Khamis, 4 Ogos 2011

Menghayati Sejarah Perjuangan Bangsa

Hakikat Sejarah : Orang Melayu perlu memahami sejarahnya sendiri. Tanpa memahami sejarahnya, mereka tidak mungkin dapat membina jati diri yang teguh dan tidak berupaya pula mempertahankan pelbagai kepentingannya demi menjamin masa depan anak cucu Melayu akan datang.

Orang Melayu perlu memahami sejarah yang dilalui oleh bangsanya sendiri. Jika tidak, orang lain akan memesongkan sejarah Tanah Melayu bagi mengelirukan orang Melayu sendiri. Kita perlu memahami sejarah bangsa kerana nasib dan jati diri sesuatu bangsa sesungguhnya dapat diteliti menerusi pengalaman sejarahnya.

Bangsa yang tidak mengenal sejarahnya akan bernasib malang kerana bangsa itu berkemungkinan akan mengulangi kesilapan dan tragedi lampau yang telah menimpa bangsanya. Jati diri sesuatu bangsa yang tidak menginsafi sejarahnya akhirnya hanya akan tersimpan di arkib dan muzium bangsa lain.

Jika sekarang ini, ketuanan Melayu tidak dapat dipertahankan di Malaysia, maka sudah pastilah orang Melayu akan tersisih semula daripada tanahairnya sendiri - sama seperti yang dihadapi oleh Kerajaan Melayu Melaka kira-kira 500 tahun yang lampau.

Sejak 500 tahun lalu, terlalu banyak pihak yang ingin menguasai negeri ini dan yang ingin menghancurkan ketuanan Melayu.

Orang Melayu telah berada di Alam Melayu sejak dalam zaman prasejarah lagi. Tetapi terdapat pihak yang mengatakan orang Melayu di Malaysia merupakan golongan pendatang , sama seperti orang Cina dan India.

Pengetahuan dan penghayatan terhadap sejarah bangsa akan mengajar kita sepaya tidak mudah lupa kepada liku-liku perjuangan bangsa sendiri. Kejayaan bangsa tidak terhasil dengan sendirinya. Kejayaan terhasil kerana tekad, perpaduan dan kepintaran dalam menghadapi pelbagai cabaran perjuangan.

Kamaruddin M. Said, '500 Tahun Melayu Menghadapi Cabaran', KRIS Publications, 2004.

0 ulasan: