Selasa, 27 Julai 2010

JOM SOKONG DAP (Hey Melayu Selangor, Sorry No Discount)

HAPUSKAN DISKAUN BUMIPUTERA = HAPUSKAN KEISTIMEWAAN MELAYU

Mansuh diskaun hartanah bumiputera

Oleh ABDUL YAZID ALIAS
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 26 Julai - Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua mencadangkan agar kerajaan negeri memansuhkan dasar pemberian diskaun bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial dan rumah mewah di Selangor.

Katanya, langkah itu mampu memberi kesan ekonomi yang lebih baik kepada kerajaan Selangor dari segi persaingan termasuk meningkatkan keyakinan pelabur terhadap sektor hartanah di negeri itu.

Menurutnya, tidak ada sebab diskaun bumiputera dikekalkan melibatkan kedua-dua jenis hartanah itu kerana sudah tentu bumiputera yang terlibat dalam pemilikan tersebut adalah mereka yang berkemampuan.

''Jadi adalah wajar diskaun kepada bumiputera untuk pemilikan hartanah ini tidak dikekalkan kerana ia melibatkan nilai yang tinggi.

''Maknanya, bumiputera perlu berdikari dalam soal pemilikan hartanah berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Tony, pemansuhan diskaun itu mampu memberi kesan positif kepada ekonomi Selangor kerana selain mewujudkan nilai hartanah yang stabil ia juga menjadikan pasaran lebih adil.

Beliau berkata, sekiranya projek pembangunan hartanah itu melibatkan penglibatan kerajaan negeri, pemansuhan diskaun memberi keuntungan kepada kerajaan negeri berdasarkan nilai pasaran semasa dan hasilnya boleh disalurkan membantu pihak lebih memerlukan.

Bagaimanapun, katanya, cadangan tersebut hanya melibatkan nilai hartanah melebihi RM500,000 ke atas.

Tony yang juga Penasihat Ekonomi kepada Setiausaha Agung DAP turut mengkritik pelaksanaan diskaun itu yang disifatkannya tidak adil kerana mungkin digunakan oleh pihak tertentu untuk mengaut keuntungan.

''Diskaun sebanyak tujuh peratus itu membolehkan pihak tertentu khususnya orang tengah mendapatkan hartanah dengan harga rendah kemudian dijual pada harga lebih tinggi,'' katanya.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan negeri mengkaji semula pemberian tanah kepada anak syarikatnya yang dilihat tidak membantu dalam pembangunan hartanah di Selangor.

Menurutnya, kerajaan negeri didapati mempunyai kira-kira 50 hingga 80 anak syarikat yang kesemuanya terlibat dengan pembangunan hartanah di negeri ini.

''Keadaan ini menunjukkan kerajaan negeri memberi subsidi kepada banyak anak syarikat untuk mendapatkan tanah yang murah bagi menjalankan pembangunan berkenaan.

''Keadaan ini tidak akan menjadikan sektor hartanah di Selangor kompetitif," katanya.

APABILA GURU SUDAH BOLEH BERPOLITIK

KUALA LUMPUR: Bermula 1 Ogos ini, pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 akan dibenarkan melibatkan diri dalam politik, demikian diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Menurut Mohd Sidek, langkah itu berlandaskan hakikat bahawa guru suatu masa dahulu memain peranan penting dalam memimpin masyarakat dalam senario politik negara.

"Masanya sudah tiba mereka dibenar aktif semula dalam politik," katanya dalam satu kenyataan, Selasa.

Bagi tujuan itu, beliau berkata pindaan Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Tindakan sedang diambil untuk mewartakawan pindaan peraturan tersebut, tambahnya.

Sebelum ini, Peraturan 21(2) peraturan tersebut menetapkan hanya pegawai dalam Kumpulan Sokongan boleh bertanding atau memegang jawatan atau dilantik ke dalam apa-apa jawatan dalam suatu parti politik dengan syarat terlebih dahulu mendapat kelulusan bertulis Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Ketua Setiausaha kementerian berkenaan.

Di bawah peraturan baru ini, pegawai pendidikan, selain pengetua atau guru besar di institusi pendidikan dan pegawai yang memegang apa-apa jawatan pentadbiran dalam mana-mana agensi kerajaan, perlu mendapat kebenaran bertulis daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran terlebih dahulu.

"Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran tidak boleh mewakilkan kuasanya untuk memberikan kelulusan bertulis itu kepada mana-mana orang lain dan apa-apa keputusan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran adalah muktamad," kata Mohd Sidek.

Beliau berkata syarat-syarat ketat akan dikenakan agar tugas dan fokus utama golongan itu iaitu mendidik tidak terjejas dengan penglibatan mereka dalam politik.

Katanya mereka yang dibenarkan terlibat dalam politik kelak hendaklah mematuhi sepenuhnya Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, termasuk batasan tugas mereka sebagai pegawai perkhidmatan pendidikan dengan aktiviti dalam politik. - BERNAMA