Isnin, 22 Ogos 2011

KENAPA UMNO MEMUSUHI PERKASA

Saya ini memberikan respon kepada persoalan yang dibangkitkan oleh Aida Mazura Mohd Noor dalam Geng2 PERKASA seM'sia (Facebook).

"Masih menjadi tanda tanya, kenapa UMNO tidak boleh terima PERKASA?"

Persoalan yang diutarakan ini seringkali dibangkitkan oleh ahli-ahli PERKASA dalam forum-forum PERKASA. Selaku pimpinan PERKASA Negeri Johor, saya mengambil kesempatan ini untuk menyatakan pandangan saya terhadap perkara ini.

Jawapan awal saya terhadap persoalan ini adalah; Bagaimana mungkin UMNO boleh 'mesra' dengan PERKASA jika PERKASA terus menerus menghentam UMNO, mencerca dan menghina pemimpin-pemimpin UMNO. Walaupun kebanyakan ahli PERKASA adalah juga ahli UMNO, mereka ini menghentam UMNO sama seperti mereka memerangi musuh-musuh Melayu sedangkan UMNO adalah parti politik Melayu yang terbesar yang merupakan teras kepada pemerintah.

Malahan terdapat sesetengah ahli dan pemimpin PERKASA menjadikan PERKASA sebagai alat untuk melaksanakan tujuan dan cita-cita politik peribadi. PERKASA seolah-olah ditubuhkan untuk menghimpunkan mereka yang kecewa dalam UMNO termasuk yang telah kalah dalam pertandingan merebut jawatan-jawatan tertentu dalam UMNO. Berdasarkan fakta ini, Maka sudah tentulah kecurigaan UMNO dan para pemimpinnya terhadap PERKASA mempunyai asasnya.

Bagi saya, PERKASA adalah wadah dan peluang terakhir untuk menyatukan perjuangan orang-orang Melayu yang telah terpisah-pisah kerana fahaman politik yang berbeza.

PERKASA tidak harus menjadi 'alat' kepada sesiapa mahupun mana-mana parti politik Melayu samada UMNO mahupun PAS. PERKASA harus menjadi PERKASA dengan perjuangan yang berlandaskan 6 matlamat utamanya.

Sebaliknya, memandangkan PERKASA hanyalah NGO yang lebih kepada kumpulan pendesak dan bukan merupakan parti politik, maka untuk mencapai tujuan dan matlamat politik PERKASA, PERKASA pula yang seharusnya menjadikan parti-parti Melayu sebagai 'alat' untuk mencapai 6 matlamat perjuangan PERKASA.

Justeru, sebenarnya tidak timbul isu UMNO memperalatkan PERKASA @ PERKASA adalah NGO ciptaan UMNO. Memang benar PERKASA lebih mesra kepada UMNO. Ini adalah disebabkan pendirian PERKASA yang mengambil sikap berbaik-baik dengan pihak Pemerintah. Dan pendekatan yang diambil oleh kepimpinan PERKASA ini sesungguhnya adalah amat bertepatan dan selari pula dengan tuntutan ajaran agama Islam yang diperjuangkan oleh PERKASA.

Berkeras dan menentang golongan pemerintah secara berdepan dan terbuka boleh dimasukkan ke dalam kategori khuruj (keluar menentang pemerintah) yang mana ianya dilarang oleh Rasulullah s.a.w. dalam banyak hadith-hadith shahih.

Salah satunya sepertimana disebut didalam riwayat bahawa Said bin Jahman r.a. berkata:

“Aku datang kepada Abdullah bin Abu Aufa, matanya buta, aku mengucapkan salam." Beliau bertanya kepadaku: "Siapa engkau?" "Said bin Jahman, jawabku." Beliau bertanya: "Kenapa dengan ayahmu?" Aku katakan: "Al-Azariqah telah membunuhnya." Beliau berkata: "Semoga Allah melaknat Al-Azriqah, semoga Allah melaknat Al-Azriqah. Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam mengatakan bahawa mereka anjing-anjing neraka."

Aku bertanya: "(Yang dilaknat sebagai anjing-anjing neraka) Al-Azriqah sahaja atau Khawarij semuanya?" "Beliau menjawab: Ya! Khawarij semuanya." Aku katakan: "Tetapi sesungguhnya pemerintah telah berbuat kezaliman kepada rakyatnya?"

Maka beliau mengambil tanganku dan memegang dengan sangat kuat, kemudian berkata: "Celaka engkau wahai Ibnu Jahman! Wajib atasmu berpegang dengan sawadul a'zham, wajib atasmu untuk berpegang dengan sawadul a'zham.

"Jika kau ingin pemerintah mahu mendengar nasihatmu, maka datangilah dan khabarkan apa yang engkau ketahui. Itu kalau dia menerima, kalau tidak, tinggalkan! Sesungguhnya engkau tidak lebih tahu darinya." [Hadith Riwayat Ahmad, shahih]

Bersikap keras dan penentangan secara terbuka terhadap Pemerintah juga tidak akan mendapat sebarang pahala kebaikan sepertimana yang telah dinyatakan Abu Ishaq al-Sabi’i r.h. daripada pembesar ulama Tabiin berkata:

“Tidak ada suatu kaum yang mencerca pemimpin mereka melainkan (mereka) akan terhalang daripada mendapat kebaikannya”. [al-Tamhid, Ibn Abdil Barr, al-Fitan, Abu Amru al-Dani]

Walaupun Islam memang mewajibkan rakyat menegur pemerintah yang zalim walaupun kepada firaun sekalipun, nasihat kepada pemerintah itu hendaklah dilakukan dengan bahasa yang paling baik dan paling lunak serta dalam keadaan yang terhormat serta haram mencela dan mengaibkan pemimpin di hadapan khalayak ramai berdasarkan firman Allah s.w.t: Surah Taha: 43-44:

“Pergilah kamu berdua kepada Firaun, Sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. “Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut”.

Bukan sahaja bersikap keras dan menentang pemerintah itu bertentangan dengan firman ALLAH, tetapi ia juga menentang apa yang telah diseru oleh Nabi kita Muhammad s.a.w.

Sabda Nabi s.a.w:

“Sesiapa yang hendak menasihati pemimpin akan sesuatu urusan maka janganlah dia melakukannya terang-terangan tetapi peganglah tangannya dan bersendirianlah dengannya (lalu nasihatlah), jika dia (pemimpin) menerimanya maka demikianlah yang dikehendaki, jika tidak maka dia telah melaksanakan tanggungjawabnya”. [Hadith Riwayat Ahmad, shahih]

Berbalik kepada persoalan kenapa UMNO bersikap dingin dan seperti memusuhi PERKASA, maka kita sebagai ahli dan pemimpin PERKASA haruslah bermuhasabah diri kita sendiri; adakah selama ini pendekatan perjuangan kita itu selari dengan firman Allah SWT dan seruan Rasulullah SAW seperti yg dikemukakan seperti di atas ?

UMNO adalah teras kepada Kerajaan atau pun Pemerintah yang perlu kita dekati secara lemah-lembut dan berhemah sepertimana firman Allah SWT dan seruan Rasulullah SAW. Maka, jika kita sendiri mahupun PERKASA sendiri, yang mendakwa berjuang untuk memperkasakan Islam, tetapi terus menggunakan pendekatan perjuangan yang sesungguhnya tidak Islamik; menghentam, membentak, mencerca, menghina, mengaib dan memperlekehkan UMNO dan para pemimpinnya iaitu Parti Pemerintah yang juga sama bangsa dan agama dengan kita, maka jangan disalahkan pula UMNO sekiranya UMNO mengambil sikap dingin malah memusuhi pertubuhan kita PERKASA.

Sebagai salah seorang pemimpin PERKASA di peringkat Negeri dan Daerah, saya ingin menyeru kepada semua ahli dan kepimpinan PERKASA di semua peringkat agar bermuhasabah diri, memperbetulkan semula niat, keikhlasan dan pendekatan perjuangan kita melalui pertubuhan PERKASA.

PERKASA bukan ditubuhkan untuk memusuhi sesiapa mahupun mana-mana NGO dan parti politik. PERKASA juga bukan ditubuhkan untuk menjadi alat untuk mempopularkan mana-mana individu mahu pun pemimpin.

Sebaliknya, PERKASA ditubuhkan adalah atas kesedaran untuk menyatukan perjuangan seluruh ummat Melayu bagi menjaga dan mempertahankan kepentingan orang Melayu seperti yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perjuangan PERKASA ini tidak akan berjaya sekiranya PERKASA mengambil pendekatan bermusuh dengan mana-mana pihak. Perjuangan PERKASA hanya akan berjaya apabila mendapat sokongan dari semua pihak. Sokongan dari semua pihak akan hanya diperolehi sekiranya PERKASA mengambil pendekatan berbaik-baik dengan semua pihak terutamanya golongan Pemerintah iaitu UMNO.

Sikap berbaik-baik bukan bermakna PERKASA perlu tunduk kepada kehendak-kehendak yang bertentangan dengan kepentingan ummat Melayu. Sikap berbaik-baik beerti PERKASA menggunakan kaedah yang berlemah-lembut dan berhemah dalam menyatakan pendiriannya samada menyokong atau menolak akan sesuatu tindakan dan dasar-dasar yang diambil oleh Pemerintah yang menyentuh kepentingan ummat Melayu.

Jika pendekatan ini berjaya kita laksanakan disemua peringkat, insyaAllah, tiada lagi sebab kenapa UMNO perlu bersikap dingin atau memusuhi PERKASA.

Hj Shukri Bin Hj Suratman
Naib Yang Dipertua 2,
Pertubuhan Pribumi Perkasa
Negeri Johor.

Sabtu, 6 Ogos 2011

MELAYU JUGA KAUM PENDATANG?

Menghayati Sejarah Perjuangan Bangsa (Siri ke-2)

Orang Melayu Pendatang ?

Orang Melayu di Malaysia bukanlah pendatang di Alam Melayu dan bukan juga pendatang di Tanah Melayu. Orang Melayu ialah warga tulen Alam Melayu. Oleh itu, sesiapa sahaja yang menuduh orang Melayu di Malaysia sebagai Pendatang, maka tuduhan itu tentulah datangnya daripada orang yang tidak memahami hakikat sejarah.

Kerajaan Melayu telah lama wujud di Alam Melayu iaitu Kerajaan :

1-Funan
2-Champa
3-Langkasuka
4-Kataha
5-Ho-Lo-Tan
6-Patani
7-Srivijaya
8-Sailendra
9-Majapahit
10-Pasai
11-Melaka
12-Riau Lingga
13-Bentan
14-Mataram
15-Acheh

Pada tahun 1396, Parameswara dan para pengikutnya telah mengundurkan diri dari Temasik (kini Singapura) lalu meneroka ke kawasan Muar, Sungai Ujong dan akhirnya membuka penempatan baru di Bertam, Melaka.

Anjing buruan Parameswara dikalahkan oleh seekor pelanduk ketika baginda berteduh di bawah pokok Melaka. Oleh itu, baginda menamakan tempat itu Melaka.

Demikian menurut sejarah lisan Melayu.

Urutan sejarah pemerintahan Kerajaan Melayu Melaka adalah seperti berikut :

- Pada tahun 1414, Parameswara memeluk agama Islam dan menggunakan nama Raja Iskandar Shah.

- Pada tahun 1424, Raja Iskandar Shah mangkat dan digantikan oleh putera baginda yang menggunakan nama Sultan Muhammad Shah atau Sultan Megat.

- Pada tahun 1445, Sultan Muhammad Shah mangkat dan digantikan oleh putera baginda Raja Ibrahim yang menggunakan gelaran Sultan Abu Shahid.

- Pada tahun 1446, selepas kemangkatan Sultan Abu Shahid, Melaka diperintah oleh Kekanda Tua Baginda yang bernama Raja Kassim atau gelarannya Sultan Muzaffar Shah.

Orang Melayu telah menghadapi dengan tabah segala cabaran yang menggugat ketuanannya di Tanah Melayu sejak lebih 500 tahun lampau.

Cabaran pertama adalah ketika Melaka diserang oleh angkatan Siam pada tahun 1447. Ketika itu, Melaka diperintah oleh Sultan Muzaffar Shah. Angkatan Siam ini dapat dikalahkan.. Sebelum dari ini, Siam telah cuba menggugat Melaka sejak zaman pemerintahan Parameswara lagi.

- Pada tahun 1456, Tun Perak dilantik menjadi Bendahara Melaka. Beliau memegang jawatan tersebut selama 42 tahun (hingga 1498). Beliau terkenal sebagai seorang Bendahara yang berkebolehan dan seterusnya membantu membangunkan Melaka menjadi sebuah Kerajaan Melayu dan pelabuhan antarabangsa yang terkenal.

- Pada tahun 1458, Sultan Muzaffar Shah mangkat dan digantikan oleh putera baginda yang bergelar Sultan Mansor Shah.

- Pada tahun 1477, Sultan Alauddin Riayat Shah menjadi Sultan Melaka menggantikan anahanda baginda yang mangkat.

Kedudukan Melaka yang strategik dan kekayaan sumber semulajadinya menjadikan Alam Melayu kawasan rebutan kepada kuasa-kuasa asing.

Pada awal abad ke-16, hasil rempah telah menyebabkan Alam Melayu dikunjungi oleh pelayar dan pedagang dari Eropah. Ini adalah salah satu faktor yang mendorong mereka untuk menawan pelabuhan-pelabuhan yang strategik di Alam Melayu, terutamanya pelabuhan Melaka.

- Pada tahun 1488, Sultan Alauddin Riayat Shah yang pintar dan adil ini mangkat kerana termakan racun. Baginda digantikan oleh Sultan Mahmud Shah (dengan usaha Bendahara Tun Perak dan Laksamana Hang Tuah).

- Pada tahun 1498, Bendahara Tun Perak meninggal dunia dan digantikan oleh Tun Mutahir.

- Pada tahun 1509, angkatan perang Portugis yang diketuai oleh Diego Lopez de Squiera tiba di Melaka.

- Pada tahun 1510, Bendahara Tun Mutahir mati dibunuh dan Sultan Mahmud Shah bersara buat sementara waktu sebagai Sultan. Anakanda baginda yang bernama Sultan Ahmad Shah menjadi Sultan.

Melaka kemudiannya menjadi pelabuhan dan tempat berdagang yang terpenting di Alam Melayu.

Pelabuhan Melaka menjadi terkenal di seluruh dunia.

Jumaat, 5 Ogos 2011

KERAJAAN YANG HARUS DIPERANGI OLEH PARTI PAS

Tajikistan Haramkan Sembahyang

Dushanbe, 4 Ogos - Presiden Tajikistan, Imomali Rakhmon mengHARAMkan golongan muda di negara itu daripada bersembahyang di masjid dan gereja, dalam langkah yang disifatkan oleh seorang ulama tempatan sebagai 'hadiah jelik' untuk ummat Islam pada bulan Ramadhan.

Rakhmon yang mengetuai kerajaan sekular sejak tahun 1992 menandatangani rang undang-undang mengenai 'tanggungjawab ibubapa' semalam dengan alasan langkah-langkah tegas diperlukan bagi mencegah penyebaran fahaman fundamentalis agama di negara yang mempunyai 7.5 juta penduduk ini, 98 peratus daripadanya beragama Islam.

Semua penduduk berusia dibawah 18 tahun, kecuali pelajar sekolah agama diharamkan bersembahyang di masjid, gereja atau rumah ibadat lain di negara ini mulai hari ini.

MataHati - Adalah sesuatu yang amat menyedihkan bagi sebuah negara yang mempunyai 98% penduduk Islam mempunyai undang-undang sezalim ini kepada ummat Islam yang merupakan rakyatnya sendiri.

Masih kemas dalam ingatan saya ketika bertembung dengan jemaah haji dari Tajikistan yang datang ke Mekah dengan menaiki bas dari negara mereka. Diatas bas tersebut mempunyai ruang meletak barang. Segala barang yang dibawa oleh jemaah dapat dilihat diatas bas uzur tersebut yang antaranya adalah tilam, tikar, periuk, cerek dan pelbagai peralatan memasak yang lain.

Dari keadaan bas, jemaahnya serta peralatan yang mereka bawa, saya yakin mereka tidak menginap di hotel seperti jemaah dari Malaysia sepanjang menunaikan ibadah haji.

Salah satu yang saya akan ingat sampai bila-bila adalah keunikan bas uzur yang digunakan oleh jemaah Tajikistan itu iaitu enjin bas dihidupkan dengan memusingkan sesuatu dibahagian hadapan enjin bas tersebut yang mana kaedah lama ini tidak lagi ditemui dan digunakan oleh mana-mana bas di Malaysia. Pertama kali saya melihat cara menghidupkan enjin bas menggunakan kaedah ini adalah dalam filem Charlie Chaplin.

Bersyukur sungguh dilahirkan di Malaysia apabila mengenangkan nasib malang ummat Islam di negara lain. Kerajaan UMNO yang selama ini dituduh zalim dan tidak mengikut ajaran Islam tidak pernah menghalang ummat Islam dari mengamalkan ajaran suci Islam. Malah peruntukan besar sentiasa diberikan untuk meningkatkan syiar Islam termasuk untuk pendidikan Islam, membina sekolah-sekolah agama dan membina masjid-masjid baru.

Kerajaan UMNO ini mengikut Rasulullah adalah haram ditentang.

Justeru saya suka ingin mencadangkan agar PAS yang tidak pernah membina masjid pergilah berjuang menentang kerajaan Tajikistan yang menurut Rasulullah harus diperangi kerana menghalang ummat Islam dari mengerjakan sembahyang. Wallahualam.

Khamis, 4 Ogos 2011

Menghayati Sejarah Perjuangan Bangsa

Hakikat Sejarah : Orang Melayu perlu memahami sejarahnya sendiri. Tanpa memahami sejarahnya, mereka tidak mungkin dapat membina jati diri yang teguh dan tidak berupaya pula mempertahankan pelbagai kepentingannya demi menjamin masa depan anak cucu Melayu akan datang.

Orang Melayu perlu memahami sejarah yang dilalui oleh bangsanya sendiri. Jika tidak, orang lain akan memesongkan sejarah Tanah Melayu bagi mengelirukan orang Melayu sendiri. Kita perlu memahami sejarah bangsa kerana nasib dan jati diri sesuatu bangsa sesungguhnya dapat diteliti menerusi pengalaman sejarahnya.

Bangsa yang tidak mengenal sejarahnya akan bernasib malang kerana bangsa itu berkemungkinan akan mengulangi kesilapan dan tragedi lampau yang telah menimpa bangsanya. Jati diri sesuatu bangsa yang tidak menginsafi sejarahnya akhirnya hanya akan tersimpan di arkib dan muzium bangsa lain.

Jika sekarang ini, ketuanan Melayu tidak dapat dipertahankan di Malaysia, maka sudah pastilah orang Melayu akan tersisih semula daripada tanahairnya sendiri - sama seperti yang dihadapi oleh Kerajaan Melayu Melaka kira-kira 500 tahun yang lampau.

Sejak 500 tahun lalu, terlalu banyak pihak yang ingin menguasai negeri ini dan yang ingin menghancurkan ketuanan Melayu.

Orang Melayu telah berada di Alam Melayu sejak dalam zaman prasejarah lagi. Tetapi terdapat pihak yang mengatakan orang Melayu di Malaysia merupakan golongan pendatang , sama seperti orang Cina dan India.

Pengetahuan dan penghayatan terhadap sejarah bangsa akan mengajar kita sepaya tidak mudah lupa kepada liku-liku perjuangan bangsa sendiri. Kejayaan bangsa tidak terhasil dengan sendirinya. Kejayaan terhasil kerana tekad, perpaduan dan kepintaran dalam menghadapi pelbagai cabaran perjuangan.

Kamaruddin M. Said, '500 Tahun Melayu Menghadapi Cabaran', KRIS Publications, 2004.

Rabu, 3 Ogos 2011

PUASA TANPA SOLAT

(Renungan Ramadhan - Artikel Terpilih)

DALAM kehidupan ini, setiap apa yang kita laksanakan perlu dilakukan secara sempurna. Allah SWT dan rasul-Nya tidak suka kepada individu yang melakukan sesuatu kerja dengan tidak bersungguh-sungguh dan sambil lewa kerana ia tidak boleh mendatangkan hasil yang baik. Sesuatu kerja yang tidak lengkap dan sempurna pastinya mempunyai nilai yang rendah di mata masyarakat.

Sebagai manusia yang telah dikurniakan Allah dengan Islam, kita mestilah melaksanakan Islam dengan sempurna. Kegagalan berbuat demikian tentunya akan dianggap sebagai tidak menghargai pemberian nikmat beragama sebagai nikmat terbesar dan ternilai dalam kehidupan kita.

Islam seumpama sebuah rumah yang lengkap dan sempurna. Kita diperintahkan untuk membina rumah yang lengkap tersebut mengikut spesifikasi dan reka bentuk yang telah ditetapkan oleh Allah.

Islam yang tidak lengkap adalah seumpama sebuah rumah tanpa dinding atau bumbung. Walaupun ia adalah rumah, namun tidak dapat dimanfaatkan dek kerana belum sempurna. Bahkan, dengan ketidaksempurnaan itu, ia langsung tidak dapat diiktiraf sebagai rumah!

Dalam kerangka inilah, Allah memerintahkan hamba-hamba-Nya yang beriman supaya melaksanakan Islam secara keseluruhannya. Firman Allah yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata (al-Baqarah: 208).

Setiap kali datangnya bulan Ramadan, seringkali kita dipaparkan khabaran tentang tangkapan segelintir umat Islam yang tidak berpuasa.

Maka kita yang menyaksikannya menggeleng-gelengkan kepala tanda meluat, geram dan jijik dengan angkara tersebut.

Mungkin juga kita pelik dan hairan dengan sikap mereka yang mengaku beragama Islam, namun tidak mahu berpuasa.

Keingkaran melakukan fardu puasa ini seolah-olah berita sensasi yang menjadi rutin biasa bulan Ramadan.

Namun, kadang-kadang kita terfikir kenapa kita hanya mengkhususkan tindakan tersebut kepada puasa sahaja? Kenapa tidak kepada ibadah-ibadah yang lain seperti solat?

Dewasa ini terdapat segelintir orang Islam yang sanggup meninggalkan solat secara terbuka. Lihat sahaja mereka yang terus-menerus leka dengan berniaga walaupun jemaah di masjid sedang melakukan solat Jumaat.

Bahkan, yang menambahkan kehairanan kita ialah terdapatnya yang berpuasa di bulan Ramadan, tetapi tetap enggan melakukan solat atau sewenang-wenangnya meninggalkan solat ketika sibuk dengan urusan dunianya. Bukankah ini merupakan sebuah kepincangan dalam beragama?

Antara faktor suasana ini berlaku ialah disebabkan krisis kefahaman tentang kesyumulan Islam. Kedangkalan ilmu dalam diri ditambah pula dengan sikap ego serta sombong akhirnya menjadikan golongan ini tetap dalam keadaan serba-salah dalam kehidupan beragama.

Faktor yang lain ialah adanya tanggapan bahawa ibadah hanyalah tidak ubah seperti adat. Oleh kerana majoriti orang ramai di sekelilingnya berpuasa, maka dia juga berpuasa. Jika ramai yang berkunjung ke masjid atau surau untuk mendirikan solat hari raya, maka dia pun menyertai mereka, walaupun kakinya hanya menjejakkan kaki ke masjid atau surau tersebut di kala hari raya sahaja.


Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN

YAHUDI RANCANG BUNUH TUN MAHATHIR

Check out this video on YouTube:

Yahudi Rancang Bunuh Tun Mahathir. Semoga Allah panjangkan usia Tun Mahathir.

http://www.youtube.com/watch?v=QLIOYHMbMj4&feature=youtube_gdata_player