Ahad, 24 Ogos 2008

Kerajaan serius tangani pemikiran Islam Liberal

Pendokong Islam Liberal Malaysia Dan Indonesia


Oleh SITI MAISARAH SHEIKH ABDUL RAHIM
BANGI 23 Ogos - Kerajaan akan memastikan penguatkuasaan fatwa pengharaman Islam Liberal dilaksanakan dengan serius agar umat Islam negara ini tidak terpengaruh dengan fahaman dan ideologinya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penguatkuasaan tersebut memerlukan kerjasama daripada kerajaan negeri termasuk badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk memberi maklumat mengenai golongan pemikiran tersebut yang boleh menjejaskan keselamatan negara.

Katanya, antara peruntukan undang-undang yang boleh digunakan dalam penguatkuasaan itu ialah Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986 dan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2004.

''Enakmen tersebut memberi kuasa menangkap dalam kes jenayah syariah seperti ajaran sesat dan kumpulan bertopeng agama yang boleh menjejaskan ketenteraman negara.

''Kita akan cuba berbincang dan mendapatkan kerjasama daripada NGO dan agensi kerajaan lain seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) setelah fatwa tersebut dikuatkuasakan," katanya.

Beliau berucap merasmikan Seminar Pemikiran Islam Peringkat Kebangsaan anjuran Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pengurusan, Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim), Somali Ahmad.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menggesa semua pihak menyalurkan maklumat berhubung kegiatan kumpulan pemikiran itu yang didapati bergerak secara terang-terangan melalui saluran media komunikasi dan menjadikan golongan anak-anak muda sebagai sasaran.

''Golongan pemikiran Islam Liberal ini berpegang kepada pegangan sekularisme dan pluralisme iaitu menganggap semua agama adalah sama, selain pegangan feminisme yang berpendapat semua lelaki dan wanita perlu dilayan secara sama dalam semua hukum syarak.

''Gerakan ini sangat bahaya. Oleh itu, bahan-bahan bacaan berhubung Islam Liberal harus dikawal agar ia tidak tersebar luas di pasaran dan segala aktiviti mereka harus disekat," katanya.

0 ulasan: