Isnin, 30 November 2009

PERTELAGAHAN MELAYU ISLAM : ULAMA' POLITIK & SESAMA ULAMA'



Utusan Malaysia - Tauhid tiga serangkai disyariat dalam Islam?

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN
---------------------------------------------------------------

MINGGU ini kita menyambung kembali persoalan tauhid tiga serangkai yang telah pun diberikan lontaran awal pada dua minggu lepas. Sebelum soalan pertama dilontarkan mengenai tauhid tiga serangkai atau tauhid tiga bahagian yang diformulasikan atau direka oleh Ibnu Taimiyyah ini,

sebaiknya kita melihat dahulu secara ringkas definisi yang diberikan kepada ketiga-tiga tauhid ini.

Tauhid rububiah didefinisikan dengan makna mengesakan Allah pada ciptaan, pemerintahan, takdir, pentadbiran dan perbuatan-Nya serta dalam memberikan suatu kesan.

Manakala tauhid uluhiah didefinisikan dengan makna mengesakan Allah dalam hal peribadatan tanpa mengambil seorang manusia pun bersama Allah sebagai sembahan.

Tauhid Asma' dan Sifat pula didefinisikan dengan makna mengesakan Allah pada apa yang dinamakan dan disifatkan dengan diri-Nya, sebagaimana yang terdapat di dalam kitab-Nya atau yang didapati daripada lidah nabi-Nya yang telah menetapkan dengan apa yang telah ditetapkan bagi diri-Nya.

Dalam membincangkan pembahagian ini, maka perkara utama yang perlu dipersoalkan dan bincangkan ialah adakah pembahagian ini telah dinaskan oleh syarak dan terdapat dalil-dalil yang menunjukkan ke atasnya? Adakah pembahagian ini merupakan perkara yang disyariatkan ataupun perkara baru yang dicipta (bidaah)?

Persoalan ini, mengandungi beberapa jawapan:

Jawapan Pertama

Ibnu Taimiyyah yang merupakan pereka pembahagian tauhid ini mendakwa dirinya bermazhab Hanbali.

Namun Imam Ahmad ibnu Hanbal r.a. sendiri, yang dikatakan menjadi tempat sandaran bagi orang-orang yang melakukan pembahagian tauhid bidaah ini, tidak pernah menyatakan bahawa tauhid itu mempunyai beberapa bahagian; tauhid rububiah, tauhid uluhiah dan tauhid asma' dan sifat.

Beliau juga tidak pernah menyatakan bahawa sesiapa yang tidak mengetahui tauhid uluhiah, tidak dikira makrifatnya tentang tauhid rububiah kerana tauhid rububiah ini telah diketahui oleh orang musyrikin.

Sesungguhnya akidah Imam Ahmad ibn Hanbal r.a telah disusun di dalam kitab-kitab karangan pengikutnya. Misalnya, di dalam kitab biografinya yang ditulis oleh Ibnu Jauzi dan lain-lainnya, tidak terdapat langsung pembahagian tauhid rekaan ini. Maka dari manakah Ibnu Taimiyyah mengambil tauhid ini?

Jawapan Kedua

Tidak berkata walau seorang daripada Sahabat-sahabat Nabi r.a: "Sesungguhnya tauhid itu ialah tauhid rububiah dan tauhid uluhiah, dan sekiranya seseorang tidak mengetahui tentang tauhid uluhiah, maka tidak dikira makrifahnya tentang tauhid rububiyyah kerana tauhid rububiah ini telah diketahui oleh orang musyrikin".

Justeru, saya mencabar kepada setiap orang yang mempunyai ilmu yang mendalam, supaya menaqalkan kepada kami pembahagian yang diada-adakan ini daripada sahabat-sahabat Nabi r.a, sekalipun dengan mengemukakan satu riwayat yang lemah.

Jawapan Ketiga

Tidak terdapat dalam sunnah Nabi SAW yang luas dan menjadi penjelas kepada kitab Allah, sama ada dalam kitab-kitab hadis sahih, sunan-sunan, musnad-musnad dan mu'jam-mu'jam yang menyebut bahawa Nabi SAW pernah bersabda dan mengajar sahabat-sahabatnya, bahawa tauhid itu terbahagi kepada tauhid uluhiah dan juga rububiah yang telah diketahui oleh orang musyrik.

Sekiranya berkumpul jin dan manusia bersama-sama mereka untuk menetapkan bahawa pembahagian ini adalah datang daripada Nabi SAW dengan isnadnya, sekalipun dengan isnad yang lemah, nescaya mereka tidak akan mampu untuk mendatangkannya walaupun dengan satu jalan.

Jawapan Keempat

Telah tercatat dalam sunnah yang banyak, bahawa dalam dakwah Rasulullah SAW mengajak manusia kepada Allah, Baginda SAW menyeru mereka ke arah penyaksian kalimah syahadah: Tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah. Baginda SAW juga mengajak mereka meninggalkan penyembahan berhala.

Di antara hadis yang paling masyhur menyebut tentang perkara ini ialah hadis Muaz ibnu Jabal r.a. Ketika beliau diutuskan oleh Nabi SAW ke Yaman, Baginda SAW bersabda kepadanya: Serulah mereka kepada penyaksian "Bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah". Sekiranya mereka mentaatinya, maka hendaklah kamu khabarkan kepada mereka bahawa diwajibkan ke atas mereka solat lima waktu sehari semalam. (riwayat al-Bukhari dalam Sahihnya)

Diriwayatkan oleh pengarang kitab Sunan dan Ibnu Hibban, bahawa seorang Arab Badawi memberitahu Rasulullah SAW bahawa dia telah melihat anak bulan. Lantas Rasulullah SAW memerintahkan supaya berpuasa dan Baginda SAW tidak menyoalnya melainkan tentang pengakuannya terhadap kalimah syahadah. (diriwayatkan oleh Abu Daud, al Nasaei, al Tirmizi dan lain-lain)

Sekiranya tauhid itu terbahagi kepada tiga bahagian sebagaimana yang mereka perkatakan, maka sudah tentulah Nabi SAW menyeru sekelian manusia kepada tauhid uluhiah yang tidak mereka ketahui dan bukannya tauhid rububiah kerana mereka telah mengetahuinya.

Demikian juga, perlulah Baginda SAW bersabda kepada Muaz r.a, "Serulah mereka kepada tauhid uluhiah," dan Baginda SAW bertanya terlebih dahulu kepada orang Arab Badawi yang melihat anak bulan Ramadan, "Adakah kamu mengetahui tentang tauhid uluhiah dan perbezaan di antara tauhid ini dengan tauhid rububiah, dan adakah kamu mengetahui tauhid asma' dan sifat?"

Jawapan Kelima

Di dalam kitab Allah yang ternyata tidak dicemari dengan kebatilan, tidak membezakan di antara tauhid uluhiah dan tauhid rububiah.

Begitu juga tidak dikatakan kepada mereka: Sesiapa yang tidak mengetahui tauhid uluhiah tidak dikira imannya, bahkan dia adalah lebih kafir daripada Firaun dan Haman. Tetapi Allah SWT memerintahkan dengan kalimah tauhid secara mutlak sebagaimana firman Allah SWT kepada Nabi-Nya dalam surah Muhammad ayat 19: Ketahuilah, bahawasanya tiada Tuhan melainkan Allah. Begitu jugalah dengan keseluruhan ayat tauhid yang disebut di dalam al-Quran.

Sekiranya kamu kehendaki, maka bacalah surah al-Ikhlas yang menyamai sepertiga al-Quran. Adakah kamu mendapati di dalamnya ayat yang membezakan di antara uluhiah dan rububiah sebagaimana yang mereka sangkakan?

Jawapan Keenam

Melalui pembahagian yang direka ini, memberi kefahaman kepada kita, seolah-olah Allah masih belum lagi menyempurnakan agama-Nya. Kemudian, datang seseorang yang kononnya untuk menyempurnakan agama Allah yang masih lagi mempunyai kekurangan dan menjelaskan tentang tauhid dan pembahagiannya kepada manusia pada kurun ke-7 Hijrah.

Pada kurun ini, lahirnya pembahagian tauhid uluhiah, rububiah, asma' dan sifat yang dicetuskan oleh Ibnu Taimiyyah (661- 724 H). Seolah-olah semua umat tidak mengetahui tentang apa yang diperkenalkan oleh pemuka-pemuka pembahagian tauhid rekaan ini.

Selepas kita mengetahui jawapan daripada soalan pertama ini, yakinlah kita dengan sempurna bahawa tauhid ini tidak mempunyai sumber yang sah daripada al-Quran dan hadis.

Ia menunjukkan bahawa pembahagian ini hanyalah rekaan semata-mata. Persoalan kedua akan dikemukakan pada minggu hadapan, insya-Allah.

~ MataHati : Masyarakat Melayu Islam di Malaysia semakin berserabut. Pertelagahan Politik termasuk yang dibawa oleh 'Ulama' Politik' sehingga membawa perpecahan kepada Melayu Islam masih parah dan belum menunjukkan tanda-tanda akan reda. Usaha untuk menghubungkan kembali persaudaraan UMNO - PAS, dua parti terbesar bagi orang Melayu Islam di Malaysia masih terbantut oleh kerana dihalang oleh Ulama' Politik. Kecelaruan yang dibawa oleh Ulama' Politik ini malah lebih dasyat apabila sudah mula mengajarkan orang Islam berdoa untuk memusnahkan pemimpin negara, sesuatu yang bertentangan dengan apa yang diajarkan kepada kita selama ini tentang apa yang boleh dan tidak boleh kita memohonkan doa kepada Allah.

Kini timbul satu lagi kecelaruan, ulama bertelagah sesama sendiri sehingga ada yang menuduh 'sesat lagi menyesatkan' berdasarkan hujah yang mewakili kumpulan dan alirannya sahaja. Seolah-olah semua aliran selain dari aliran yang dianutinya sebagai sesat dan tidak Islam. Artikel di atas adalah tulisan dari satu kumpulan yang mewakili aliran tertentu itu. Berdasarkan isu dan pertelagahan semasa, saya rasa pembaca tentu mudah untuk meneka penulis artikel ini adalah dari aliran yang mana.

Dengan angkuhnya penulis artikel ini mencabar : "Justeru, saya mencabar kepada setiap orang yang mempunyai ilmu yang mendalam, supaya menaqalkan kepada kami pembahagian yang diada-adakan ini daripada sahabat-sahabat Nabi r.a, sekalipun dengan mengemukakan satu riwayat yang lemah." Cabarnya lagi : "Sekiranya berkumpul jin dan manusia bersama-sama mereka untuk menetapkan bahawa pembahagian ini adalah datang daripada Nabi SAW dengan isnadnya, sekalipun dengan isnad yang lemah, nescaya mereka tidak akan mampu untuk mendatangkannya walaupun dengan satu jalan."

Bagi saya, hujah-hujah yang diberikan penulis artikel ini sendiri berlawanan sesama sendiri dengan pegangan yang dianuti oleh aliran yang diwakili oleh penulis tersebut walaupun beliau tidak menyebut aliran mana yang dianutinya. Bukankan tauhid yang pertama dan kedua seperti yang disebutkan oleh penulis ini yang kita pelajari semasa di sekolah agama dahulu? Hanya kerana bermatlamat untuk menyerang pembawa aliran tauhid ketiga, kali ini, semuanya dikatakan bidaah.

Tetapi, soalan untuk penulis ini, benarkah aliran yang dianuti oleh penulis ini benar-benar bebas dari mengamalkan bidaah... walaupun bidaah hasanah?

Sebagai seorang Islam yang sememangnya dilahirkan sebagai seorang Islam, kecelaruan dan pertelingkahan di antara ulama ini benar-benar menimbulkan kekeliruan dan ketidaktenteraman jiwa apatah lagi bagi seorang Islam yang bukan sejak lahir menganut agama Islam. Allah memberi manusia akal dan fikiran untuk berfikir. Sudah tentu akan berlaku perbezaan dalam pandangan dan pemahaman setiap manusia terhadap sesuatu perkara. Bukankah Islam sudah menentukan adab dalam perbezaan pendapat. Adakah menuduh pendapat yang lain sebagai 'sesat lagi menyesatkan' itu bersesuaian dengan adab Islam.

Persoalannya, adakah kecelaruan ini benar-benar penting untuk dipertelagahkan pada ketika ini? Bukankah ketiga-tiga tauhid itu adalah ilmu untuk memudahkan manusia mengEsakan Allah? Kalau benar semuanya bidaah, APAKAH SYARAT UNTUK MENJADI ISLAM PERLU MENGIKUT SALAH SATU MAZHAB YANG EMPAT? Apa pun jawaban anda, bukankah itu Bidaah. Sekiranya saya menggabungkan dan mengikut keempat-empat mazhab, masihkah saya dikira sebagai seorang Islam?

~ Di Kota Tinggi, Johor, penggerak-penggerak masyarakat sudah 'diceramahkan' agar menganggap aliran yang ketiga sebagai 'sesat lagi menyesatkan'.

Bacaan Tambahan :

kuliah tauhid

0 ulasan: