Isnin, 22 Ogos 2011

KENAPA UMNO MEMUSUHI PERKASA

Saya ini memberikan respon kepada persoalan yang dibangkitkan oleh Aida Mazura Mohd Noor dalam Geng2 PERKASA seM'sia (Facebook).

"Masih menjadi tanda tanya, kenapa UMNO tidak boleh terima PERKASA?"

Persoalan yang diutarakan ini seringkali dibangkitkan oleh ahli-ahli PERKASA dalam forum-forum PERKASA. Selaku pimpinan PERKASA Negeri Johor, saya mengambil kesempatan ini untuk menyatakan pandangan saya terhadap perkara ini.

Jawapan awal saya terhadap persoalan ini adalah; Bagaimana mungkin UMNO boleh 'mesra' dengan PERKASA jika PERKASA terus menerus menghentam UMNO, mencerca dan menghina pemimpin-pemimpin UMNO. Walaupun kebanyakan ahli PERKASA adalah juga ahli UMNO, mereka ini menghentam UMNO sama seperti mereka memerangi musuh-musuh Melayu sedangkan UMNO adalah parti politik Melayu yang terbesar yang merupakan teras kepada pemerintah.

Malahan terdapat sesetengah ahli dan pemimpin PERKASA menjadikan PERKASA sebagai alat untuk melaksanakan tujuan dan cita-cita politik peribadi. PERKASA seolah-olah ditubuhkan untuk menghimpunkan mereka yang kecewa dalam UMNO termasuk yang telah kalah dalam pertandingan merebut jawatan-jawatan tertentu dalam UMNO. Berdasarkan fakta ini, Maka sudah tentulah kecurigaan UMNO dan para pemimpinnya terhadap PERKASA mempunyai asasnya.

Bagi saya, PERKASA adalah wadah dan peluang terakhir untuk menyatukan perjuangan orang-orang Melayu yang telah terpisah-pisah kerana fahaman politik yang berbeza.

PERKASA tidak harus menjadi 'alat' kepada sesiapa mahupun mana-mana parti politik Melayu samada UMNO mahupun PAS. PERKASA harus menjadi PERKASA dengan perjuangan yang berlandaskan 6 matlamat utamanya.

Sebaliknya, memandangkan PERKASA hanyalah NGO yang lebih kepada kumpulan pendesak dan bukan merupakan parti politik, maka untuk mencapai tujuan dan matlamat politik PERKASA, PERKASA pula yang seharusnya menjadikan parti-parti Melayu sebagai 'alat' untuk mencapai 6 matlamat perjuangan PERKASA.

Justeru, sebenarnya tidak timbul isu UMNO memperalatkan PERKASA @ PERKASA adalah NGO ciptaan UMNO. Memang benar PERKASA lebih mesra kepada UMNO. Ini adalah disebabkan pendirian PERKASA yang mengambil sikap berbaik-baik dengan pihak Pemerintah. Dan pendekatan yang diambil oleh kepimpinan PERKASA ini sesungguhnya adalah amat bertepatan dan selari pula dengan tuntutan ajaran agama Islam yang diperjuangkan oleh PERKASA.

Berkeras dan menentang golongan pemerintah secara berdepan dan terbuka boleh dimasukkan ke dalam kategori khuruj (keluar menentang pemerintah) yang mana ianya dilarang oleh Rasulullah s.a.w. dalam banyak hadith-hadith shahih.

Salah satunya sepertimana disebut didalam riwayat bahawa Said bin Jahman r.a. berkata:

“Aku datang kepada Abdullah bin Abu Aufa, matanya buta, aku mengucapkan salam." Beliau bertanya kepadaku: "Siapa engkau?" "Said bin Jahman, jawabku." Beliau bertanya: "Kenapa dengan ayahmu?" Aku katakan: "Al-Azariqah telah membunuhnya." Beliau berkata: "Semoga Allah melaknat Al-Azriqah, semoga Allah melaknat Al-Azriqah. Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam mengatakan bahawa mereka anjing-anjing neraka."

Aku bertanya: "(Yang dilaknat sebagai anjing-anjing neraka) Al-Azriqah sahaja atau Khawarij semuanya?" "Beliau menjawab: Ya! Khawarij semuanya." Aku katakan: "Tetapi sesungguhnya pemerintah telah berbuat kezaliman kepada rakyatnya?"

Maka beliau mengambil tanganku dan memegang dengan sangat kuat, kemudian berkata: "Celaka engkau wahai Ibnu Jahman! Wajib atasmu berpegang dengan sawadul a'zham, wajib atasmu untuk berpegang dengan sawadul a'zham.

"Jika kau ingin pemerintah mahu mendengar nasihatmu, maka datangilah dan khabarkan apa yang engkau ketahui. Itu kalau dia menerima, kalau tidak, tinggalkan! Sesungguhnya engkau tidak lebih tahu darinya." [Hadith Riwayat Ahmad, shahih]

Bersikap keras dan penentangan secara terbuka terhadap Pemerintah juga tidak akan mendapat sebarang pahala kebaikan sepertimana yang telah dinyatakan Abu Ishaq al-Sabi’i r.h. daripada pembesar ulama Tabiin berkata:

“Tidak ada suatu kaum yang mencerca pemimpin mereka melainkan (mereka) akan terhalang daripada mendapat kebaikannya”. [al-Tamhid, Ibn Abdil Barr, al-Fitan, Abu Amru al-Dani]

Walaupun Islam memang mewajibkan rakyat menegur pemerintah yang zalim walaupun kepada firaun sekalipun, nasihat kepada pemerintah itu hendaklah dilakukan dengan bahasa yang paling baik dan paling lunak serta dalam keadaan yang terhormat serta haram mencela dan mengaibkan pemimpin di hadapan khalayak ramai berdasarkan firman Allah s.w.t: Surah Taha: 43-44:

“Pergilah kamu berdua kepada Firaun, Sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. “Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut”.

Bukan sahaja bersikap keras dan menentang pemerintah itu bertentangan dengan firman ALLAH, tetapi ia juga menentang apa yang telah diseru oleh Nabi kita Muhammad s.a.w.

Sabda Nabi s.a.w:

“Sesiapa yang hendak menasihati pemimpin akan sesuatu urusan maka janganlah dia melakukannya terang-terangan tetapi peganglah tangannya dan bersendirianlah dengannya (lalu nasihatlah), jika dia (pemimpin) menerimanya maka demikianlah yang dikehendaki, jika tidak maka dia telah melaksanakan tanggungjawabnya”. [Hadith Riwayat Ahmad, shahih]

Berbalik kepada persoalan kenapa UMNO bersikap dingin dan seperti memusuhi PERKASA, maka kita sebagai ahli dan pemimpin PERKASA haruslah bermuhasabah diri kita sendiri; adakah selama ini pendekatan perjuangan kita itu selari dengan firman Allah SWT dan seruan Rasulullah SAW seperti yg dikemukakan seperti di atas ?

UMNO adalah teras kepada Kerajaan atau pun Pemerintah yang perlu kita dekati secara lemah-lembut dan berhemah sepertimana firman Allah SWT dan seruan Rasulullah SAW. Maka, jika kita sendiri mahupun PERKASA sendiri, yang mendakwa berjuang untuk memperkasakan Islam, tetapi terus menggunakan pendekatan perjuangan yang sesungguhnya tidak Islamik; menghentam, membentak, mencerca, menghina, mengaib dan memperlekehkan UMNO dan para pemimpinnya iaitu Parti Pemerintah yang juga sama bangsa dan agama dengan kita, maka jangan disalahkan pula UMNO sekiranya UMNO mengambil sikap dingin malah memusuhi pertubuhan kita PERKASA.

Sebagai salah seorang pemimpin PERKASA di peringkat Negeri dan Daerah, saya ingin menyeru kepada semua ahli dan kepimpinan PERKASA di semua peringkat agar bermuhasabah diri, memperbetulkan semula niat, keikhlasan dan pendekatan perjuangan kita melalui pertubuhan PERKASA.

PERKASA bukan ditubuhkan untuk memusuhi sesiapa mahupun mana-mana NGO dan parti politik. PERKASA juga bukan ditubuhkan untuk menjadi alat untuk mempopularkan mana-mana individu mahu pun pemimpin.

Sebaliknya, PERKASA ditubuhkan adalah atas kesedaran untuk menyatukan perjuangan seluruh ummat Melayu bagi menjaga dan mempertahankan kepentingan orang Melayu seperti yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perjuangan PERKASA ini tidak akan berjaya sekiranya PERKASA mengambil pendekatan bermusuh dengan mana-mana pihak. Perjuangan PERKASA hanya akan berjaya apabila mendapat sokongan dari semua pihak. Sokongan dari semua pihak akan hanya diperolehi sekiranya PERKASA mengambil pendekatan berbaik-baik dengan semua pihak terutamanya golongan Pemerintah iaitu UMNO.

Sikap berbaik-baik bukan bermakna PERKASA perlu tunduk kepada kehendak-kehendak yang bertentangan dengan kepentingan ummat Melayu. Sikap berbaik-baik beerti PERKASA menggunakan kaedah yang berlemah-lembut dan berhemah dalam menyatakan pendiriannya samada menyokong atau menolak akan sesuatu tindakan dan dasar-dasar yang diambil oleh Pemerintah yang menyentuh kepentingan ummat Melayu.

Jika pendekatan ini berjaya kita laksanakan disemua peringkat, insyaAllah, tiada lagi sebab kenapa UMNO perlu bersikap dingin atau memusuhi PERKASA.

Hj Shukri Bin Hj Suratman
Naib Yang Dipertua 2,
Pertubuhan Pribumi Perkasa
Negeri Johor.

0 ulasan: