Jumaat, 6 Februari 2009

KEBIJAKSANAAN SEORANG RAJA VS KEDERHAKAAN SEORANG MB

(SULTAN Azlan Shah dan Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah menerima menghadap Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelapang, Hee Yit Foong di Istana Kinta, Ipoh, semalam berikutan tindakannya keluar daripada DAP dan memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN). Baginda turut menerima menghadap tiga lagi ADUN Pakatan Rakyat yang keluar daripada parti masing-masing dan memberi sokongan kepada BN. Terdahulu, Sultan Azlan Shah menerima menghadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak yang juga Pengerusi BN Perak bagi mendapatkan perkenan baginda untuk BN mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri. – BERNAMA)

BERIKUT ialah kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Duli Yang Maha Mulia Paduka Sultan Perak Sultan Azlan Shah yang ditandatangani oleh Setiausaha Sulit Baginda, YDH Toh Raja Diraja Kol. Datuk Abd Rahim Mohamad Nor.

“Yang Amat Berhormat Datuk Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin telah menghadap Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan pada 4 Februari (semalam) memohon perkenan Baginda untuk membubarkan Dewan Negeri Perak.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib, Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang juga memohon menghadap Baginda atas kapasitinya sebagai Pengerusi Barisan Nasional Negeri Perak dan telah diberi perkenan menghadap Baginda pada pagi 5 Februari 2009.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib memaklumkan bahawa Barisan Nasional dan penyokong-penyokongnya kini yang terdiri daripada 31 orang ahli Dewan Negeri telah menguasai majoriti di kalangan ahli-ahli Dewan Negeri.

Atas titah Duli Yang Maha Mulia untuk memaklumkan Baginda bahawa maklumat yang dipersembahkan itu adalah tepat, kesemua 31 orang ahli Dewan Negeri tersebut telah dititah menghadap Paduka Seri Sultan.

Setelah menemui sendiri kesemua 31 ahli-ahli Dewan tersebut, DYMM Paduka Seri Sultan Perak telah yakin bahawa YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin telah berhenti daripada mendapat kepercayaan sebahagian besar (ceases to command the confidence of the majority) dari kalangan ahli-ahli Dewan Negeri.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak juga telah menimbangkan dengan sedalam-dalamnya permohonan YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin pada 4 Februari 2009 memohon perkenan Baginda untuk membubarkan Dewan Negeri Perak.

Baginda menggunakan budi bicara Baginda di bawah XVIII (2)(b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan dan tidak berkenan membubarkan Dewan Negeri Perak.

YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin telah dititah menghadap Baginda untuk dimaklumkan mengenai keputusan Baginda tidak membubarkan Dewan dan selaras dengan peruntukan XVI(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, DYMM Paduka Seri Sultan Perak menitahkan YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama-sama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) berkuat kuasa serta merta.

Sekiranya YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin tidak meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama ahli-ahli MMK, maka jawatan Menteri Besar serta ahli-ahli MMK tersebut dianggap telah dikosongkan.

Kenyataan ini dikeluarkan dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan.”
================================================

Nizar tidak pegang kepada janji

IPOH: Keengganan Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin patuh kepada titah Sultan Perak Sultan Azlan Shah supaya beliau serta barisan exconya meletak jawatan membuktikan beliau tidak berpegang pada kenyataannya semalam.

Mohammad Nizar semalam semasa ditemui pemberita mendakwa beliau tidak akan meragui sebarang keputusan yang dibuat oleh Sultan Perak Sultan Azlan Shah berhubung kedudukan kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) berikutan perkembangan terbaru politik di negeri itu.

Bagaimanapun pada sidang akhbar di kediaman rasminya di sini hari ini, Mohamad Nizar telah mengumumkan keengganannya melepaskan jawatan Menteri Besar kerana menganggap beliau masih menyandang jawatan itu secara sah mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Perak dan Perlembagaan Persekutuan.

Artikel XVI (6) Undang-undang Tubuh negeri menyatakan bahawa jika Menteri Besar tidak lagi mendapat kepercayaan daripada majoriti ahli Dewan Undangan Negeri, maka, kecuali atas titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan membubarkan Dewan negeri, beliau patut mengemukakan peletakan jawatan Ahli Majlis Mesyuarat.

Sementara Artikel XVI (7) Undang-undang Tubuh Negeri menyatakan bahawa berkait dengan klausa (6) seorang ahli Majlis Mesyuarat selain Menteri Besar boleh mengekalkan jawatan atas perkenan Paduka Seri Sultan tetapi mana-mana ahli Mesyuarat, boleh, pada bilabila masa, meletakkan jawatan.

Mohammad Nizar semalam turut berkata beliau yakin sebarang keputusan yang diperkenankan oleh Sultan Perak dalam menangani kemelut politik di negeri ini dibuat dengan adil dan akan "akur dan menerima sebarang keputusan yang diperkenankan Tuanku."

Hari ini beliau turut mendakwa Barisan Nasional (BN) tidak boleh menubuhkan kerajaan negeri di Perak kerana majoriti yang disebut oleh BN adalah tidak tepat kerana kedudukan tiga ADUN Pakatan Rakyat yang dianggap mereka telah meletakkan jawatan dan mengosongkan kerusi itu.

Ini berikutan keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) V.Sivakumar sebelum ini yang mengisytiharkan terdapat tiga kawasan DUN yang kosong dan telahpun memohon mahkamah untuk mengisytiharkan kekosongan itu berikutan dakwaan Sivakumar yang mengatakan beliau menerima surat peletakan jawatan daripada ketiga-tiga ADUN Behrang, Jelapang dan Changkat Jering.

Sultan Perak hari ini memutuskan untuk tidak memperkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), serta menitahkan supaya Mohammad Nizar dan barisan exconya meletak jawatan.

Baginda membuat keputusan itu setelah menemui kesemua 28 anggota dewan daripada Barisan Nasional dan juga tiga anggota Bebas di Istana Kinta di sini hari ini dan yakin bahawa Mohammad Nizar telah terhenti daripada mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada kalangan anggota dewan. BERNAMA
=============================================

Patik mohon derhaka – Nizar

Mohammad Nizar Jamaluddin enggan melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Perak dengan alasan masih menyandangnya secara sah mengikut Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.

“Saya dengan rendah hati mohon derhaka dengan berkata kepada baginda ’patik sebagai MB dan pemimpin kerajaan, mohon tidak letak jawatan’.

Akan meneruskan tugasnya seperti biasa dan akan masuk pejabatnya hari ini.

Kerajaan negeri bersama pemimpin kerajaan campuran pembangkang akan memohon untuk menghadap Sultan Azlan Shah untuk merayu agar Dewan Undangan Negeri dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan.
=============================================

MataHati~ Kesan didikan dari manusia yang tidak bermoral, kini anak buah mereka juga telah menunjukkan sikap dan tingkah laku tidak bermoral. Sila klik untuk melihat bukti kebiadapan mereka terhadap DYMM Paduka Seri Sultan Perak.

0 ulasan: