Isnin, 25 Mei 2009

KENAPA PAK LAH BEBASKAN ANWAR?



Terdapat beberapa versi tentang mengapa Pak Lah bersetuju untuk membebaskan AnWar Ibrahim. Saya cuba meneliti setiap satu yang saya dengar dan cuba menghubungkaitkannya di antara satu sama lain.

Dari pelbagai cerita itu saya dapat menghubungkan cerita dari Ezam Mohd Nor, Bekas Setiausaha Politik Anwar Ibrahim & Ketua AMK yang telah mendakwa telah mengusahakan pertemuan Wan Azizah dengan Perdana Menteri Pak Lah bagi tujuan untuk mendapatkan belas kasihan dari Pak Lah agar membebaskan AnWar.

Satu lagi kisah yang dapat saya kaitkan adalah dari seorang Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang mengatakan berita pembebasan AnWar sampai ke telinganya ketika beliau sedang berkempen di rumah Sdra Ahmad Daud (Naib Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang) sempena pemilihan MKT UMNO pada ketika itu (beberapa tahun yang lalu).

Menurut beliau perkara itu (keputusan membebaskan AnWar) tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat MKT UMNO. Beliau yang tidak bersetuju dengan langkah yang telah diambil oleh Pak Lah selaku Perdana Menteri apa lagi tindakan Khairy Jamaluddin (KJ) yang menghantar passport ke rumah AnWar telah dengan spontan mengkritik Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO ketika berucap di rumah Sdra Ahmad Daud.

Berita beliau berucap mengkritik Presiden Parti telah sampai ke pengetahuan Pak Lah dan Pak Lah telah menelefon beliau sendiri dan meminta penjelasan mengapa beliau berbuat demikian. Akhirnya Pak Lah meminta beliau datang ke rumahnya pada malam itu juga untuk mendengarkan penjelasannya.

Dalam pertemuan tersebut, Pak Lah begitu marah dengan tindakan Ahli MKT tersebut. Tetapi, Ahli MKT tersebut telah memberikan penjelasannya dengan tegas mengapa beliau tidak bersetuju dengan tindakan Pak Lah dan KJ terhadap AnWar. Sehingga ke suatu peringkat, Ahli MKT ini telah berjanji akan menentang kepimpinan Pak Lah mulai hari tersebut kerana Pak Lah telah membuat suatu kesilapan yang besar kerana memutuskan sesuatu yang amat penting tanpa berbincang dahulu dengan MKT UMNO.

(Ketika perbincangan tersebut berlangsung, handphone Pak Lah telah berbunyi. Pak Lah telah mengambil handphonenya lalu membanting handphone tersebut hingga berderai sambil mendengus... sibuk saja... orang tengah berbincang....)

Setelah habis Ahli MKT tersebut berhujah, Pak Lah menceritakan bagaimana beliau telah menerima kunjungan Wan Azizah serta anak-anaknya. Wan Azizah serta anak-anaknya merayu sambil menangis meminta jasa baik Pak Lah agar segera membebaskan AnWar Ibrahim.

Pak Lah merasa begitu kasihan dengan keadaan yang menimpa Wan Azizah serta anak-anaknya. Pak Lah menceritakan bahawa beliau dapat merasakan kesengsaraan dan kesunyian yang dirasai oleh Wan Azizah dan anak-anaknya memandangkan pada ketika itu beliau juga sedang merindukan isterinya (Allahyarhamah Datin Seri Endun) yang pada ketika itu sedang menjalani rawatan kimoterapi di Amerika Syarikat.

Pak Lah meminta Ahli MKT tersebut memahami perasaan beliau ketika itu dan meminta agar Ahli MKT tersebut dapat menerima justifikasi mengapa beliau mengambil tindakan membebaskan AnWar. Menurut Pak Lah, sebenarnya beliau telah menelefon Peguam Negara untuk bertanya adakah jalan dari segi undang-undang yang membolehkan Kerajaan melepaskan AnWar buat beberapa ketika (dalam 3 bulan) untuk dibawa keluar negara bersama-sama keluarganya dan kemudian dimasukkan semula ke penjara. Namun Peguam Negara menjelaskan bahawa tiada peruntukan undang-undang yang membolehkan tindakan ini dilakukan oleh Kerajaan.

Inilah sebab yang akhirnya Pak Lah mengambil keputusan untuk membebaskan AnWar.

Sebagai mengenang budi Pak Lah, pada pandangan saya, sebab itu Anwar Ibrahim tidak pernah mencuit Pak Lah tetapi sebaliknya lebih menumpukan serangannya terhadap Datuk Seri Najib...

Wallahualam...

0 ulasan: