FAZMIRA AZRINA DALAM KENANGAN
Ira Dalam Kenangan
Suatu hari, sedang asyik berurusniaga forex, ada seseorang yang mengajak aku berbual melalui Yahoo Massenger.
Namanya Fazmira berasal dari Perak. Penuntut Jurusan Mechanical Engineering Universiti Malaya.... tahun pertama @ tahun kedua aku tak berapa ingat. Panggilannya ira sahaja.
Setelah lama berbual menerusi YM, Ira mula menceritakan kisah hidupnya. Aku ingin dijadikan abang angkatnya. Aku menolak malah sebaliknya menawarkan untuk menjadi bapa angkatnya memandangkan umurnya adalah separuh dari umurku.
Kami bertukar no handphone. Hampir setiap hari kami berbual sebagai anak dan ayah. Ira memanggil ku 'papa'. Sebagaimana Ira, aku juga cukup teruja kerana dianugerahkan seorang anak perempuan yang telah besar dan aku membayangkan Ira sebagai kakak akan menasihati anak-anak ku yang masih kecil, 3 orang semuanya.
Isteri dan anak-anak ku semua ku beritahu tentang 'kakak' mereka ini. Isteriku cukup gembira.
Ketika mengenali Ira, beliau sedang bercuti 'medical leave' kerana sakit batu karang. Beliau memaklumkan akan dibedah tidak lama lagi. Ketika itu Ira tinggal bersama seorang kakaknya yang merupakan seorang pensyarah Sains Farmasi di UKM.
Yang menjadikan aku dan Ira semakin rapat mungkin kerana masalah yang sedang dia hadapi. Dalam keadaan kesihatannya yang buruk pada ketika itu, kedua ibu dan bapanya pula seperti tidak mengendahkannya.
Semuanya berpunca dari seorang lagi kakaknya yang katanya membawa cerita buruk tentangnya dan kakaknya (pensyarah) kepada ibubapanya. Pada mulanya mereka tinggal bertiga beradik di Kuala Lumpur. Kakaknya itu kemudian keluar dan berpindah ke rumah yang lain. Sejak itu, katanya kakaknya itu selalu memburuk-burukkan dirinya dihadapan ibubapanya sehingga Ira, menurut ceritanya, tidak dilayan sebagai seorang anak lagi.
Ibunya tidak mahu bercakap dengannya walaupun menerusi telefon. Aku begitu terkesan dengan cerita sedih yang dialami oleh Ira. Walaupun aku sudah tentu tidak mampu untuk menggantikan kasih sayang ayah sebenarnya, sebaliknya aku cuba sedaya upaya untuk membuat yang terbaik untuknya.
Ira pernah bertanya kepada ku : "Papa, adakah papa tidak merasa bangga memiliki anak seperti Ira, .....pandai, belajar jurusan engineering....". Sudah tentu jawab ku... Papa bangga... Dia bertanya lagi..."tapi kenapa papa & mama Ira seperti tidak bangga ada anak seperti Ira?"
Aku terdiam. Kelu. Mencari ayat yang terbaik untuk meredakan kepiluan hatinya tanpa memburuk-burukkan kedua ibubapanya.... Aku bertekad tidak akan membenarkan anak-anak ku yang tiga orang merasa seperti yang Ira rasa.
Perhubungan kami bagi Ira cukup menggembirakan hatinya. Dia mengakui merasa kasih sayang ikhlas dari ku walaupun menerima hakikat bahawa ianya tidak sama dengan kasih sayang sebenar seorang ayah. Hari yang berlalu dapat aku rasakan Ira semakin gembira...
Suatu hari, Ira kesedihan lagi. Teman lelakinya sejak sekolah yang kini belajar jurusan perubatan datang bertemunya. Farid menyatakan hasratnya untuk memutuskan perhubungan yang terjalin sekian lama.
Kesedihan Ira seperti bertali arus. Sudah jatuh ditimpa tangga. Aku memujuknya. Aku terpaksa katakan bahawa Farid sebenarnya tidak benar-benar cintakan Ira.
Aku huraikan makna cinta kepada Ira. Aku mendefinisikan "Cinta adalah kesenangan memberi & menerima". Kedua-dua pihak harus mempunyai definisi cinta yang sama. Farid tidak mempunyai definisi cinta yang sama dengan Ira kerana Farid tidak rela menerima Ira dalam keadaan Ira yang tidak sempurna seperti dahulu. (Ira pada ketika itu sudah berkerusi roda).
Ira akhirnya menerima apa yang ku katakan tentang Farid.
Selepas itu, kami lama tidak berhubungan lagi. Aku sibuk dengan kegiatan harian ku. Sesekali Ira ada SMS ku mengatakan ia begitu rindu dengan 'papa'nya ini.
Pagi Khamis yang lalu, aku mendapat sms dari seorang bernama Nasrul. Sebenarnya sms itu tiba pada malam Rabu tetapi aku hanya membukanya pada pagi Khamis.
Nasrul, sepupu Ira, bertanya adakah aku ini 'ayah angkat' Ira dari Johor. Aku terkejut. Aku menunjukkan sms tersebut kepada Isteriku. Aku dapat merasa seperti sesuatu yang buruk telah berlaku.
Nasrul bertanya samada aku tahu bahawa.... Ira SUDAH TIADA LAGI... Aku tergamam... menitis airmata ku bila Nasrul memberitahu ku bahawa Ira sudah pergi menemui Allah pada 2hb Oktober 2008 yang lalu. Katanya Ira koma selama 2 bulan. Ira pernah menceritakan tentang aku kepada Nasrul seperti mana Ira juga pernah menceritakan Nasrul sepupunya itu kepada ku. Menurut Ira, Nasrul rapat dengannya.
Nasrul juga memberitahuku bahawa dia tidak sempat bertanya Ira no handphone ku ketika Ira belum koma.
Nasrul mendapat no handphone ku setelah membaca Diary Ira yang mencatatkan perhubungannya dengan ku. Nasrul menceritakan apa yang Ira tulis tentang ku dalam diarinya.
Aku sungguh terharu dengan apa yang Ira tulis dalam dairinya. Airmata ku selalu menitis bila teringatkan Ira. Kami sebenarnya tidak pernah bertemu. Hanya YM dan SMS sahaja.
Aku tidak pandai menggunakan kata-kata indah untuk menceritakan ini kepada kamu semua. Tetapi peristiwa ini ku harap dapat menjadi pengajaran kepada kita semua.
Doa papa, semoga roh Ira (FAZMIRA AZRINA) akan dicucuri rahmat serta dihimpunkan bersama roh para syuhada, siddiqin dan solehin. Ira akan sentiasa menjadi anak papa dunia akhirat. Papa juga akan menyusul Ira suatu hari nanti. Semoga Allah mempertemukan Papa, Mama, adik-adik & Ira di akhirat nanti.
Ira sentiasa dalam kenangan..... AL FATIHAH
0 ulasan:
Catat Ulasan