Sabtu, 23 Ogos 2008

Isu Melayu: Anwar perlu perjelas pendirian



Oleh ARSHAD KHAN
KUALA LUMPUR 22 Ogos - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta menjelaskan pendiriannya berhubung hak keistimewaan orang Melayu di negara ini jika hasratnya menjadi Perdana Menteri tercapai.

Ketua Penerangan Puteri UMNO, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, masyarakat Melayu, India dan Cina di negara ini perlu mengetahui pendiriannya itu.

Katanya, Anwar memberikan gambaran kononnya dia akan mewujudkan satu sistem yang lebih baik daripada apa yang diamalkan oleh Barisan Nasional (BN) setiap kali berceramah kepada masyarakat bukan Melayu.

Namun menurutnya, apabila Anwar berceramah kepada orang Melayu pula, dia memberikan janji untuk terus mempertahankan semua keistimewaan yang ada untuk kaum itu.

''Jadi, mungkin masyarakat Cina dan India dibuai janji-janji yang luar biasa dan pada masa yang sama, orang Melayu juga diberikan harapan,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Shahaniza juga berkata, contoh yang nyata ialah apabila ada pemimpin PKR mencadangkan agar Universiti Teknologi Mara (UiTM) membuka ruang kepada pelajar bukan bumiputera untuk belajar di situ.

''Apakah jika PKR berjaya berkuasa, mereka akan melakukan perkara seperti ini, tidakkah ini bererti keistimewaan orang Melayu akan dihapuskan sedikit demi sedikit,'' katanya.

Katanya lagi, Anwar perlu memberikan jawapan yang jelas berhubung perkara itu kerana ada masyarakat Cina dan India yang menyokongnya beranggapan dia akan menghapuskan hak keistimewaan Melayu sekiranya berkuasa.

''Berikan jawapan jelas, ya atau tidak, dan bukannya jawapan retorik berbelit sama ada hak Melayu akan dihapuskan atau sebaliknya,'' katanya.

Shahaniza seterusnya berkata, jawapan Anwar itu penting demi memastikan orang Melayu yang menjadi penyokongnya juga memahami ke mana arah sokongan mereka itu.

''Pada masa yang sama, orang bukan Melayu juga dapat memahami apakah perjuangan Anwar yang sebenar,'' ujarnya.

Katanya lagi, BN selama ini telah memberikan yang terbaik kepada penduduk semua kaum di negara ini dan segala yang berkaitan dengan hak masing-masing amat jelas serta nyata.

0 ulasan: