Selasa, 26 Mei 2009

CABARAN JENTERA PENERANGAN UMNO




Jentera penerangan UMNO diaktifkan kembali - Ahmad Maslan
============================================

Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada YB Ahmad Maslan, Ketua Penerangan UMNO Malaysia yang baru kerana telah dengan ikhlas dan berani mengakui kepincangan Jentera Penerangan Parti UMNO di semua peringkat parti dan saya percaya ketika ini tentunya beliau sedang menggerakkan semua Jentera Penerangan ini agar dapat bergerak sesuai dengan keperluan parti pada masa kini.

Perlantikan beliau bagi saya merupakan gambaran bahawa Jentera Penerangan UMNO memerlukan suatu anjakan paradigma yang baru sesuai dengan tuntutan dan cabaran yang sedang dihadapi oleh parti dalam berdepan dengan dakyah dan propaganda pembangkang yang semakin keterlaluan dan melangkaui batas berpolitik yang dibenarkan agama dan undang-undang negara.

Bersempena dengan perubahan kepimpinan dalam UMNO dan harapan ahli-ahli agar UMNO segera melakukan perubahan drastik sebelum menjelangnya PRU13, pendedahan yang telah disuarakan oleh Ketua Penerangan UMNO ini wajarlah diterima dengan hati yang terbuka oleh semua lapisan Jentera Penerangan Parti. Kesediaan menerima kritikan ini dan kesungguhan untuk turut serta memperbaiki kelancaran Jentera Penerangan Parti amat penting dalam menentukan nasib dan masa depan UMNO dalam menempuh ujian getir PRU13 nanti. Ini adalah bersandarkan hakikat bahawa Jentera Penerangan memainkan peranan yang paling penting dalam menghadapi serangan dan dakyah serta propaganda dan fitnah yang sentiasa dilakukan oleh parti pembangkang pada ketika ini. Sekiranya masih ada 'bunyi-bunyi' yang sumbang, saya percaya iltizam untuk melakukan perubahan dalam UMNO yang dibina dalam Perhimpunan Agung UMNO yang lalu akan hanya sekadar iltizam yang penuh dengan kepura-puraan.

Terdapat beberapa cabaran yang harus dihadapi dalam usaha menggerakkan Jentera Penerangan UMNO ini :

1. Kebanyakan Ketua Penerangan samada di peringkat cawangan mahupun bahagian UMNO dilantik bukan berdasarkan kelayakan dan kemampuan melaksanakan serta menerajui kerja-kerja penerangan di peringkat masing-masing tetapi sebaliknya perlantikan tersebut dibuat berdasarkan sokongan mereka terhadap Ketua samada Ketua Cawangan mahupun Ketua Bahagian. Perlantikan jawatan-jawatan 'Pegawai' biasanya merupakan suatu anugerah @ hadiah (reward)kerana sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Ketua khususnya.

Kesan perlantikan yang sebegini menyebabkan parti mendapat Ketua Penerangan yang tidak berkebolehan serta berkemampuan untuk melaksanakan kerja-kerja penerangan khususnya di dalam menghadapi serangan dari parti pembangkang. Sebaliknya, Ketua-ketua Penerangan yang dilantik ini hanya mempunyai kebolehan untuk mempertahankan Ketua yang melantiknya dari serangan musuh-musuh politik Ketua tersebut dari kalangan ahli parti sendiri. Ini yang telah berlaku sejak sekian lama tetapi tidak pernah didedahkan sebelum ini secara terbuka.

2. Memandangkan perlantikan Ketua Penerangan adalah berdasarkan 'reward' dan bukan berdasarkan kepada kemampuan dan kebolehan, maka kebanyakan Ketua Penerangan adalah terdiri dari generasi lama UMNO yang buta internet dan media-media baru. Tidak dinafikan terdapat juga generasi lama UMNO yang yang celik internet tetapi sebahagian besarnya masih buta internet dan masih tidak mahu mengakui bahawa internet dan 'Media Baru' mempunyai pengaruh yang begitu besar yang boleh dieksploitasi dengan berkesan oleh Jentera Penerangan Parti dalam memenangi hati dan sokongan generasi muda dan pengundi-pengundi baru.

Justeru itu, dan mengambil kira keadaan UMNO pada ketika ini saya mencadangkan agar :

1. Jentera Penerangan Parti sewajarnya segera dilatih semula agar lebih bersedia menghadapi serangan dari pembangkang.

2. Unit IT Jentera Penerangan harus diperbesarkan serta dipelbagaikan bagi memaksimumkan keberkesanannya sesuai dengan kecanggihan teknologi terkini.

3. Segera ditubuhkan sebuah jawatankuasa pemandu yang terdiri dari pakar-pakar komunikasi seperti pensyarah-pensyarah universiti bagi memberikan panduan kaedah dan program yang sesuai digunakan oleh Jentera Penerangan Parti.

4. Dibentuk suatu pusat yang menyediakan info dan maklumat yang mudah diperolehi sebagai bahan kepada para bloggers pro kerajaan menulis bagi mempertahankan parti.

5. Dibentuk kumpulan pakar propaganda yang mampu menganalisis setiap isu seterusnya mencadangkan bagaimana Jentera Penerangan Parti dapat bertindak menangani isu-isu tersebut.

Akhir sekali, matlamat akhir usaha ini haruslah ke arah memastikan bahawa semua ahli UMNO haruslah mampu untuk bertindak sebagai Jentera Penerangan kepada Parti. Sekiranya semua ahli UMNO mempunyai pengetahuan yang baik terhadap dasar-dasar perjuangan parti serta mampu juga membuat perbandingan dengan dasar-dasar parti pembangkang yang sering tidak konsisten, saya percaya UMNO tidak akan menghadapi masalah dalam menghadapi serangan dari parti pembangkang.

~MataHati adalah bekas Setiausaha Kerja Biro Penerangan UMNO Negeri Johor ketika zaman Mata Lebam dan Pilihanraya Umum 1999.

Isnin, 25 Mei 2009

KENAPA PAK LAH BEBASKAN ANWAR?



Terdapat beberapa versi tentang mengapa Pak Lah bersetuju untuk membebaskan AnWar Ibrahim. Saya cuba meneliti setiap satu yang saya dengar dan cuba menghubungkaitkannya di antara satu sama lain.

Dari pelbagai cerita itu saya dapat menghubungkan cerita dari Ezam Mohd Nor, Bekas Setiausaha Politik Anwar Ibrahim & Ketua AMK yang telah mendakwa telah mengusahakan pertemuan Wan Azizah dengan Perdana Menteri Pak Lah bagi tujuan untuk mendapatkan belas kasihan dari Pak Lah agar membebaskan AnWar.

Satu lagi kisah yang dapat saya kaitkan adalah dari seorang Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang mengatakan berita pembebasan AnWar sampai ke telinganya ketika beliau sedang berkempen di rumah Sdra Ahmad Daud (Naib Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang) sempena pemilihan MKT UMNO pada ketika itu (beberapa tahun yang lalu).

Menurut beliau perkara itu (keputusan membebaskan AnWar) tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat MKT UMNO. Beliau yang tidak bersetuju dengan langkah yang telah diambil oleh Pak Lah selaku Perdana Menteri apa lagi tindakan Khairy Jamaluddin (KJ) yang menghantar passport ke rumah AnWar telah dengan spontan mengkritik Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO ketika berucap di rumah Sdra Ahmad Daud.

Berita beliau berucap mengkritik Presiden Parti telah sampai ke pengetahuan Pak Lah dan Pak Lah telah menelefon beliau sendiri dan meminta penjelasan mengapa beliau berbuat demikian. Akhirnya Pak Lah meminta beliau datang ke rumahnya pada malam itu juga untuk mendengarkan penjelasannya.

Dalam pertemuan tersebut, Pak Lah begitu marah dengan tindakan Ahli MKT tersebut. Tetapi, Ahli MKT tersebut telah memberikan penjelasannya dengan tegas mengapa beliau tidak bersetuju dengan tindakan Pak Lah dan KJ terhadap AnWar. Sehingga ke suatu peringkat, Ahli MKT ini telah berjanji akan menentang kepimpinan Pak Lah mulai hari tersebut kerana Pak Lah telah membuat suatu kesilapan yang besar kerana memutuskan sesuatu yang amat penting tanpa berbincang dahulu dengan MKT UMNO.

(Ketika perbincangan tersebut berlangsung, handphone Pak Lah telah berbunyi. Pak Lah telah mengambil handphonenya lalu membanting handphone tersebut hingga berderai sambil mendengus... sibuk saja... orang tengah berbincang....)

Setelah habis Ahli MKT tersebut berhujah, Pak Lah menceritakan bagaimana beliau telah menerima kunjungan Wan Azizah serta anak-anaknya. Wan Azizah serta anak-anaknya merayu sambil menangis meminta jasa baik Pak Lah agar segera membebaskan AnWar Ibrahim.

Pak Lah merasa begitu kasihan dengan keadaan yang menimpa Wan Azizah serta anak-anaknya. Pak Lah menceritakan bahawa beliau dapat merasakan kesengsaraan dan kesunyian yang dirasai oleh Wan Azizah dan anak-anaknya memandangkan pada ketika itu beliau juga sedang merindukan isterinya (Allahyarhamah Datin Seri Endun) yang pada ketika itu sedang menjalani rawatan kimoterapi di Amerika Syarikat.

Pak Lah meminta Ahli MKT tersebut memahami perasaan beliau ketika itu dan meminta agar Ahli MKT tersebut dapat menerima justifikasi mengapa beliau mengambil tindakan membebaskan AnWar. Menurut Pak Lah, sebenarnya beliau telah menelefon Peguam Negara untuk bertanya adakah jalan dari segi undang-undang yang membolehkan Kerajaan melepaskan AnWar buat beberapa ketika (dalam 3 bulan) untuk dibawa keluar negara bersama-sama keluarganya dan kemudian dimasukkan semula ke penjara. Namun Peguam Negara menjelaskan bahawa tiada peruntukan undang-undang yang membolehkan tindakan ini dilakukan oleh Kerajaan.

Inilah sebab yang akhirnya Pak Lah mengambil keputusan untuk membebaskan AnWar.

Sebagai mengenang budi Pak Lah, pada pandangan saya, sebab itu Anwar Ibrahim tidak pernah mencuit Pak Lah tetapi sebaliknya lebih menumpukan serangannya terhadap Datuk Seri Najib...

Wallahualam...

Selasa, 19 Mei 2009

ANAK RAJA PET PERLUKAN PERHATIAN BAPANYA

Elakkan membesarkan anak dalam suasana yang penuh fitnah dan kepalsuan.

Selasa Mei 19, 2009

Anak Raja Petra mengaku salah mencuri

Raja Azman Raja Petra, 32, yang beralamat No 5, Jalan BRP 5/5, Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh dekat sini, mengaku bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah pada pukul 11.30 pagi.

Raja Azman Raja Petra (tengah) mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap empat pertuduhan mencuri dan memiliki harta curi.


SHAH ALAM: Anak lelaki penulis blog, Raja Petra Raja Kamaruddin, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap empat pertuduhan mencuri dan memiliki harta curi.


Dia didakwa mencuri sebuah motosikal jenis Yamaha RXZ milik Mohd Syaiful Setapa, 24, seorang operator pengeluaran, membabitkan kerugian RM8,000 di No 65, Jalan Batas 2, 19/6b, Seksyen 19 di sini, pada 9.30 pagi 20 Mac lepas.



Tertuduh yang ditangkap pada 6 Mei lepas juga mengaku memecah masuk ke dalam rumah Mohd Syaiful dan mencuri beg duit mengandungi kad pengenalan, wang tunai RM20, cukai jalan, kad ATM Maybank dan BSN serta lesen memandu Mohd Syaiful di alamat, masa dan tarikh yang sama.

Elakkan membesarkan anak dalam suasana kebencian dan kemarahan.

Raja Azman juga mengaku mencuri telefon bimbit dan seutas jam tangan bernilai RM3,850 milik seorang pelajar, Saipul Adli Mohamed Yunus, 21, di rumah mangsa di No 16, Jalan Sastera, U2/1K Seksyen U2 di sini, pada 10 pagi 24 April lepas. Tertuduh, yang tidak diwakili peguam, turut mengaku bersalah memiliki sebuah motosikal curi kepunyaan seorang pelajar, Ahmad Firdaus Jalaluddin, 23, bernilai RM6,000 di depan rumah No 3, Tingkat 1, Blok 1, Apartmen Kinrara Court, Puchong pada 10.40 malam 5 Mei lepas.

Elakkan membesarkan anak dalam suasana bermegah-megah dan riya' dengan kehebatan diri.

Majistret Norkamilah Aziz mengenakan ikat jamin RM10,500 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 19 Jun ini untuk menjatuhkan hukuman.

"Errr...Ini semua... errrr ... seperti biasa... errrr.. konspirasi UMNO/BN untuk menjatuhkan AnWAR...Tentu anak saya telah diugut dengan pistol dihunuskan diduburnya agar dia terpaksa mengaku... Ini mesti kerja UMNO/BN... Anak saya baik macam saya. Tak percaya saya boleh dapatkan surat sokongan dari UlarDalamSemak PAS..."

Tidak ada sesiapa yang menjamin Raja Azman manakala bapanya tidak kelihatan dalam mahkamah sepanjang prosiding. BERNAMA
======================================================================

Komen2 di Facebook :

Suhaila M.zin and Faiz Na'aman like this.

Muhammad Ghozali
Muhammad Ghozali at 8:14pm May 19
like father like son

Faiz Na'aman
Faiz Na'aman at 8:14pm May 19
Kesian... ;-)

Azrin Hamzah
Azrin Hamzah at 8:22pm May 19
suruh RPK buat posting dalam blog dia mengenai "Cara-cara Menghasilkan Anak Soleh/Solehah".... lagi bagus, dapat pahala lagi. kurangkan merepek macam orang gila talak

Romie Romaizi
Romie Romaizi at 8:23pm May 19
Hahaha.. sama sekolah dengan aku dulu.. dari sekolah rendah sampai menengah.. Haru betol!

Muhammad Ghozali
Muhammad Ghozali at 8:24pm May 19
betol, betol, betol....

Goh Wei Liang
Goh Wei Liang at 8:27pm May 19
haha. tapi ayahnya entah lari ke mana. bro, patutnya tajuk berbunyi begini. "RPK perlu ikuti jejak anaknya - HADIR KE MAHKAMAH".

Romie Romaizi
Romie Romaizi at 8:31pm May 19
Wahahaha!!! Damn that's right!

Ahmad Sabki
Ahmad Sabki at 8:40pm May 19
jgn ada puak yg kata....ada ugutan utk pengakuan atau ujud konspirasi utk memalukan seorang pejuang bernama RPK

Sa'odah Elias
Sa'odah Elias at 8:40pm May 19
esok, main posting dlm MT will most probably be, ITS A BN GOVT'S CONSPIRACY. ha ha ha. Just wait for tomorrow. Mesti ada spin baik punya nak salahkan 1. kerajaan. 2. Umno. 3. BN. 4. DTS Najib, in that order.

Venkates Rao
Venkates Rao at 8:45pm May 19
Issue Bagus....jom, kita tengok macam mana dia defend..

Carlos Zubir
Carlos Zubir at 8:46pm May 19
Sy secara peribadi melihat Sdr Raja Petra seorang yang hebat,orang sedemikian perlu dilatih kerana berani memperjuangkan hasrat cuma beliau perlu dilatih menjadi insan yang bermaruah dan sygkan bangsa.Beliau perlu mendapat panduan dan mesti pandai mengawal emosi.Ciri leadership ada pada beliau,cuba UMNO menjemput beliau menjadi wira UMNO,insyaallah... Read More kempen 1Malaysia mudah dilaksanakan.Sy mencadangkan supaya semua pemimpin pembangkang seperti Tok Guru Hadi,Tok Guru Nik Aziz,Sdr Anwar,Sdr Azmin di ajak berbincang dan diUMNOkan..insyaallah impian PM kita untuk mendahulukan rakyat mudah dicapai.Kita hentikan pertikaman lidah dan kutuk mengutuk,kita ubah cara berpolitik melayu baru dengan lebih berhemah.

Suhaila M.zin
Suhaila M.zin at 8:48pm May 19
itu semua Allah punye kuasa..Kuat menipu, menfitnah skrg Allah balikkan pd dia.

Carlos Zubir
Carlos Zubir at 8:52pm May 19
dasat tuh


Linda Zahari
Linda Zahari at 9:06pm May 19
what goes around comes around~

Marissa Dean
Marissa Dean at 9:27pm May 19
So sad...and he is already 33? Still need his dad attention or a great attention seeker?

Carlos Zubir
Carlos Zubir at 9:34pm May 19
agreed with u Marissa.

Suhaila M.zin
Suhaila M.zin at 9:37pm May 19
klau 33 thn still takleh nak pikir setiap perbuatan..lu pikir lah sendiri..

Marissa Dean
Marissa Dean at 9:43pm May 19
And at the end of the day...anak melayu juga yang malu. Thanks Carlos.

Ezad Zainal
Ezad Zainal at 10:17pm May 19
teringit nak join Remp-it la kot tapi bapak dah tak dak duit dok pi byr duit jamin...tu la pasai kalo 24-7 kerja nak menfitnah org lain jek....

Carlos Zubir
Carlos Zubir at 10:17pm May 19
Mulai dari sekarang mari kita memperkasakan bangsa melayu,jgn bagi anak melayu dipandang rendah,mari kita memartabatkan bangsa kita.Kita selalu memperbesarkan isu rempit,ragut,dadah,ragut...ramai yang terlibat adalah anak bangsa kita sendiri,kita hentikan memandang rendah mereka ini,kita selamatkan bangsa kita dari dicaci,dihina,ketepikan fahaman ... Read Morepolitik,kita "educate" bangsa kita berfikir dan berpolitik,kita beri pandangan yang rasional,kurangkan pertikaman lidah,tolong sebarkan mesej baru kita kepada semua......hentikan kutuk mengutuk,tidak kira sesiapapun yang menrajui Perak atau dimana-mana jua negeri,asalkan mereka membawa mesej yang jelas bagi memartabatkan anak bangsa kita mesti bersatupadu..

Abd Aziz Taip
Abd Aziz Taip at 10:29pm May 19
inilah padahnya bila ibu dan bapa sibuk memblog dan memfitnah org lain...rupanya anak jadi penyamun...HIDUP PKR HIDUP RPK

Ezad Zainal
Ezad Zainal at 10:32pm May 19
yg malangnya DYMM Paduka Sultan Selangor ada terpalit juga rasa malu sbb ada pertalian darah......RPK tanggung la sendiri anak penyamun...

Abd Aziz Taip
Abd Aziz Taip at 10:48pm May 19
bapa dia bertapa kat gua mana? lepas ni anak pun makan rakyat tanggung kat penjara...nasib baik ada kerajaan BN...uhukkkkkk...tu pun tak paham2 nak bersyukur!

Dis Crypt
Dis Crypt at 11:00pm May 19
perghh....teruk tol..

bapak die takde duit sgt ke sampai anak kene mencuri? kalau nak mkn meh dtg rumah aku..aku masak sardin dan nasik putih....

tak pon mkn nasik koboi je....... Read More


pe da....

MataHati Bangsa
MataHati Bangsa at 11:26pm May 19
Anak Raja Pet ni bergari dengan anak pemimpin HINDRAF ker... haiiii

Hamidzun Hk mengenai kes anak Raja Pet, dia wajar tulis di Malaysian Today - "Ini semua konspirasi Umno". Dan selepas ini anak muda ini akan bertaubat depan Nik Aziz, bulan depan dia akan berceramah keliling kampung " kisah aku dan motorsikal curi".

Ghazali Haji Abu at 11:13pm May 19
Bila anak orang buat salah/silap, ambillah pengajaran darinya. Jangan satu hari nanti anak kita pula buat perkara yang serupa, mana nak taruk muka.

saya biasa nampak kawan2 yang bila kawan lain buat salah/silap dia kutuk habis2. Beberapa tempoh selepas itu dia pula yang buat perkara yang sama dan cuba justify dgn berbagai alasan....

Bukan nak bela RPK....


Hamidzun Hk at 11:18pm May 19 via Facebook Mobile
Ghaz ... Saya amat simpati dengan nasib yang menimpa Pet. Saya kenal dia masa di IKD lagi. Tapi dia jenis yang begitu. Semoga dia sempat bertaubat sebelum malaikat izrael datang bertandang.

MataHati Bangsa at 11:20pm May 19
Lepas ni anak raja petra akan naik pentas beri ceramah... saya dipaksa mengaku... pistol diletakkan di lubang dubur saya... Ini semua konspirasi UMNO/BN untuk menjatuhkan imej AnWAR Ibrahim... peeeeeerahhhhh

Hamidzun Hk at 11:25pm May 19 via Facebook Mobile
Matahati ... Ini macam cerita tamil campur hindustan. Macam biasa dengar saja. Dunia oh dunia

Ghazali Haji Abu at 11:31pm May 19
Teringat ceramah Ustaz Shamsuri dari Kedah, bila dah kena batang hidung sendiri terpaksalah keluar buah yg terakhir,
"Nabi Noh, rasul ulul'azmi pun dakwah kat anak dia tak berjaya, inikan kita yang bukan Nabi dan Rasul...."

Sebab tu saya reserve komen sikit bila isteri2 pemimpin kita tidak sempurna akhlaknya....
... Read More
Mudah2an keluarga kita dilindungi dan dipelihara Allah....

Ahad, 17 Mei 2009

APAKAH PENGAJARAN DARI SURAT TERBUKA TUN M KEPADA TUNKU DENGAN SITUASI POLITIK HARI INI




SURAT TERBUKA DR MAHATHIR KEPADA PM TUNKU ABDUL RAHMAN PUTRA Al-HAJ

BERTARIKH 17 JUN 1969
===================================================

Batu 6, Titi Gajah,
Alor Star,
17 June 1969


Y.T.M. Tunku,


Patek berasa dukachita kerana tujuan patek membuat kenyataan kepada ahkbar telah di-salah faham oleh Y.T.M. Tunku. Sa-benar-na tujuan patek sama-lah juga dengan tujuan Tunku, ia-itu untok menyelamatkan negara ini daripada bahaya yang menganchamkam-nya.

Pendapat-pendapat Tunku berasaskan kepada cherita-cherita yang di-bawa kepada telinga Tunku oleh orang-orang yang mengelilingi Tunku yang chuma suka mencherita kepada Tunku perkara-perkara yang mereka fikir Tunku suka atau patut dengar sahaja. Benarkan-lah patek bercherita berkenaan dengan keadaan, fikiran dan pendapat-pendapat rakyat yang sa-benar-nya supaya Tunku dapat faham tujuan patek menbuat kenyataan yang di-tegor-itu.

Tunku biasa cherita kepada patek sendiri ia-itu Tunku mengelakkan rusohan dengan menahan hukum bunoh yang di-jatohkan kepada 11 orang subversif China. Sabenar-nya tindakan Tunku ini-lah yang mengakibatkan rusohan dan kematian yang berpuloh kali banyak yang terjadi semenjak 13 Mei.

Tunku selalu "bertolak-ansor", ia-itu memberi kepada orang-orang China apa yang mereka tuntut. Punchak tolak-ansur ini ia-lah pembatalan hukum bunoh tadi. Pembatalan ini menimbulkan kemarahan yang besar oleh orang-orang Melayu.

Orang-orang China pula menganggap Tunku dan Kerajaan Perikatan sebagai pengechut dan lemah dan boleh di-tolak ke-sana ke-mari. Sebab itu orang-orang China tidak takut lagi menolak Perikatan dan orang-orang Melayu pula tidak ingin kepada Perikatan. Sebab itu orang-orang China dan India membuat kurang ajar pada 12 Mei kepada orang Melayu. Kalau Tunku biasa di-ludah di-muka, di-maki dan di-tunjok kemaluan, boleh-lah
Tunku faham perasaan orang Melayu.

Orang-orang Melayu yang Tunku fikir tidak memberontak telah-pun menjadi gila dan mengamuk sehingga nyawa mereka dan membunoh orang yang mereka benchi kerana Tunku terlangsong bagi muka. Tanggong-jawab tentang mati-nya orang-orang ini, Islam dan kafir, terpaksa di-letak di-atas bahu pemimpin yang salah pendapat.

Patek mohon ma'af tetapi patek ingin sampaikan perasaan orang-orang Melayu kepada Y.T.M. Tunku. Sabenar-nya, orang-orang Melayu sekarang, baik PAS baik UMNO, betul-betul benchi pada Tunku, terutama orang-orang yang di-hina-kan oleh orang China dan yang kehilangan rumah-tangga, anak-pinak, saudara-mara kerana tolak ansur Tunku.

Mereka kata Tunku chuma ingin di-kenal sebagai "The Happy Prime Minister" walau-pun ra'ayat mederita. Mereka tahu bahawa dalam keadaan dharurat-pun Tunku ashek bermain poker dengan kawan-kawan China Tunku. Budak-budak polis mencherita yang Tunku mengguna-kan kenderaan dan eskot Polis untok menchari kaki poker.

Sa-balek-ny pula orang-orang China tidak sedikit-pun hormat kepada Tunku. Mereka berkata Tunku "naive" dan tidak ada kaliber. Ada lagi yang mereka kata yang tak dapat patek sebut-kan. Kata-kata itu datang dari semua golongan orang China, dari intelek sa-hingga China becha.

Pada masa lewat-lewat ini lagi satu kesan burok telah timbul. Orang-orang Melayu dalam Civil Servis, dari Perm. Sec. ka-bawah, pegawai-pegawai tentara dan polis Melayu tidak ada lagi kepercayaan dan respect kepada Tunku. Patek tahu kebanyakan mereka sokong PAS dalam undi pos. Pegawai Melayu dari Polis, tentara dan askar biasa maseh patoh kepada kerajaan oleh kerana arahan sekarang sesuai dengan kehendak
mereka sendiri. Kalau Tunku mebuat apa-apa yang tidak di-ingini oleh mereka, patek pechaya mereka tidak akan menurut kata Tunku.

Patek tahu Tunku takut kominis mengambil kesempatan kalau timbul kekachauan dalam negeri. Patek lebih takut kalau kerajaan mula "lose control over the armed forces". Sa-kali ini terjadi, keadaan tidak akan puleh semula. Sampai bila-pun kerajaan civil mesti tundok kepada tentera. Tunku biasa jadi "Happy Prime Minister" tetapi orang yang akan turut ganti tak akan merasai "happines" apa-apa.

Patek harap Y.T.M. Tunku jangan-lah minipu diri dengan berkata "satu hari mereka akan bershukor dengan perbuatan saya". Ta'akan yang sa-orang itu selalu betul dan yang banyak selalu salah. Patek ingin sampaikan kepada Tunku fikiran ra'ayat yang sa-benar, ia-itu masa telah lampau untuk Tunku bersara dari manjadi perdana menteri dan Ketua Umno.

Patek faham betul-betul kuasa yang ada pada Tunku dan patek masih ingat nasib Aziz Ishak. Tapi patek tak akan jadi sa-orang yang bertanggong-jawab kalau patek tidak terangkan apa yang patek sebut-kan. Kalau di-penjara sa-kali-pun patek terpaksa kata apa yang patek telah kata-kan.

Patek di-beritahu ia-itu Tunku berkata patek Pakistani. Patek tidak perchaya kata-kata orang kerana patek Y.T.M. Tunku tidak akan berkata begitu. Patek-lah yang selalu mempertahan-kan Tunku apabila orang-orang PAS kata yang Tunku anak Siam yang ta'berhak memimpin orang Melayu. Jadi Tunku juga akan merpertahan-kan patek walau-pun maseh ada dua sudu darah dara Pakistani dalam tubuh badan patek.

Patek sa-kali lagi mengulangkan ia-itu kenyataan yang patek buat itu ia-lah menchegah kejadian yang akan menambah perasaan benchi orang-orang Melayu terhadap kerajaan dan menggalak-kan orang-orang China menjatohkan lagi maruah orang-orang Melayu. Rusohan yang lebeh besar akan berlaku jika ini di-biarkan. Tentera sendiri tidak akan dapat di-kawal. Dan lagi kalau T.H. Tan dan dewan orang China boleh membuat kenyataan, kenapa ketua-ketua UMNO tidak boleh?

Patek menulis surat ini dengan hati yang ikhlas dan harapan bahawa Y.T.M. Tunku akan bacha surat ini dengan sa-penoh-nya sendiri. Patek berdo'a ke-hadhrat Allah subhanahuwataala supaya di-buka hati Tunku menerima kenyataan yang sa-benar ini walau-pun pahit dan pedas.

Patek Yang Ikhlas



(Dr Mahather bin Muhammad)


MataHati : Tahanan ISA pemimpin-pemimpin HINDRAF sebuah pertubuhan pelampau kaum India telah pun dibebaskan baru-baru ini. Bagaimana pula dengan nasib Datuk Ahmad Ismail yang digantung keahliannya dan dilucutkan dari Jawatan Ketua UMNO Bahagian.

Orang Melayu sedang memerhati tingkah laku pemimpin-pemimpin Melayu yang sedang bersungguh-sungguh cuba menambat semula hati kaum bukan bumiputera dengan pelbagai tawaran menarik tanpa menyedari penyokong mereka sendiri semakin merasa jauh hati terhadap perjuangan UMNO.

Jumaat, 15 Mei 2009

PERSIDANGAN UMNO PERINGKAT CAWANGAN BERMULA



KUALA LUMPUR, 15 April – Ibu Pejabat UMNO mengeluarkan pekeliling memaklumkan bahawa tarikh-tarikh Persidangan Tahunan Cawangan dan Perwakilan Bahagian termasuk Pergerakan Sayap-sayap bagi tahun 2009.

Sehubungan itu, dimaklumkan bahawa Persidangan Tahunan bagi tahun 2009 adalah seperti berikut:

1. Persidangan Tahunan Cawangan 2009

1.1. Cawangan-cawangan bolehlah mengadakan Persidangan Tahunannya bila-bila masa mulai hari Jumaat, 15 Mei 2009 sehingga hari Selasa, 30 Jun 2009.

1.2. Cawangan-cawangan yang telah berdaftar pada atau sebelum 31 Disember 2008 serta telah memperolehi Sijil Pendaftaran Cawangannya sahaja yang layak mengadakan Persidangan Tahunannya untuk tahun 2009.

1.3. Tarikh bagi semua Persidangan Tahunan Cawangan hendaklah ditentukan oleh Bahagian setelah berunding dengan Cawangan berkenaan.

1.4. Merujuk kepada Peraturan Persidangan 5.3 “Persidangan Cawangan hendaklah diadakan pada satu tempat yang berkecuali dalam Cawangan berkenaan, melainkan jika tidak ada kemudahan di situ maka Persidangan bolehlah diadakan di mana-mana tempat yang munasabah termasuk di luar Cawangan setelah berunding dengan Bahagian”.

1.5. Setiausaha Cawangan hendaklah memberitahu ahli-ahli secara bertulis sekurang-kurangnya tujuh (7) hari terlebih dahulu daripada hari diadakan Persidangan Tahunan Cawangan.

1.6. Sebarang permohonan untuk menunda tarikh-tarikh persidangan Tahunan Cawangan di luar daripada tempoh yang telah ditetapkan tidak akan diluluskan.

1.7. Persidangan Cawangan hendaklah terdiri daripada :-

i. Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap
ii. Ahli-ahli Jawatankuasa Cawangan
iii. Ahli-ahli Cawangan yang telah menjelaskan yuran tahunannya sebelum atau pada 31 Disember 2008.

1.8. Sesuai dengan Fasal 17.5 Perlembagaan UMNO, di antara tugas-tugas Persidangan Cawangan ialah:-

FASAL 17.5.6
Memilih Wakil-wakil ke Perwakilan Bahagian. Wakil-wakil yang tidak dipilih di dalam Persidangan Cawangan atau sebarang pertukaran selepas itu tidak sah.

FASAL 17.5.8
Tertakluk kepada Fasal 8.4.3, mencadangkan 7 nama untuk dipilih sebagai wakil UMNO Bahagian ke Perhimpunan Agung UMNO.

2. Persidangan Tahunan Pergerakan Wanita, Pemuda Dan Puteri Cawangan 2009

2.1.1. Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Cawangan bolehlah mengadakan Persidangan Tahunan masing-masing bila-bila masa mulai dari hari Jumaat, 15 Mei 2009 sehingga hari Selasa, 30 Jun 2009.

2.2.2. Persidangan Tahunan Pergerakan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri Cawangan hendaklah diadakan terlebih dahulu sebelum Persidangan Tahunan Cawangan masing-masing.

2.2.3. Penolong Setiausaha Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Cawangan hendaklah memberitahu ahli-ahli secara bertulis sekurang-kurangnya tujuh (7) hari terlebih dahulu daripada hari diadakan persidangan masing-masing.

2.2.4. Persidangan Tahunan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Cawangan hendaklah terdiri daripada :-

i. Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap Pergerakan

ii. Ahli-ahli Jawatankuasa Pergerakan UMNO Cawangan

iii. Ahli-ahli Pergerakan UMNO Cawangan yang telah menjelaskan yuran tahunannya sebelum atau pada 31 Disember 2008.

iv. Tidak lebih dari dua orang wakil daripada Jawatankuasa UMNO Cawangan.

2.2.5. Sesuai dengan Fasal 19.4, Peraturan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri, tugas-tugas Persidangan Tahunan Cawangan masing-masing adalah :-

FASAL 19.4.3
Memilih dua (2) orang wakil ke Mesyuarat Perwakilan Wanita/Pemuda/Puteri UMNO Bahagian sebagaimana Fasal 14.2.4 Peraturan ini.

FASAL 19.4.5
Tertakluk kepada Fasal 9.2.4 Peraturan ini, mencadangkan dua (2) orang wakil Wanita/Pemuda/Puteri UMNO Bahagian ke Perhimpunan Agung Wanita/Pemuda/Puteri UMNO Malaysia.

MESYUARAT PERWAKILAN BAHAGIAN

2.3.1. Bahagian-Bahagian bolehlah mengadakan Mesyuarat Perwakilan Bahagiannya bila-bila masa mulai hari Khamis, 16 Julai 2009 sehingga hari Ahad, 16 Ogos 2009.

2.3.2. Bahagian hendaklah menetapkan tarikh, masa dan tempat Mesyuarat Perwakilan Bahagian dalam tempoh yang dinyatakan di atas. Badan Perhubungan UMNO Negeri hendaklah menentukan Pemerhati-pemerhatinya ke Mesyuarat Perwakilan Bahagian tersebut.

2.3.3. Merujuk kepada Peraturan Persidangan 5.2 “ Mesyuarat Perwakilan Bahagian hendaklah diadakan pada satu tempat dalam Bahagian yang berkenaan, tetapi jika tidak ada kemudahan di situ maka kebenaran boleh diberi oleh Majlis Tertinggi untuk mengadakan perwakilan di luar Bahagian.

2.3.4. Setiausaha Bahagian hendaklah memberitahu Cawangan secara bertulis sekurang-kurangnya empat belas (14) hari terlebih dahulu daripada hari diadakan Perwakilan Bahagian.

2.3.5. Sebarang permohonan untuk menunda tarikh Mesyuarat
Perwakilan Bahagian di luar daripada tempoh yang telah ditetapkan tidak akan diluluskan.

2.3.6. Mesyuarat Perwakilan Bahagian hendaklah terdiri daripada :-

i. Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap
ii. Ahli-ahli Jawatankuasa Bahagian
iii. Ketua Cawangan yang Cawangannya telah mengadakan Persidangan dan telah menjelaskan yuran kepada Bahagian bagi tahun 2008. Ketua Cawangan yang menjadi Ahli Jawatankuasa Bahagian berhak melantik gantinya yang terdiri daripada Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap atau Ahli Jawatankuasa Cawangan.
iv. Wakil-wakil yang dilantik oleh Persidangan Cawangan sebanyak seorang wakil bagi tiap-tiap lima puluh orang ahli yang telah menjelaskan yurannya sebelum atau pada 31 Disember 2008, tetapi jumlah Ahli Perwakilan itu tidak lebih daripada lima (5) orang dari satu (1) Cawangan.
v. Tidak lebih daripada sepuluh (10) orang wakil Pergerakan Wanita, sepuluh (10) orang wakil Pergerakan Pemuda dan sepuluh (10) orang wakil Pergerakan Puteri yang dipilih oleh Perwakilan Bahagiannya masing-masing.

2.3.7 Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian boleh dirasmikan oleh Ahli Majlis Tertinggi ataupun sesiapa saja yang difikirkan sesuai untuk merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian masing-masing.

MESYUARAT PERWAKILAN PERGERAKAN WANITA, PEMUDA DAN PUTERI BAHAGIAN

2.4.1. Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian bolehlah mengadakan Mesyuarat Perwakilannya pada bila-bila masa mulai dari hari Khamis, 16 Julai 2009 sehingga hari Ahad, 16 Ogos 2009. Semua Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian hendaklah diadakan sebelum Mesyuarat Perwakilan Bahagian masing-masing.

2.4.2. Tarikh Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian hendaklah ditentukan oleh Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri Bahagian dengan persetujuan Bahagian masing-masing.

2.4.3. Penolong Setiausaha Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian hendaklah memberitahu ahli-ahli secara bertulis sekurang-kurangnya empat belas (14) hari terlebih dahulu daripada hari diadakan Mesyuarat Perwakilan diadakan.

2.4.4. Sebarang permohonan untuk menunda tarikh Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian di luar daripada tempoh yang telah ditetapkan tidak akan diluluskan.

2.4.5. Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian hendaklah terdiri daripada :-

i. Pengerusi Tetap Pergerakan UMNO Bahagian dan Timbalan Pengerusi Tetap Pergerakan UMNO Bahagian.
ii. Jawatankuasa Pergerakan UMNO Bahagian.
iii. Ketua-ketua Pergerakan UMNO Cawangan. Sekiranya ia menjadi Ahli Jawatankuasa Pergerakan UMNO Bahagian, maka bolehlah ia melantik gantinya yang terdiri daripada Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap atau Ahli Jawatankuasa Pergerakan Cawangan UMNO.
iv. Dua (2) orang wakil yang dipilih oleh Mesyuarat Persidangan Pergerakan UMNO Cawangan dalam Bahagian itu, mana-mana wakil yang tidak dapat hadir tidak boleh melantik gantinya.
v. Tidak lebih dari tiga (3) orang wakil daripada Jawatankuasa UMNO Bahagian.

2.4.6. Sesuai dengan Fasal 14.3, Peraturan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri, tugas-tugas Mesyuarat Perwakilan masing-masing adalah:-

FASAL 14.3.3
Memilih Sepuluh (10) orang wakil Perhimpunan Agung Wanita/Pemuda/Puteri UMNO Bahagian menurut Fasal 14.4.6 Perlembagaan UMNO.

FASAL 14.3.4
Memilih dua (2) orang wakil Perhimpunan Agung Wanita/Pemuda/Puteri UMNO Malaysia menurut Fasal 9.2.4 Peraturan ini.

3. BORANG 9 ( AKTA PERTUBUHAN 1966 )

Semua Cawangan dan Bahagian hendaklah mengisi Borang 9 ( Akta Pertubuhan 1966 ), bersama minit Mesyuarat (Peringatan Persidangan/Perwakilan), senarai Ahli-ahli Jawatankuasa dan Penyata Kewangan kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa enam puluh (60) hari selepas persidangan, bagi memenuhi kehendak peruntukan di bawah Akta Pertubuhan. Tindakan ini perlu diambil bagi mengelakkan daripada berlakunya pembatalan mana-mana Bahagian atau Cawangan oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia.

4. KEDUDUKAN AHLI YANG MUFLIS

Sesuai dengan Fasal 9 ‘A’ (1) (d) dan 9 ‘A’ (7) (c) Akta Pertubuhan 1966, dan Fasal 6.3.4 Perlembagaan UMNO, maka seseorang muflis tidak dibenarkan bertanding atau memegang sebarang jawatan di mana-mana peringkat Persidangan Tahunan Cawangan atau mesyuarat Perwakilan Bahagian, termasuk Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri. Mereka juga dilarang untuk menjadi wakil dari Cawangan ke Bahagian atau dari Bahagian ke Perhimpunan Agung UMNO.

5. PENGERUSI TETAP

Semua Pengerusi Tetap yang mempengerusikan mana-mana Persidangan Tahunan Cawangan termasuk Pergerakan Wanita, Pemuda dan Pergerakan Puteri dikehendaki menandatangani Surat Akaun dan membaca surat tersebut di hadapan Perwakilan untuk mengesahkan mereka tidak muflis.

Sehubungan itu, Ibu Pejabat UMNO berharap agar semua pihak yang terbabit akan mengambil tindakan sewajarnya dan dapat mematuhi semua aturan dalam persidangan yang telah digariskan dalam parti.

Selamat Bersidang!

Isnin, 11 Mei 2009

DIRGAHAYU UMNO (63 Tahun Perjuangan Sebuah Bangsa)




63 tahun yang lalu, pada 11hb. Mei 1946, setelah melalui beberapa pertemuan dan perbincangan, pemimpin-pemimpin Melayu dari pelbagai persatuan dari seluruh tanahair telah bersepakat untuk menyatukan seluruh perjuangan Bangsa Melayu di Tanah Melayu yang selama ini terpisah-pisah atas faktor primordial dan parochial.

Perjuangan orang Melayu yang pernah dijajah ratusan tahun hanya berjaya apabila ianya disatukan dibawah satu wadah: Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, PEKEMBAR atau UMNO.

Sebelum itu Melayu berjuang secara terpisah-pisah kerana mementingkan semangat kesukuan dan kedaerahan. Melayu Kelantan berjuang untuk orang Kelantan. Melayu Perak berjuang untuk orang Perak. Begitu juga Melayu dari negeri-negeri yang lain termasuk Melayu Johor.

Lahirlah bermacam-macam persatuan seperti API (Angkatan Pemuda Insaf), KMM (Kesatuan Melayu Muda), PETA (Pembela Tanahair), LKMJ (Lembaga Kesatuan Melayu Johor), PMSJ (Pergerakan Melayu Semenanjung Johor dan banyak lagi. Masing-masing mempunyai matlamat perjuangan yang sama iaitu untuk menentang penjajahan Inggeris, tetapi mereka terpisah kerana semangat negatif, yang mengecilkan perjuangan mereka iaitu semangat kesukuan dan kedaerahan.

Dato Onn Jafar adalah tokoh pemimpin Melayu yang telah berjaya menyatu dan memperkasakan perjuangan Melayu melalui satu sahaja wadah Perjuangan iaitu UMNO.

Walaupun UMNO telah ditubuhkan pada tahun 1946, masih ada persatuan Melayu seperti SABERKAS dan Persetiaan Melayu Kelantan yang masih berdegil dan enggan membenarkan ahlinya menjadi ahli UMNO secara terus.

Dengan kebijaksanaan Allahyarham Dato’ Onn Jaafar, melalui sebuah ucapannya pada tarikh 27hb Disember 1947, beliau telah berjaya menyedarkan orang Melayu tentang kesilapan ini dan perjuangan Melayu dapat disatukan melalui parti UMNO yang unggul.

Kesannya, hanya sepuluh tahun sahaja kemudian daripada itu, iaitu pada tahun 1957, Tanah Melayu telah mencapai kemerdekaannya setelah melalui zaman penjajahan yang penuh keperitan dan penghinaan kira-kira selama 450 tahun. Peringatan Dato Onn ini kepada orang Melayu telah dilafaskannya kira-kira 63 tahun yang lalu.

Hari ini terdapat juga dari kalangan kita yang berjuang dengan mengajak dan menyeru orang Melayu khususnya Ahli UMNO agar kembali semula ke era atau zaman kelemahan perjuangan Melayu. Mereka ini berusaha untuk melemahkan UMNO. Mereka mengajak orang Melayu berundur kebelakang. Mereka mengajak orang Melayu membongkar kubur pejuang-pejuang kesukuan dan kedaerahan yang telah lama dikuburkan oleh UMNO dan cuba menghidupkan tulang-tulang yang telah reput itu.

Menyentuh tentang mereka ini, saya teringat akan sebuah pesanan Lukmanul Hakim yang terkenal itu kepada anaknya. Lukmanul Hakim pernah berpesan kepada anaknya : “wahai anakku, Jika kamu tidak dapat menjadi garam yang boleh menahan ikan dari menjadi busuk, maka janganlah sekali-kali kamu menjadi langau yang akan mempercepatkan lagi ikan itu menjadi busuk.

Moral atau pengajaran yang boleh kita dapat dari pesanan Lukman Hakim itu adalah : Jika kita tidak dapat untuk menyumbang kepada memastikan UMNO terus utuh dan kuat bagi menjayakan agenda perjuangan bangsa Melayu, maka janganlah pula kita menjadi orang yang beria-ia dan bersungguh-sungguh berusaha untuk merosak dan menjahanamkan UMNO yang keramat ini. Mudah-mudahan, kita akan mendapat pengajaran dari pesanan yang sungguh amat bermakna ini.

Dalam setiap langkah perjuangan UMNO, ianya hanya boleh berjaya jika ia terus diberikan sokongan, khususnya oleh orang-orang Melayu. Lagi ramai orang Melayu menyokong UMNO, lagi pantas, lagi mudah dan lagi cepat UMNO bergerak, untuk memberi pembelaan dan perjuangan kepada orang-orang Melayu.

Orang Melayu tidak menyokong UMNO hanya kerana nama pertubuhan kita adalah UMNO. Orang Melayu akan terus memberikan sokongan yang berterusan kepada UMNO, hanya jika kita sentiasa berjuang untuk memelihara kekuasaan politik, kesejahteraan ekonomi dan martabat sosial serta mempertingkatkan kesucian agama islam dan keagongan bangsa kita.

Keputusan Pilihanraya Umum ke 12 (PRU12) yang lalu telah menunjukkan bahawa, ada tanda-tanda bahawa orang Melayu khususnya generasi muda, telah mula hilang kepercayaan kepada parti kita UMNO. Selain Kelantan, kini Kedah, Perak (dapat kita tawan kembali), Pulau Pinang dan Selangor telah berjaya ditawan oleh Parti Pembangkang. Negeri Johor yang terkenal selama ini sebagai kubu kuat UMNO, juga telah berjaya dicerobohi oleh pihak pembangkang.

Lanjutan dari kemerosotan Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum yang lalu, telah menyebabkan kegawatan dalam parti kita UMNO. Begitu juga dalam parti-parti komponen BN yang lain. Masing-masing cuba menuding jari menyalahkan pihak yang lain.

Tindakan menyalahkan pihak lain tidak akan menyelesaikan masalah yang sedang kita hadapi, melainkan kita sendiri harus mengkaji semula kelemahan dan kesilapan diri kita, seterusnya mengambil jalan secepat mungkin, untuk memperbaiki kelemahan dan kesilapan tersebut. Masa terus berjalan. Jika kita lambat bertindak dan terus menyalahkan pihak lain, kemungkinan untuk bangkit semula dalam Pilihanraya Umum yang akan datang menjadi semakin tipis.

Kesan dari keputusan PRU12 yang lalu juga, telah menyebabkan orang-orang Melayu yang merasa cemas dan tergugat, mula mengambil tindakan menubuhkan bermacam-macam pertubuhan. Dalam keadaan kita mahu menyatukan Orang Melayu yang telah mula berpecah, tindakan ini tentunya tidak akan membantu. Malah tindakan menubuhkan lebih banyak pertubuhan ini akan menambahkan lagi perpecahan kepada Orang Melayu.

Namun bagi saya, keadaan ini juga sebenarnya boleh ditafsirkan sebagai menunjukkan, bahawa sudah ada tanda-tanda Orang Melayu mula merasakan bahawa mereka tidak boleh lagi mengharapkan Parti UMNO untuk menjamin dan membela nasib mereka. Orang Melayu mula merasa tidak selamat lagi.

Banyak seminar, banyak forum dan perbincangan telah diadakan untuk mengkaji apa yang sebenarnya telah terjadi kepada UMNO dan Barisan Nasional, pada PRU12 yang lalu. Maka begitu banyak sebab telah kenal pasti sebagai punca kepada keadaan ini. Banyak juga cadangan yang telah diterima oleh UMNO untuk dilaksanakan, bagi mengembalikan keyakinan dan sokongan pengundi kepada parti kita.

Apa yang pasti, persepsi atau pandangan masyarakat dan pengundi terhadap parti kita telah banyak merosot dan berubah. Ahli UMNO kini dilihat mementingkan diri sendiri berbanding melaksanakan tanggungjawabnya untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Ahli UMNO jugai dilihat lebih gemar mengejar jawatan bagi kepentingan diri dan kumpulan mereka sendiri. Ahli UMNO kini dilihat malah dituduh sebagai orang yang rasuah.

Ahli UMNO juga digambarkan sebagai gila kuasa sehingga sanggup menghabiskan wang yang banyak untuk menyogok dan merasuah bagi mendapatkan jawatan tertentu dalam parti.

Bermacam-macam persepsi buruk yang telah dilabelkan kepada UMNO. Semua ini tidak boleh kita ambil dan pandang ringan kerana semua inilah yang menentukan kemenangan atau kejayaan parti kita pada masa depan.

Samada kita suka atau tidak dengan setiap persepsi mahupun label buruk yang telah diberikan kepada parti kita, rakyat atau pengundi telah membuat keputusan di peti-peti undi pada PRU12 yang lalu.

Samada kita menerimanya atau menafikannya, kita telah kehilangan 4 buah lagi negeri pada PRU12 yang lalu. Adakah kita sanggup kehilangan beberapa buah negeri lagi pada PRU13 yang akan datang.

Jika kita terus berbalah dan menyalahkan pihak lain serta tidak cepat bertindak, kita malah mungkin akan menerima kekalahan yang lebih teruk lagi, dan mungkin juga akan terus kehilangan kuasa di peringkat Kerajaan Persekutuan. Adakah kita sanggup perkara ini terjadi kepada parti kita.

Tidak ada maknanya jawatan dalam parti yang kita perolehi dengan menggunakan sogokan itu, sekiranya parti kita telah kehilangan kuasa untuk memerintah.

Justeru itu, marilah kita bermuhasabah diri. UMNO tidak boleh kalah dalam pilihanraya. UMNO tidak mampu untuk menerima kekalahan dalam pilihanraya.

UMNO yang keramat ini mempunyai tanggungjawab besar kepada kelangsungan dan masa depan Bangsa Melayu. UMNO, parti keramat yang banyak berjasa ini, memikul amanah yang sungguh besar bagi memartabatkan Bangsa Melayu.

Kepada UMNO diletakkan harapan yang tinggi untuk memastikan Bangsa melayu dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa yang lain. Dan kepada UMNO jugalah diharapkan menjadi benteng kepada ketinggian syiar Islam di Negara bertuah ini.

Maka pada hari ini, saya ingin menyeru kepada semua ahli dan pemimpin UMNO, marilah kita bersatu memulih dan mengembalikan semula kepercayaan dan sokongan rakyat kepada parti kita. Marilah kita berganding bahu menyelamat dan menguatkan semula parti kita yang telah banyak berjasa ini. UMNO telah berusia 63 tahun.

Jika diibaratkan seperti kenderaan, UMNO telah ditunggangi oleh Orang Melayu selama 63 tahun. UMNO telah tua. UMNO perlu dipulihkan dan diberikan tenaga semula. UMNO perlu diREMAJAkan semula agar parti kita ini dapat terus diterima, dipercayai dan diberikan sokongan tidak berbelah bahagi oleh Orang Melayu.

UMNO perlu diremajakan semula agar dapat terus berkhidmat kepada masyarakat dan orang Melayu. UMNO perlu diremajakan semula agar Bangsa Melayu terus berkuasa di Negaranya sendiri. UMNO perlu diremajakan semula kerana Orang Melayu belum mampu untuk hidup tanpa kuasa politik UMNO.

Sebagai generasi muda dan generasi pelapis yang akan mewarisi UMNO, marilah kita mulakan langkah untuk meremajakan UMNO. Marilah kita tingkatkan azam dan semangat kita untuk terus berkhidmat kepada masyarakat melalui UMNO.

Marilah kita mengukuhkan kesatuan kita. Marilah kita menunjukkan sifat prihatin kita terhadap segala permasalahan yang sedang berlaku dalam masyarakat. Marilah kita buangkan sifat-sifat dan prilaku buruk yang telah menyebabkan masyarakat dan pengundi memandang serong kepada parti kita.

Marilah kita mendekati semula masyarakat yang mungkin telah kita tinggalkan suatu masa dahulu kerana kesibukkan kita. Marilah kita menunjukkan contoh dan imej yang baik kepada masyarakat, kerana sebagai pemimpin dan ahli parti, diri, peribadi dan perlakuan kita adalah cerminan kepada parti kita. Baik pandangan masyarakat kepada kita, insyaAllah baiklah juga pandangan mereka kepada parti kita UMNO.

Sebaliknya, jika buruk pandangan mereka kepada kita, maka buruk jugalah pandangan mereka kepada parti kita UMNO.

Marilah kita mengembalikan semula persepsi dan keyakinan masyarakat supaya mudah-mudahan, UMNO akan kembali diterima dan menjadi satu-satunya parti yang mampu menjadi pembela kepada nasib dan masa depan Bangsa Melayu seperti dahulu.

MataHati : "Sayangkan Bangsa adalah 'Roh' kepada perjuangan UMNO selama 63 tahun ini. Hanya dengan memiliki perasaan Sayangkan kepada Bangsa Melayu akan memastikan kita akan sentiasa cuba memberikan yang terbaik dan menghindarkan sesuatu yang buruk dari menimpa kepada bangsa kita"

Selamat Hari UMNO yang ke 63 tahun. Bersama kita memperkasa dan memelihara UMNO agar dapat kita wariskan kegemilangannya kepada generasi akan datang, InsyaAllah.