Jumaat, 10 September 2010

Selamat Hari Raya Aidil Fitri 1431H

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar Lailaha illallah Wallahu Akbar. Allahuakbar Walillahil Hamd.

Alhamdulillah, dipanjatkan kesyukuran kehadrat Allah swt. yang telah mengurniakan usia kepada kita untuk sekali lagi menyambut Syawal dan berhari raya bersama keluarga dalam suasana yang aman dan harmoni.

Semua yang kita nikmati ini adalah kurniaan Allah atas kegigihan kepimpinan negara dan pasukan keselamatan yang sentiasa gigih dan berdedikasi dalam mentadbir dan menjaga ketanteraman dan keselamatan negara.

Dengan bersyukur, Allah swt. telah berjanji bahawa Dia akan menambahkan lagi nikmat yang telah dikurniakan kepada hamba-hambaNya.

Berdasarkan perkembangan politik dan perhubungan kaum dalam negara yang seperti telur di hujung tanduk, tidak dapat dipastikan adakah nikmat berhari raya dalam suasana aman ini dapat kita kecapi lagi pada tahun-tahun yang akan datang.

Bersempena dengan bulan Syawal yang mulia ini, marilah kita semua ummat Islam merenungkan semula akan matlamat perjuangan kita selama ini. Tanyakan kepada hati kita sendiri, adakah fikiran, tulisan, tindakan dan tingkahlaku kita benar2 ikhlas untuk perjuangan Islam @ telah dipengaruhi oleh nafsu untuk menang sehingga kita sanggup membelakangkan matlamat perjuangan yang sebenar.

Ikhlaskan hati kita untuk mengatakan yang benar adalah benar walaupun kebenaran itu datang dari kumpulan yang bukan kumpulan kita.

Tabahkan jiwa kita untuk menegur dan menentang kebatilan lebih-lebih lagi jika ia datang dari kumpulan kita sendiri.

Bersangka baiklah kepada orang-orang Islam lebih dari bersangka baik kepada orang-orang kafir kerana mereka adalah saudara seagama dengan kita. Doa dan kiriman Al Fatehah dari Tun Mahathir dan Datuk Seri Najib boleh sampai kepada kita ketika berada di alam barzah manakala doa dan bertafakur sejenak oleh Lim Kit Siang, Karpal Singh dan Lim Guan Eng hanya sia-sia dan tiada berguna kepada kita.

Gunakanlah akal dan fikiran dalam mencerap setiap pandangan pemimpin. Ingat, yang maksum hanya Nabi, bukan pewarisnya. Teliti kata dan ucapannya hari ini, semalam, esok dan tahun-tahun yang lalu. Samakah atau sering berubah-ubah.

Jika dahulu mengatakan bergabung dengan kafir haram dan turut kafir bersama, adakah hari ini masih difatwakan haram atau telah menjadi halal kerana mereka turut melakukannya.

Jika dahulu ingin melaksanakan Hudud jika berjaya menang, adakah masih lagi menganggap Hudud itu penting atau hanya 0.00009 % hanya kerana untuk menarik undi kafir.

Jika dahulu anak yang mumaiyis dilarang berada satu saf sembahyang bersama bapanya mengapa hari ini kafir harbi diberi peluang malah digalakkan bertazkirah diruang solat utama masjid-masjid dan surau.

Matlamat tidak pernah menghalalkan cara. Allah tidak menilai menang atau kalah, berjaya atau gagalnya kita dalam perjuangan sebaliknya Allah menilai keikhlasan kita memperjuangkan agamaNya.

Kemewahan dunia yang mudah diraih melalui kuasa sering melalaikan para pejuang Islam sehingga memesongkan kaedah perjuangan hanya kerana didorong oleh nafsu yang telah menjadi hamba kepada kemewahan.

Syawal memberikan kesempatan kepada kita untuk berpatah balik sekiranya telah terlajak. Hulurkan tangan pohon kemaafan. Kita bersatu mengukuhkan bangsa, bukan kerana nama bangsa itu Melayu. Tetapi sesungguhnya adalah kerana bangsa inilah yang telah terbukti dalam sejarah dan sehingga ke hari ini terus mendokong tugas memperjuangkan Islam di Tanah Melayu, Malaysia yang tercinta ini tanpa mengira apa pun fahaman politiknya.

Selamat Hari Raya. Maaf zahir dan batin dari hamba sekeluarga.

0 ulasan: