Sabtu, 30 Julai 2011

AUTAR TONY PUA - Penjelasan KEMENTAH

Dua isu pemilikan aset pertahanan negara telah dipolitikkan oleh Pakatan Pembangkang. Pelbagai fakta rekaan dan penuh imaginasi kotor berbentuk fitnah telah dicipta semata mata mahu meraih keuntungan politik murahan oleh parti-parti yang terdesak untuk menutupi pelbagai kelemahan dan masalah yang melanda mereka terutamanya isu kebobrokan moral pemimpin utamanya dan lebih menggoyahkan adalah kegagalan melaksanakan janji-janji pilihanraya ke 12 yang semakin disedari dan dituntut oleh penyokong dan pengundi mereka sendiri.

Read more: http://www.pisau.net/2011/07/penerangan-kementahsukhoi-su30mkm-dan.html#ixzz1TYrZ7L36

Bagi sebuah negara yang telah mengalami kemajuan yang memberangsangkan serta permodenan sistem pentadbiran awam seperti Malaysia, prosedur pembelian sesuatu aset apatah lagi aset yang penting lagi strategik seperti aset pertahanan negara, ianya bukanlah semudah seperti kita menempah dan membeli sebuah set enjin bot nelayan atau sebuah kereta pacuan empat roda. Malah sebenarnya, untuk membeli sebatang penyapu pun mempunyai prosedur yang telah ditetapkan serta akan diaudit oleh pihak yang telah diberikan tanggungjawab dalam pentadbiran Kerajaan. Begitulah cekap dan sistematiknya sistem dan prosedur yang wujud dalam pentadbiran kerajaan melangkaui pemikiran kolot penuh prejudis pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat yang kemarukkan kuasa.

Penjelasan oleh KEMENTAH seperti ini sepatutnya dibuat sejak isu ini mula dibangkitkan lagi. Sekiranya ianya dianggap rahsia, maka sudah sewajarnya akta-akta tertentu digunakan bagi mengawal pihak tidak bertanggungjawab dari mengambil kesempatan bagi menghasut rakyat serta mengelirukan pemikiran mereka.

Isu keselamatan seperti ini bukanlah suatu isu yang boleh dibincangkan secara terbuka sehingga menimbulkan polemik dan perasaan bencikan kerajaan yang kononya penuh dengan rasuah padahal yang sebenarnya Kerajaan sedang mempersiapkan kelengkapan ketenteraan bagi melindungi rakyatnya sendiri yang mana ini adalah tanggungjawab hakiki bagi sesebuah Kerajaan sejak dahulu lagi.

Semoga semua ini akan menjadi pengajaran kepada pihak Kerajaan agar segera bertindak mengikut peruntukan undang-undang bagi menangani apa sahaja kegiatan oleh mana-mana pihak juga yang jelas boleh menggugat keselamatan negara.
.................................................

Kementerian Pertahanan hari ini ingin memberi penjelasan berhubung kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu tentang perolehan pesawat Sukhoi SU30MKM dan kapal selam Scorpene oleh Angkatan Tentera Malaysia.

Kementerian Pertahanan mendapati bahawa kenyataan-kenyataan yang dibuat terutama oleh parti-parti politik tertentu mengenai perolehan kelengkapan tersebut sejak akhir-akhir ini telah menimbulkan banyak kekeliruan dan salah faham di dalam masyarakat.

Selain itu, ia juga menimbulkan persepsi negatif dan prasangka bahawa perolehan kelengkapan untuk keperluan Angkatan Tentera Malaysia telah dilaksanakan tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan, tidak telus dan membazir.

Di sini, pihak Kementerian ingin memaklumkan bahawa semua rundingan perolehan adalah dijalankan mengikut Tatacara Perlaksanaan Kontrak-Kontrak Perolehan Peralatan Pertahanan Negara oleh pegawai-pegawai kerajaan. Ia melibatkan pelbagai peringkat kelulusan termasuk Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Rundingan Harga setelah penilaian-penilaian yang teliti dibuat demi memastikan perolehan tersebut menepati keperluan Angkatan Tentera Malaysia.

Selain itu, rujukan juga dibuat kepada pihak Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan kelulusan ke atas klausa-klausa kontrak tersebut. Semua terma-terma dan kelulusan untuk rundingan terus dikemukakan kepada Kementerian Kewangan dan kontrak hanya akan ditandatangani selepas kelulusan Kementerian Kewangan diperolehi.

Berhubung dengan perolehan kapal selam Scorpene, Kementerian Pertahanan ingin menegaskan bahawa dakwaan kononnya kerajaan telah membayar komisen sebanyak RM540 juta kepada Encik Abd Razak Baginda merupakan satu tuduhan yang tidak berasas sama sekali.

Kementerian juga ingin menegaskan bahawa dalam soal perolehan kapal selam Scorpene, TIDAK ADA sebarang komisen yang dibayar kepada syarikat Perimekar Sdn. Bhd. seperti yang didakwa. Ini kerana perolehan kapal selam telah dibuat secara rundingan terus – selaras dengan tatacara perolehan kerajaan – dengan syarikat pembuat iaitu ARMARIS (Perancis) dan NAVANTIA (Sepanyol) yang telah mendapat persetujuan kerajaan masing-masing.

Sebaliknya, syarikat Perimekar Sdn. Bhd. yang didakwa menerima komisen, sebenarnya diberikan kontrak menyediakan perkhidmatan sokongan dan koordinasi untuk tempoh selama enam tahun. Nilai kontrak tersebut adalah sebanyak EURO 114.96 juta, yang dibayar secara berperingkat-peringkat mengikut kemajuan pelaksanaan projek.

Perimekar Sdn Bhd dimiliki bersama oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Boustead Holdings Berhad dan K.S.Ombak Laut Sdn. Bhd.

Skop kerja perkhidmatan sokongan adalah seperti berikut:

1. Menyediakan kemudahan kediaman beserta kelengkapan untuk tim projek bagi 27 keluarga di Perancis dan Sepanyol untuk tempoh enam tahun.

2. Menyediakan pejabat urusan dan kediaman beserta kelengkapan bagi krew kapal selam TLDM seramai 156 orang untuk tempoh empat tahun di Perancis dan Sepanyol.

3. Menyediakan insurans kesihatan bagi anggota serta keluarga tim projek dan krew kapal selam di Perancis dan Sepanyol

4. Membayar elaun harian dan elaun krew kapal selam sebanyak EURO 50 sehari seorang untuk tiga tahun pertama dan EURO 60 sehari seorang untuk tiga tahun kedua.

5. Membiayai kos penerbangan pergi dan balik bagi setiap krew kapal selam untuk balik bercuti ke Malaysia pada setiap 4 bulan (tiga kali setahun).

6. Lain-lain keperluan tim projek dan krew kapal selam di Perancis dan Sepanyol

Perkhidmatan koordinasi pula melibatkan:

1. Bertanggungjawab memastikan penyertaan syarikat Malaysia dalam pembinaan dan membantu syarikat-syarikat Malaysia yang berpotensi untuk menyertai program off-set.

2. Membantu kontraktor utama dalam memberi maklumat tentang prosedur kerajaan berhubung perlaksanaan kontrak.

3. Menyelaras latihan krew kapal selam antara kontraktor dengan kerajaan.

4. Menyediakan laporan koordinasi setiap enam bulan.

Jumlah kontrak EURO 114.96 juta bukanlah merupakan keuntungan bersih milik syarikat Perimekar Sdn Bhd., sebaliknya jumlah ini adalah meliputi segala pembayaran kos langsung bagi skop perkhidmatan sokongan dan tanggungan ke atas kos tidak langsung bagi perkhidmatan koordinasi seperti yang ditetapkan dalam kontrak tersebut.

Kementerian Pertahanan membuat keputusan untuk melantik sebuah syarikat tempatan bagi menyediakan perkhidmatan sokongan dan koordinasi kerana kaedah tersebut dianggap lebih sesuai dan berkesan. Ia juga bagi tujuan melicinkan kerja-kerja Tim Projek membuat pemantauan ke atas pembinaan dan latihan krew kapal selam di Perancis dan Sepanyol.

Selain itu, segala perbelanjaan untuk projek kapal selam ini dapat dikawal dan dijadualkan manakala perbelanjaan di luar jangka (cost over-run) dapat dielakkan memandangkan pelaksanaan projek perolehan kapal selam memakan tempoh masa yang panjang iaitu selama enam tahun serta melibatkan bilangan anggota yang ramai.

Berdasarkan kepada keperluan tersebut, maka syarikat Perimekar Sdn. Bhd. telah dilantik untuk menyediakan perkhidmatan yang diperlukan mengikut skop kerja yang ditetapkan.

Tentang perolehan pesawat Sukhoi SU30MKM pula, Kementerian Pertahanan ingin menyatakan bahawa perolehan adalah dibuat secara rundingan terus dengan Rosoboronexport, syarikat milik negara Russia.

Rundingan terus ini adalah selari dengan dasar negara Rusia dan negara-negara lain yang mempunyai polisi bagi mengawasi penjualan peralatan ketenteraan keluaran syarikat negara masing-masing agar tidak terlepas kepada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Berdasarkan senario tersebut, semua kontrak-kontrak perolehan peralatan pertahanan ditandatangani oleh wakil Kementerian Pertahanan bagi pihak Kerajaan Malaysia dengan syarikat-syarikat Principal negara asing, termasuk dalam soal pembelian pesawat Sukhoi. Perolehan pesawat ini juga mematuhi Tatacara Perlaksanaan Kontrak-Kontrak Perolehan Peralatan Pertahanan Negara.

Dalam soal pembelian pesawat Sukhoi, syarikat Rosboronexport telah melantik sebuah syarikat tempatan untuk memudahkan urusan mereka di negara ini. Justeru, Kementerian ingin menegaskan bahawa sebarang urusan perniagaan antara Rosboronexport dan syarikat tempatan yang dilantik adalah merupakan urusan perniagaan biasa semata-mata dan sama sekali tidak melibatkan Kerajaan Malaysia.

Dengan penjelasan ini, maka Kementerian Pertahanan berharap agar semua pihak memahami keadaan sebenar dan tidak lagi mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mengelirukan dan boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Pertahanan dan Kerajaan Malaysia.


Cawangan Perhubungan Awam
Kementerian Pertahanan Malaysia
Kuala Lumpur

0 ulasan: