Isnin, 18 Ogos 2008

CERITA POLITIK SAYA




Sebenarnya, saya bermula di FaceBook.com dengan menubuhkan KELAB PENYOKONG UMNO @ kami ringkaskan sebagai KPUMaya. Secara ikhlasnya saya sudah kurang berminat untuk meneruskan pengelibatan saya dalam politik apabila YAB Tun Dr Mahathir Mohamad bersara dalam politik. Bagi saya, Tun merupakan sumber inspirasi dalam perjuangan saya terhadap agama, bangsa dan negara. Bersaranya Tun menyebabkan semangat juang saya juga semakin pudar. Keadaan politik yang aman semasa awal peralihan kuasa dari Tun kepada Pak Lah khususnya kemenangan besar BN dalam PRU11 juga membuatkan saya merasakan lebih yakin untuk bersara awal dalam politik UMNO. Keangkuhannya selepas kejayaan besar BN itu pula membuat saya meluat dengan politik UMNO.

Saya melaksanakan tugas terakhir sebagai Ketua Pemuda Penaja UMNO Bahagian Pengerang dengan menyediakan jentera pilihanraya pemuda yang memiliki semangat juang yang tinggi bagi membantu BN Pengerang menghadapi PRU11. Setelah itu saya tidak lagi melibatkan diri dalam politik UMNO. Saya hanya menyumbangkan idea melalui penulisan teks ucapan bagi rakan2 pemimpin UMNO serta membuat dan mengarang usul-usul setiap kali mereka bersidang.

Keputusan PRU12 membuatkan saya tersentak. Saya mengakui kesilapan saya kerana sebagai ahli UMNO yang begitu menghormati Tun, saya sepatutnya meneruskan perjuangan Tun dan bukan turut bersara serta lemah semangat apabila Tun bersara dari politik.

Selepas PRU12, saya mulakan sayangbangsa.blogspot.com. Saya menggunakan SayangBangsa kerana saya diajarkan bahawa semangat SAYANGKAN BANGSA adalah ROH kepada perjuangan UMNO. Kerana SAYANGKAN BANGSA lah menyebabkan UMNO terus mendapatkan sokongan dari orang Melayu selama ini. Saya juga mula aktif di FaceBook.com dengan menubuhkan KPUMaya. Mulanya dengan niat ingin tahu bahawa adakah benar dakwaan bahawa pelayar internet yang kebanyakannya generasi muda berpendidikan tinggi semuanya sudah hilang keyakinan terhadap UMNO.

Setelah beberapa bulan mengendalikan KPUMaya, dan mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan beberapa ahli KPUMaya, saya membuat kesimpulan bahawa pandangan awal saya adalah tidak benar 100%. Masih ada ruang untuk UMNO membetulkan keadaan dan salah tanggapan oleh masyarakat pada ketika ini.

Bergerak dari situ saya telah mendapat kesimpulan bahawa terdapat 2 kumpulan utama generasi muda di Internet. Pertama adalah kumpulan yang sememangnya Pro Pembangkang & anti Gov. Kedua adalah kumpulan yang Anti Gov (khususnya Pak Lah & KJ) tetapi Pro TDM. Kumpulan kedua ini rata2nya adalah berpendidikan tinggi, berpemikiran rasional serta mampu berhujah dengan baik tentang isu2 semasa.

Oleh kerana kedua dua kumpulan ini sebelum ini tidak terlibat pun dalam real politik, maka kebanyakannya tidak memahami situasi sebenar dalam politik UMNO. Kurangnya pemahaman tentang sepak terajang politik UMNO ini menyebabkan meraka mudah terkeliru dengan segala dakyah yang disogokkan kepada mereka oleh penceramah pembangkang mahupun media alternatif.

Sebagai contoh : ada yang mencadangkan supaya Menteri dan Wakil Rakyat tidak perlu mendapat GAJI. Pemimpin UMNO tidak boleh terlibat dalam perniagaan. Dari pengalaman saya sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian, pandangan ini semua tak berapa betul dan boleh menyebabkan UMNO semakin lemah.

Justeru pada pandangan saya, sebagai seorang yang sayangkan bangsa, kita harus membantu mengembalikan kekuatan UMNO dari luar (kerana kita tiada jawatan dalam UMNO) dengan cara masing-masing.

Tun sedang berusaha mengukuhkan UMNO dari luar dengan caranya yang tersendiri. Saya berpendirian sama seperti Tun bahawa sekiranya kita berjaya meningkatkan desakan dan tekanan sehingga Pak Lah meletakkan jawatan, maka UMNO akan lebih mudah dalam usaha mengembalikan sokongan rakyat terhadap UMNO dan Kerajaan.

Pak Lah & KJ adalah liabiliti yang paling berat bagi UMNO pada masa ini. Perginya Pak Lah akan membawa bersamanya sebahagian besar dari penyakit dan masalah yang sedang UMNO hadapi pada ketika ini. Lebih awal beliau berundur akan memberikan lebih banyak masa kepada penggantinya untuk melakukan perubahan secara besar-besaran untuk memulihkan UMNO secara keseluruhannya.

2010 terlalu lewat. Jika Datuk Seri Najib yang kita harap akan menjadi PM pada ketika itu, saya khuatir penerimaan rakyat dan ahli UMNO terhadap Najib sebagai PM akan kurang meyakinkan. Kerana, sehingga kini pun, saya dapati strategi pembangkang untuk membunuh karaktor politik Najib telah berjaya sehingga penyokong kerajaan dan UMNO sendiri pun sudah merasa ragu-ragu terhadap penafian beliau bahawa beliau tidak terlibat dengan kes Altantuya contohnya.

Dengan masa selama 2 tahun lagi, Pak Lah sebenarnya memberikan ruang dan peluang kepada Pembangkang untuk 'mengerjakan' Datuk Najib dengan lebih teruk lagi.

Dengan persepsi buruk rakyat, adakah ini akan membantu Datuk Najib dalam usaha untuk memulihkan UMNO bagi menghadapi PRU13 lebih-lebih lagi dengan masa yang tinggal sedikit. Kerosakan kesan dari penyakit yang telah dibawa oleh Pak Lah bukan hanya terhadap UMNO & Kerajaan tetapi juga melibatkan Barisan Nasional. BN sudah bercelaru pada ketika ini kerana kelemahan Pengerusi BN itu sendiri menyebabkan Pemimpin parti komponen BN berani untuk menuntut lebih dari yang sepatutnya.

Inilah sebenarnya yang perlu direnung oleh setiap orang yang sayangkan bangsanya dan sayangkan UMNO kerana kepercayaan bahawa hanya UMNO sahaja yang benar-benar konsisten dalam memperjuangkan Kedaulatan Politik Melayu di bumi Malaysia ini.

Walau bagaimana pun, saya juga berpandangan bahawa, UMNO tidak boleh hanya memperkasakan semula dirinya sahaja. UMNO juga harus membantu rakan-rakan komponen BN kembali kukuh.

Sekiranya UMNO sahaja yang kukuh dan kuat sedangkan parti komponen BN yang lain lemah : maka HAK-HAK MELAYU AKAN TERPAKSA DILEPASKAN SEDIKIT BAGI MENDAPATKAN SEMULA SOKONGAN KAUM LAIN TERHADAP PARTI KOMPONEN BN.

Lebih-lebih lagi jika UMNO itu lemah tetapi parti komponen BN yang lain kukuh : maka HAK-HAK MELAYU JUGA TERPAKSA DILEPASKAN BAGI MERAYU SOKONGAN PENGUNDI DAN PENYOKONG PARTI KOMPONEN BN TERHADAP CALON-CALON UMNO DALAM PILIHANRAYA.

Dan yang lebih penting lagi BAGI MEMASTIKAN JAWATAN PERDANA MENTERI TETAP MENJADI MILIK ORANG MELAYU.

0 ulasan: