Selasa, 26 Ogos 2008

‘Doa musnah sesama Islam’


‘Doa musnah sesama Islam’
PERMATANG PAUH 25 Ogos – Majlis solat munajat meminta kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Masjid Bandar Baru Perda malam semalam turut bergema dengan doa meminta ‘dimusnahkan’ Timbalan Perdana Menteri, Ketua Polis Negara, Peguam Negara dan pengadu kes liwat, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Doa yang dibacakan selepas solat Maghrib itu antara lain berbunyi: ‘‘Ya Allah... musnahkan Mohd. Saiful... (Tan Sri) Musa Hassan... (Tan Sri) Gani Patail... (Datuk Seri) Najib...”

Bacaan doa tersebut dipimpin oleh Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Badrul Amin yang bergema kuat melalui pembesar suara ke kawasan perumahan di sekitar masjid itu.

Mendoakan keburukan untuk orang lain adalah bertentangan dengan ajaran Islam. Rasulullah SAW melarang umatnya berdoa seperti yang dilaungkan di Masjid Bandar Perda itu.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut berceramah di masjid itu. Bagaimanapun beliau hanya tiba selepas waktu Isya dan tidak menyertai majlis doa munajat itu.

Ramai ahli Pas dari luar kawasan turut hadir di Masjid Bandar Baru Perda dan mereka melaungkan takbir bertalu-talu.

Majlis solat munajat Pakatan Rakyat turut diadakan di beberapa masjid lain sejak Jumaat lalu.

Pada masa yang sama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) turut menganjurkan solat munajat di Masjid Jalan Baru, Seberang Jaya pada 23 Ogos diikuti di Masjid Mengkuang Titi semalam.

Menurut risalah PPIM yang diedarkan di masjid-masjid di Permatang Pauh, solat munajat adalah cara terbaik untuk mencari kebenaran tanpa mendoakan kemusnahan sesama Islam.

PPIM menekankan, jelas kini kemelut yang berlaku semakin menghimpit dan menimbulkan banyak tanda tanya selain tuduh menuduh dan kutuk mengutuk yang melibatkan seluruh masyarakat negara ini.

‘‘Lantaran itulah persatuan (PPIM) ingin mengambil langkah proaktif demi memelihara ukhuwah sesama umat Islam,” kata risalah itu.

0 ulasan: