diperlukan ini kepada agama, bangsa dan negara ke peringkat seterusnya di UMNO Bahagian Kota Tinggi.
40. Parti kita yang telah mencapai usia 62 tahun sangat mengharapkan tenaga dan perkhidmatan dari generasi muda seperti saudara. Pergerakan Pemuda adalah diibaratkan sebuah kilang yang bertanggungjawab melahirkan pemimpin-pemimpin pelapis bagi parti kita UMNO selama ini. Hal ini diakui sejak dari dahulu lagi. Kebanyakan pemimpin UMNO hari ini adalah pemimpin yang telah mendapat latihan dari kilang pemuda.
41. Secara berterus terang saya sendiri terpaksa mengakui, bahawa seperti saudara juga, saya adalah salah seorang ahli pemuda yang telah melalui proses di dalam kilang pemuda. Bermula dengan menawarkan diri sebagai Ketua Pemuda Cawangan, Ahli Jawatankuasa Pemuda Bahagian, kemudian sebagai Ketua Pemuda Bahagian, seterusnya dipilih sebagai Wakil Rakyat mewakili UMNO, saya berada di sini, di hadapan saudara sekelian, adalah dengan sokongan saudara semua. Tanpa melalui latihan dari ‘Kilang Pemuda’ dan lebih-lebih lagi sokongan dari saudara selama ini, tidak mungkin saya dapat mencapai sehingga ke tahap ini. Saya amat bersyukur dan berterima kasih di atas sokongan yang telah saudara berikan selama ini. Saya percaya Pemuda akan sentiasa memberikan sokongan kepada semua ahli yang telah melalui proses dari Kilang Pemuda, untuk meneruskan perkhidmatan di peringkat UMNO Bahagian.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan, Saudara Rakan-Rakan Seperjuangan Sekelian,
42. Dan seperti yang saudara sedia maklum, sama seperti rakan-rakan yang saya sebutkan tadi, memandangkan saya juga sudah tidak layak lagi untuk berada bersama-sama saudara dalam Pergerakan Pemuda, atas faktor umur yang telah melepasi had 40 tahun seperti yang disyaratkan oleh peraturan UMNO, maka suka atau tidak, saya memohon restu tuan-tuan, puan-puan, saudara dan saudari rakan-rakan seperjuangan sekelian untuk memberikan peluang kepada saya bagi meneruskan atau menyambung khidmat bakti saya kepada parti di peringkat UMNO Bahagian.
43. Dalam Pemilihan UMNO di Peringkat Bahagian yang akan diadakan pada esok hari, Alhamdulillah, saya telah mendapat cukup pencalonan untuk menawarkan khidmat bakti saya sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kota Tinggi. Dengan penuh rendah diri, saya sedar, tidak ada apa yang dapat saya tawarkan kepada ahli dan parti kita UMNO, melainkan khidmat saya yang ikhlas, yang insyaAllah, masih boleh dan masih mampu saya berikan. Selagi ada hayat dan kemampuan dan selagi saya dikehendaki, saya akan terus berkhidmat kepada masyarakat, kepada Parti UMNO, dan kepada Bangsa Melayu.
44. Bagi saya, jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian tidak akan memberi makna dan tidak ada apa-apa ertinya, melainkan untuk menentukan kepentingan masyarakat, menentukan kepentingan UMNO dan kepentingan Melayu terus terpelihara, bersama dengan kepentingan Agama dan Negara. Setiap kali saya menawarkan diri untuk bertanding, saya tidak pernah menawarkan apa-apa imbuhan kepada mereka yang menyokong saya. Saya hanya dapat menawarkan khidmat sebagai sumbangan yang ikhlas untuk berjuang demi kepentingan agama, bangsa dan tanahair. Saya menawarkan diri bagi jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian juga adalah untuk memastikan saya berpeluang untuk menjayakan idea-idea yang saya miliki hasil dari pembelajaran, pengamatan dan pengalaman saya khususnya semasa menjadi Ketua Pergerakan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kota Tinggi.
45. Undi memang penting, tetapi saya tidak rela memfitnah dan memburukkan rakan-rakan saya dalam UMNO sendiri. Undi memang penting, tetapi saya tidak sanggup menipu dan membohongi rakan-rakan seperjuangan dan menipu diri saya sendiri. Undi memang penting dalam politik, tetapi saya tidak rela, kerana undi kita sanggup menjual bangsa dan keturunan kita sendiri. Ingatlah, tidak ada seorang pun daripada kita yang penting, termasuklah diri saya sendiri. Tidak ada seorang pun ahli UMNO atau pemimpin-pemimpin UMNO yang penting, walau apa pun jawatan yang mereka sandang. Yang penting adalah pertubuhan ini, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, PEKEMBAR atau UMNO, sebagai sebuah badan politik yang bertujuan untuk mengubah nasib dan masa depan orang Melayu.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan, Saudara Rakan-Rakan Seperjuangan Sekelian,
46. Sekiranya pun saya ditakdirkan tidak mampu untuk menjadi ‘garam yang akan dapat menjadikan ikan tahan lebih lama, saya tidak sanggup pula menjadi langau yang menjadikan ikan lebih cepat menjadi busuk.’ Semuanya bergantung kepada restu dan sokongan dari tuan-tuan, puan-puan, saudara dan saudari rakan-rakan seperjuangan sekelian.
47. Justeru itu, saya mengharapkan kepada tuan-tuan, puan-puan, saudara dan saudari rakan-rakan seperjuangan sekalian, tunaikanlah hak yang telah diamanahkan itu dengan penuh rasa tanggungjawab kepada Allah swt dan rasulullah, yang menyeru kita agar berani menyatakan kebenaran. Bertanggungjawablah kepada ahli-ahli kita di cawangan, kepada agama, Bangsa Melayu dan kepada generasi anak dan cucu kita di masa hadapan. Pilihlah mereka yang benar-benar ikhlas berjuang untuk mencapai matlamat parti. Ingatlah, kesenangan yang kita nikmati pada hari ini adalah hasil perjuangan pejuang-pejuang bangsa yang terdahulu. Ingatlah juga bahawa kesenangan yang kita nikmati pada hari ini sebenarnya kita pinjam dari anak cucu kita. Janganlah kita terlalai sehingga akhirnya kita tidak berjaya mewariskan UMNO yang kukuh seperti mana yang telah kita warisi dari pejuang-pejuang yang terdahulu.
48. Mudah-mudahan, Allah yang Maha Kuasa dan Maha Pemimpin, yang memimpin dan membimbing semua niat, yang memimpin dan membimbing semua gerak, yang memimpin dan membimbing semua rasa, yang memimpin dan membimbing semua fikir. Memimpin dan membimbing fikiran dan perasaan tuan-tuan, puan-puan, saudara dan saudari rakan-rakan seperjuangan, tetap di jalan yang benar, tetap dijalan yang diredhainya. InsyaAllah Bangsa Melayu akan terus selamat dan maju, berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa lain di dunia yang penuh cabaran ini. “Sayangkan Bangsa – Nescaya Kita Semua Akan Sentiasa Menberikan Yang Terbaik Untuk Bangsa Kita”.
Ya Allah, Selamatkanlah Bangsaku.
Dengan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahim, saya dengan penuh sukacitanya, merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kota Tinggi bagi tahun 2008.
Yang baik itu datangnya dari Allah swt. Yang buruk itu datangnya dari kedangkalan ilmu dan pengalaman saya sendiri.
Sekian, Terima Kasih dan Selamat Bersidang.
(Sdra. Yang Berhormat Hj Rasman Ithnain kini adalah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kota Tinggi apabila terpilih mengalahkan Setiausaha Akhbar Datuk Syed Hamid Albar dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Tinggi pada 27hb. Oktober 2008 yang lalu.)
0 ulasan:
Catat Ulasan