Isnin, 25 Ogos 2008

Penduduk mahu Anwar bersumpah



BUTTERWORTH 24 Ogos - Rata- rata penduduk di Permatang Pauh mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mengangkat sumpah dengan cara mubahalah bagi membersihkan dirinya daripada tuduhan liwat.

Menurut mereka, walaupun kes itu telah dibawa ke mahkamah dan akan disebut semula bulan depan, sebagai seorang pemimpin, Anwar perlu membuktikan bahawa beliau adalah seorang yang bersih dan telus dalam setiap tindakan.

Seorang ahli perniagaan, Mohd. Shahriza Amir Shariffudin berkata, jika Anwar tidak terlibat dengan kegiatan tersebut, maka ia perlu dibuktikan dan cara terbaik ialah melalui mubahalah.

''Dalam Islam, untuk mengetepikan segala dakwaan adalah dengan mengangkat sumpah, maka beliau perlu lakukannya memandangkan beliau adalah calon yang bertanding pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, seorang pekerja swasta, Mohd. Huzaidi Mohd. Hussin pula berkata, sekiranya Anwar seorang yang telus dan ikhlas, beliau tidak akan rasa ragu-ragu untuk mengangkat sumpah.

''Kami mahukan mereka yang jujur sahaja menjadi pemimpin, jadi penduduk ingin melihat sama ada beliau seorang yang jujur atau tidak.

''Apa yang hendak ditakutkan, jika tidak bersalah, buktikan perkara itu kepada semua pihak.

''Jika beliau terus mendiamkan diri terhadap desakan bersumpah itu, maka ia akan mencetuskan pelbagai persoalan di kalangan penduduk terutama di kawasan Permatang Pauh," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Sarudin Musa yang merupakan seorang kontraktor pula berkata, saranan Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin supaya Anwar bermubahalah adalah satu cadangan yang jujur demi kebaikan semua pihak.

Katanya, kejujuran boleh dibuktikan dengan tindakan mengangkat sumpah dan semua penduduk Pulau Pinang sedang menunggu Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu melakukannya.

''Tunjukkan kejujuran, itu yang diingini penduduk Permatang Pauh," katanya.

Bagi seorang peniaga, Megat Mushahar Musa pula, penduduk Permatang Pauh mengharapkan seorang pemimpin yang jujur untuk membangunkan kawasan berkenaan.

''Harapan penduduk tidak boleh diabaikan, kami tidak mahu nanti akan berlaku lagi pilihan raya kecil kawasan ini sekiranya Anwar didapati bersalah oleh mahkamah," katanya.

Dalam pada itu, seorang peniaga buah-buahan, Mohd. Norizal Nordin, 27, berkata, tindakan Anwar yang enggan bersumpah itu akan menyebabkan pertikaman lidah antara pengikutnya dan penyokong Barisan Nasional (BN) setiap kali mereka bertembung di jalan raya.

Keadaan itu katanya, adalah menyedihkan kerana yang menjadi mangsa bukan kaum lain tetapi segelintir orang Melayu sendiri yang tidak mahu membuka mata dan menghadapi kenyataan bahawa Anwar bukan seperti digambarkan.

''Kalau dia tidak bersalah kenapa perlu takut untuk bersumpah, bila seseorang cuba tegakkan benang yang basah, yang menjadi mangsa bukan kaum lain tetapi orang Melayu di Permatang Pauh.

''Kenyataan sudah nampak, dia tidak perlu berselindung dan cuba memperbodoh-bodohkan penduduk Permatang Pauh," katanya.

Sementara itu, bagi seorang suri rumah, Zuraidah Ahmad, 52, Anwar tidak perlu terus berdolak-dalik untuk mengaburi pengundi Permatang Pauh dan cuba menegakkan perkara yang tidak betul.

Menurutnya, penduduk di kawasan berkenaan sudah jelak dengan perbuatan Anwar yang cuba mengelak daripada membuktikan beliau tidak bersalah melalui upacara sumpah mengikut Islam.

''Memang dia patut bersumpah. Kalau jujur dan ikhlas dengan pengundi Permatang Pauh, buktikanlah. Tidak perlu cakap sana sini untuk tegakkan kebenaran, bersumpah sahaja, jangan jadi pengecut," ujarnya yang menetap di Bagan Dalam.

Pendapat itu turut dipersetujui seorang penduduk Seberang Jaya, Mohd. Yusoff Bahar, 66, yang mahu Anwar bersumpah bagi meyakinkan rakyat bahawa beliau tidak melakukan perkara yang tidak senonoh itu.

''Jika Anwar mahu penduduk Permatang Pauh menyatakan kepercayaan kepada beliau, jadi bersumpahlah tetapi saya yakin dia sebenarnya sudah menggelabah, sudah berasa panas sangat sebab diselubungi rasa bersalah.

''Sebenarnya, Anwar tidak disukai penduduk di sini tetapi beliau kuat hanya kerana mendapat sokongan padu penyokongnya yang masih tidak mahu buka mata menghadapi kenyataan," katanya yang bekerja sendiri.

Seorang suri rumah, Siti Rohani Musa, 50, berkata, Anwar perlu menghentikan sandiwara yang berterusan bagi menggambarkan dirinya sebagai tidak pernah melakukan kesalahan.

''Berani kerana benar, kalau betul tidak bersalah kenapa takut, buktikanlah dengan bersumpah supaya rakyat yakin kepadanya, jangan hampakan mereka yang mempercayainya, jadi bersumpahlah, kami semua menunggu," jelasnya.

Bagi Mohd. Saad Abdullah, 70, adalah menjadi tanggungjawab Anwar menyangkal semua tuduhan dengan kaedah bersumpah.

''Jangan ingat kami sudah berusia dia boleh bodoh-bodohkan kami, kami hanya akan percaya dengan Anwar jika dia bersumpah.

''Tidak perlu beliau pusing sana pusing sini, sebagai orang Islam, lakukanlah apa yang patut supaya tidak terus menjadi tanda tanya, bersumpahlah Anwar," tegasnya.

0 ulasan: