Jumaat, 5 Ogos 2011

KERAJAAN YANG HARUS DIPERANGI OLEH PARTI PAS

Tajikistan Haramkan Sembahyang

Dushanbe, 4 Ogos - Presiden Tajikistan, Imomali Rakhmon mengHARAMkan golongan muda di negara itu daripada bersembahyang di masjid dan gereja, dalam langkah yang disifatkan oleh seorang ulama tempatan sebagai 'hadiah jelik' untuk ummat Islam pada bulan Ramadhan.

Rakhmon yang mengetuai kerajaan sekular sejak tahun 1992 menandatangani rang undang-undang mengenai 'tanggungjawab ibubapa' semalam dengan alasan langkah-langkah tegas diperlukan bagi mencegah penyebaran fahaman fundamentalis agama di negara yang mempunyai 7.5 juta penduduk ini, 98 peratus daripadanya beragama Islam.

Semua penduduk berusia dibawah 18 tahun, kecuali pelajar sekolah agama diharamkan bersembahyang di masjid, gereja atau rumah ibadat lain di negara ini mulai hari ini.

MataHati - Adalah sesuatu yang amat menyedihkan bagi sebuah negara yang mempunyai 98% penduduk Islam mempunyai undang-undang sezalim ini kepada ummat Islam yang merupakan rakyatnya sendiri.

Masih kemas dalam ingatan saya ketika bertembung dengan jemaah haji dari Tajikistan yang datang ke Mekah dengan menaiki bas dari negara mereka. Diatas bas tersebut mempunyai ruang meletak barang. Segala barang yang dibawa oleh jemaah dapat dilihat diatas bas uzur tersebut yang antaranya adalah tilam, tikar, periuk, cerek dan pelbagai peralatan memasak yang lain.

Dari keadaan bas, jemaahnya serta peralatan yang mereka bawa, saya yakin mereka tidak menginap di hotel seperti jemaah dari Malaysia sepanjang menunaikan ibadah haji.

Salah satu yang saya akan ingat sampai bila-bila adalah keunikan bas uzur yang digunakan oleh jemaah Tajikistan itu iaitu enjin bas dihidupkan dengan memusingkan sesuatu dibahagian hadapan enjin bas tersebut yang mana kaedah lama ini tidak lagi ditemui dan digunakan oleh mana-mana bas di Malaysia. Pertama kali saya melihat cara menghidupkan enjin bas menggunakan kaedah ini adalah dalam filem Charlie Chaplin.

Bersyukur sungguh dilahirkan di Malaysia apabila mengenangkan nasib malang ummat Islam di negara lain. Kerajaan UMNO yang selama ini dituduh zalim dan tidak mengikut ajaran Islam tidak pernah menghalang ummat Islam dari mengamalkan ajaran suci Islam. Malah peruntukan besar sentiasa diberikan untuk meningkatkan syiar Islam termasuk untuk pendidikan Islam, membina sekolah-sekolah agama dan membina masjid-masjid baru.

Kerajaan UMNO ini mengikut Rasulullah adalah haram ditentang.

Justeru saya suka ingin mencadangkan agar PAS yang tidak pernah membina masjid pergilah berjuang menentang kerajaan Tajikistan yang menurut Rasulullah harus diperangi kerana menghalang ummat Islam dari mengerjakan sembahyang. Wallahualam.

0 ulasan: