Jumaat, 8 Ogos 2008

Tragedi Pemikiran Melayu


Kalau ditanya tentang minda orang Melayu kepada saya, saya rasa Melayu tidak
sanggup berubah. Perspektif mereka terhad, tidak suka menyiasat dan mereka
tidak mahu berfikir dengan mendalam. Kalau kita tengok orang Melayu dalam
cerita hikayat, Hikayat Raja-Raja Pasai misalnya, ia cukup menarik. Kita dapat
menggambarkan bagaimana ekonominya dan strategi orang Melayu memerintah
untuk berdepan dengan Majapahit. Berdasarkan hikayat itu dan tradisi pantun
Melayu, kita dapati orang Melayu ini mempunyai minda yang canggih. Tetapi yang
jadi tragedi ialah orang Melayu tidak nampak ini semua kerana tiga pengaruh
besar.

Pertama, dalam tahun 1920-an dan 1930-an, pihak penjajah British menolak apa
yang datang daripada Melayu, termasuk pantun, sebagai folk art, menjadikan apa
yang dihasilkan oleh Melayu sebagai second class. Ketika itu, Melayu yang
berharap untuk naik pangkat dan dapat kerja dengan kerajaan penjajah terpaksa
ikut teori penjajah Inggeris. Ini semua membawa orang Melayu kepada perspektif
jati diri yang salah. Itu pengaruh penjajah.

Pada zaman ini, saya melihat sungguhpun banyak pemimpin Melayu bercakap
tentang sains dan teknologi, orang Melayu pada umumnya tidak dapat
menangkap pandangan itu. Di Eropah, sejak zaman renaissance, mereka telah
mempelajari kemajuan sains dengan pendekatan yang berbeza dengan Islam.
Mereka sentiasa bertanya. Malangnya, di Malaysia, dari bangku sekolah kita tidak
galakkan budak-budak bertanya. Sampailah mereka di universiti, kita tidak
galakkan mereka bertanya: Kenapa?

Di negara kita, pelajar tidak berani bertanya dan guru-guru pula tidak tahu
menjawab. Budaya ini menunjukkan tidak wujudnya inquiry mind dalam
masyarakat Melayu. Kita tidak ada sikap saintifik. Sikap negatif inilah yang
menyebabkan berleluasanya cerita orang kena tipu dengan bomoh. Yang saya
hairan, graduan-graduan universiti pun kena tipu dengan bomoh. Kalau pada
kurun ke-18, terutama di England, orang selalu bertanya: Kalau betul ada hantu,
mana hantu? Kita hendak pergi ke tempat hantu, kita nak pergi tengok hantu
untuk lihat apa manifestasi hantu.

Pendekatan berani bertanya ini adalah sikap masyarakat dan tamadun yang
berasaskan sains. Malangnya, kita tidak sedia dan berani bertanya, yang akhirnya
menyebabkan kita tidak berani menghadapi cabaran. Pemikiran Melayu ini
sebahagiannya adalah sisa-sisa pengaruh penjajahan British. Ini bukan rahsia
lagi. Kita boleh membaca dokumen-dokumen itu di London.

Menurut para pegawai Inggeris, orang Melayu ini kalau diberi terlalu banyak
pendidikan dan kalau diajar ilmu sains, kelak mereka akan jadi seperti orang India
di India. Mereka akan berdemonstrasi dan hendakkan kebebasan. Jadi ajarlah dia
cerita Pak Pandir sahaja, itu sikit, ini sikit. Orang Melayu tidak suka sains, dia
suka agama, jadi ajarlah tentang agama. Dia suka dengan raja dia, ajar Melayu
buat bakul.

Akibat dasar itu, tidak ada trouble makers. Trouble makers Melayu hanya timbul
selepas Perang Dunia Kedua setelah kemasukan Jepun. Telah ada banyak buku
yang membincangkan tentang subjek bagaimana British berjaya mengamalkan
dasar yang mengongkong minda Melayu. Itu semasa penjajahan. Selepas kita
merdeka, minda orang Melayu masih terkongkong kerana semua orang Melayu
kemudiannya gila hendak kuasa dan hendak jadi kaya.

Ini adalah teori saya mengapa minda Melayu tidak berubah. Saya
bertanggungjawab tentang pandangan ini.

Selepas merdeka, sesetengah orang Melayu yang ada kuasa, dia rasa dia boleh
memerintah Malaysia sama bagus macam penjajah British. Minda Melayu ini
sentiasa ada sesuatu yang membendung dan mempengaruhi - daripada kesankesan
kolonialisasi pada tahun-tahun 1930-an, pengaruh Indonesia yang tidak
sesuai di sini pada tahun 1940-an dan 1950-an, kesan media massa, dan
kemudiannya budaya wang dalam masyarakat Melayu pada dekad-dekad terakhir
ini. Sekarang ini semua orang Melayu hendak kaya.

Sebagai seorang pendidik universiti, saya percaya (tetapi saya tidak ada
buktinya) kalau orang mendapat pendidikan, mereka akan lebih bebas dan
berubah. Contohnya pada akhir tahun 1970-an. Ketika Perdana Menteri, Datuk
Seri Dr. Mahathir Mohamad menjadi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan
Industri, Malaysia ketika itu dapat menarik banyak modal asing untuk membuka
kilang mikrocip. Kita dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada beratus-ratus
ribu orang terutamanya untuk wanita. Wanita Melayu yang bekerja kilang ketika
itu, akhbar-akhbar gelar mereka ini sebagai minah karan. Orang Melayu hina
wanita Melayu yang bekerja kilang.

Kenapa budak-budak perempuan Melayu ini mahu tinggalkan rumah di Kelantan,
tinggalkan kampung di Johor untuk pergi bekerja kilang di Pulau Pinang, Selangor
dan Melaka? Mereka sanggup kerana mereka telah belajar sampai ke peringkat
sekolah menengah. Jadi program kerajaan membuka sekolah-sekolah menengah
pada tahun 1960-an dan 1970-an, walaupun tidak ada rancangan khusus, ia telah
membebaskan pemikiran budak-budak perempuan Melayu. Waktu itu terdapat
beribu-ribu remaja wanita Melayu pergi bekerja di kilang-kilang.

Dalam penyelidikan saya pada tahun 1970-an, dalam soal selidik saya bertanya
mereka, bila hendak kahwin? Di kampung, dulunya mereka ini berumah tangga
pada usia muda. Umur 18 dan 19 tahun sudah kahwin atau dikahwinkan, tetapi
akhirnya bercerai juga. Oleh kerana pendidikan dan faktor pendedahan kepada
karier baru, wanita Melayu itu sudah ada idea tidak mahu kahwin cepat-cepat.
Mereka hendak bekerja terlebih dahulu dan menyimpan duit.

Kita tanya lagi, kalau sudah kahwin hendak anak cepat atau lambat? Mereka kata
lambat. Mereka hendak tangguh dapat anak sebab mereka hendak enjoy hidup
berkahwin dan mewujudkan rumahtangga yang lengkap terlebih dahulu. Kata
mereka, kalau dapat anak susahlah. Dalam sekelip mata, wanita Melayu berubah
sikap. Ini semua tidak diprogramkan oleh kerajaan. Ia jadi begitu sahaja.

Tetapi masyarakat Melayu tidak faham keuntungan perubahan minda wanita ini
terutama di kalangan kumpulan berfikiran konservatif. Hari ini di Malaysia, trend
semasa ialah wanita menguasai 65 peratus tempat belajar di universiti-universiti.
Dalam sektor kerajaan, banyak wanita yang memegang jawatan tinggi. Trend ini
pasti mengubah masyarakat Melayu secara pesat, sebagaimana ia mengubah
pemikiran wanita Melayu pada tahun 1970-an. Ini semua adalah hasil daripada
perubahan sikap yang tidak dirancang tapi terjadi. Perubahan minda itu berlaku
secara tidak sengaja. Kadang-kadang kalau nasib kita baik, hasil perubahan yang
tidak dirancang itu juga progresif seperti dalam kes perubahan minda wanita
Melayu.

Bagaimanapun, kadang-kadang perubahan yang dirancang tidak terjadi kerana
orang yang hendak melaksanakannya pun tidak jujur selain terdapat pengaruh
lain yang menghalang seperti pengaruh politik tempatan, politik antarabangsa,
Indonesia, peranan orang agama yang menimbulkan nilai-nilai sama ada
seseorang dapat pergi syurga atau tidak. Minda Melayu tidak dapat memikul ini
semua. Kerana ada sesuatu dalam budaya mereka yang masih tidak diubah,
mereka sanggup duduk di kedai kopi main dam. Contohnya orang lelaki di
Kelantan dan Terengganu. Kalau mereka tidak main dam, mereka akan bincang
untuk gasak kerajaan. Semua salah, dia sahaja yang betul.

Titik perubahan kepada minda Melayu ialah tragedi 13 Mei 1969, tetapi peristiwa
tersebut dan dasar-dasar ekonomi, pendidikan dan politik selepas itu tidak
sepenuhnya menukar sikap orang Melayu. Ada beberapa faktor lain yang
menghalang iaitu pengaruh Barat, peranan media massa, politik serta agama.
Kita memang berubah sedikit dari segi lahiriah tetapi saya tidak fikir orang Melayu
kini berada pada kedudukan yang lebih baik. Kita sudah terjangkit apa yang
bekas Perdana Menteri British, Margaret Thatcher hendak dulu, dan fahaman ini
cukup besar sama ada di kalangan pemimpin Melayu dalam UMNO mahupun
PAS, dan juga di kalangan para pegawai kerajaan.

Kita hendak menjadi apa yang Thatcher kata a nation of shopkeepers. Kita tidak
mahu kata shopkeepers, kita gunakan istilah usahawan. Orang berfikir kalau
sebahagian besar orang Melayu jadi usahawan, maka ekonomi orang Melayu
akan naik. Ini saya rasa salah. Pendekatan untuk membangunkan orang Melayu
dengan wang ringgit dan kebendaan ini tidak betul. Tesisnya silap.Tetapi itulah
minda Melayu sekarang.

Akhirnya saya lihat orang Melayu kini sudah kurang komitmen terhadap
bangsanya sendiri. Sudah tidak ada kesedaran bahawa aku orang Melayu, aku
mesti berkhidmat kepada orang Melayu, untuk membangunkan orang Melayu.


Oleh: Profesor Diraja Ungku Aziz

* PROFESOR Diraja Ungku Aziz adalah bekas Naib Canselor Universiti
Malaya. Beliau terlibat aktif dalam isu-isu pembangunan masyarakat Melayu
sejak zaman sebelum merdeka.

0 ulasan: