Khamis, 16 April 2009

BN KALAH PRU13 JIKA GAGAL FAHAMI MASALAH SEBENAR


Semenjak PRU12 di mana Barisan Nasional (BN) mengalami kemerosotan teruk sokongan rakyat khususnya dari Kaum Cina dan India, beberapa pendekatan telah cuba dilakukan untuk memulihkan sokongan pengundi dan rakyat (Kaum Cina dan India) kepada BN oleh Kerajaan BN.

Namun begitu, hasilnya masih jauh dari yang diharapkan. Barisan Nasional telah mengalami kekalahan berturut-turut dalam semua Pilihanraya Kecil (PRK) kecuali DUN Batang Air di Sarawak.

Dari laporan UMNO, parti itu mendakwa sokongan Pengundi Melayu semakin meningkat dalam setiap PRK walaupun BN kalah. Pun begitu, sokongan dari Pengundi Kaum Cina dan India masih tidak menyebelahi BN atau dengan kata lain terus merosot.

Mengapa ini berlaku?

Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menegur sikap pengundi Cina ini. Sebaliknya teguran ikhlas ini tidak diterima khususnya oleh MCA dan GERAKAN.

Bagi saya, pendekatan yang di ambil oleh BN tidak tepat kerana tidak berjaya menyelami punca sebenar mengapa sokongan kaum Cina dan India beralih kepada parti pembangkang. Sekiranya BN terus gagal memahami punca penyakitnya ini maka BN tidak akan berupaya memberikan penawar yang tepat bagi merawati penyakit tersebut.

Saya tidak mengatakan bahawa saya faham permasalahan atau punca kepada penyakit ini kesemuanya. Tetapi saya rasa ada satu punca yang gagal diakui oleh BN khususnya UMNO, MCA, MIC dan GERAKAN.

Apakah puncanya ?

1. Konsep keterbukaan yang cuba diterapkan dalam era Kerajaan sebelum ini bagi saya telah mengundang padah dan antara penyumbang terbesar kepada permasalahan ini. Media pro kerajaan hanya terbuka (secara terpilih) untuk memaparkan kebaikkan kerajaan dan pemimpin utamanya secara berlebihan dan memuakkan. Sementara di ruang cyber, mana-mana pihak bebas menaburkan fitnah dan dakyah samada melalui blog ataupun online video seperti You Tube dan seumpama dengannya.

Dengan kemuakkan terhadap media arus perdana ditambah dengan tahap celik jalur lebar yang terus meningkat di kalangan generasi baru, media baru internet telah digunakan secara optimum oleh pihak yang mengambil kesempatan untuk menyebarkan segala macam dakyah dan fitnah secara besar-besaran tanpa kawalan.

Yang hairannya, walaupun penguna internet rata-ratanya terdiri dari golongan yang berpelajaran, mungkin kerana kemuakkan terhadap laporan media arus perdana yang bersikap sebelah pihak secara keterlaluan, golongan ini kelihatannya tidak mampu menapis maklumat yang dihidangkan di laman-laman blog yang telah diketahui umum sebagai tidak dapat disahkan kebenarannya. Kejayaan penyebaran dakyah dan fitnah ini boleh diukur dari jumlah undi yang telah berpindah dari BN kepada parti pembangkang.

Di pihak Kerajaan pula kelihatan gagal dalam mengawal penyebaran maklumat-maklumat palsu ini melalui penguatkuasaan peruntukan undang-undang sediada. Kerajaan juga telah gagal menggunakan kelebihan media baru ini dalam memperbetulkan semula persepsi rakyat yang telah terpengaruh oleh dakyah dan pembohongan yang telah dilakukan oleh pihak yang mengambil kesempatan terhadap sikap keterbukaan yang kononnya cuba diamalkan oleh Kerajaan BN ketika itu. Puncanya adalah kerana Kerajaan khususnya UMNO mengambil sikap acuh tidak acuh serta memandang rendah terhadap kepentingan media internet dalam peperangan politik pada zaman ini walaupun telah diingatkan oleh pihak-pihak tertentu yang menyokong perjuangan UMNO seperti Kelab Maya UMNO (KMU).

2. Kegagalan parti-parti komponen BN menghayati konsep semangat kesepakatan Barisan Nasional. Inilah punca sebenar yang paling meruncing dan perlukan tindakan dari pempinan tertinggi BN. Mengapa jadi begini ? Puncanya juga kerana sikap keterbukaan yang cuba ditonjolkan oleh pemimpin tertinggi BN pada era sebelum ini.

Semenjak Parti Perikatan ditubuhkan dan kemudiannya menjadi BN, ianya dianggotai oleh parti-parti komponen yang berasaskan ethnik-ethnik yang wujud di Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. Semua parti komponen yang mewakili ethnik tertentu ini sudah semestinya cuba memperjuangkan perjuangan kaum masing-masing. UMNO memperjuangkan Melayu, MCA dengan perjuangan kaum Cina, MIC bagi kaum India.

Di antara parti komponen ini, khususnya di kalangan pimpinan tertingginya telah wujud apa yang dipanggil sebagai'mutual coalition'. Setiap pertikaian yang wujud akan dibawa melalui saluran yang diwujudkan dan tidak dibincangkan secara terbuka.
Hal ini berlaku sejak sekian lama dengan andaian bahawa perkara-perkara sensitif berkaitan agama dan kaum tidak boleh dibincangkan secara terbuka kerana ianya boleh mendatangkan kesan yang buruk kepada hubungan dan perpaduan kaum yang menjadi kunci kepada keamanan dan kemajuan negara. Andaian ini sememangnya mempunyai asas yang kukuh dan tidak pernah dipertikaikan sebelum era keterbukaan.

Dahulu, pemimpin sesebuah parti komponen tidak akan cepat melatah dan terus menyuarakan ketidakpuasan hatinya secara terbuka apabila ada kalangan pemimpin parti komponen yang lain mengucapkan sesuatu yang bersifat perkauman di hadapan ahli parti masing-masing. Tetapi kini, oleh kerana sengaja tidak mahu mengambil dan memahami konsep 'mutual coalition' (mungkin juga mengambil kesempatan dari keterbukaan yang di war-warkan), kebanyakan pimpinan parti komponen begitu cepat melenting dan menambahkan lagi minyak membakar sentimen perkauman kepada ahli parti mereka hingga menyebabkan hubungan sesama parti komponen BN sendiri menjadi keruh dan tegang. Kesannya, perasaan curiga mencurigai sesama parti komponen menjadi subur.

Sebagai contoh, isu Ketua Pemuda UMNO mencium keris ketika persidangan Pemuda UMNO telah sengaja diperbesar-besarkan. Pemuda dari GERAKAN dan MCA malah menuntut secara terbuka agar Pemuda UMNO memohon maaf kepada masyarakat Cina yang tersinggung. Padahal, perbuatan mencium keris hanyalah suatu simbol. Sultan dan Raja juga mencium keris ketika majlis pertabalan. Perlakuan mencium keris itu pula dilakukan dihadapan penyokong dan ahli UMNO sendiri, bukan di hadapan penyokong MCA dan GERAKAN.

Oleh kerana isu ini dibincangkan secara terbuka melalui media, ianya telah menyebabkan kaum lain terikut-ikut emosi dan menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penyokong parti komponen tersebut. Bagi orang Melayu dan ahli UMNO pula, mereka menjadi marah apabila Ketua Pemuda bersetuju memohon maaf sekiranya perbuatannya (mencium keris) telah mengguris hati kaum lain.

Sebabnya adalah kerana dalam era keterbukaan, parti-parti komponen telah membelakangkan semangat musyawarah yang menjadi teras dan amalan dalam BN selama ini.

Sebaliknya jika semangat musyawarah ini digunapakai, setiap parti akan memahami bahawa parti-parti komponen dalam BN memang memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing. Justeru isu-isu seperti yang dibangkit diera keterbukaan yang diucapkan di hadapan penyokong masing-masing haruslah dianggap sebagai pendekatan parti-parti tersebut untuk terus meningkatkan sokongan ethnik yang diwakili oleh parti tersebut.

Setiap parti sememangnya sentiasa berusaha untuk menjadi juara kepada kaum yang mereka wakili agar dapat terus memainkan peranan bagi mendapatkan sokongan untuk BN dalam setiap pilihanraya. Ini berlaku sejak sekian lama.

Jika sesebuah parti komponen tidak lagi dilihat atau tidak dapat memainkan peranan yang berkesan bagi mewakili kepentingan kelompok atau kaum yang diwakilinya maka parti tersebut menjadi tidak relevan lagi kepada kaum tersebut. Sebagai contoh, MIC dikatakan gagal dalam memperjuangkan nasib kaum India. Hasilnya tertubuhlah HINDRAFF yang dengan secara tiba-tiba mendapat sokongan meluas dari kaum India. Mengapa ? Kerana HINDRAFF menonjolkan diri sebagai sebuah organisasi yang benar-benar memperjuangkan kaum India. MIC menjadi tidak relevan lagi.

Jika masalah kegagalan memahami semangat 'mutual coalition' dalam BN tidak segera diatasi, jika parti-parti komponen terus mempertikaikan perjuangan sesama sendiri maka semua parti-parti komponen akan menjadi tidak relevan kepada kaum masing-masing.

Apakah kesannya jika parti-parti komponen tidak lagi relevan kepada kaum yang mereka wakili selama ini ?

Kesannya amat mudah tetapi cukup berat untuk diterima malah akan membawa kerosakan yang lebih parah kepada rakyat dan sistem negara secara keseluruhannya. Kesannya BN akan gagal mempertahan kuasanya, kalah dalam PRU13.


Barang dijauhkan oleh Allah swt.

3. "Sekiranya kita menang - India, Cina, Melayu seeeemuaaaa sama", Anwar Ibrahim.

Ungkapan ini memberikan kesan yang sangat besar kepada fenomena peralihan sokongan pengundi kaum Cina dan India dari BN kepada Pakatan Rakyat (PR).

Anda mempunyai cara untuk menanganinya ? Sama-samalah kita fikirkan...

0 ulasan: