Pengalaman di Kuala Terengganu... Datuk Shapie Daud
Setelah memandu selama 7 jam dari Kota Tinggi, saya sampai di sebuah masjid di pusat bandar Kuala Terengganu tepat jam 6.00 pagi 12hb. Januari yang lalu. Seperti yang saya sedia maklum, Masjid tersebut adalah salah satu dari banyak masjid yang cantik yang telah dibina oleh Kerajaan BN khususnya sejak zaman Tan Sri Wan Mokhtar lagi.
Saya sebenarnya baru beberapa kali sampai ke Bandaraya Kuala Terengganu. Kali pertama ketika saya masih belajar di USM kerana mengetuai suatu program pendidikan di MRSM Kuala Berang. Seingat saya kali terakhir saya di sini adalah ketika mengiringi YB Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang pada ketika itu Menteri Pembangunan Usahawan & Koperasi membuat kunjungan hormat ke pejabat Datuk Seri Idris Jusuh yang baru saja dilantik sebagai Menteri Besar selepas BN berjaya menawan kembali Terengganu dari Kerajaan PAS.
Selepas beberapa tahun tidak datang ke Negeri Terengganu ini, saya amat terkejut dengan beberapa pembangunan yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan BN semasa era Datuk Seri Idris Jusoh. Saya juga amat yakin dengan pengembalian Royalti Minyak seperti yang telah dihebahkan beberapa hari lalu, Negeri Terengganu tentunya akan lebih cepat dapat dimajukan secara keseluruhannya.
Seperti telah ditakdirkan Allah, baru sebentar tadi saya dapat bersama dengan YB Datuk Idris Jusoh dan mendengar ceramah umumnya di kawasan peti undi di mana saya bertugas membantu BN di Kampung Nibong.
Lebih membuat saya terharu apabila ketika sedang menikmati jamuan sambil berbual bersama YB Datuk Seri Idris, tanpa disangka-sangka, muncul pula Y Bhg. Datuk Seri Amar DiRaja Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, juga bekas Menteri Besar Terengganu. Saya merasa sungguh beruntung kerana mendapat kesempatan belajar dari pengalaman kedua-dua Bekas Menteri Besar Terengganu itu khususnya di dalam menghadapi ancaman Parti Songsang PAS yang menggunakan Agama Islam untuk mendapatkan sokongan.
Kesempatan itu juga saya dapat mengucapkan sendiri ucapan setinggi-tinggi terima kasih saya dan UMNO Johor kepada Tan Sri Wan Mokhtar kerana ketika saya menjadi Setiausaha Kerja Biro Penerangan UMNO Negeri Johor, Beliau telah mengizinkan Biro Penerangan UMNO Johor untuk menggunakan khidmat seorang pegawainya iaitu Datuk Shafie Daud yang bertugas sebagai Pengarang di Pejabat Menteri Besar Terengganu.
Sepanjang tahun 1998 sehingga pilihanraya 1999, sekiranya tidak mempunyai program ceramah di Terengganu pada hujung minggu, pasti Datuk Shafie akan berada bersama saya di Johor, menjelajah ke semua 20 Parlimen (sekarang 26) di seluruh pelusuk kampung dan cawangan dalam Negeri Johor.
Oleh kerana Johor pada ketika itu (mungkin sehingga kini) amat kekurangan penceramah yang mempunyai pengalaman dalam menentang dakyah Parti PAS, Datuk Shafie juga telah memperkenal beberapa orang penceramah yang hebat yang merupakan bekas-bekas ahli PAS dari Terengganu dan Kelantan seperti Ustaz Omar Khalid (Bekas tahanan ISA PAS), Ustaz Ghazali Ahmad (kini Datuk, bekas ADUN dan Timbalan Pesuruhjaya Pas Terengganu), Ustaz Azmi Mahsyar (Bekas Penceramah PAS & adik Rozali Isohak), Prof. Madya Mohd Noor Deris (bekas ahli dewan Ulamak PAS).
Datuk Shafie juga telah memperkenalkan kepada saya seorang penceramah dari UMNO yang mahir dalam menghadapi PAS iaitu Ustaz Kamal Saidin dari Negeri Kedah.
Nama-nama di ataslah yang telah banyak membantu Biro Penerangan UMNO Negeri Johor yang diketuai oleh YB Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam menghadapi serangan dakyah dan fitnah PAS di Negeri Johor.
Beratus jumlah ceramah telah saya aturkan diseluruh Negeri Johor. Selain itu terdapat juga Kursus untuk melahirkan penceramah yang telah mendapat bimbingan dari nama-nama saya telah saya sebutkan di atas.
Kesannya, pada Pilihanraya Umum ke 10, BN Johor terus mengekalkan rekod cemerlang dengan kemenangan 100%. Malangnya, Terengganu pula telah terlepas ke tangan PAS.
Pertemuan malam tadi juga membuat saya merasa sungguh hiba kerana Tan Sri Wan Mokhtar memaklumkan bahawa Y Bhg Datuk Shafie Daud telah tiada lagi. Betapa besarnya ganjaran ke atas pengorbanan Allahyarham kepada perjuangan UMNO untuk memartabatkan Agama, Bangsa dan Tanahair... hanya Allah yang akan membalasnya.
Allahyarham ada meninggalkan beberapa orang anak dan salah seorang darinya juga merupakan seorang yang hebat berpidato yang saya kenali sebagai Dr. Suaidi.
Al Fatehah....
0 ulasan:
Catat Ulasan