Khamis, 6 November 2008

TITAH SULTAN AZLAN SHAH



(Titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Azlan Muhibbuddin Shah di acara penyerahan memorandum oleh Gabungan Melayu Perak di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, semalam.)


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Bismillahi Rahmanir Rahim, BETA merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga di atas ikrar taat setia yang dilafazkan oleh rakyat Beta yang dikasihi sebentar tadi.

Kemerdekaan negara ini dicapai melalui perundingan dan persefahaman antara tiga pihak, Raja-Raja Melayu, Parti Perikatan dan Kerajaan Inggeris. Persekutuan Tanah Melayu yang mencapai kemerdekaan dalam tahun 1957 membentuk sistem berkerajaan dan bernegara berpayungkan Raja.

Semasa menerima Ijazah Doktor Persuratan dari Universiti Malaya pada 30 Jun 1979, Beta telah memperingatkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum, berbilang bangsa, berbilang agama, berbilang adat resam. Tetapi walau bagaimanapun, kita perlu ingat, dan jika tidak ingat, maka kita seharusnyalah diperingatkan, bahawa dalam negara yang semuanya berbilang kaum itu, mestilah ada suatu asas di mana kita mesti menumpukan perhatian kita. Dalam konteks ini, Malaysia telah wujud hasil dari cantuman tiga wilayah, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Persekutuan Tanah Melayu pula diasaskan atas tapak kesultanan Melayu Melaka... Perkataan 'Negeri-Negeri Melayu Bersekutu' dan 'Negeri Melayu Tidak Bersekutu' dan 'Persekutuan Tanah Melayu' masih wujud dalam undang-undang kita. Dengan lain perkataan, negara Malaysia adalah berteraskan kepada sejarah Melayu, evolusi politik Melayu, nasionalisme Melayu yang hidup subur dan kepulauan Melayu yang mempunyai sejarah kebudayaan Melayu. Faktor-faktor dan hakikat inilah yang melahirkan Negeri-negeri Melayu, Persekutuan Tanah Melayu dan akhirnya Malaysia.

Secara tersirat, pengekalan institusi Raja di negara ini adalah satu penerusan mengekalkan identiti sebuah kerajaan berpaksikan Melayu di tanah air warisan bangsa. Perlembagaan Merdeka digubal berlatar belakangkan senario kebangkitan semangat nasionalisme Melayu. Dalam luapan semangat menuntut kemerdekaan, orang Melayu bimbang akan kedudukan mereka dalam negara merdeka yang komposisi warga negaranya terdiri dari pelbagai kaum. Orang Melayu bimbang akan pencapaian taraf sosioekonomi mereka yang jauh ketinggalan secara perbandingan dengan kaum-kaum lain. Bahawa orang Melayu memerlukan jaminan - memerlukan pembelaan demi memastikan kedudukan mereka sebagai peribumi tidak terancam.

Kebimbangan orang-orang Melayu dijawab melalui jaminan perundangan dengan memaktubkan di dalam Perlembagaan Merdeka, klausa-klausa tertentu menyentuh agama Islam, Raja-Raja Melayu, adat istiadat Melayu, bahasa Melayu dan kedudukan istimewa orang-orang Melayu.

Sebarang pindaan Perlembagaan menyentuh Raja-Raja serta bidang kuasa Raja Pemerintah merangkumi agama Islam, bahasa kebangsaan, kedudukan orang- orang Melayu serta bumiputera di Sabah dan Sarawak perlu terlebih dahulu mendapat perkenan Raja-Raja. Institusi Raja berupaya memberikan keyakinan psikologi untuk melindungi kepentingan bangsa di samping melakukan keadilan kepada warga keseluruhannya. Institusi Raja berperanan sebagai lambang penyatuan dalam kepelbagaian.

Raja-Raja memahami bahawa Perlembagaan Merdeka juga memberi pengiktirafan dan perlindungan kepada warga pelbagai bangsa, agama, bahasa dan budaya. Persefahaman dan persetujuan yang telah termaktub dalam kontrak sosial berkenaan telah membolehkan negara mencapai kejayaan, kemajuan, keharmonian dan kestabilan. Negara aman dan warga hidup secara rukun dalam dimensi sosiopolitik yang mengiktiraf fakta dan hakikat sejarah.

Hari ini, jika berlaku kesilapan dan kegelinciran di peringkat pelaksanaan dasar tertentu, yang perlu diperbetulkan adalah mekanisme pelaksanaan. Dasar tunjang yang menjadi asas kepada pembinaan sebuah negara merdeka ini tidak harus disentuh, diuji dan dicabar sama sekali. Perbuatan demikian jika tidak dihentikan, dibimbangkan akan mengguris hati dan emosi orang- orang Melayu.

Oleh itu, warga dan rakyat yang Beta kasihi, hendaklah berfikiran secara rasional, tindakan-tindakan politik secara berlebihan dan keterlaluan hendaklah dihentikan segera. Kepentingan rakyat yang telah memilih kerajaan hendaklah diutamakan. Keamanan negara, kerukunan warga tidak harus dikorbankan kerana perebutan kuasa di kalangan pemimpin dan kumpulan tertentu.

Semoga negara dan warga terus diberikan perlindungan dari Allah Subhanahu Wataala dan barang dijauhkan negara dan bumi ini dari ditimpa sebarang musibah.

Wabillahi taufik, walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

0 ulasan: