Rabu, 29 Oktober 2008

UCAPAN DASAR DAN PERASMIAN MESYUARAT PERWAKILAN PERGERAKAN PEMUDA UMNO BAHAGIAN KOTA TINGGI 2008

Oleh : YB. SDRA. HJ. RASMAN BIN HJ. ITHNAIN
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kota Tinggi
(Kini Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kota Tinggi)

Tarikh : 26hb. Oktober 2008
Tempat : Dewan Kg. Gembut, Tanjung Sedili, Kota Tinggi, Johor.
=====================================================

BismillahirRahmanirRahim.
Assalamualaikum wbt.

Segala puji bagi Allah, kita memuji-Nya, memohon pertolongan dan ampunan kepada-Nya, kita berlindung kepada Allah dari kejahatan diri kita dan keburukan amalan-amalan kita, barangsiapa yang Allah tunjuki maka tidak ada yang dapat menyesatkannya, dan barang siapa yang Allah sesatkan maka tidak ada yang dapat memberinya hidayah. Saya bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya kecuali Allah, dan saya bersaksi bahawa Nabi Muhammad saw. adalah hamba dan utusan Allah swt.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, Saudara Rakan-Rakan Seperjuangan Sekelian,

1. Bagi pihak Pergerakan Pemuda, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, PEKEMBAR atau UMNO, Bahagian Kota Tinggi, dengan penuh sukacitanya, saya ingin mengalu-alukan kehadiran tuan-tuan dan puan-puan, saudara dan saudari ke Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kota Tinggi bagi tahun 2008. Sesungguhnya kehadiran kita di sini pada pagi ini, adalah merupakan suatu tanggungjawab dan komitmen yang tidak berbelah bahagi kita, kepada perjuangan Parti kita UMNO. Kehadiran kita di sini pada pagi ini juga adalah bagi menunaikan serta menjayakan kewajipan dan tanggungjawab kita serta selaras dengan kehendak parti menurut Peraturan dan Perlembagaan UMNO. Mudah-mudahan, kehadiran kita pada hari ini, akan mendalamkan kesedaran, membangkitkan semangat juang, dan menyemarakkan kegigihan kita untuk meneruskan perjuangan dalam UMNO, demi bangsa, agama dan negara, seterusnya, mendapat ganjaran yang setimpal daripada Allah swt terhadap segala usaha dan pengorbanan yang telah dan bakal kita lakukan, InsyaAllah.

2. Saya juga ingin memanjatkan rasa penuh kesyukuran, kehadrat Allah swt. kerana dengan izinnya, Persidangan Pergerakan Pemuda di Peringkat Cawangan – Cawangan, telah berjalan dengan sempurna dan jayanya, tanpa ada sebarang masalah yang besar. Justeru itu, saya ingin mengucapkan, ucapan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih, kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Pemuda Bahagian, khususnya Saudara Cikgu Ishak Bin Ismail, selaku Setiausaha Pemuda Bahagian, serta seluruh Ketua-Ketua Pergerakan Pemuda Cawangan, yang telah memberikan kerjasama, di dalam memastikan, Mesyuarat Pemuda di peringkat Cawangan-Cawangan, dapat dijalankan dengan lancarnya.

3. Kepada yang telah terpilih sebagai Ketua Pemuda Cawangan, Ahli Jawatankuasa Pemuda Cawangan, serta dipilih pula menjadi Perwakilan Pemuda Cawangan ke Mesyuarat Pemuda Bahagian pada hari ini, sukalah saya ingin merakamkan, ucapan syabas dan tahniah, kepada saudara semua. Gunakanlah setiap kesempatan dan peluang yang ada, untuk menaburkan khidmat dan bakti kepada masyarakat. Penyertaan kita dalam UMNO adalah bertujuan untuk berkhidmat, dan membawa kejayaan kepada masyarakat, terutamanya bangsa Melayu. Dan ini tentunya akan memberikan banyak peluang kepada kita, semua untuk menunaikan kewajipan fardhu kifayah kita kepada masyarakat. Yang bertanggungjawab di antara kita, iaitu yang telah terpilih untuk memegang jawatan, haruslah bersedia untuk berkhidmat dan memikul tanggungjawab dengan seberapa baik yang mungkin, menurut kemampuan masing-masing, meskipun kadangkala kita tidak dapat, memenuhi kehendak hati kita, dari segi tempat dan ganjaran di dunia.

4. Ingatlah, Tuhan tidak akan memberikan kita sesuatu tanggungjawab sekiranya kita tidak mampu untuk melaksanakannya. ‘Hendak seribu daya – Tak hendak seribu dalih’. Hanya yang banyak alasan akan cuba melarikan diri dari tanggungjawab yang telah diamanahkan kepadanya.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, Saudara Rakan-Rakan Seperjuangan Sekelian,

5. Mesyuarat Pergerakan Pemuda Bahagian pada kali ini merupakan Mesyuarat yang istimewa. Mesyuarat kali ini istimewa kerana kita baru sahaja selesai menghadapi Pilihanraya Umum ke 12, yang telah berlangsung pada bulan Mac yang lalu. Mesyuarat kali ini juga istimewa kerana Kepimpinan Parti kita telah memberikan kepercayaan kepada Pemuda, untuk menjadi Calon mewakili Barisan Nasional, bagi kerusi Dewan Undangan Sedili. Selaku Calon yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Bahagian, saya sesungguhnya merasa kagum dan begitu berbangga serta ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah serta terima kasih, kepada saudara-saudara semua kerana telah menunjukkan semangat yang tinggi, penuh disiplin, sanggup berkorban, berkerja kuat siang dan malam, berpanas dan berhujan, dan tidak mementingkan upah dan ganjaran di dalam melaksanakan tanggungjawab saudara sebagai jentera parti.

6. Sebagai manusia yang hanya makhluk tuhan, kita dituntut supaya sentiasa bersyukur. Sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian, sesungguhnya saya amat bersyukur kerana ahli-ahli saya telah menjalankan tugas dengan penuh rasa tanggungjawab, selaras dengan kehendak, tuntutan dan arahan parti.

7. Saya juga tidak lupa untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih saya, kepada seluruh penduduk dan pengundi dalam Kawasan Parlimen Kota Tinggi dan Dewan Undangan Negeri Johor Lama amnya, dan Dewan Undangan Negeri Sedili khasnya, yang telah bekerja keras untuk memastikan kemenangan calon-calon dari Barisan Nasional. Ucapan terima kasih saya ini khasnya saya tujukan kepada seluruh jentera parti kita di peringkat cawangan-cawangan, khususnya Ketua-Ketua UMNO Cawangan, Pegawai-Pegawai serta Ahli Jawatankuasanya, Ketua-Ketua Wanita Cawangan, Pegawai-Pegawai serta Ahli Jawatankuasanya, Ketua-Ketua Pemuda Cawangan, Pegawai-Pegawai serta Ahli Jawatankuasanya juga tak lupa kepada Ketua-Ketua Puteri Cawangan, Pegawai-Pegawai serta Ahli Jawatankuasanya. Terima kasih juga saya ucapkan kepada semua pihak termasuk NGO-NGO yang ada di Kota Tinggi dan khususnya di DUN Sedili serta orang perseorangan yang telah menyumbang kepada kemenangan calon-calon Barisan Nasional. Begitu ramai yang telah membantu dan memberikan sokongan sehingga saya tidak mampu untuk menyebutkan semuanya sekali. Terima kasih semua. Terima kasih.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, Saudara Rakan-Rakan Seperjuangan Sekelian,

8. Sebagai ahli UMNO dan jentera pilihanraya, kita berhak merasa bangga di atas kejayaan parti kita. Lebih-lebih lagi kita berbangga, kerana kita turut memainkan peranan dan menyumbang terhadap kejayaan tersebut. Tetapi setakat berbangga dengan kejayaan lalu, belum boleh menjamin kejayaan UMNO pada masa hadapan. UMNO perlu bergerak setiap masa. Perjuangannya tiada berkesudahan, manakala pengorbanan kita perlu berterusan. Setiap hari kita bergerak dalam UMNO adalah langkah permulaan yang mesti diteruskan, jika kita mahu sampai kepada matlamat parti kita.

9. Dalam setiap langkah perjuangan UMNO, ianya hanya boleh berjaya jika ia terus diberikan sokongan, khususnya oleh orang-orang Melayu. Lagi ramai orang Melayu menyokong UMNO, lagi pantas, lagi mudah dan lagi cepat UMNO bergerak, untuk memberi pembelaan dan perjuangan kepada orang-orang Melayu. Orang Melayu tidak menyokong UMNO hanya kerana nama pertubuhan kita adalah UMNO. Orang Melayu akan terus memberikan sokongan yang berterusan kepada UMNO, hanya jika kita sentiasa berjuang untuk memelihara kekuasaan politik, kesejahteraan ekonomi dan martabat sosial serta mempertingkatkan kesucian agama islam dan keagongan bangsa kita.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, Saudara Rakan-Rakan Seperjuangan Sekelian,

10. Saya membangkit soal sokongan orang Melayu kepada UMNO ini adalah kerana, keputusan Pilihanraya Umum ke 12 (PRU12) yang lalu telah menunjukkan bahawa, ada tanda-tanda bahawa orang Melayu khususnya generasi muda, telah mula hilang kepercayaan kepada parti kita UMNO. Selain Kelantan, kini Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor telah berjaya ditawan oleh Parti Pembangkang. Negeri Johor yang terkenal selama ini sebagai kubu kuat UMNO, juga telah berjaya dicerobohi oleh pihak pembangkang.

11. Lanjutan dari kemerosotan Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum yang lalu, telah menyebabkan kegawatan dalam parti kita UMNO. Begitu juga dalam parti-parti komponen BN yang lain. Masing-masing cuba menuding jari menyalahkan pihak yang lain. Tindakan menyalahkan pihak lain tidak akan menyelesaikan masalah yang sedang kita hadapi, melainkan kita sendiri harus mengkaji semula kelemahan dan kesilapan diri kita, seterusnya mengambil jalan secepat mungkin, untuk memperbaiki kelemahan dan kesilapan tersebut. Masa terus berjalan. Jika kita lambat bertindak dan terus menyalahkan pihak lain, kemungkinan untuk UMNO dan Barisan Nasional bangkit semula dalam Pilihanraya Umum yang akan datang menjadi semakin tipis.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, Saudara Rakan-Rakan Seperjuangan Sekelian,

12. Kesan dari keputusan PRU12 yang lalu juga, telah menyebabkan orang-orang Melayu yang merasa cemas dan tergugat, mula mengambil tindakan menubuhkan bermacam-macam pertubuhan. Dalam keadaan kita mahu menyatukan Orang Melayu yang telah mula berpecah, tindakan ini tentunya tidak akan membantu. Malah tindakan menubuhkan lebih banyak pertubuhan ini akan menambahkan lagi perpecahan kepada Orang Melayu. Namun bagi saya, keadaan ini juga sebenarnya boleh ditafsirkan sebagai menunjukkan, bahawa sudah ada tanda-tanda Orang Melayu mula merasakan bahawa mereka tidak boleh lagi mengharapkan Parti UMNO untuk menjamin dan membela nasib mereka. Orang Melayu mula merasa tidak selamat lagi.

13. Banyak seminar, banyak forum dan perbincangan telah diadakan untuk mengkaji apa yang sebenarnya telah terjadi kepada UMNO dan Barisan Nasional, pada PRU12 yang lalu. Maka begitu banyak sebab telah kenal pasti sebagai punca kepada keadaan ini. Banyak juga cadangan yang telah diterima oleh UMNO untuk dilaksanakan, bagi mengembalikan keyakinan dan sokongan pengundi kepada parti kita.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, Saudara Rakan-Rakan Seperjuangan Sekelian,

14. Apa yang pasti, persepsi atau pandangan masyarakat dan pengundi terhadap parti kita telah banyak merosot dan berubah. Ahli UMNO kini dilihat mementingkan diri sendiri berbanding melaksanakan tanggungjawabnya untuk berkhidmat kepada masyarakat. Ahli UMNO kini dilihat lebih gemar mengejar jawatan bagi kepentingan diri dan kumpulan mereka sendiri. Ahli UMNO kini dilihat malah dituduh sebagai orang yang rasuah. Ahli UMNO juga digambarkan sebagai gila kuasa sehingga sanggup menghabiskan wang yang banyak untuk menyogok dan merasuah bagi mendapatkan jawatan tertentu dalam parti. Bermacam-macam persepsi buruk yang telah dilabelkan kepada UMNO. Semua ini tidak boleh kita ambil dan pandang ringan kerana semua inilah yang menentukan kemenangan atau kejayaan parti kita pada masa depan.

15. Samada kita suka atau tidak dengan setiap persepsi mahupun label buruk yang telah diberikan kepada parti kita, rakyat atau pengundi telah memberikan mesej buruk ini melalui di peti-peti undi pada PRU12 yang lalu. Samada kita menerimanya atau menafikannya, kita telah kehilangan 4 buah lagi negeri pada PRU12 yang lalu. Adakah kita sanggup kehilangan beberapa buah negeri lagi pada PRU13 yang akan datang. Jika kita terus berbalah dan menyalahkan pihak lain serta tidak cepat bertindak, kita malah mungkin akan menerima kekalahan yang lebih teruk lagi, dan mungkin juga akan terus kehilangan kuasa di peringkat Kerajaan Persekutuan. Adakah kita sanggup perkara ini terjadi kepada parti kita. Tidak ada maknanya jawatan dalam parti yang kita perolehi dengan menggunakan sogokan itu, sekiranya parti kita telah kehilangan kuasa untuk memerintah.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, Saudara Rakan-Rakan Seperjuangan Sekelian,

16. Justeru itu, marilah kita bermuhasabah diri. UMNO tidak boleh kalah dalam pilihanraya. UMNO tidak mampu untuk menerima kekalahan dalam pilihanraya. UMNO yang keramat ini mempunyai tanggungjawab besar kepada kelangsungan dan masa depan Bangsa Melayu. UMNO, parti keramat yang banyak berjasa ini, memikul amanah yang sungguh besar bagi memartabatkan Bangsa Melayu. Kepada UMNO diletakkan harapan yang tinggi untuk memastikan Bangsa melayu dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa yang lain. Dan kepada UMNO jugalah diharapkan menjadi benteng kepada ketinggian syiar Islam di Negara bertuah ini.

17. Maka pada hari ini, saya ingin menyeru kepada semua yang ada di dewan ini, marilah kita bersatu memulih dan mengembalikan semula kepercayaan dan sokongan rakyat kepada parti kita. Marilah kita berganding bahu menyelamat dan menguatkan semula parti kita yang telah banyak berjasa ini. UMNO telah berusia 62 tahun. Jika diibaratkan seperti kenderaan, UMNO telah ditunggangi oleh Orang Melayu selama 62 tahun. UMNO telah tua. UMNO perlu dipulihkan dan diberikan tenaga semula. UMNO perlu diREMAJAkan semula agar parti kita ini dapat terus diterima, dipercayai dan diberikan sokongan tidak berbelah bahagi oleh Orang Melayu.

18. UMNO perlu diremajakan semula agar dapat terus berkhidmat kepada masyarakat dan orang Melayu. UMNO perlu diremajakan semula agar Bangsa Melayu terus berkuasa di Negaranya sendiri. UMNO perlu diremajakan semula kerana Orang Melayu belum mampu untuk hidup tanpa kuasa politik UMNO.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan, Saudara Rakan-Rakan Seperjuangan Sekelian,

19. Sebagai generasi muda dan generasi pelapis yang akan mewarisi UMNO, marilah kita mulakan langkah untuk meremajakan semula UMNO. Marilah kita tingkatkan azam dan semangat kita untuk terus berkhidmat kepada masyarakat melalui UMNO. Marilah kita mengukuhkan kesatuan kita. Marilah kita menunjukkan sifat prihatin kita terhadap segala permasalahan yang sedang berlaku dalam masyarakat. Marilah kita buangkan sifat-sifat dan prilaku buruk yang telah menyebabkan masyarakat dan pengundi memandang serong kepada parti kita. Marilah kita mendekati semula masyarakat yang mungkin telah kita tinggalkan suatu masa dahulu kerana kesibukkan kita. Marilah kita menunjukkan contoh dan imej yang baik kepada masyarakat, kerana sebagai pemimpin dan ahli parti… diri, peribadi dan perilaku kita adalah cerminan kepada parti kita. Baik pandangan masyarakat kepada kita sebagai pemimpin dan ahli UMNO, insyaAllah baiklah juga pandangan masyarakat kepada parti kita UMNO. Sebaliknya, jika buruk pandangan mereka kepada kita, maka buruk jugalah pandangan mereka kepada parti kita UMNO. Marilah kita mengembalikan semula persepsi dan keyakinan masyarakat supaya mudah-mudahan, UMNO akan kembali diterima dan menjadi satu-satunya parti yang mampu menjadi pembela kepada nasib dan masa depan Bangsa Melayu seperti dahulu.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan, Saudara Rakan-Rakan Seperjuangan Sekelian,

20. Persidangan Pemuda pada tahun ini juga amat penting kerana kita akan mengadakan pemilihan untuk memilih Ketua dan Ahli Jawatankuasa yang baru bagi meneruskan perjuangan Pemuda sebagai sayap penting kepada parti kita UMNO di Kota Tinggi ini. Seperti juga yang sudah-sudah, mereka yang terpilih untuk memimpin Pemuda Bahagian sebenarnya adalah juga memimpin seluruh pemuda Melayu dalam parlimen Kota Tinggi. Dalam keadaan politik seperti yang saya sebutkan sebentar tadi, tanggungjawab yang bakal menanti Pemuda adalah lebih besar dan lebih mencabar lagi.

21. Sepanjang saya menjadi Ketua kepada saudara semua, saya dan seluruh barisan AJK Pemuda Bahagian telah cuba untuk melakukan yang terbaik, bagi faedah kita semua. Bermula dengan menyatukan semula pemuda selepas pertandingan pada tahun 2004, kami kemudiannya cuba memberikan pendedahan dan motivasi untuk meningkatkan daya juang pemuda di semua peringkat. Semua peringkat kepimpinan tertinggi pemuda telah saya berikan peluang untuk bertemu dengan saudara-saudara bagi beramah mesra dan memberikan ucapan serta motivasi perjuangan. Kita bermula dengan YB Datuk Razali Ibrahim, Ketua Pemuda UMNO Negeri Johor. Kemudiannya diikuti pula oleh YB Sdra Khairy Jamaluddin, Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Pada persidangan yang lalu pula, kita berjaya membawa YB Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang juga Menteri Pelajaran untuk merasmikan persidangan kita.

22. Begitu juga lokasi persidangan kita, dari Dewan Jubli Intan, kita bersidang di DUN Johor Lama pada tahun lalu. Pada tahun ini kita bersidang di dalam Kawasan DUN Sedili pula. Semuanya kita merancang dengan penuh teliti agar tidak ada pihak yang berkecil hati. Kami sedaya mungkin cuba mengelakkan apa yang dikatakan sebagai ‘rumah sudah siap – pahat masih berbunyi.’

23. Dari segi program pula, berbagai-bagai program telah kita anjurkan meliputi beberapa aspek yang penting kepada generasi muda termasuk yang berkaitan dengan kefahaman terhadap perjuangan parti, aspek pendidikan, agama, ekonomi dan keusahawanan, juga sosial serta kebudayaan. Semuanya juga telah kita rancangkan dengan penuh teliti agar ianya mencapai matlamat dan sasaran yang telah ditetapkan. Walaupun ada pihak yang memfitnah, mengatakan Pemuda tidak melakukan apa-apa program, saya tidak pernah mahu menjawabnya, kerana saudara semua tahu dan sedar serta terlibat dalam semua program yang telah kita laksanakan.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, Saudara Rakan-Rakan Seperjuangan Sekelian,

24. Kembali kepada soal pemilihan parti, saya sungguh amat terharu dan terkilan, kerana semasa saya menjadi Ketua Pemuda Bahagian, telah berlaku di mana beberapa orang ahli UMNO Bahagian kita yang juga merupakan calon yang telah layak bertanding dalam pemilihan pada kali ini, telah dikenakan tindakan disiplin dan kehilangan hak untuk memilih dan dipilih selama tiga tahun. Kepada Sdra Muzaidi Makmor, saya ingin menasihatkan supaya berbanyak-banyak bersabar. Terimalah ini sebagai qada’ dan qadar dari Allah swt. Kita manusia yang lemah ini hanya mampu merancang, Allah juga yang maha berkuasa untuk menentukan segala-galanya. Saudara masih muda dan mempunyai banyak masa. Tentu ada hikmahnya terhadap apa yang telah saudara alami ini. Peristiwa ini diharapkan akan mematangkan saudara dalam menempuh liku-liku perjuangan dalam UMNO. Peristiwa ini juga akan mengenalkan saudara, siapa kawan dan siapa lawan. Peristiwa ini tidak seharusnya dibiarkan mematahkan semangat saudara, sebaliknya, jadikanlah peristiwa ini suatu peristiwa yang akan menguatkan lagi semangat saudara untuk berjuang dan menaburkan khidmat bakti dalam UMNO. Dan yang paling penting lagi, peristiwa ini juga haruslah menjadi pengajaran kepada kita semua agar ianya tidak berulang lagi pada masa-masa yang akan datang. InsyaAllah.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, Saudara Rakan-Rakan Seperjuangan Sekelian,

25. Di dalam keghairahan untuk merebut jawatan pada pemilihan parti kita pada kali ini juga, saya dapati, ada pihak yang telah membangkitkan semula isu-isu lama yang telah terbukti dalam sejarah sebagai unsur negatif yang boleh merosakkan parti. Isu yang telah dijadikan modal politik oleh sesetengah daripada kita ini merupakan perkara-perkara yang telah dikenalpasti pernah membantut dan menyebabkan perjuangan Orang Melayu untuk mencapai kemerdekaan kurang berkesan. Malah isu ini juga yang telah menyebabkan perjuangan Bangsa Melayu sentiasa gagal sehingga Orang Melayu terjajah dengan begitu lama sekali, iaitu kira-kira 450 tahun.

26. Isu yang saya maksudkan adalah isu kesukuan dan kedaerahan (primordial dan parochial). Orang Melayu yang telah selama 62 tahun bersatu kukuh di bawah UMNO kini cuba dipecah-pecahkan kepada : Melayu kampung tradisional, Melayu FELDA dan Melayu Bandar. Jika orang yang membangkitkan perkara ini datangnya dari kaum lain, atau dari Parti Pembangkang, maka kita jelas, bahawa mereka sememangnya berniat jahat, iaitu untuk melihat ahli-ahli UMNO berpecah belah dan akhirnya parti kita UMNO khasnya dan Orang Melayu amnya menjadi lemah. Perpecahan dan kelemahan Orang Melayu dan UMNO akan memungkinkan mereka mengalahkan UMNO dan Barisan Nasional pada Pilihanraya akan datang. Tetapi malangnya, unsur yang sangat negatif ini didalangi oleh ahli UMNO sendiri yang begitu taksub dan ghairah dengan jawatan sehingga mereka tidak sedar, bahawa mereka sedang melemahkan parti UMNO sendiri.

27. Bagi saya, mereka yang membangkitkan isu ini sebenarnya, oleh kerana keghairahan merebut jawatan, terlupa akan sejarah pahit getir perjuangan bangsa-bangsa yang pernah dijajah seperti bangsa Melayu di Indonesia dan begitu juga perjuangan bangsa kita sendiri di Tanah Melayu ini, untuk mencapai kemerdekaan dari British.

28. Keghairahan mengejar jawatan dalam parti telah menyebabkan mereka tidak sedar bahawa mereka ini telah mengajak semula kita, Orang-orang Melayu mengundur ratusan tahun ke belakang. Sebab itu saya sering tekankan bahawa kepimpinan memerlukan ilmu pengetahuan. Sepatutnya pertandingan untuk menjadi pemimpin dalam parti adalah pertandingan untuk memberikan khidmat kepada masyarakat. Pertandingan untuk menyatukan Orang-orang Melayu yang telah mula terpengaruh dengan idea-idea ‘kesamarataan’ yang dibawa oleh Anwar Ibrahim, Parti Keadilan Rakyat dan DAP. Pertandingan dalam UMNO juga seharusnya menjadi pertandingan idea, siapa mempunyai idea yang lebih besar, yang mampu mengukuhkan parti dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat khususnya orang-orang Melayu…sebaliknya bukan membangkitkan isu-isu yang buruk dan negatif seperti ini.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan, Saudara Rakan-Rakan Seperjuangan Sekelian,

29. Oleh kerana ramai di kalangan kita telah mula terkeliru, lebih-lebih lagi pihak yang telah menjadikan unsur-unsur negatif ini sebagai modal kempen mereka, izinkan saya selaku Ketua kepada Pemuda-Pemuda Melayu di Parlimen Kota Tinggi ini untuk menghuraikan kekeliruan ini bagi mengelakkan kita semua ahli-ahli Pergerakan Pemuda UMNO dan seluruh ahli UMNO khasnya, serta seluruh Bangsa Melayu amnya, dari menjadi lemah mendapat kerugian di kemudian hari.

Tuan-Tuan, Puan-Puan, Saudara Rakan Seperjuangan Sekelian,

30. Saya ingin mengajak semua yang ada di sini untuk melihat semula sejarah perjuangan Bangsa Melayu di Kepulauan Melayu khasnya di Indonesia. Sama seperti Tanah Melayu, Indonesia juga adalah sebuah negara yang pernah dijajah. Sejarah telah membuktikan bahawa, perjuangan rakyat Indonesia untuk menentang penjajahan Belanda selama ratusan tahun telah melalui beberapa peringkat. Peringkat pertama adalah di peringkat kesukuan. Banjar dengan banjarnya, Bugis dengan bugisnya, Sunda dan Batak dengan suku masing-masing. Madura berjuang untuk suku Madura sahaja. Di dalam peringkat ini juga terdapat sekali bersamanya semangat kepulauan atau kedaerahan. Rakyat di pulau Jawa hanya berjuang untuk pulau Jawa dan tidak sanggup untuk memperjuangkan kemerdekaan pulau-pulau yang lain. Sumatera dan pulau yang lain berjuang bersendirian untuk membebaskan pulau masing-masing dari pada penjajahan Belanda. Ratusan tahun mereka berjuang tetapi tidak mampu menghalau penjajah keluar dari negara ‘segantang lada’ itu.

31. Perjuangan menerusi kaedah yang terpisah-pisah ini telah menemui jalan buntu, malah sebenarnya adalah merupakan faktor yang melambatkan malah menggagalkan usaha rakyat Indonesia mencapai kemerdekaan dari penjajah Belanda. Menyedari bahawa tiadanya kesatuan menyukarkan mereka mencapai matlamat untuk mendapatkan kemerdekaan, maka tercetus idea untuk berjuang secara lebih besar dengan mengambil konsep perjuangan dan penyatuan Bangsa Indonesia. Pemuda-Pemuda di Indonesia, pada 28hb Oktober 1928 telah bersumpah bagi menyatukan perjuangan seluruh bangsa Indonesia dengan sebuah deklarasinya yang sangat tersohor: “Kami Setanahair; TANAHAIR INDONESIA, Kami Sebangsa; BANGSA INDONESIA, Kami Sebahasa; BAHASA INDONESIA.”


32. Melalui deklarasi atau sumpah keramat ini, segala usaha, segala fikir dan segala tenaga disatukan di bawah suatu gagasan perjuangan, dan akhirnya Indonesia berjaya mencapai kemerdekaannya 20 tahun kemudian iaitu pada 17hb Ogos 1948. Sukarno atau lebih terkenal dengan panggilan Bung Karno, pemimpin Agong Revolusi Indonesia itu, telah menyedarkan Bangsa Indonesia tentang pentingnya kesatuan dalam perjuangan, kira-kira 80 tahun yang lampau.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, Saudara Rakan-Rakan Seperjuangan Sekelian,

33. Di Tanah Melayu juga pernah berlaku hal yang serupa. Perjuangan orang Melayu yang pernah dijajah ratusan tahun hanya berjaya apabila ianya disatukan dibawah satu wadah: Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, PEKEMBAR atau UMNO. Sebelum itu, Melayu berjuang secara terpisah-pisah kerana mementingkan semangat kesukuan dan kedaerahan. Melayu Kelantan berjuang untuk orang Kelantan. Melayu Perak berjuang untuk orang Perak. Begitu juga Melayu dari negeri-negeri yang lain termasuk Melayu Johor. Maka lahirlah bermacam-macam persatuan seperti API (Angkatan Pemuda Insaf), KMM (Kesatuan Melayu Muda), PETA (Pembela Tanahair), LKMJ (Lembaga Kesatuan Melayu Johor), PMSJ (Pergerakan Melayu Semenanjung Johor) dan banyak lagi.

34. Masing-masing mempunyai matlamat perjuangan yang sama iaitu untuk menentang penjajahan Inggeris, tetapi mereka terpisah kerana semangat negatif, yang mengecilkan perjuangan mereka, iaitu semangat kesukuan dan kedaerahan. Dato Onn Jafar adalah tokoh pemimpin Melayu yang telah berjaya menyatu dan memperkasakan perjuangan Melayu melalui satu wadah perjuangan sahaja, iaitu UMNO. Walaupun UMNO telah ditubuhkan pada tahun 1946, masih ada persatuan Melayu seperti SABERKAS dan Persetiaan Melayu Kelantan yang masih berdegil dan enggan membenarkan ahlinya menjadi ahli UMNO secara terus.


35. Dengan kebijaksanaan Allahyarham Dato’ Onn Jaafar, melalui sebuah ucapannya pada tarikh 27hb Disember 1947, beliau telah berjaya menyedarkan orang Melayu tentang kesilapan ini dan akhirnya perjuangan Bangsa Melayu dapat disatukan melalui parti UMNO yang unggul. Kesannya, hanya sepuluh tahun sahaja kemudian daripada itu, iaitu pada tahun 1957, Tanah Melayu telah mencapai kemerdekaannya setelah melalui zaman penjajahan yang penuh keperitan dan penghinaan selama kira-kira 450 tahun. Peringatan Dato Onn ini kepada orang Melayu telah dilafaskannya kira-kira 62 tahun yang lalu.

36. Hari ini terdapat sebahagian dari kalangan kita, yang berjuang dengan mengajak dan menyeru orang Melayu khususnya Ahli UMNO agar kembali semula ke era atau zaman kelemahan perjuangan Bangsa Melayu. Mereka ini berkempen ke cawangan-cawangan berusaha untuk melemahkan UMNO. Mereka mengajak Orang-Orang Melayu berundur ke jauh ke belakang. Mereka mengajak orang Melayu membongkar kubur pejuang-pejuang kesukuan dan kedaerahan yang telah lama dikuburkan oleh UMNO dan cuba menghidupkan semula tulang-tulang yang telah reput itu.

37. Keghairahan dan ketaksuban kepada pangkat dan jawatan dalam parti telah menyebabkan mereka keliru dan melakukan kesilapan. Saya memohon agar kita semua tidak melupakan sejarah perjuangan dan pahit getir bangsa Melayu, bangsa kita sendiri. Dengan kefahaman dan penghayatan terhadap sejarah perjuangan bangsa kita, InsyaAllah, akan dapat mengelakkan diri kita dari terus melakukan kesilapan dan diperalatkan sehingga boleh menyebabkan UMNO menjadi musnah. Kita semua harus sedar bahawa sesiapa pun yang telah dipilih untuk memimpin, ianya bertanggungjawab terhadap semua ahli, tidak kira dari mana ia berasal, samada dari Kampung Tradisional, dari Felda mahu pun dari Bandar. Mereka harus mendapat layanan dan pembelaan yang sama kerana mereka juga membayar yuran RM 1 seperti ahli-ahli yang lain.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, Saudara Rakan-Rakan Seperjuangan Sekelian,

38. Menyentuh tentang mereka ini, saya ingin mengingatkan sekali lagi akan sebuah pesanan Lukmanul Hakim yang terkenal itu kepada anaknya. Lukmanul Hakim pernah berpesan kepada anaknya : “wahai anakku, Jika kamu tidak dapat menjadi garam yang boleh menahan ikan dari menjadi busuk, maka janganlah sekali-kali kamu menjadi langau yang menyebabkan dan mempercepatkan ikan itu menjadi busuk.” Moral atau pengajaran yang boleh kita dapat dari pesanan Lukmanul Hakim itu adalah : Jika kita tidak dapat untuk menyumbang kepada memastikan UMNO terus utuh dan kuat bagi menjayakan agenda perjuangan bangsa Melayu, maka janganlah pula kita menjadi orang yang beria-ia dan bersungguh-sungguh berusaha untuk merosak dan menjahanamkan parti UMNO yang sungguh keramat ini. Mudah-mudahan, kita akan mendapat pengajaran dari pesanan yang sungguh amat bermakna ini.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, Saudara Rakan-Rakan Seperjuangan Sekelian,

39. Sebelum saya terlupa, kepada rakan-rakan yang telah melepasi had umur dalam pemuda, Pergerakan Pemuda Bahagian ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas segala sumbangan, khidmat bakti dan jasa yang telah dicurahkan kepada parti dan khususnya Pergerakan Pemuda selama ini. InsyaAllah, keikhlasan perjuangan dan khidmat bakti serta masa berharga yang telah saudara korbankan selama ini akan sentiasa dikenang dan mendapat ganjaran baik sebagai suatu amalan yang soleh dari Allah swt. Justeru itu saya berdoa dan mengharapkan, janganlah amalan soleh itu terhenti setakat ini sahaja. Sebaliknya teruskanlah khidmat bakti yang amat bermakna dan sungguh-sungguh diperlukan ini kepada agama, bangsa dan negara ke peringkat seterusnya di UMNO Bahagian Kota Tinggi.

40. Parti kita yang telah mencapai usia 62 tahun sangat mengharapkan tenaga dan perkhidmatan dari generasi muda seperti saudara. Pergerakan Pemuda adalah diibaratkan sebuah kilang yang bertanggungjawab melahirkan pemimpin-pemimpin pelapis bagi parti kita UMNO selama ini. Hal ini diakui sejak dari dahulu lagi. Kebanyakan pemimpin UMNO hari ini adalah pemimpin yang telah mendapat latihan dari kilang pemuda.

41. Secara berterus terang saya sendiri terpaksa mengakui, bahawa seperti saudara juga, saya adalah salah seorang ahli pemuda yang telah melalui proses di dalam kilang pemuda. Bermula dengan menawarkan diri sebagai Ketua Pemuda Cawangan, Ahli Jawatankuasa Pemuda Bahagian, kemudian sebagai Ketua Pemuda Bahagian, seterusnya dipilih sebagai Wakil Rakyat mewakili UMNO, saya berada di sini, di hadapan saudara sekelian, adalah dengan sokongan saudara semua. Tanpa melalui latihan dari ‘Kilang Pemuda’ dan lebih-lebih lagi sokongan dari saudara selama ini, tidak mungkin saya dapat mencapai sehingga ke tahap ini. Saya amat bersyukur dan berterima kasih di atas sokongan yang telah saudara berikan selama ini. Saya percaya Pemuda akan sentiasa memberikan sokongan kepada semua ahli yang telah melalui proses dari Kilang Pemuda, untuk meneruskan perkhidmatan di peringkat UMNO Bahagian.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, Saudara Rakan-Rakan Seperjuangan Sekelian,

42. Dan seperti yang saudara sedia maklum, sama seperti rakan-rakan yang saya sebutkan tadi, memandangkan saya juga sudah tidak layak lagi untuk berada bersama-sama saudara dalam Pergerakan Pemuda, atas faktor umur yang telah melepasi had 40 tahun seperti yang disyaratkan oleh peraturan UMNO, maka suka atau tidak, saya memohon restu tuan-tuan, puan-puan, saudara dan saudari rakan-rakan seperjuangan sekelian untuk memberikan peluang kepada saya bagi meneruskan atau menyambung khidmat bakti saya kepada parti di peringkat UMNO Bahagian.

43. Dalam Pemilihan UMNO di Peringkat Bahagian yang akan diadakan pada esok hari, Alhamdulillah, saya telah mendapat cukup pencalonan untuk menawarkan khidmat bakti saya sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kota Tinggi. Dengan penuh rendah diri, saya sedar, tidak ada apa yang dapat saya tawarkan kepada ahli dan parti kita UMNO, melainkan khidmat saya yang ikhlas, yang insyaAllah, masih boleh dan masih mampu saya berikan. Selagi ada hayat dan kemampuan dan selagi saya dikehendaki, saya akan terus berkhidmat kepada masyarakat, kepada Parti UMNO, dan kepada Bangsa Melayu.

44. Bagi saya, jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian tidak akan memberi makna dan tidak ada apa-apa ertinya, melainkan untuk menentukan kepentingan masyarakat, menentukan kepentingan UMNO dan kepentingan Melayu terus terpelihara, bersama dengan kepentingan Agama dan Negara. Setiap kali saya menawarkan diri untuk bertanding, saya tidak pernah menawarkan apa-apa imbuhan kepada mereka yang menyokong saya. Saya hanya dapat menawarkan khidmat sebagai sumbangan yang ikhlas untuk berjuang demi kepentingan agama, bangsa dan tanahair. Saya menawarkan diri bagi jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian juga adalah untuk memastikan saya berpeluang untuk menjayakan idea-idea yang saya miliki hasil dari pembelajaran, pengamatan dan pengalaman saya khususnya semasa menjadi Ketua Pergerakan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kota Tinggi.

45. Undi memang penting, tetapi saya tidak rela memfitnah dan memburukkan rakan-rakan saya dalam UMNO sendiri. Undi memang penting, tetapi saya tidak sanggup menipu dan membohongi rakan-rakan seperjuangan dan menipu diri saya sendiri. Undi memang penting dalam politik, tetapi saya tidak rela, kerana undi kita sanggup menjual bangsa dan keturunan kita sendiri. Ingatlah, tidak ada seorang pun daripada kita yang penting, termasuklah diri saya sendiri. Tidak ada seorang pun ahli UMNO atau pemimpin-pemimpin UMNO yang penting, walau apa pun jawatan yang mereka sandang. Yang penting adalah pertubuhan ini, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, PEKEMBAR atau UMNO, sebagai sebuah badan politik yang bertujuan untuk mengubah nasib dan masa depan orang Melayu.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan, Saudara Rakan-Rakan Seperjuangan Sekelian,

46. Sekiranya pun saya ditakdirkan tidak mampu untuk menjadi ‘garam yang akan dapat menjadikan ikan tahan lebih lama, saya tidak sanggup pula menjadi langau yang menjadikan ikan lebih cepat menjadi busuk.’ Semuanya bergantung kepada restu dan sokongan dari tuan-tuan, puan-puan, saudara dan saudari rakan-rakan seperjuangan sekelian.

47. Justeru itu, saya mengharapkan kepada tuan-tuan, puan-puan, saudara dan saudari rakan-rakan seperjuangan sekalian, tunaikanlah hak yang telah diamanahkan itu dengan penuh rasa tanggungjawab kepada Allah swt dan rasulullah, yang menyeru kita agar berani menyatakan kebenaran. Bertanggungjawablah kepada ahli-ahli kita di cawangan, kepada agama, Bangsa Melayu dan kepada generasi anak dan cucu kita di masa hadapan. Pilihlah mereka yang benar-benar ikhlas berjuang untuk mencapai matlamat parti. Ingatlah, kesenangan yang kita nikmati pada hari ini adalah hasil perjuangan pejuang-pejuang bangsa yang terdahulu. Ingatlah juga bahawa kesenangan yang kita nikmati pada hari ini sebenarnya kita pinjam dari anak cucu kita. Janganlah kita terlalai sehingga akhirnya kita tidak berjaya mewariskan UMNO yang kukuh seperti mana yang telah kita warisi dari pejuang-pejuang yang terdahulu.

48. Mudah-mudahan, Allah yang Maha Kuasa dan Maha Pemimpin, yang memimpin dan membimbing semua niat, yang memimpin dan membimbing semua gerak, yang memimpin dan membimbing semua rasa, yang memimpin dan membimbing semua fikir. Memimpin dan membimbing fikiran dan perasaan tuan-tuan, puan-puan, saudara dan saudari rakan-rakan seperjuangan, tetap di jalan yang benar, tetap dijalan yang diredhainya. InsyaAllah Bangsa Melayu akan terus selamat dan maju, berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa lain di dunia yang penuh cabaran ini. “Sayangkan Bangsa – Nescaya Kita Semua Akan Sentiasa Menberikan Yang Terbaik Untuk Bangsa Kita”.

Ya Allah, Selamatkanlah Bangsaku.

Dengan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahim, saya dengan penuh sukacitanya, merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kota Tinggi bagi tahun 2008.

Yang baik itu datangnya dari Allah swt. Yang buruk itu datangnya dari kedangkalan ilmu dan pengalaman saya sendiri.

Sekian, Terima Kasih dan Selamat Bersidang.

(Sdra. Yang Berhormat Hj Rasman Ithnain kini adalah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kota Tinggi apabila terpilih mengalahkan Setiausaha Akhbar Datuk Syed Hamid Albar dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Tinggi pada 27hb. Oktober 2008 yang lalu.)

Khamis, 23 Oktober 2008

BUDGET SELANGOR : MENANG SORAK KAMPUNG TERGADAI


Assalamualaikum dan salam sejahtera buat para sahabat blogers sekalian,

1. Terlebih dahulu saya mohon maaf kerana tidak dapat mengemaskini blog ini hampir sebulan.

2. Seperti mana kita sedia maklumi kerajaan Pakatan Rakyat telah pun membentang Bajet pertamanya di Selangor beberapa hari lalu. Pada awalnya saya menjangkakan kerajaan negeri akan sedaya upaya membentangkan Bajet yang mencerminkan usaha-usaha untuk memenuhi janji-janji dalam manifesto pilihan raya yang lalu.

3. Malangnya, jika diteliti tidak sampai sepuluh peratus daripada janji tersebut disebut semula dalam Bajet ini. Antara yang disebut ialah Tabung wawasan Anak Selangor (Tawas), Bekalan air percuma 20 meter padu pertama, Hadiah anak masuk ke universiti dan Tabung mesra usia emas.

4. Namun, ada lebih 20 janji lagi dalam manifesto yang tidak disebut langsung, mungkin dengan harapan rakyat akan lupa. Antaranya ialah:

a. janji potongan cukai pintu sebanyak 20% untuk premis kediaman dan 10% untuk premis perniagaan.
b. elaun anak tadika RM 50 seorang sebulan
c. Elaun anak pusat asuhan kanak-kanan, RM 75 sebulan
d. elaun khas ibu-ibu yang memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa.
e. elauan khas ibu tunggal
f. bantuan kewangan untuk anak muda berkahwin
g. bantuan geran untuk perniagaan
h. memberi sewa percuma sekurang-kurangnya tiga bulan pertama di premis perniagaan milik kerajaan negeri
i. membiayai rawatan percuma untuk warga Selangor yang berusi 60 tahun ke atas dan banyak lagi,

4. Jelas Bajet pertama Pakatan rakyat di Selangor ini gagal memberi penumpuan kepada usaha-usaha melaksanakan janji pilihan raya menunjukkan Bajet yang dibentang bercanggah sama sekali dan menyimpang jauh dari janji manifesto Pakatan rakyat dalam pilihan raya lalu.

5. Saya tidak tahu apa alasan yang akan PR berikan kepada rakyat Selangor kerana gagal menunaikan janji..

6. Suatu ketika dahulu saya ditempelak kerana tidak sabar menunggu janji tersebut ditunaikan, Dan ketika sambutan 100 hari PR menjadi kerajaan. YAB. Menteri Besar ada berjanji untuk melaksanakan sekurang-kurangnya 50% janji manifesto dalam bajet pertamanya.


7. Namun saya juga ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada kerajaan pakatan rakyat atas keberanian mereka menaikkan Paras Garis Kemiskinan (PGK) daripada RM 731 kepada RM 1, 500. Menurut MB, dalam Bajet tersebut, dengan PGK baru ini, 30% rakyat Selangor berada di bawah paras kemiskinan.

8. Malangnya, keberanian tersebut tidak pula diikuti dengan langkah berani mengatasi kemiskinan dan meningkatkan pendapatan isi rumah. Sepatutnya peningkatan PGK ini hendaklah diikuti dengan pelan perancangan kerajaan bagi meningkatkan pendapatan isu rumah daripada kurang RM 731 kepada lebih RM 1, 500.

9. Lebih anehnya, pengisyitiharan PGK baru ini tidak pula diikuti dengan kenaikan gaji kakitangan kerajaan negeri. Ini bermakna terdapat kakitangan kerajaan negeri berada di bawah paras kemiskinan.

10. Seiring dengan pengisytiharan paras garis kemiskinan baru ini, saya fikir amat wajar untuk gaji kakitangan kerajaan negeri dinaikkan di atas RM 1, 500.

11. Ada beberapa wakil rakyat Pakatan Rakyat mempersoalkan mengapa kerajaan negeri tidak menaikkan gaji kakitangan kerajaan. Guru-guru sekolah agama rendah dan guru-guru sekolah agama rakyat dan juga kakitangan sokongan di semua jabatan dalam negeri Selangor juga berada di bawah garis kemiskinan berdasarkan PGK baru ini.

12. Adalah tidak wajar menaikkan paras garis kemiskinan dan membiarkan begitu sahaja.

13. Saya harap kerajaan negeri perlu memastikan tiga puluh peratus kemiskinan ini dapat dikurangkan dalam jangka masa setahun ini dan akan dapat dilihat dalam bajet tahun depan.

14. Jika tidak usaha menaikkan PGK ini tidak lebih dari menang sorak kampung tergadai. Bersorak kita bahawa kerajaan prihatin kerana menaikkan PGK tapi tiada apa yang untung kerana tiada satu pun tindakan dirancang meningkatkan pendapatan rakyat.

~Dari Blog Khir Toyo

Jumaat, 17 Oktober 2008

PERINGATAN RAJA MELAYU



KUALA TERENGGANU 16 Okt. — Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-215 yang berlangsung di Istana Maziah di sini hari ini mengeluarkan satu kenyataan akhbar khas berhubung beberapa perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin berangkat menghadiri mesyuarat itu dengan diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Mesyuarat dua hari itu yang berakhir hari ini dipengerusikan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.

Berikut adalah salinan penuh kenyataan akhbar khas berkenaan yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah hari ini.

Keistimewaan

“Kenyataan Akhbar Yang Dikeluarkan Oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Mengenai Peranan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu berhubung dengan hak-hak keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-raja Melayu, agama Islam, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut Perlembagan Persekutuan.

“Raja-raja Melayu yang menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja telah berunding mengeluarkan kenyataan akhbar khas bersama pada hari ini.

“Raja-raja Melayu mempunyai peranan perlembagaan untuk melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-raja Melayu, melindungi Agama Islam, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia.

“Tindakan pihak-pihak tertentu mempertikai dan mempersoalkan perkara-perkara tersebut yang menjadi asas utama pembentukan negara Malaysia dan termasuk dalam Perlembagaan Persekutuan telah menimbulkan kegusaran dan keresahan di kalangan rakyat.

Sebagai tindakbalas, beberapa pihak terutama pemimpin-pemimpin Melayu sama ada yang berada dalam kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan telah menyuarakan rasa tidak puas hati dan marah terhadap pihak yang membuat kenyataan dan laporan dan menganjurkan forum-forum berkenaan.

“Antara sebab-sebab yang dikenalpasti berlakunya perkara ini ialah kedangkalan pengetahuan pihak berkenaan terhadap latar belakang sejarah mengapa peruntukan-peruntukan tersebut dimaktubkan dalam Perlembangaan Persekutuan dan pengaruh prinsip-prinsip kesaksamaan dan keadilan yang cuba diimplikasikan di negara ini tanpa berjunjungkan latar belakang sejarah dan keadaan sosial negara ini. Kepentingan politik sempit juga merupakan penyebab berlakunya perkara ini.

“Gejala ini jika tidak ditangani dengan segera boleh menyebabkan negara terjebak dalam kancah perpecahan dan persengketaan antara kaum yang boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan yang selama ini telah membawa kemajuan, pembangunan dan kejayaan kepada negara.

“Justeru, adalah perlu Majlis Raja-Raja menegaskan dan memperingatkan semua pihak tentang peruntukan-peruntukan perlembagaan tersebut di samping memberi penekanan tentang jaminan perlindungan hak-hak sah kaum lain. Perlu ditegaskan bahawa setiap peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan telah melalui proses perbincangan, pertimbangan, konsultansi, pengorbanan dan sifat tolak ansur yang sangat tinggi nilainya bagi apa yang telah diperjuangkan, diperbincangkan, dipertimbangkan, dimanfaatkan serta dipersetujui oleh semua pihak yang terlibat, sehingga wujudnya peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang dikenali sebagai Kontrak Sosial.

Kontrak Sosial ini tidak wajar dipertikai dan dipersoalkan lebih-lebih lagi disemak semula atau diubah kerana ia adalah merupakan asas utama pembentukan negara Malaysia. Untuk itu Raja-raja Melayu wajar memperingatkan supaya isu berkaitan Kontrak Sosial tidak sekali-kali cuba diuji dan dicabar.

Dipertikai

“Sesungguhnya, angkatan pemimpin di era prakemerdekaan, berfikiran dalam - berpandangan jauh. Raja-raja Melayu telah dibawa bersama semasa rundingan menuntut kemerdekaan. Institusi raja dikekalkan dan dimaktubkan secara perundangan dalam Perlembagaan Malaysia Merdeka. Institusi raja diberikan kemuliaan, ditempatkan di puncak kerajaan, sebagai Ketua Negara dan Ketua Negeri, laksana payung pelindung, menjamin berlakunya kesaksamaan di kalangan warga. Institusi raja berperanan sebagai faktor penyemak dan pengimbang, untuk merungkai sebarang kekusutan, sekiranya berlaku.

“Raja-raja Melayu juga membuat seruan kepada orang Melayu supaya bersatu-padu untuk mempertahankan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-raja Melayu, melindungi agama Islam, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Penekanan juga perlu dibuat bahawa agenda ini adalah lebih penting dan utama dari kepentingan politik atau kelompok.

“Kaum bukan Melayu tidak perlu merasa khuatir dan bimbang tentang hak-hak sah mereka kerana hak-hak tersebut telah dijamin mengikut Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan-peruntukan yang terkandung dalam Undang-undang Tubuh Negeri-negeri di Malaysia yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Adalah diharapkan dengan penegasan tersebut, segala kekeliruan berhubung dengan perkara ini di kalangan rakyat jelata dapat dibendung dan suatu suasana yang harmoni, aman dan sikap saling hormat menghormati di kalangan rakyat dapat terus diwujudkan demi menjaga ketenteraman negara.”

Menghormati

Kesemua Sultan dan Yang Dipertua Negeri menghadiri mesyuarat itu kecuali Pahang, Johor, Terengganu, Perlis dan Negeri Sembilan.

Sultan Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Sultan Johor diwakili Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar dan Sultan Terengganu diwakili Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud.

Negeri Sembilan diwakili Pemangku Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tunku Naquiyuddin Ibni Tuanku Jaafar dan Perlis diwakili Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Turut hadir menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri kecuali Sarawak yang diwakili Menteri II Perancangan dan Pengurusan Sumber, Datuk Seri Awang Tengah Ali Hasan.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah berkata, perkara-perkara berkaitan pertahanan, keselamatan, kedudukan ekonomi negara, Biasiswa Yang di-Pertuan Agong termasuk cadangan pelantikan Ketua Hakim Negara Persekutuan, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Besar Malaya telah dibincangkan dalam mesyuarat itu.

— Bernama

RATU ANJING; YANG MELENGKING ITU

RATU ANJING; YANG MELENGKING ITU
- (Panggak Binasa Terlajak Kata)

I
Ratu anjing itu pun melengking, menyalak galak mengasah taring,
setelah lepas tersepit pengancing, lalu keluar dari akal yang sinting,
munci; Wajah yang sering berpaling dan sanggah yang polang-poling
menunjuk telunjuk berkait kelinking.
Makhluk juga; Takdirnya dia ... anjing
tabiat 'bagai melihat bayang di air yang bening'.

II
Masyarakat anjing itu pun riuh menyambut pulang seorang tokoh
dari paksina kedaksina gamat gemuruh menggoncang tulang-tulang tanpa roh
pameo pusaka dari benua jauh, panggak yang terlanjur angkuh,
alibi 'telur tembelang' di hari ketujuh, telah jatuh ke wajah ratu yang selingkuh
menggadaikan kabilah mudah diperbodoh

III
Suci suatu subuh itu terganggu, salak anjing antara azan yang syahdu
melihat kelibat siluman dan hantu, tawakal muazin menuju nawaitu
tertip titipan taqwa pada yang satu
biarkan ratu anjing itu menyalak waktu, bukit bukau tetap jitu
gunung-ganang tetap padu, manusia perlu berakal dan berilmu

IV
Alam maya bukan mutlak milik kita
dipinjamkan cuma sementara
dipentas ini kesempatan bersama
berjuta makhluk berbagai rupa
ketentuan anjing-anjing juga ada

V
Kok anjing biar menyalak
kok bukit biar berpuncak
kok terasa menyelar bijak
bumi juga tempat berpijak
padah kata bila kata terlajak


Dr Ibrahim Ghaffar, Bukit Kapar
Selangor. 22 September 2008

Khamis, 16 Oktober 2008

DATUK AZALINA DAN RASUAH POLITIK DI PENGERANG



Petang tadi saya teringat emak di kampung lalu saya segera balik walau dalam hujan yang sangat lebat. Alhamdulullah Emak sihat.

Sedang rancak bersembang, kebetulan Ketua Pemuda Cawangan saya yang tinggal bersebelahan rumah dengan Emak saya datang. Kami pun bercerita tentang perkembangan kempen calon-calon yang akan bertanding pada pemilihan UMNO Bahagian Pengerang yang akan datang. Katanya saya layak bertanding sebagai AJK Bahagian dengan No. 6 sebagai No. Calon AJK pada pemilihan yang dijangka akan berlangsung pada 9 November yang akan datang. Terus terang, saya sendiri pun tak tahu dan tak kisah kerana seperti sebelum ini, saya memang dah tak berapa berminat dengan politik yang penuh dengan permusuhan sama sendiri. Saya lebih suka mengumpul kawan dari lawan.

Dalam banyak-banyak topik saya tertarik dengan satu dua perkara yang saya rasa tidak betul dan menyalahi peraturan TataEtika Ahli UMNO yang dilakukan oleh YB Datuk Azalina Othman Said sepanjang Kempen Pemilihan UMNO Bahagian Pengerang pada kali ini seperti yang diceritakan kepada saya oleh Ketua Pemuda Cawangan saya ini.

Untuk pengetahuan semua, Azalina yang juga Menteri Pelancungan telah menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua Bahagian kerana penyandangnya YB Datuk Harun Abdullah tidak mendapat cukup pencalonan bagi mempertahankan jawatan yang disandangnya semenjak kewujudan UMNO Bahagian Pengerang hasil persempadanan semula kawasan pilihanraya pada tahun 2003 yang lalu.

Menurut ceritanya, Azalina mengamalkan Rasuah Politik Secara Besar-Besaran bagi memastikan YB Datuk Harun Abdullah tidak mendapat cukup pencalonan bagi membolehkan Azalina diistiharkan menang tanpa bertanding. Menang Tanpa Bertanding memang sinonim dengan Azalina kerana dalam sejarahnya bertanding pilihanraya pun beliau telah 2 kali menang tanpa bertanding.

Menurut ceritanya, terdapat beberapa Ketua Cawangan dan Ketua Wanita yang telah membuat 'Pengakuan Bersumpah' dan melaporkan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan Lembaga Disiplin UMNO namun tiada tindakan di ambil. Katanya bagi BPR, Azalina merupakan 'Ikan Jerung' yang tidak mudah disabitkan kesalahan manakala Lembaga Disiplin UMNO pula adalah kaum keluarga Azalina sendiri.

Agen Azalina yang cukup terkenal dan berani secara terang-terangan menyogok rasuah ini katanya dikenali sebagai 'Uncle Rahim' dan 'Naib Ketua Puteri sebuah Bahagian UMNO dalam Negeri Johor'.

Apabila telah disahkan menang tanpa bertanding, katanya Azalina begitu gembira dan bangga. Namun apabila YB Datuk Harun Abdullah meneruskan perjuangannya bagi merebut jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Azalina tidak dapat menahan perasaannya dan mengarahkan agen-agennya agar mencincang politik YB Datuk Harun sehingga ke akarnya. Dalam politik, 'kalau nak bunuh - biar sampai mati'.

Justeru, bagi mempengaruhi perwakilan agar turut sama dalam perjuangan 'kalau nak bunuh - biar sampai mati'nya itu, satu program khusus (yang menyalahi TataEtika Ahli UMNO)akan dijalankan pada 21 & 22hb Oktober ini (beberapa hari lagi).

Program 'Haram' yang dimaksudkan adalah PAKEJ MELANCUNG KE KUALA LUMPUR yang akan disertai oleh Perwakilan yang akan mengundi dalam Pemilihan UMNO Bahagian Pengerang yang akan datang.

Peserta lawatan ini adalah dipilih dari kalangan perwakilan yang 'boleh dibeli' bagi menyertai perjuangan 'kalau nak bunuh - biar sampai mati'nya itu.

Saya terpegun mendengar cerita dari Ketua Pemuda Cawangan saya itu sambil mencongak banyaknya wang digunakan (atau dilaburkan?) untuk merebut jawatan Ketua Bahagian.

Tambah Ketua Pemuda Cawangan saya mengakhiri ceritanya, "apa nak heran, komisyen BANTING yang dipasang dengan gambarnya yang nampak 'benar-benar perempuan' sepanjang jalan dari Kota Tinggi hingga ke Pengerang itu sahaja dah berapa?. Belum masuk komisyen bekalan baju-baju yang bermacam-macam menggunakan wang kerajaan ketika di Kementerian Belia & Sukan dahulu. Bayangkan, duit MSN yang berjuta-juta habis dikerjakannya sampai tak ada duit nak bayar gaji. Bacalah cerita terbaru yang keluar dalam akhbar Utusan .... Menteri Muda Paling Korup".

Saya menggelengkan kepala. Inilah pemimpin yang pernah saya sanjung dahulu. Saya tertarik ketika dia mengendalikan rancangan Forum di tv dahulu. Dan apabila ditolak dari menyertai Bahagian Tenggara, sayalah yang bersungguh mengalu-alukan kehadirannya di Bahagian Pengerang.

Saya mengaku, sayalah juga orang pertama yang tersasul dalam ucapan di Bandar Mas mengatakan Azalina sebagai Ketua Bahagian UMNO Pengerang di sahut dengan Azalina sendiri mengangkat tangannya ke langit (gayanya seperti kebiasaannya apabila beliau menjerit 'Hidup Pak Lah' - ayat bodeknya yang membuat saya mengundur kebelakang dari menjadi penyokong kuatnya).

Apa pun, saya terpegun dengan cerita-cerita yang disampaikan kepada saya. Saya percaya keburukan ini telah disedari oleh rakyat di Parlimen Pengerang. Dan rakyat pasti menghukum orang yang sebegini (jika benarlah seperti yang diceritakan kepada saya petang tadi).

Rabu, 15 Oktober 2008

MELAYU BUKAN PENDUDUK ASAL MALAYSIA - TAN LIAN HOE


KETUA WANITA GERAKAN, PARTI YANG SUDAH TIDAK RELEVAN.

Tan Lian Hoe yang juga Timbalan Menteri Penerangan mempertikaikan status orang Melayu sebagai penduduk asal negara ini dalam rancangan Astro Awani baru-baru ini.

Mengapa masih ada yang mahu mencabar kesabaran Orang Melayu lagi. Kesabaran Orang Melayu ada hadnya. Jangan cuba membangkitkan lagi kemarahan orang Melayu.

Timbalan Menteri ini harus didakwa di bawah Akta Hasutan malah wajar di ISA kan memandangkan kenyataannya dibuat dalam sebuah rancangan TV dan dalam kedudukannya sebagai Timbalan Menteri.

Kepada yang selama ini mengatakan orang Melayu seperti MataHati bersifat perkauman... sekarang siapa yang memulakan dahulu.

(sedikit masa dahulu, Datuk Lee Kim Sai, seorang Timbalan Menteri, pernah mengeluarkan kenyataan yang sama. Lebih 100,000 ahli Pergerakan Pemuda Membantah dengan berarak ke Sri Perdana medesak Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memecat beliau dan menarik balik gelaran Datuknya.)

Selasa, 14 Oktober 2008

MUFTI PERLIS - UMNO PERLU TUBUH MAJLIS ULAMA SENDIRI



“Satu hakikat yang sukar untuk dinafikan oleh sesiapa pun adalah UMNO pada hari ini begitu tenat dengan berbagai penyakit yang tidak putus mengunjungi tubuh parti itu. Sebagai seorang rakyat dan pengkaji Islam, saya rasa beberapa cadangan perlu dikemukakan kepada UMNO, mudah-mudahan penyakitnya itu boleh diubati. Cadangan ini perlu dibuat di atas sebab di tangan parti tersebut masih ada kuasa pemerintahan yang mana pergolakannya akan memberi kesan kepada sekelian rakyat. Berikutnya, kembalinya parti tersebut kepada landasan yang betul dapat menyelamat umat Islam yang berada dalamnya.

Saya dengan ini mencadangkan agar UMNO mengambil langkah berani dengan menubuh Majlis Ulama parti berkenaan. Namun, penubuhan itu bukan sekadar mengujud sebuah replika tanpa fungsi, sebaliknya hendaklah Majlis Ulama tersebut berperanan membimbing perjalanan parti selaras dengan kehendak Islam dalam segala aspek. Tokoh-tokoh agamawan yang jujur, amanah dan progresif yang cintakan parti itu diberi kebebasan untuk membetulkan UMNO. Sekaligus kemelayuan UMNO itu akan kelihatan begitu terikat dengan prinsip-prinsip Islam secara syumul. Jika tidak, dengan pergolakan yang ada sekarang UMNO akan terus kehilangan ruh islami. Sebaliknya, ia akan menjadi padang perlumbaan kuasa yang sebahagian besar mereka bercita-cita mengaut kekayaan harta.

Dengan wujudnya Majlis Ulama yang progresif, diharapkan ahli-ahli UMNO sentiasa berada dalam disiplin dan diberi kesedaran tentang tanggungjawab kuasa adalah bagi melaksanakan amanah Allah dengan bijaksana dan jujur. Namun hendaklah dipastikan bahawa Majlis Ulama itu didokongi oleh mereka yang tidak takut melainkan Allah, bukan ulama fulus yang dalam sejarah UMNO telah banyak merosakkannya”.

Ahad, 12 Oktober 2008

PENCALONAN MUKHRIZ UNTUK MENYELAMATKAN UMNO



MUKHRIZ PERLUKAN MANDAT PULIHKAN UMNO

DALAM temu bual dikendalikan sebelum Persidangan Perwakilan Bahagian Umno berlangsung, Exco Pergerakan Pemuda, Datuk Mukhriz Mahathir berkongsi pengalaman, peluang dan visinya untuk memimpin sayap utama Umno ini.

Ahli Parlimen Jerlun ini yakin bahawa beliau mampu membawa pembaharuan dan perubahan dalam Umno walaupun ramai yang mengaitkan beliau sebagai anak bekas Perdana Menteri.

"Tidakkah lebih wajar kalau kita lihat apakah sifat-sifat yang kita inginkan dalam pemimpin itu... berwibawa, berwawasan, bertenaga, jujur, amanah dan sebagainya.

"Tidakkah itu yang lebih penting? Tak kiralah apa latar belakang mereka. Kalau tidak ada hubungan sama ada dengan Perdana Menteri atau bekas Perdana Menteri, tetapi masih tidak berwibawa, tidak berwawasan, masih tidak berkemampuan ataupun berkebolehan untuk memimpin, apa gunanya?" kata beliau kepada mStar Online.

Sehingga semalam, Mukhriz memperoleh 27 pencalonan untuk bersaing merebut Ketua Pemuda kali ini.

TEMU BUAL PENUH DENGAN DATUK MUKHRIZ

Bagaimana persediaan Datuk bagi menghadapi pemilihan Ketua Pemuda?

MUKHRIZ:Setakat ini kerja-kerja untuk mendapatkan sokongan dalam bentuk pencalonan dan kemudiannya untuk mendapatkan undi daripada perwakilan telah saya jalankan sejak beberapa bulan yang lalu. Saya jalankan perkara ini dengan cara berjumpa perwakilan di peringkat akar umbi bagi menerangkan apa yang hendak saya lakukan demi mengukuhkan parti khususnya Pemuda.

Saya lihat penerimaan yang begitu baik sekali kerana rata-rata ada satu perasaan cemas di kalangan Pemuda kita tentang apa yang sedang berlaku sekarang iaitu situasi Umno itu sendiri terutamanya dalam keadaan sekarang ini. Mereka percaya bahawa satu perubahan yang besar perlu berlaku untuk menyelamatkan keadaan.

Sebelum ini Datuk tidak yakin untuk bertanding, tapi sekarang menyatakan keyakinan itu sudah ada. Apa yang mendorong Datuk untuk bertanding?

MUKHRIZ:Graf itu turun naik... jadi ada ketikanya turun dan ada ketikanya naik balik. Seingat saya selepas pilihan raya umum lalu, waktu itu grafnya naik tinggi juga setelah saya keluarkan surat meminta Presiden menyerahkan tugasnya kepada timbalannya. Tapi bila mulanya mesyuarat Pemuda di peringkat cawangan, saya dapati bahawa sudah bermula amalan-amalan yang kurang sihat dalam pemilihan. Waktu itu kesannya begitu buruk terhadap saya. Oleh sebab itu saya telah keluarkan kenyataan bahawa kalau keadaan ini dibenarkan berterusan, maka peluang saya untuk mendapat pencalonan sekalipun akan tipis.

Sekarang ini saya lihat mungkin mesej itu dah sampai kepada semua peringkat. Ada sedikit kesedaran mengenai peripentingnya menjalankan pemilihan dengan cara yang telus. Jadi nampaknya sokongan tu dah meningkat semula, itu yang saya maksudkan graf turun naik.

Boleh Datuk huraikan tentang amalan kurang sihat yang dikatakan tadi?

MUKHRIZ:Begini, tahapnya serius tapi tidaklah teruk sangat. Ia dilakukan melalui sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) atau melalui panggilan telefon di mana arahan diberikan kepada perwakilan mahupun yang berjawatan tinggi di Pemuda bahagian supaya jangan hadir perjumpaan-perjumpaan bersama saya. Ada juga yang sampai diberitahu pastikan jangan berikan pencalonan kepada saya. Jadi itu dalam bentuk sekatan.

Lebih teruk lagi ialah amalan rasuah politik. Saya dimaklumkan amalan ini memang berlaku dan rasuah politik ini dalam pelbagai bentuk. Ada yang dijanjikan imbuhan, jawatan dan sebagainya. Ada yang terus diberikan sogokan dalam bentuk wang, kononya bermula dengan salam pengenalan.

Maksudnya tidak terhad kepada yang itu sahaja (pemberian pertama). Selain itu ada juga ugutan lebih-lebih lagi bagi kawan-kawan kita yang bertanding di peringkat bahagian, kononya kalau terlampau menunjukkan sokongan mereka terhadap saya maka mereka akan menerima padahnya di peringkat bahagian. Jadi perkara-perkara ini nampaknya berlaku dan ini sudah tentu bukan amalan yang sihat kerana sudah tentu ahli-ahli Umno yang lain memerhatikan perjalanan pemilihan ini, malah saya ingat rakyat Malaysia keseluruhannya pun agaknya memberi perhatian kepada pemilihan Umno.

Sekiranya mereka lihat bahawa amalan-amalan terkeji seperti ini masih berlaku di dalam Umno, maka tidak kiralah siapapun yang kita pilih nanti sudah tentu rakyat akan menolak kerana mereka tahu bahawa naiknya orang seperti itu adalah kerana unsur-unsur atau elemen yang tidak baik. Jadi saya amat risau kesan amalan seperti ini kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya akan datang.

Adakah Datuk mengesyaki halangan untuk berjumpa itu datang dari saingan lain yang turut bertanding jawatan Ketua Pemuda?

MUKHRIZ:Itu saya tidak pasti. Tetapi walau apa pun, mungkin mereka yang mendapat faedahnya. Kalau tak boleh jumpa saya tapi boleh jumpa orang lain, kita boleh buat andaian-andaian tertentu. Tak ada pula pihak saya mengarahkan agar sesiapa pun jangan pergi berjumpa sesiapa (calon).

Sebabnya kita amalkan demokrasi dalam Suasana yang terbuka. Saya pasti dalam proses ini sudah tentu kita membuat penilaian kita sendiri mengenai calon-calon yang menawarkan diri. Kalau mereka tidak dapat berjumpa dengan calon-calon ini bagaimana mereka nak buat penilaian tersebut.

Saya tidak pernah, tidak menggalakkan perwakilan untuk berjumpa dengan calon-calon lain walaupun calon-calon yang bersaing dengan saya untuk jawatan yang sama. Tetapi perkara ini tidak berlaku untuk saya pula. Jadi kita boleh buat andaian-andaian tertentulah mengenai perkara ini.

Sehingga sekarang berapa peratus pencalonan daripada bahagian-bahagian untuk Datuk?

MUKHRIZ:Saya tak dapat nak pastikan, hanya tuhan yang tahu apa sahaja dalam hati manusia ini. Tapi saya ingat setakat pencalonan itu mungkin cukup sebab kita tentukan lebih kurang 38 pencalonan daripada bahagian-bahagian dan saya ingat kalau tiada halangan seperti yang saya nyatakan tadi InsyaAllah cukup untuk pencalonan.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin merupakan salah seorang calon yang ingin bertanding. Adakah Datuk rasa beliau adalah saingan yang hebat kerana beliau sekarang memegang jawatan Naib Ketua Pemuda Umno?

MUKHRIZ:Saingan semuanya sukar, tak ada yang mudah. Masing-masing yang bertanding mempunyai kemampuan tersendiri. Tapi saya lihat dari segi prinsip, dari segi pendekatan yang kami gunakan agak berbeza. Saya percaya perwakilan akan menilai rekod calon-calon ini dari segi prestasi kerja yang telah ditunjukkan sebelum ini dan matlamat yang mereka ingin bawakan kepada Pemuda.

Rasanya saya pun telah menunjukkan satu cara kerja yang tersendiri. Khairy dan calon lain pun mungkin ada cara-cara mereka sendri, jadi terpulanglah kepada perwakilan nanti untuk membuat keputusan siapa di antara kami yang sepatutnya memegang tampuk kepimpinan sayap ini.

Antara calon-calon yang bertanding kerusi Ketua Pemuda, Datuk dilihat lebih lantang bersuara terutama sekali berkaitan dengan soal peralihan kuasa Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Tidakkah ini akan memberikan kesan kepada pencalonan Datuk?

MUKHRIZ:Apa yang saya hendak tonjolkan ialah saya pro-Umno. Maksudnya apa yang saya buat, apa yang saya perkatakan, saya ingat tidak sesiapa pun menafikan ia adalah semata-mata untuk menguatkan parti. Sekiranya ada elemen yang saya lihat melemahkan parti, perkara itu akan saya bangkitkan, saya akan bercakap mengenai perkara ini. Amat penting bagi kita untuk sedar mengenai elemen-elemen yang melemahkan parti dan tindakan yang harus kita ambil untuk memperkuatkan parti.

Jadi sebab itu saya lantang kerana kebelakangan ini begitu banyak sekali faktor yang melemahkan parti. Saya fikir bila saya bercakap sedikit sebanyak saya juga mencerminkan apa yang terbuku dalam hati ahli-ahli kita lebih-lebih lagi diperingkat akar umbi.

Selagi saya bercakap apa yang ada dalam hati saya, dan saya fikir apa yang saya cakap itu benar dan yang ketiga, saya fikir ramai juga yang berkongsi pendapat dengan saya. Pastinya yang berpendirian sama seperti saya dalam hal ini, maknanya saya fikir tidak ada salahnya saya meneruskan dengan kelantangan bersuara ini, malah tidak menjejaskan sekalipun kedudukan saya dalam parti.

Contohnya kita semua tahu peringkat awal saya telah mengkritik keputusan kerajaan membatalkan projek jambatan antara Johor dan Singapura. Walaupun perkara ini dibincangkan di mesyuarat Exco Pemuda, tetapi tiada tindakan yang diambil ke atas saya walaupun Pemuda telah membuat ketetapan bersetuju dengan keputusan kerajaan itu.

Keduanya, kenyataan saya mengenai ucapan dasar Presiden Umno pada 2006 apabila saya menyatakan bahawa tiada perkara yang baru yang dibangkitkan oleh Presiden untuk kita gunakan sebagai panduan. Perkara ini juga diselar oleh pelbagai pihak dalam parti dan ada suara-suara kedengaran supaya tindakan disiplin dikenakan ke atas saya.

Ada juga minta saya digantung dan ada juga yang harap supaya saya dipecat daripada parti, hanya kerana mengeluarkan komen mengenai ucapan dasar Presiden. Tapi akhirnya tiada juga sebarang tindakan yang diambil ke atas saya.

Terakhirnya, saya telah mengeluarkan surat supaya Presiden berundur dan serahkan jawatannya kepada Timbalan Presiden. Saya ingat setakat ini tiada pihak lain yang melakukan perkara ini walaupun ada yang menyatakan perkara yang sama. Tetapi dalam bentuk surat, saya ingat saya seorang sahaja yang melakukannya. Itu juga tiada tindakan yang diambil ke atas saya. Jadi ini membuktikan kepada saya bahawa kelantangan suara saya ini langsung tidak menjejaskan kedudukan saya dalam parti. Kita mesti ingat saya telah dipilih dalam Pergerakan Pemuda Umno ini melalui pemilihan 2004.

Alhamdulillah saya menang dengan undian terbanyak. Saya kira itu satu petanda bahawa terletak di atas bahu saya satu harapan yang besar oleh Pemuda untuk terus bersuara demi kepentingan parti dan saya rasa apa yang saya lakukan ini memang menepati permintaan Pemuda itu sendiri.

Adakah kelantangan Datuk didorong oleh Tun Dr. Maharhir Mohamad?

MUKHRIZ:Tidak, saya didorong oleh rakyat. Rakyat telah menyampaikan mesej yang cukup jelas. Kalau kita masih belum faham lagi mesej yang rakyat sampaikan kepada kita, pilihan raya yang akan datang, saya tak tahulah apa lagi mesej yang rakyat hendak sampaikan. Adakah kita nak tunggu sampai kita dah kalah semua, kalah majoriti Parlimen, kalah negeri-negeri kita, baru kita nak sedar? Waktu itu kita sudah terlambat. Apa gunanya kita nak tunggu sampai dah tergadai kesemuanya sebelum kita nak sedar dan lakukan sesuatu?

Jadi oleh sebab itu, bila saya fikirkan mengenai keputusan pilihan raya umum yang ke-12, saya lihat ada hikmahnya walaupun kita kalah begitu teruk kali ini berbanding dulu iaitu kalah di lima negeri, hilang majoroti dua pertiga di Parlimen dan juga majoriti keseluruhan pun telah menurun. Maksudnya undi popular kita juga menurun dengan mendadak. Bagaimanapun dalam keadaan itu jua kita masih menguasai kerajaan, itu hikmahnya. Hikmahnya ialah agaknya Tuhan memberikan satu mesej kepada kita serta memberi kita peluang kedua untuk memperbetulkan diri kita sendiri supaya akhirnya akan diyakini semula oleh rakyat.

Mesej ini begitu jelas. Tetapi sekarang ini saya lihat masih ada lagi sindrom menidakkannya, di mana kita seolah-oleh tidak terjaga dari lena kita dan juga seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku. Kita rasa masih lagi berkuasa dan masih lagi kuat.

Ramai juga kawan lain yang bersetuju dan rasa begitu cemas dengan keadaan sekarang. Seolah-olah paras air dah sampai ke hidung, tunggu nak tenggelam dan nak lemas sahaja. Tapi kita macam tidak mula hendak berenang pun untuk menyelamatkan diri, jauh sekalilah nak tunggu orang lemparkan kita pelampung untuk selamatkan diri. Jadi itulah yang saya rasa sedih sangat apabila kita sudah sampai satu tahap di mana mungkin kerana gilakan kuasa... kita sanggup menggadai kepentingan parti. Saya lihat kepentingan peribadi mendahului parti. Kalau begini dibenarkan oleh ahli-ahli kita di peringkat akar umbi untuk terus menguasai keadaan, maka akhirnya kita semua akan menerima padahnya.

Saya minta sekarang ini ialah untuk kita selamatkan parti. Jangan kita benarkan arahan-arahan tertentu daripada pihak atas dan kita terima bulat-bulat, kita membuta tuli dan biarkan ditarik hidung walhal arahan-arahan ini adalah semata-mata untuk mempertahankan kepentingan peribadi individu tertentu sahaja bukannya untuk parti. Saya rasa kecewa bila kadang-kadang itu apabila saya bercakap banyak-banyak, mereka faham dan sedar mengenai perkara ini, namun masih tidak buat apa-apa.

Itu yang saya rasa pelik seolah-olah analogi yang saya pakai tadi iaitu kita dah dekat nak lemas dan kita diarah jangan buat apa-apa jadi maksudnya kita sendiri lemas begitu sahaja. Saya tak faham kenapa kita tidak selamatkan diri, selamatkan parti.

Apa pembaharuan yang Datuk akan bawa dalam Pemuda nanti (jika memimpin Pemuda)?

MUKHRIZ:Saya ingat kita kena balik ke pangkal jalan. Bermula dengan Pemuda, dan Pemuda akan menjadi satu sayap yang amat-amat penting. Kita belum fikirkan mengenai satu juta pengundi baru yang akan mengundi pada pilihan raya ke-13 nanti, yang boleh dikatakan 100 peratus orang muda. Maksudnya pelajar tingkatan enam sekarang ini akan mengundi tahun 2012 nanti. Kita perlu fikirkan mengenai apa yang kita ingin buat untuk mereka supaya mereka yakin kepada kita. Pertama sekali ialah muhasabah diri. Maksudnya kita perlu melalui satu proses penilaian diri mengenai kelemahan kita dan bagaimana nak kuatkan lagi faktor-faktor kekuatan kita dan macam mana kita nak hapuskan kelemahan-kelemahan kita.

Seperti yang saya sebutkan tadi, budaya kita dah tak kena. Dulunya rasuah politik ini satu kegiatan yang diamalkan oleh beberapa orang di bawah meja dan tersembunyi. Sekarang ini dibuat terang-terangan dan amalan ini sudah jadi budaya. Amalan menjadi kebiasaan dan kebiasaan menjadi budaya. Kita tahu apabila sesuatu amalan itu menjadi budaya, cukup susah untuk bertukar. Contohnya bagi orang Islam, makan babi itu adalah haram. tapi bila kita mula dengan sikit-sikit, lama-kelamaan makan babi itu adalah budaya.

Mungkin orang cakap benda ini tak mungkin berlaku. Tapi kita kena lihat, dahulu rasuah politik kita fikir tak akan jadi, tapi sekarang dah jadi budaya. Malah sekarang ada orang mengatakan ia sebagai sesuatu yang biasa untuk cari makan. Itu sebabnya kalau kita tak boleh nak perbaiki diri kita sendiri ia semacam tiada harapan harapan pula.

Mujurlah saya ini jenis orang yang masih optimis dan berharap sangat iaitu yang pertamanya kepada keikhlasan manusia dan keduanya kepada keagungan Tuhan. Sama ada kita berjaya melepasi peringkat yang pertama iaitu ikhlas atau tidak pada diri dan juga dalam parti, ia perlu dipersoalkan. Jadi kalau saya diberi jawatan ini, saya nak cuba terapkan semula nilai-nilai murni yang saya fikirkan amat-amat penting untuk membersihkan diri kita dari gejala-gejala yang tidak baik dan akhirnya dapat memperkuatkan diri kita ke satu tahap yang tidak boleh dijejaskan oleh mana-mana pihak, individu-individu dalam parti, mahupun pihak pembangkang dari luar. Itu hasrat saya dan saya percaya perkara itu boleh dilakukan.

Datuk menyebut mengenai rasuah politik. Adakah perkara tersebut semakin menular dalam Pemuda?

MUKHRIZ:Memang berlaku. Laporan-laporan yang saya terima daripada pelbagai pihak seluruh negara mengenai amalan rasuah. Ada yang dianggap kecil, tapi amalan rasuah ini tak ada kecil tak ada besar, semuanya sama sahaja. Orang yang tak ada jawatan dalam Pemuda, jika ada sahaja perjumpaan boleh dapat RM100. Bagi yang berjawatan pula kadang-kadang dapat RM1000. Apa nak jadi dengan parti kita ini? Kita sanggup jual maruah, sanggup gadaikan parti. Jadi tak terkejutlah ia berlaku diperingkat Pemuda. Tapi yang mengejutkan ialah itu baru peringkat cawangan, belum lagi peringkat bahagian.

Datuk pernah keluarkan kenyataan tidak akan menerima jawatan dalam kerajaan sekiranya terpilih sebagai Ketua Pemuda, mengapa?

MUKHRIZ:Jawatan Ketua Pemuda untuk penggal akan datang ini saya kira adalah jawatan sepenuh masa kerana kita mesti beri tumpuan 100 peratus kepada usaha memulihkan parti. Kita tidak harus terlari perhatian kita dengan tugas-tugas yang lain seperi jawatan dalam kerajaan. Satu lagi yang saya lihat, ada juga orang-orang beritahu saya kalau tidak ada jawatan dalam kerajaan, bagaimana nak gerakkan Pemuda? Itupun saya lihat sebagai satu kesilapan kerana maksudnya kita menggunakan kemudahan jabatan kerajaan ataupun kementerian itu untuk kerja-kerja politik kita.

Masyarakat khususnya golongan muda tidak boleh terima perkara ini. Sebab dari segi prinsipnya ia tidak sepatutnya berlaku. Apatah lagi kalau kita inginkan jawatan menteri atau timbalan menteri supaya memudahkan kerja-kerja kita sebagai pemegang jawatan dalam parti. Itupun bagi saya salah. Keduanya kita nak pegang jawatan dalam parti semata-mata nak dapatkan jawatan dalam kerajaan, itu tidak betul.

Jadi itu sebabnya saya kira ia sepatutnya diasingkan. Terutama sekali dalam keadaan sekarang di mana usaha-usaha untuk menawan semula negeri-negeri yang kita kalah. Untuk meningkatkan juga bilangan kerusi dalam Parlimen memerlukan tumpuan dan masa yang secukupnya. Jadi itulah sebabnya saya fikir kalau menang dalam pemilihan kali ini biarlah saya tidak memegang sebarang jawatan dalam kerajaan. Saya tak mahu teralih perhatian saya kepada tugas yang penting ini.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin pernah mengeluarkan kenyataan bahawa jawatan Ketua Pemuda seharusnya dipegang pemimpin yang tidak dipengaruhi hubungan persaudaraan dengan Perdana Menteri atau bekas Perdana Menteri. Tidakkah itu dilihat sebagai satu serangan peribadi, komen Datuk?

MUKHRIZ:Itu mungkin serangan peribadi. Tetapi adakah sebab itu kita pilih pemimpin? Tidakkah lebih wajar kalau kita lihat apakah sifat-sifat yang kita inginkan dalam pemimpin itu... berwibawa, berwawasan, bertenaga, jujur, amanah dan sebagainya. Tidakkah itu yang lebih penting? Tak kiralah apa latar belakang mereka. Kalau tidak ada hubungan sama ada dengan Perdana Menteri atau bekas Perdana Menteri, tetapi masih tidak berwibawa, tidak berwawasan, masih tidak berkemampuan ataupun berkebolehan untuk memimpin, apa gunanya?

Apa yang penting, latar belakang seseorang itu atau kebolehannya? Jangan kita termakan dengan hujah-hujah seperti itu. Itu hanya sekadar memikat sokongan. Saya pun tak pernah nak sentuh peribadi mana-mana pihak. Apa yang saya selalu tekankan ialah peripentingnya pemimpin itu mempunyai sifat-sifat kepemimpinan. Mereka boleh datang daripada kampung sekalipun, jika ada sifat-sifat kepemimpinan, maka boleh jadi Perdana Menteri.

Kalau ada kemampuan, ada kebolehan apa salahnya? Itu yang kita mahukan. Jadi kesempatan ini saya ingin mencabar orang-orang muda yang mempunyai semangat untuk menyelamatkan parti kita ini, yang ada keyakinan tidak kira sama ada memegang jawatan atau tidak dalam parti untuk menawarkan diri bertanding untuk memegang jawatan dalam Majlis Tertinggi (MT) Umno. Sebabnya kita amat-amat memerlukan satu proses peremajaan dalam parti walaupun diperingkat MT Umno.

Saya cabar untuk mereka menawarkan diri supaya kita dapat kenal pasti siapa mereka untuk disokong. Kita nak tarik mereka naik. Lebih elok lagi jika dalam tawaran itu mereka nyatakan seperti saya bahawa mereka tidak berminat memegang sebarang jawatan dalam kerajaan. Jadi itu sekali gus dapat menolak sebarang andaian bahawa mereka ini hanya nak merebut atau mengejar jawatan atau untuk kepentingan peribadi sahaja. Jadi kita mahu orang yang begitu ikhlas ingin membantu dan menyelamatkan parti.

Lebih elok jika yang berumur bawah 40an. Tidak kisah walaupun 20an. kerana sekarang ini kita sedang fikrkan bagaimana kita nak hubung semula dengan orang-orang muda. Jadi lebih baik kalau kita ada orang-orang seperti ini yang berjawatan dalam parti. Tak perlulah nak bertanding cawangan ataupun bahagian, terus sahaja ke MT, apa salahnya? Itu kita nak pecahkan tradisi kita, nak cuba buat satu perubahan.

Kita bercakap berani berubah, jadi kita perlu, berani berubahlah. Mesti betul-betul bawa perubahan kepada parti. Saya turut berbangga dengan sejarah Umno selama 62 tahun ini. Tetapi pada masa yang sama, orang lihat parti kita ini macam terlalu lama. Ini pandangan orang, saya tak fikir sebegitu. Jadi bagaimana kita nak meremajakan parti kalau tidak dengan diberikaan suntikan yang baru melalui penyertaan orang-orang muda dalam parti hingga ke peringkat MT.

Akhirnya, apakah harapan Datuk dalam pertandingan Ketua Pemuda kali ini?

MUKHRIZ:Untuk menang, untuk diberi kepercayaan dan disokong untuk menyelamatkan parti yang kita sayangi ini.

Oleh G.MANIMARAN
~MStar

Jumaat, 10 Oktober 2008

Kenapa Kita Mesti Berani Berubah? - Mukhriz Mahathir




Kenapa Kita Mesti Berani Berubah?

1. Kita akui bahawa pada hari ini UMNO ditempangkan akibat pelbagai kepincangan dan krisis kepimpinannya. Kepincangan-kepincangan ini telah menghakis sokongan orang Melayu khususnya, dan rakyat Malaysia amnya terhadap UMNO. Malah, keputusan PRU12 dan PRK Permatang Pauh boleh disimpulkan bahawa orang UMNO sendiri menolak calon-calon kita dengan menzahirkan rasa tidak puas hati mereka dengan tidak keluar mengundi, merosakkan undi, atau lebih teruk lagi, mengundi pihak lawan.

2. Apabila saya mengumumkan penawaran diri saya untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, saya telah menggunakan slogan "Berani Berubah!" untuk menyemarakkan semangat pejuang di dalam diri Pemuda yang mahukan perubahan dalam ertikata yang sebenar. Saya mahu mencetus dan melahirkan sebuah generasi kepimpinan di dalam Pergerakan Pemuda UMNO yang peka dan responsif terhadap keperluan akarumbi. Saya amat berharap dapat melahirkan satu lapisan pemuda yang dinamik serta berdaya maju. Saya akui kenyataan-kenyataan saya sebelum ini adalah antara yang paling lantang apabila berlakunya perkara-perkara yang merugikan parti, atau apabila keputusan-keputusan pucuk kepimpinan tidak menepati citarasa dan aspirasi rakyat. Contohnya apabila Kerajaan membatalkan pembinaan jambatan antara Johor Bharu dan Singapura, juga terhadap ucapan dasar Presiden parti pada tahun 2006 tidak mengandungi intipati baru untuk kita jadikan panduan, serta terhadap keputusan PRU12 yang secara jelas mencerminkan rasa tidak puashati rakyat terhadap YAB Perdana Menteri, saya akan berkata-kata dengan benar demi kelangsungan UMNO dan rakyat Malaysia. Namun, setiap kali saya membuat kenyataan sedemikian, saya dianggap sengaja mencetuskan kontroversi. Ada pihak-pihak tertentu yang akan mendesak agar saya dikenakan tindakan disiplin, atau digantung keahlian, malah ada juga yang menggesa supaya saya dipecat dari parti.

3. Tetapi akhirnya, Alhamdulillah, tiada juga sebarang tindakan yang diambil ke atas saya walaupun saya terus bersuara lantang mengkritik pucuk kepimpinan dan keputusan mereka. Ugutan-ugutan bahawa tindakan akan diambil terhadap saya tidak langsung menakutkan saya daripada mengubah prinsip dan meneruskan pendekatan yang saya ambil selama ini. Kenapa?

4. Pada hemat saya, umum mengetahui bahawa apa yang saya perkatakan dan nyatakan tidak langsung melanggari Perlembagaan, peraturan dan/atau tataetika parti. Malah kita sedar bahawa lebih baik jika ada "check and balance" yang mengimbangi pelbagai kepentingan dalam parti bagi menguatkannya. Jika ada isu-isu semasa yang penting, lebih baik perbahasan berlaku di dalam parti daripada menjadi bahan yang digunakan oleh pembangkang mahupun rakyat untuk menghentam Kerajaan BN. Jika kita ikhlas mengkritik untuk kebaikan, saya percaya pembangkang akan kehilangan modal untuk menarik perhatian dan tidak lagi mampu untuk meraih simpati rakyat.

5. Sesungguhnya kepimpinan parti perlu sentiasa mendapatkan pandangan dari banyak pihak sebelum membuat sebarang keputusan yang melibatkan kepentingan rakyat. Malangnya seringkali kita lihat keputusan-keputusan dibuat seolah-olah tanpa mengambil kira pandangan-pandangan yang mampu membantu mereka membuat pertimbangan yang saksama dan matang. Contohnya begitu banyak laporan-laporan telah diserahkan kepada pucuk kepimpinan sebelum PRU 12 mengenai peluang kemenangan BN pada pilihanraya tersebut. Rata-rata laporan-laporan tersebut meramalkan situasi yang genting bagi BN, di mana kemungkinan besar lima negeri akan jatuh ke tangan pembangkang. Salah satu agensi Kerajaan telah melaporkan bahawa BN hanya akan dapat mempertahankan 138 kerusi di Parlimen. Kebetulan dengan keluarnya SAPP dari BN tempohari, laporan-laporan ini nampaknya kini menjadi kenyataan. Soalnya, kenapa laporan-laporan yang dikeluarkan oleh badan-badan yang bertauliah ini tidak diendahkan, dan sebaliknya laporan-laporan lain yang entah dari mana datangnya digunapakai sebagai sandaran? Sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Inilah yang kita lihat terpampang di depan mata kita pada hari ini; UMNO tidak lagi dihormati, BN kehilangan kuasa mutlak, rakyat mempersoalkan integriti pemimpin dan pihak pembangkang meneguk di air keruh.

6. Sudah menjadi kelaziman kita berkeyakinan penuh dan tanpa soal menerima bahawa keputusan-keputusan penting yang dibuat oleh kepimpinan kita adalah berdasarkan kepada matlumat yang sahih, dan strategi yang berkesan. Tetapi dengan timbulnya pelbagai isu yang berkait rapat dengan kepincangan keputusan Kerajaan sekarang, rakyat sudah merasa gusar dan keyakinan mereka terhadap Kerajaan semakin terhakis. Bagaimana dapat kita mengatasi masalah ini? Sudah tentu caranya ialah dengan meletak pemimpin yang dipercayai dan berkebolehan di jawatan-jawatan tinggi parti dan Kerajaan. Di sinilah terletaknya peranan kita sebagai ahli UMNO di musim pemilihan ini.

7. Dalam keadaan UMNO dan BN menghadapi situasi politik yang seolah-olah telur dihujung tanduk, pemimpin tidak wajar hanya berusaha mengekalkan jawatan sendiri dengan mencadangkan agar jawatan-jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak ditandingi. Walaupun perkara ini pernah diamalkan sebelum ini, keadaannya amat berbeza. Dulu pemilihan UMNO seringkali dijalankan sebelum PRU. Bagi memastikan UMNO dan BN kuat bagi menghadapi Pilihanraya Umum, maka jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan. Tetapi selepas PRU 12 keahlian UMNO, orang Melayu dan rakyat Malaysia menuntut perubahan. Jika UMNO dan BN tidak berubah sudah tentu perubahan yang dituntut mereka akan dipenuhi oleh pihak pembangkang. Itulah sebabnya UMNO mesti berani berubah. Sikap tidak peduli dan sambil lewa akan mengundang badai yang jauh lebih teruk dari tsunami politik yang telah melanda kita Mac lepas. Krisis kepimpinan yang UMNO hadapi pada hari ini tidak akan terbaiki dengan sendirinya. Kita sendiri mesti membetulkan di mana yang silap. Jika kita tidak berani untuk merubah, maka tiada perubahan akan berlaku. Kita mesti berani menolak sebarang usaha untuk menidakkan hak kita untuk memilih pemimpin. Kita mesti berani menguasai keadaan jika ada taktik-taktik untuk menyekat suara akarumbi di dalam Mesyuarat-mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian dilakukan sesetengah pihak. Kita mesti berani mencalonkan tokoh-tokoh yang berwibawa, yang akan memberi kekuatan kepada parti. Kita mesti berani melawan sebarang usaha untuk mencemarkan proses demokrasi melalui rasuah politik yang menggunakan wang ringgit, ugutan mahupun imbuhan dalam berbagai bentuk. KITA MESTI BERANI BERUBAH!

8. Janganlah kita sekadar batuk ditepi tangga - merungut mengenai keadaan yang tidak menentu tapi tidak lakukan sesuatu untuk memperbaikinya. Sekiranya kita terus takut kepada perubahan, maka percayalah, ahli UMNO yang seramai 3.5 juta akan disingkirkan daripada arus perdana pemerintahan negara apabila rakyat memberi mandat yang lebih besar kepada pembangkang di Pilihanraya Umum ke 13 nanti. Sesungguhnya, Allah SWT telah berfirman bahawa Ia tidak akan mengubah nasib sesuatu masyarakat itu kecuali masyarakat itu berusaha mengubahkannya. Maka pemilihan inilah satu-satunya peluang yang tinggal bagi ahli-ahli UMNO membawa perubahan yang akan menyelamatkan parti. Saya harap Saudara bersama saya dalam perjuangan ini.



BERANI BERUBAH!
Mukhriz Mahathir
24.09.08