Memaparkan catatan dengan label SULTAN AZLAN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label SULTAN AZLAN. Papar semua catatan

Ahad, 19 April 2009

SULTAN PERAK SUDAH BERTITAH


Sultan Perak: Negara kini terlalu berlebihan berpolitik

KUALA KANGSAR: Sultan Perak Sultan Azlan Shah hari ini bertitah bahawa seseorang raja sebenarnya berada di atas politik dan tidak boleh turun untuk berdebat dengan terbuka dalam memberi jawapan dan penerangan untuk menangkis tohmahan dan fitnah yang dilemparkan oleh kumpulan politik tertentu.

Baginda bertitah tindakan kumpulan politik berkenaan yang sampai ke peringkat menghasut rakyat untuk mencetuskan huru-hara selain turut mencemar institusi raja dengan menyemai rasa benci rakyat terhadap raja merupakan satu perbuatan 'menyalakan api dalam sekam' yang amat berbahaya dan boleh memusnahkan kerukunan rakyat dan negara.

"Betapa perbuatan kuasa politik telah mencemar dan mempamerkan wajah hodoh dengan membenarkan kelakuan orang-orang sedemikian. Matlamat kini dibenarkan menghalalkan cara.

"Betapa kumpulan politk tertentu merasakan mereka tidak pernah silap serta memiliki kekebalan. Betapa pula beberapa individu politik yang merasakan diri mereka tidak pernah melakukan kesalahan, memiliki imuniti daripada sebarang tindakan undang-undang sehingga undang-undang diketepikan atas matlamat untuk mendapatkan kuasa," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada istiadat menghadap sembah taat setia dan penganugerahan darjah kebesaran negeri Perak sempena ulang tahun keputeraan ke-81 baginda di Istana Iskandariah di sini hari ini.

BERLEBIHAN BERPOLITIK

Sultan Azlan bertitah pada hemat baginda, negara kini telah terlalu berlebihan berpolitik sehingga menjejaskan produktiviti ekonomi dan imej negara di kaca mata antarabangsa.

"Dalam menghadapi kemelut ekonomi yang sedang melanda dunia ketika ini, aktiviti-aktiviti politik secara keterlaluan kerana perebutan kuasa ini tidak akan memberi manfaat kepada warga, malah rakyat biasa akan menjadi mangsa terpaksa bergelut untuk memiliki keperluan hidup harian," titah baginda.

Baginda bertitah oleh itu para pemimpin yang mewakili kumpulan politik yang berbeza perlu mencari titik pertemuan dan kaedah bekerjasama di antara mereka demi kepentingan negara dan warga.

Sultan Azlan bertitah sepanjang perjalanan hampir 52 tahun kemerdekaan negara, diakui bahawa berlakunya kepincangan dan salah laku serta insiden penyalahgunaan kuasa dalam urus tadbir negara.

"Beta sendiri dari masa ke masa turut menzahirkan teguran, pandangan dan nasihat baik secara terbuka mahupun secara tertutup akan perkara-perkara yang tergelincir dari dasar dan garis perundangan.

"Namun kesilapan yang berpunca daripada beberapa individu atau yang berpunca dari kumpulan tertentu jangan sampai ke peringkat mendorong warga dan bangsa berfikiran singkat mahu meruntuhkan sistem dan institusi sehingga boleh mencetuskan keadaan tidak seimbang, hatta membawa kepada keadaan huru-hara.

MENANG SORAK KAMPUNG TERGADAI

"Barang dijauhkan Allah dari bangsa menghadapi nasib malang 'menang sorak kampung tergadai', akhirnya terpaksa mengemis di bumi sendiri," titah baginda.

Sultan Azlan bertitah anggapan salah bahawa raja berperlembagaan adalah sekadar lambang tanpa sebarang kuasa merupakan tafsiran yang perlu diperbetulkan.

Titah baginda, raja pemerintah bukanlah daripada kalangan insan yang buta penglihatan, pekak pendengaran dan bisu pertuturan, bahkan segala perkara yang berlaku dalam negara ini adalah dalam ruang penglihatan, pendengaran dan pertuturan raja pemerintah.

"Perlu ditegaskan bahawa raja berpelembagaan itu memiliki tiga hak iaitu hak untuk menyampaikan nasihat dan pandangan, hak untuk memberi galakan dan dorongan dan hak untuk memberi peringatan dan teguran."

ANTARA PERANAN RAJA, PRESIDEN

Sultan Azlan bertitah raja berpelembagaan bertindak tertakluk kepada kuasa yang termaktub dalam perlembagaan tetapi adalah satu kesilapan untuk memikirkan bahawa peranan seorang raja pemerintah itu sama seperti seorang presiden yang terbatas semata-mata kepada apa yang tersurat.

"Peranan raja pemerintah adalah mengatasi apa yang tersurat dalam peruntukan perlembagaan. Raja pemerintah mempunyai tanggungjawab yang lebih luas dalam memastikan bahawa semangat perlembagaan, falsafah di sebalik setiap undang-undang yang tersurat, kepentingan negara dan warga negara perlu sentiasa dilindungi," titah baginda.

Baginda bertitah berlandaskan semangat penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, raja-raja mempunyai peranan perlembagaan untuk melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran raja-raja, melindungi agama Islam, melindungi bahasa Melayu dan melindungi kepentingan sah kaum-kaum lain.

"Perkara-perkara ini adalah asas persefahaman yang telah tercapai dan merupakan resipi kejayaan terbentuknya sebuah negara bangsa yang merdeka lagi berdaulat, membolehkan warganya hidup rukun lagi bersatu," titah Sultan Perak. BERNAMA

Khamis, 6 November 2008

TITAH SULTAN AZLAN SHAH



(Titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Azlan Muhibbuddin Shah di acara penyerahan memorandum oleh Gabungan Melayu Perak di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, semalam.)


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Bismillahi Rahmanir Rahim, BETA merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga di atas ikrar taat setia yang dilafazkan oleh rakyat Beta yang dikasihi sebentar tadi.

Kemerdekaan negara ini dicapai melalui perundingan dan persefahaman antara tiga pihak, Raja-Raja Melayu, Parti Perikatan dan Kerajaan Inggeris. Persekutuan Tanah Melayu yang mencapai kemerdekaan dalam tahun 1957 membentuk sistem berkerajaan dan bernegara berpayungkan Raja.

Semasa menerima Ijazah Doktor Persuratan dari Universiti Malaya pada 30 Jun 1979, Beta telah memperingatkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum, berbilang bangsa, berbilang agama, berbilang adat resam. Tetapi walau bagaimanapun, kita perlu ingat, dan jika tidak ingat, maka kita seharusnyalah diperingatkan, bahawa dalam negara yang semuanya berbilang kaum itu, mestilah ada suatu asas di mana kita mesti menumpukan perhatian kita. Dalam konteks ini, Malaysia telah wujud hasil dari cantuman tiga wilayah, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Persekutuan Tanah Melayu pula diasaskan atas tapak kesultanan Melayu Melaka... Perkataan 'Negeri-Negeri Melayu Bersekutu' dan 'Negeri Melayu Tidak Bersekutu' dan 'Persekutuan Tanah Melayu' masih wujud dalam undang-undang kita. Dengan lain perkataan, negara Malaysia adalah berteraskan kepada sejarah Melayu, evolusi politik Melayu, nasionalisme Melayu yang hidup subur dan kepulauan Melayu yang mempunyai sejarah kebudayaan Melayu. Faktor-faktor dan hakikat inilah yang melahirkan Negeri-negeri Melayu, Persekutuan Tanah Melayu dan akhirnya Malaysia.

Secara tersirat, pengekalan institusi Raja di negara ini adalah satu penerusan mengekalkan identiti sebuah kerajaan berpaksikan Melayu di tanah air warisan bangsa. Perlembagaan Merdeka digubal berlatar belakangkan senario kebangkitan semangat nasionalisme Melayu. Dalam luapan semangat menuntut kemerdekaan, orang Melayu bimbang akan kedudukan mereka dalam negara merdeka yang komposisi warga negaranya terdiri dari pelbagai kaum. Orang Melayu bimbang akan pencapaian taraf sosioekonomi mereka yang jauh ketinggalan secara perbandingan dengan kaum-kaum lain. Bahawa orang Melayu memerlukan jaminan - memerlukan pembelaan demi memastikan kedudukan mereka sebagai peribumi tidak terancam.

Kebimbangan orang-orang Melayu dijawab melalui jaminan perundangan dengan memaktubkan di dalam Perlembagaan Merdeka, klausa-klausa tertentu menyentuh agama Islam, Raja-Raja Melayu, adat istiadat Melayu, bahasa Melayu dan kedudukan istimewa orang-orang Melayu.

Sebarang pindaan Perlembagaan menyentuh Raja-Raja serta bidang kuasa Raja Pemerintah merangkumi agama Islam, bahasa kebangsaan, kedudukan orang- orang Melayu serta bumiputera di Sabah dan Sarawak perlu terlebih dahulu mendapat perkenan Raja-Raja. Institusi Raja berupaya memberikan keyakinan psikologi untuk melindungi kepentingan bangsa di samping melakukan keadilan kepada warga keseluruhannya. Institusi Raja berperanan sebagai lambang penyatuan dalam kepelbagaian.

Raja-Raja memahami bahawa Perlembagaan Merdeka juga memberi pengiktirafan dan perlindungan kepada warga pelbagai bangsa, agama, bahasa dan budaya. Persefahaman dan persetujuan yang telah termaktub dalam kontrak sosial berkenaan telah membolehkan negara mencapai kejayaan, kemajuan, keharmonian dan kestabilan. Negara aman dan warga hidup secara rukun dalam dimensi sosiopolitik yang mengiktiraf fakta dan hakikat sejarah.

Hari ini, jika berlaku kesilapan dan kegelinciran di peringkat pelaksanaan dasar tertentu, yang perlu diperbetulkan adalah mekanisme pelaksanaan. Dasar tunjang yang menjadi asas kepada pembinaan sebuah negara merdeka ini tidak harus disentuh, diuji dan dicabar sama sekali. Perbuatan demikian jika tidak dihentikan, dibimbangkan akan mengguris hati dan emosi orang- orang Melayu.

Oleh itu, warga dan rakyat yang Beta kasihi, hendaklah berfikiran secara rasional, tindakan-tindakan politik secara berlebihan dan keterlaluan hendaklah dihentikan segera. Kepentingan rakyat yang telah memilih kerajaan hendaklah diutamakan. Keamanan negara, kerukunan warga tidak harus dikorbankan kerana perebutan kuasa di kalangan pemimpin dan kumpulan tertentu.

Semoga negara dan warga terus diberikan perlindungan dari Allah Subhanahu Wataala dan barang dijauhkan negara dan bumi ini dari ditimpa sebarang musibah.

Wabillahi taufik, walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.