Isnin, 30 November 2009

PERTELAGAHAN MELAYU ISLAM : ULAMA' POLITIK & SESAMA ULAMA'



Utusan Malaysia - Tauhid tiga serangkai disyariat dalam Islam?

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN
---------------------------------------------------------------

MINGGU ini kita menyambung kembali persoalan tauhid tiga serangkai yang telah pun diberikan lontaran awal pada dua minggu lepas. Sebelum soalan pertama dilontarkan mengenai tauhid tiga serangkai atau tauhid tiga bahagian yang diformulasikan atau direka oleh Ibnu Taimiyyah ini,

sebaiknya kita melihat dahulu secara ringkas definisi yang diberikan kepada ketiga-tiga tauhid ini.

Tauhid rububiah didefinisikan dengan makna mengesakan Allah pada ciptaan, pemerintahan, takdir, pentadbiran dan perbuatan-Nya serta dalam memberikan suatu kesan.

Manakala tauhid uluhiah didefinisikan dengan makna mengesakan Allah dalam hal peribadatan tanpa mengambil seorang manusia pun bersama Allah sebagai sembahan.

Tauhid Asma' dan Sifat pula didefinisikan dengan makna mengesakan Allah pada apa yang dinamakan dan disifatkan dengan diri-Nya, sebagaimana yang terdapat di dalam kitab-Nya atau yang didapati daripada lidah nabi-Nya yang telah menetapkan dengan apa yang telah ditetapkan bagi diri-Nya.

Dalam membincangkan pembahagian ini, maka perkara utama yang perlu dipersoalkan dan bincangkan ialah adakah pembahagian ini telah dinaskan oleh syarak dan terdapat dalil-dalil yang menunjukkan ke atasnya? Adakah pembahagian ini merupakan perkara yang disyariatkan ataupun perkara baru yang dicipta (bidaah)?

Persoalan ini, mengandungi beberapa jawapan:

Jawapan Pertama

Ibnu Taimiyyah yang merupakan pereka pembahagian tauhid ini mendakwa dirinya bermazhab Hanbali.

Namun Imam Ahmad ibnu Hanbal r.a. sendiri, yang dikatakan menjadi tempat sandaran bagi orang-orang yang melakukan pembahagian tauhid bidaah ini, tidak pernah menyatakan bahawa tauhid itu mempunyai beberapa bahagian; tauhid rububiah, tauhid uluhiah dan tauhid asma' dan sifat.

Beliau juga tidak pernah menyatakan bahawa sesiapa yang tidak mengetahui tauhid uluhiah, tidak dikira makrifatnya tentang tauhid rububiah kerana tauhid rububiah ini telah diketahui oleh orang musyrikin.

Sesungguhnya akidah Imam Ahmad ibn Hanbal r.a telah disusun di dalam kitab-kitab karangan pengikutnya. Misalnya, di dalam kitab biografinya yang ditulis oleh Ibnu Jauzi dan lain-lainnya, tidak terdapat langsung pembahagian tauhid rekaan ini. Maka dari manakah Ibnu Taimiyyah mengambil tauhid ini?

Jawapan Kedua

Tidak berkata walau seorang daripada Sahabat-sahabat Nabi r.a: "Sesungguhnya tauhid itu ialah tauhid rububiah dan tauhid uluhiah, dan sekiranya seseorang tidak mengetahui tentang tauhid uluhiah, maka tidak dikira makrifahnya tentang tauhid rububiyyah kerana tauhid rububiah ini telah diketahui oleh orang musyrikin".

Justeru, saya mencabar kepada setiap orang yang mempunyai ilmu yang mendalam, supaya menaqalkan kepada kami pembahagian yang diada-adakan ini daripada sahabat-sahabat Nabi r.a, sekalipun dengan mengemukakan satu riwayat yang lemah.

Jawapan Ketiga

Tidak terdapat dalam sunnah Nabi SAW yang luas dan menjadi penjelas kepada kitab Allah, sama ada dalam kitab-kitab hadis sahih, sunan-sunan, musnad-musnad dan mu'jam-mu'jam yang menyebut bahawa Nabi SAW pernah bersabda dan mengajar sahabat-sahabatnya, bahawa tauhid itu terbahagi kepada tauhid uluhiah dan juga rububiah yang telah diketahui oleh orang musyrik.

Sekiranya berkumpul jin dan manusia bersama-sama mereka untuk menetapkan bahawa pembahagian ini adalah datang daripada Nabi SAW dengan isnadnya, sekalipun dengan isnad yang lemah, nescaya mereka tidak akan mampu untuk mendatangkannya walaupun dengan satu jalan.

Jawapan Keempat

Telah tercatat dalam sunnah yang banyak, bahawa dalam dakwah Rasulullah SAW mengajak manusia kepada Allah, Baginda SAW menyeru mereka ke arah penyaksian kalimah syahadah: Tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah. Baginda SAW juga mengajak mereka meninggalkan penyembahan berhala.

Di antara hadis yang paling masyhur menyebut tentang perkara ini ialah hadis Muaz ibnu Jabal r.a. Ketika beliau diutuskan oleh Nabi SAW ke Yaman, Baginda SAW bersabda kepadanya: Serulah mereka kepada penyaksian "Bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah". Sekiranya mereka mentaatinya, maka hendaklah kamu khabarkan kepada mereka bahawa diwajibkan ke atas mereka solat lima waktu sehari semalam. (riwayat al-Bukhari dalam Sahihnya)

Diriwayatkan oleh pengarang kitab Sunan dan Ibnu Hibban, bahawa seorang Arab Badawi memberitahu Rasulullah SAW bahawa dia telah melihat anak bulan. Lantas Rasulullah SAW memerintahkan supaya berpuasa dan Baginda SAW tidak menyoalnya melainkan tentang pengakuannya terhadap kalimah syahadah. (diriwayatkan oleh Abu Daud, al Nasaei, al Tirmizi dan lain-lain)

Sekiranya tauhid itu terbahagi kepada tiga bahagian sebagaimana yang mereka perkatakan, maka sudah tentulah Nabi SAW menyeru sekelian manusia kepada tauhid uluhiah yang tidak mereka ketahui dan bukannya tauhid rububiah kerana mereka telah mengetahuinya.

Demikian juga, perlulah Baginda SAW bersabda kepada Muaz r.a, "Serulah mereka kepada tauhid uluhiah," dan Baginda SAW bertanya terlebih dahulu kepada orang Arab Badawi yang melihat anak bulan Ramadan, "Adakah kamu mengetahui tentang tauhid uluhiah dan perbezaan di antara tauhid ini dengan tauhid rububiah, dan adakah kamu mengetahui tauhid asma' dan sifat?"

Jawapan Kelima

Di dalam kitab Allah yang ternyata tidak dicemari dengan kebatilan, tidak membezakan di antara tauhid uluhiah dan tauhid rububiah.

Begitu juga tidak dikatakan kepada mereka: Sesiapa yang tidak mengetahui tauhid uluhiah tidak dikira imannya, bahkan dia adalah lebih kafir daripada Firaun dan Haman. Tetapi Allah SWT memerintahkan dengan kalimah tauhid secara mutlak sebagaimana firman Allah SWT kepada Nabi-Nya dalam surah Muhammad ayat 19: Ketahuilah, bahawasanya tiada Tuhan melainkan Allah. Begitu jugalah dengan keseluruhan ayat tauhid yang disebut di dalam al-Quran.

Sekiranya kamu kehendaki, maka bacalah surah al-Ikhlas yang menyamai sepertiga al-Quran. Adakah kamu mendapati di dalamnya ayat yang membezakan di antara uluhiah dan rububiah sebagaimana yang mereka sangkakan?

Jawapan Keenam

Melalui pembahagian yang direka ini, memberi kefahaman kepada kita, seolah-olah Allah masih belum lagi menyempurnakan agama-Nya. Kemudian, datang seseorang yang kononnya untuk menyempurnakan agama Allah yang masih lagi mempunyai kekurangan dan menjelaskan tentang tauhid dan pembahagiannya kepada manusia pada kurun ke-7 Hijrah.

Pada kurun ini, lahirnya pembahagian tauhid uluhiah, rububiah, asma' dan sifat yang dicetuskan oleh Ibnu Taimiyyah (661- 724 H). Seolah-olah semua umat tidak mengetahui tentang apa yang diperkenalkan oleh pemuka-pemuka pembahagian tauhid rekaan ini.

Selepas kita mengetahui jawapan daripada soalan pertama ini, yakinlah kita dengan sempurna bahawa tauhid ini tidak mempunyai sumber yang sah daripada al-Quran dan hadis.

Ia menunjukkan bahawa pembahagian ini hanyalah rekaan semata-mata. Persoalan kedua akan dikemukakan pada minggu hadapan, insya-Allah.

~ MataHati : Masyarakat Melayu Islam di Malaysia semakin berserabut. Pertelagahan Politik termasuk yang dibawa oleh 'Ulama' Politik' sehingga membawa perpecahan kepada Melayu Islam masih parah dan belum menunjukkan tanda-tanda akan reda. Usaha untuk menghubungkan kembali persaudaraan UMNO - PAS, dua parti terbesar bagi orang Melayu Islam di Malaysia masih terbantut oleh kerana dihalang oleh Ulama' Politik. Kecelaruan yang dibawa oleh Ulama' Politik ini malah lebih dasyat apabila sudah mula mengajarkan orang Islam berdoa untuk memusnahkan pemimpin negara, sesuatu yang bertentangan dengan apa yang diajarkan kepada kita selama ini tentang apa yang boleh dan tidak boleh kita memohonkan doa kepada Allah.

Kini timbul satu lagi kecelaruan, ulama bertelagah sesama sendiri sehingga ada yang menuduh 'sesat lagi menyesatkan' berdasarkan hujah yang mewakili kumpulan dan alirannya sahaja. Seolah-olah semua aliran selain dari aliran yang dianutinya sebagai sesat dan tidak Islam. Artikel di atas adalah tulisan dari satu kumpulan yang mewakili aliran tertentu itu. Berdasarkan isu dan pertelagahan semasa, saya rasa pembaca tentu mudah untuk meneka penulis artikel ini adalah dari aliran yang mana.

Dengan angkuhnya penulis artikel ini mencabar : "Justeru, saya mencabar kepada setiap orang yang mempunyai ilmu yang mendalam, supaya menaqalkan kepada kami pembahagian yang diada-adakan ini daripada sahabat-sahabat Nabi r.a, sekalipun dengan mengemukakan satu riwayat yang lemah." Cabarnya lagi : "Sekiranya berkumpul jin dan manusia bersama-sama mereka untuk menetapkan bahawa pembahagian ini adalah datang daripada Nabi SAW dengan isnadnya, sekalipun dengan isnad yang lemah, nescaya mereka tidak akan mampu untuk mendatangkannya walaupun dengan satu jalan."

Bagi saya, hujah-hujah yang diberikan penulis artikel ini sendiri berlawanan sesama sendiri dengan pegangan yang dianuti oleh aliran yang diwakili oleh penulis tersebut walaupun beliau tidak menyebut aliran mana yang dianutinya. Bukankan tauhid yang pertama dan kedua seperti yang disebutkan oleh penulis ini yang kita pelajari semasa di sekolah agama dahulu? Hanya kerana bermatlamat untuk menyerang pembawa aliran tauhid ketiga, kali ini, semuanya dikatakan bidaah.

Tetapi, soalan untuk penulis ini, benarkah aliran yang dianuti oleh penulis ini benar-benar bebas dari mengamalkan bidaah... walaupun bidaah hasanah?

Sebagai seorang Islam yang sememangnya dilahirkan sebagai seorang Islam, kecelaruan dan pertelingkahan di antara ulama ini benar-benar menimbulkan kekeliruan dan ketidaktenteraman jiwa apatah lagi bagi seorang Islam yang bukan sejak lahir menganut agama Islam. Allah memberi manusia akal dan fikiran untuk berfikir. Sudah tentu akan berlaku perbezaan dalam pandangan dan pemahaman setiap manusia terhadap sesuatu perkara. Bukankah Islam sudah menentukan adab dalam perbezaan pendapat. Adakah menuduh pendapat yang lain sebagai 'sesat lagi menyesatkan' itu bersesuaian dengan adab Islam.

Persoalannya, adakah kecelaruan ini benar-benar penting untuk dipertelagahkan pada ketika ini? Bukankah ketiga-tiga tauhid itu adalah ilmu untuk memudahkan manusia mengEsakan Allah? Kalau benar semuanya bidaah, APAKAH SYARAT UNTUK MENJADI ISLAM PERLU MENGIKUT SALAH SATU MAZHAB YANG EMPAT? Apa pun jawaban anda, bukankah itu Bidaah. Sekiranya saya menggabungkan dan mengikut keempat-empat mazhab, masihkah saya dikira sebagai seorang Islam?

~ Di Kota Tinggi, Johor, penggerak-penggerak masyarakat sudah 'diceramahkan' agar menganggap aliran yang ketiga sebagai 'sesat lagi menyesatkan'.

Bacaan Tambahan :

kuliah tauhid

Isnin, 23 November 2009

DEMI KUASA - ANWAR IBRAHIM BUAT APA SAHAJA


~ehsan AIDC~ http://www.youtube.com/watch?v=aX0MXJ-JwwA&feature=player_embedded

Ahad, 22 November 2009

SERAMBI MEKAH PUN ADA MACAM NI?

Kanak-kanak diculik, dirogol bebas selepas 20 jam

KOTA BHARU - Seorang kanak-kanak berusia 11 tahun yang diculik dan dipercayai dirogol dikembalikan sendiri oleh suspek selepas hampir 20 jam dilarikan petang kelmarin.

Mangsa, seorang murid dari sebuah sekolah rendah di Pengkalan Chepa, di sini dihantar pulang di rumahnya di Padang Tembak kira-kira jam 10 pagi semalam.

Mangsa dilarikan seorang lelaki yang menunggang motosikal kira-kira 500 meter dari rumahnya petang kelmarin selepas keluar bersama kawan-kawannya petang kelmarin.

Kira-kira jam 4 petang kelmarin, kanak-kanak perempuan berkenaan bersama empat lagi kawannya keluar untuk mencari salah seorang adiknya.

- Dapatkan berita penuh di SInar Harian hari ini.

MataHati~ Selagi kita bernama manusia yang telah diberikan nafsu di samping akal dan fikiran. Selagi masih ada syaitan yang memang kerjanya adalah untuk memesongkan manusia dan selagi ada syurga dan neraka, maka selagi itu kejadian ini akan berkemungkinan untuk terjadi. Tidak kira sama ada ianya terjadi di Amerika, di Teluk Sengat, di Damansara mahupun di Kokdiang atau di Kota Bharu yang bergelar serambi mekah itu.

Janganlah hendaknya umat Islam terus diperbodohkan oleh dakyah PAS seolah-olah dunia ini akan aman tanpa rasuah dan jenayah apabila PAS diberikan kuasa untuk memerintah. Apa yang sedang berlaku di Kelantan malah memberikan imej yang lebih buruk lagi kepada agama Islam. Isu Tajaan Haji dan amalan Nepotisme Nik Aziz dalam perlantikan jawatan adalah suatu tindakan yang tidak Islamik langsung.

Teringat kata-kata Bekas Pejuang PAS yang pernah dikenakan ISA kerana cuba merampas kuasa di Kelantan dan Terengganu suatu ketika dahulu, Ustaz Omar Khalid : "Wal HarRaMun Kalau Makan Sorang - Wal HalalLun Kalau Bagi Dua" yang bererti : sekiranya sesuatu itu tidak menguntungkan PAS maka akan difatwakan sebagai HARAM manakala jika ianya menguntungkan PAS sebaliknya ia dikira menjadi HALAL.

Dahulu HARAM sembahyang di Masjid Kerajaan. HARAM bekerjasama dengan Kafir MCA & MIC. HARAM makan sembelihan Orang UMNO. Dan berbagai lagi HARAM.... Inikah yang sebenarnya diajarkan oleh agama Islam atau ini hanya ajaran politik PAS? Kenapa disamakan ajaran Islam dengan Ajaran Politik PAS. Bukankah Islam itu AGAMA sebaliknya PAS hanya PARTI POLITIK. Itu pun tak tau....

Sabtu, 21 November 2009

RASUAH PEMUDA UMNO KOTA TINGGI (update)

Penahanan Anggota Umno Bukti SPRM Adil

JOHOR BAHARU: Penahanan enam anggota Pemuda Umno Bahagian Kota Tinggi pada Jumaat membuktikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menyebelahi mana-mana pihak dalam menjalankan tugas mereka, kata Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman.

Beliau berkata tindakan itu sekali gus bercanggah dengan dakwaan sesetengah pihak terutamanya parti pembangkang yang mendakwa SPRM lebih memihak kepada parti pemerintah.

"Saya percaya SPRM tidak memihak mana-mana orang, sesiapa yang didapati terlibat dengan amalan rasuah akan diambil tindakan sama ada daripada pembangkang ataupun parti kerajaan," katanya selepas merasmikan pembukaan Hospital Pakar Regency di Seri Alam, Masai di sini hari ini.

Menjawab satu soalan, Abdul Ghani yang juga Ketua Perhubungan Umno Johor berkata Ketua Bahagian Umno Kota Tinggi Datuk Seri Syed Hamid Albar belum memaklumkan perkara itu kepada beliau.

Abdul Ghani berkata Umno Johor menyerahkan kepada SPRM untuk menyiasat kes berkenaan.

Semalam, SPRM menahan enam anggota Pemuda Umno bahagian Kota Tinggi atas dakwaan rasuah.

Mereka didakwa cuba menawarkan rasuah kepada tiga daripada 18 bekas anggota jawatankuasa bahagian itu yang meletakkan jawatan Ahad lepas berikutan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan ketua pemudanya.

Ekoran peletakan jawatan beramai-ramai itu suspek dipercayai cuba berunding dengan seorang bekas anggota jawatankuasa sayap itu bagi mengelakkan pemilihan untuk sayap itu diadakan.

Keenam-enam suspek berusia antara 30 dan 40 tahun, ditahan pada pukul 2 pagi di rumah bekas anggota jawatankuasa sayap itu selepas didakwa cuba memujuknya agar menarik semula peletakan jawatannya dengan menawarkan RM40,000.

Jumaat, 20 November 2009

ORANG KIRI DAN KANAN SYED HAMID KENA TAHAN SPRM


SPRM Tahan 6 Ahli Umno Bahagian Kota Tinggi
Oleh FARIK ZOLKEPLI

JOHOR BHARU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan enam ahli Umno Bahagian Kota Tinggi, termasuk ketua pemudanya (ROSZAINI JAHARI)berhubung dakwaan cuba memberi rasuah berjumlah RM40,000 kepada tiga bekas ahli jawatankuasa (AJK) Pemuda bahagian itu. Anggota Pemuda yang berusia antara 30 dan 40 tahun itu ditahan di rumah salah seorang AJK Pemuda bahagian itu pada pukul 2 petang tadi selepas suspek didakwa cuba memujuk AJK berkenaan untuk menarik semula hasrat untuk meletakkan jawatan masing-masing.

Difahamkan suspek berbuat demikian kerana 18 daripada AJK Pemuda bahagian itu telah meletakkan jawatan mereka minggu lalu atas alasan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan suspek sebagai Ketua Pemuda. Sumber memberitahu, peletakan jawatan beramai-ramai itu menyebabkan suspek cuba mengadakan 'rundingan' dengan tiga AJK berkenaan bagi mengelakkan satu pemilihan baru diadakan. Sumber mengesahkan salah seorang daripada tiga orang AJK berkenaan didakwa telah menghubungi pihak SPRM sebelum proses rundingan itu berlangsung.

Suspek telah ditahan di Penjara Ayer Molek sebelum dibawa ke ibu pejabat SPRM negeri bagi menjalankan proses soal siasat. Ketua Umno Bahagian Kota Tinggi, Datuk Seri Syed Hamid Albar ketika dihubungi berkata, beliau ada mendengar berita tersebut dan difahamkan kesemua suspek yang ditahan adalah daripada sayap Pemuda bahagian itu. "Saya menyerahkan kepada SPRM untuk menyiasat perkara ini. Saya berharap kebenaran akan muncul juga akhirnya," katanya. Penguasa SPRM Negeri Johor, Simi Abdul Ghani ketika dihubungi bagaimanapun enggan mengulas mengenai isu tersebut.

~KRONOLOGI PENANGKAPAN~

Tangkapan 3 orang di rumah bapa Mazlan Bin Arifin di FELDA Lok Heng Timur bersama wang RM39,900 dan RM10,000 dalam beg pada jam 11.45 malam.

Mereka adalah :
1. Muszaini Bin Omar
2. Md Noh
3. Hj Jamaluddin

Ketua Pergerakan Pemuda Bahagian Kota Tinggi,Roszaini Jahari ditangkap di dalam Restoran Ajmeer Kota Tinggi semasa Muszaini menyerahkan surat penarikan perletakan jawatan pada jam 2.30 petang.

Roslaili Jahari (Bekas 1)Setiausaha Akhbar Syed Hamid 2)Setiausaha UMNO Bahagian 3)Ketua Pemuda UMNO Bahagian) dan Hairuddin Ahmad menyerah diri kepada SPRM di tingkat 6 Hotel Mayres pada jam 3.00 pagi setelah ditelefon.

Ahli Jawatankuasa yang cuba disogok adalah Sdra. Mazlan bin Ariffin.


~MataHati~ Tahniah Sdra Mazlan. Anda adalah sebenar-benar Pemuda yang sayangkan bangsa.

Mereka yang ditangkap kesemuanya adalah penyokong Syed Hamid Albar. Pembaca boleh menilai kembali peristiwa yang berlaku semasa pemilihan UMNO Bahagian baru-baru ini yang menyebabkan beberapa orang ahli UMNO yang menentang Syed Hamid telah digantung keahlian UMNOnya termasuk Sdra Daeng Abdul Malek yang dikatakan mengamalkan rasuah politik. Memandangkan pada ketika itu, Syed Hamid Albar adalah Menteri Dalam Negeri dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, maka tiada siapa yang mahu percaya kata-kata dan aduan yang telah dibuat oleh pihak yang teraniaya ini.

Kini, insyaAllah kebenaran akan menjelma. Yang bersalah pasti akan mendapat balasan yang setimpal. Kepimpinan Syed Hamid telah ditolak oleh rakyat Kota Tinggi. Peluang dan harapan selama hampir 20 tahun sebagai Ahli Parlimen dan Ketua Bahagian UMNO telah dipersia-siakan. Syed Hamid harus berundur sebelum rakyat menunjukkan kemarahannya di peti undi dalam PRU13 nanti.

Perubahan politik di Kota Tinggi telah mula berlaku. Bagaimana dengan Azalina di Pengerang. Azalina pasti akan selamat kerana ahli UMNO Pengerang lebih rela menjadi pak turut sahaja. Banyak penyelewengan yang telah dipendamkan begitu sahaja. SPRM patut mula menyiasat bagaimana penyelewengan peruntukan Ahli Parlimen dilakukan oleh Azalina dan Pegawai Khasnya Ben Bella. Nak kenal siapa Azalina, sila klik sini dan sini.

Isnin, 16 November 2009

Tak Boleh Tok Guru...Tak Boleh!



Tak Boleh Tok Guru...Tak Boleh!
ULASAN MSTAR Oleh ROZAID A. RAHMAN

SECARA TRADISINYA orang Melayu sejak turun temurun telah diajar tentang tiga darjat penghormatan. Pertama kita diajar jangan menderhaka kepada Raja; kedua ibu-bapa dan ketiga tok guru.

Ini menjadikan situasi kita sangat sulit apatah lagi untuk menegur ketiga-tiga institusi ini sama ada secara terang mahupun tersirat.

Jadi apabila kita dapati tok guru yang kita semua sayangi seperti Tok Guru Nik Aziz Nik Mat bercakap tentang perkara-perkara yang pada pemikiran dan pemahaman kita sebagai sesuatu yang tidak kena, maka kita menjadi serba salah. Serba salah untuk menegur.

Apatah lagi tok guru seperti Nik Aziz yang memakai dua topi (mungkin dalam hal ini lebih sesuai dipanggil kopiah) iaitu satu sebagai tok guru dan satu lagi sebagai menteri besar.

Sebagai tok guru, Nik Aziz melihat dirinya hanya mengikut apa yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAW apabila beliau melantik menantunya sebagai ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat kerajaan negeri di bawah Menteri Besar Yang Diperbadankan.

Nik Aziz dipetik sebagai berkata, sedangkan Nabi Muhammad lagi melantik menantu-menantunya ke jawatan dan kedudukan mentadbir negeri (Madinah), jadi beliau tidak nampak di mana salahnya beliau melantik menantunya menerajui sebuah anak syarikat negeri.

Wajarkah Nik Aziz membuat perbandingan demikian? Jika beliau melihat dirinya sebagai anbiya dan anbiya adalah pewaris nabi maka mungkin ada kewajaran kepada hujahnya, setidak-tidaknya begitulah pada pandangan beliau sendiri.

Tetapi pada ketika Nik Aziz berkata demikian, beliau sebenarnya memakai topi/kopiah yang mana satu? Topi atau kopiah tok guru kah atau menteri besar.

Melantik menantu sendiri menduduki kerusi eksekutif boleh dilihat sebagai satu keputusan yang tidak betul jika beliau berbuat demikian atas kapasiti seorang menteri besar.

Zaman dahulu mungkin orang tidak berapa kisah tetapi zaman sekarang orang memanggil perbuatan itu sebagai nepotisma.

Dan sedikit masa dahulu, parti-parti seperti PAS sendiri seringkali menyebut ini sebagai nepotisma. Tetapi apa agaknya istilah yang perlu digunapakai untuk kes menantu Nik Aziz ini.

Malah Nik Aziz telah memberi restu kepada menantunya itu untuk memecat seorang penyokong kuatnya sendiri yang juga merupakan seorang bloger popular yang beliau sendiri ambil bekerja di Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Bloger tersebut yang bernama Syed Azidi@Kickdefella dipecat kerana disyaki terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam membawa masuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke PMBK untuk menyiasat menantu tok guru.

Tapi tak apalah. Mungkin itu juga hak tok guru untuk melantik dan memecat siapa yang beliau rasa berhak.

Tapi bagaimana pula dengan soal menerima RM65,000 sebagai ‘hadiah’ untuk mengerjakan haji.

Tok Guru Nik Aziz atas kapasitinya sebagai tok guru merasakan apa salahnya orang hendak menghadiahkan beliau tiket serta belanja untuk mengerjakan ibadah yang menjadi rukun Islam yang kelima.

“Saya hendak mengerjakan ibadah...apa salahnya,” kata tok guru ketika mengajar di Dataran Ilmu di Kota Bharu Jumaat lalu di hadapan beratus pengikutnya. Semua diam mendengar dan menganggukkan kepala tanda setuju. Beliau tidak menganggap ia sebagai satu bentuk rasuah.

“Orang nak bawa saya pergi ke Mekah, kenapa saya nak tolak. Saya pergi ke Mekah, jarang belanja saya sendiri.

“Orang tolong bayar. Semua orang berebut (untuk membiaya saya ke Mekah),” kata beliau.

Tetapi minta maaf banyak-banyaklah kali ini tok guru. Dalam hal ini, memang tok guru salah. Dan kita kena tegur akan kesalahan tok guru kali ini. Bukannya mengiyakan apa yang beliau cakap.

Ya, akhirnya beliau telah membuat keputusan untuk tidak menerima ‘hadiah’ tersebut. Tetapi malangnya beliau menyalahkan pihak akhbar kerana membesar-besarkan isu ini sehingga membantut niatnya untuk mengerjakan ibadat yang dijadualkan pada 18 November ini.

Kesayangan kita kepada Tok Guru Nik Aziz telah mendorong sebahagian besar daripada kita ‘mengiyakan’ segala tindak tanduk beliau atau lupa hakikat bahawa beliau juga adalah menteri besar yang terikat dengan segala bentuk perintah serta peraturan am seorang anggota pentadbiran negeri.

Sebagai tok guru mungkin Nik Aziz merasakan tidak ada apa yang salah dengan menerima hadiah dalam bentuk mengerjakan amal ibadat. Malah Setiausaha PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim mencelah dengan berkata, ini cara penduduk Kelantan meraikan orang agama.

Tetapi semua orang kena ingat yang tok guru ada satu kopiah lagi iaitu kopiah menteri besar.

Sebagai menteri besar, tak boleh tok guru...tak boleh terima ganjaran berbentuk hadiah sedemikian. Sebagai Yang Amat Berhormat, tok guru boleh disabitkan menerima ‘suapan’ apatah lagi syarikat yang hendak menghadiahkan tok guru pakej mengerjakan haji itu adalah syarikat yang berkepentingan yang khabarnya mendapat kontrak perniagaan daripada kerajaan negeri.

Jadi tak boleh tok guru buat macam ni. Sebab tok guru juga adalah seorang menteri besar dan ketua pentadbir sebuah kerajaan negeri.

Tok Guru boleh disabitkan dengan kesalahan rasuah - sama ada rasuah moral atau rasuah kebendaan sekiranya SPRM masuk menyiasat dan mendapati seorang penjawat awam tidak boleh menerima apa jua bentuk habuan apatah lagi dalam bentuk wang ringgit dan perjalanan ke luar negara - tak kisahlah atas nama ibadat atau apa sekali pun.

Apa agaknya tok guru nak kata atau orang PAS nak kata kalau perdana menteri Malaysia mengaku buat perkara yang sama? Mungkin minta parlimen bentuk suruhanjaya siasatan diraja agaknya. Wallahualam.