Ahad, 5 Oktober 2008

HINDRAF : KERAJAAN PENTINGKAN POLITIK DARI KESELAMATAN RAKYAT


Bertindak tegas elak Hindraf jadi lebih agresif

KUALA LUMPUR 4 Okt. - Kerajaan digesa bertindak tegas terhadap Hindu Rights Action Force (Hindraf) bagi mengelakkan anggota pertubuhan haram itu menjadi lebih agresif ekoran tindakan keterlaluan mereka.

Dekan Pasca-Siswazah dan Penyelidikan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, kerajaan perlu melakukan sesuatu sebelum kumpulan itu bertindak lebih agresif.

Pengalaman beberapa kumpulan pelampau agama yang menjadi militan sebelum ini, katanya, harus dijadikan contoh.

"Kerajaan tidak perlu bertolak ansur dengan Hindraf memandangkan ia sebuah kumpulan haram yang bergerak atas dasar perkauman sempit dan membuat pelbagai dakwaan," kata Mohamed Mustafa kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan anggota Hindraf 'menyerbu' di Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Menteri-Menteri Kabinet beragama Islam di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini Rabu lalu.

"Kumpulan itu memperjuangkan isu-isu politik berlandaskan satu agama dan satu kaum,'' jelasnya, sambil menambah matlamat tersebut berbahaya kepada hubungan kaum di negara ini.

Mohamed Mustafa memberitahu, sebelum ini kerajaan telah mengharamkan dan bertindak tegas ke atas beberapa kumpulan pelampau agama.

Justeru, kata beliau, tindakan yang sama perlu diambil terhadap Hindraf.

"Kadang-kadang manusia lupa kepada sejarah dan menuduh kerajaan tidak demokratik sedangkan kumpulan seperti Hindraf mempunyai saluran dan cara yang sah untuk membuat aduan dan rayuan," katanya.

Semalam, ketika mengulas kes penyokong Hindraf di PWTC, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar memberi amaran kepada para pemimpin pertubuhan itu supaya "jangan melakukan provokasi yang melampau dan menakutkan."

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Nakhaie Ahmad berkata, kerajaan perlu mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana kumpulan pelampau baik Islam mahupun bukan Islam.

Menurut beliau, tindakan Hindraf tidak boleh dipandang ringan oleh masyarakat dan kaum lain.

"Anggota kumpulan itu perlu berhati-hati sebelum berlaku sesuatu yang hanya akan merugikan mereka akibat daripada perbuatan menimbulkan keadaan yang boleh menjurus kepada huru-hara dalam negara," katanya.

Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Datuk S. Subramaniam pula meminta Hindraf menggunakan pendekatan perbincangan dan perundingan untuk mendapatkan sesuatu daripada pihak kerajaan.

Menurutnya, sewaktu menjadi Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dahulu, beliau mengamalkan cara rundingan dengan kerajaan untuk membincangkan apa juga masalah yang dihadapi.

"Apa yang diperoleh di meja rundingan bergantung kepada kebijaksanaan kita merundingkan perkara itu," jelasnya.

Bagi Suhakam pula, tegas beliau, pihaknya hanya melihat isu 68 orang yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dari sudut hak asasi manusia.

Kata beliau, Suhakam akan menggunakan meja rundingan bagi menjaga kebajikan mereka yang ditahan di bawah ISA.

0 ulasan: