Selasa, 26 Mei 2009

CABARAN JENTERA PENERANGAN UMNO




Jentera penerangan UMNO diaktifkan kembali - Ahmad Maslan
============================================

Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada YB Ahmad Maslan, Ketua Penerangan UMNO Malaysia yang baru kerana telah dengan ikhlas dan berani mengakui kepincangan Jentera Penerangan Parti UMNO di semua peringkat parti dan saya percaya ketika ini tentunya beliau sedang menggerakkan semua Jentera Penerangan ini agar dapat bergerak sesuai dengan keperluan parti pada masa kini.

Perlantikan beliau bagi saya merupakan gambaran bahawa Jentera Penerangan UMNO memerlukan suatu anjakan paradigma yang baru sesuai dengan tuntutan dan cabaran yang sedang dihadapi oleh parti dalam berdepan dengan dakyah dan propaganda pembangkang yang semakin keterlaluan dan melangkaui batas berpolitik yang dibenarkan agama dan undang-undang negara.

Bersempena dengan perubahan kepimpinan dalam UMNO dan harapan ahli-ahli agar UMNO segera melakukan perubahan drastik sebelum menjelangnya PRU13, pendedahan yang telah disuarakan oleh Ketua Penerangan UMNO ini wajarlah diterima dengan hati yang terbuka oleh semua lapisan Jentera Penerangan Parti. Kesediaan menerima kritikan ini dan kesungguhan untuk turut serta memperbaiki kelancaran Jentera Penerangan Parti amat penting dalam menentukan nasib dan masa depan UMNO dalam menempuh ujian getir PRU13 nanti. Ini adalah bersandarkan hakikat bahawa Jentera Penerangan memainkan peranan yang paling penting dalam menghadapi serangan dan dakyah serta propaganda dan fitnah yang sentiasa dilakukan oleh parti pembangkang pada ketika ini. Sekiranya masih ada 'bunyi-bunyi' yang sumbang, saya percaya iltizam untuk melakukan perubahan dalam UMNO yang dibina dalam Perhimpunan Agung UMNO yang lalu akan hanya sekadar iltizam yang penuh dengan kepura-puraan.

Terdapat beberapa cabaran yang harus dihadapi dalam usaha menggerakkan Jentera Penerangan UMNO ini :

1. Kebanyakan Ketua Penerangan samada di peringkat cawangan mahupun bahagian UMNO dilantik bukan berdasarkan kelayakan dan kemampuan melaksanakan serta menerajui kerja-kerja penerangan di peringkat masing-masing tetapi sebaliknya perlantikan tersebut dibuat berdasarkan sokongan mereka terhadap Ketua samada Ketua Cawangan mahupun Ketua Bahagian. Perlantikan jawatan-jawatan 'Pegawai' biasanya merupakan suatu anugerah @ hadiah (reward)kerana sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Ketua khususnya.

Kesan perlantikan yang sebegini menyebabkan parti mendapat Ketua Penerangan yang tidak berkebolehan serta berkemampuan untuk melaksanakan kerja-kerja penerangan khususnya di dalam menghadapi serangan dari parti pembangkang. Sebaliknya, Ketua-ketua Penerangan yang dilantik ini hanya mempunyai kebolehan untuk mempertahankan Ketua yang melantiknya dari serangan musuh-musuh politik Ketua tersebut dari kalangan ahli parti sendiri. Ini yang telah berlaku sejak sekian lama tetapi tidak pernah didedahkan sebelum ini secara terbuka.

2. Memandangkan perlantikan Ketua Penerangan adalah berdasarkan 'reward' dan bukan berdasarkan kepada kemampuan dan kebolehan, maka kebanyakan Ketua Penerangan adalah terdiri dari generasi lama UMNO yang buta internet dan media-media baru. Tidak dinafikan terdapat juga generasi lama UMNO yang yang celik internet tetapi sebahagian besarnya masih buta internet dan masih tidak mahu mengakui bahawa internet dan 'Media Baru' mempunyai pengaruh yang begitu besar yang boleh dieksploitasi dengan berkesan oleh Jentera Penerangan Parti dalam memenangi hati dan sokongan generasi muda dan pengundi-pengundi baru.

Justeru itu, dan mengambil kira keadaan UMNO pada ketika ini saya mencadangkan agar :

1. Jentera Penerangan Parti sewajarnya segera dilatih semula agar lebih bersedia menghadapi serangan dari pembangkang.

2. Unit IT Jentera Penerangan harus diperbesarkan serta dipelbagaikan bagi memaksimumkan keberkesanannya sesuai dengan kecanggihan teknologi terkini.

3. Segera ditubuhkan sebuah jawatankuasa pemandu yang terdiri dari pakar-pakar komunikasi seperti pensyarah-pensyarah universiti bagi memberikan panduan kaedah dan program yang sesuai digunakan oleh Jentera Penerangan Parti.

4. Dibentuk suatu pusat yang menyediakan info dan maklumat yang mudah diperolehi sebagai bahan kepada para bloggers pro kerajaan menulis bagi mempertahankan parti.

5. Dibentuk kumpulan pakar propaganda yang mampu menganalisis setiap isu seterusnya mencadangkan bagaimana Jentera Penerangan Parti dapat bertindak menangani isu-isu tersebut.

Akhir sekali, matlamat akhir usaha ini haruslah ke arah memastikan bahawa semua ahli UMNO haruslah mampu untuk bertindak sebagai Jentera Penerangan kepada Parti. Sekiranya semua ahli UMNO mempunyai pengetahuan yang baik terhadap dasar-dasar perjuangan parti serta mampu juga membuat perbandingan dengan dasar-dasar parti pembangkang yang sering tidak konsisten, saya percaya UMNO tidak akan menghadapi masalah dalam menghadapi serangan dari parti pembangkang.

~MataHati adalah bekas Setiausaha Kerja Biro Penerangan UMNO Negeri Johor ketika zaman Mata Lebam dan Pilihanraya Umum 1999.

0 ulasan: