Jumaat, 22 Ogos 2008

ANWAR IBRAHIM DAHULU DAN SEKARANG




Prof. Dr. Chandra Muzaffar mendedahkan: “Jika Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, ia akan menjadi satu bencana kepada Malaysia.”

(Chandra bukan ahli politik. Beliau adalah ahli akademik, sarjana dan pemikir – bukan seorang yang mahir dengan sepak-terajang politik)

Hampir 13 tahun lalu, iaitu pada 21 April 1995, ketika berkempen di Banting, Selangor, Anwar yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri, antara lain berkata:

“Pemimpin DAP, Pas dan Parti Melayu Semangat 46 (S46) gila kuasa hingga mereka sanggup memperdayakan rakyat untuk mencapai matlamat politik mereka. Pemimpin seperti ini yang mudah berbohong, hanya berminat kepada kuasa dan tidak mengendahkan kepentingan rakyat dan negara.”

Mengenai ikrar untuk memansuhkan cukai seperti dilaungkan DAP, Pas dan Parti Semangat 46 yang sudah dibubarkan, Anwar yang juga bekas Menteri Kewangan, pada 23 April 1995 antara lain pula berkata:

“Jika kita mansuhkan cukai, di mana kita akan mendapat sumber kewangan untuk membiayai projek pembangunan seperti membina sekolah dan masjid? Mereka boleh membuat janji tetapi kita harus bertanya pada diri sendiri sama ada mereka mempunyai keupayaan untuk memenuhi janji mereka.”

Hari ini, Anwar berkata, pakatan pembangkang akan menurunkan harga minyak, yang diberi subsidi dengan banyaknya oleh kerajaan, jika mereka berkuasa.

Mengenai BN, pada 13 April 1995, Anwar antara lain berkata: “Rakyat harus menggunakan rekod cemerlang kerajaan untuk mengukur sejauh mana kecekapan kerajaan BN mentadbir negara. Tidak seperti pembangkang yang suka membuat janji kosong, negara di bawah BN, dihormati di seluruh dunia. Kita tidak seharusnya menjadi warga negara yang tidak bersyukur seperti pembangkang.”

Mengenai manifesto pembangkang 1995, Anwar berkata: “Manifesto pembangkang mengandungi janji-janji yang tidak boleh dipenuhi.”

Kali ini, manifesto pembangkang, menjanjikan pelbagai habuan untuk rakyat. DAP berhasrat memberi RM6,000 kepada setiap keluarga; Pas dan PKR mahu menurunkan harga minyak dan memberi wang kepada ibu tunggal, pasangan yang baru berkahwin, usahawan muda dan banyak lagi.

Mengenai Pas, parti sekutu kuatnya, dan diketuai Datuk Seri Hadi Awang ketika itu, Anwar antara lain pernah menyatakan:

“Rakyat harus menolak Pas kerana ia gagal untuk menjaga kebajikan orang Islam di negara ini. Ketidakjujuran perjuangan Pas terbukti daripada kerjasamanya dengan DAP untuk menafikan hak masa depan yang lebih cerah bagi orang Melayu".

“Pemimpin Pas mendakwa bahawa mereka berjuang untuk memartabatkan Islam dan integriti orang Melayu di hadapan penyokong mereka di Terengganu dan Kelantan kerana ini adalah negeri yang majoritinya Melayu tetapi di Pulau Pinang, mereka sanggup bekerjasama dengan DAP bagi mengkhianati orang Melayu.”

Hari ini, Pas masih menjaja propaganda dengan tema yang sama di Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu, dan bekerjasama dengan PKR dan DAP di Pulau Pinang. Hadi Awang masih Presiden Pas.

Apakah pandangannya terhadap DAP dan Pas pada amnya? Dalam mesejnya kepada pengundi pada 1995, Anwar berkata:

“Parti-parti pembangkang mencetuskan sentimen perkauman untuk mengganggu keharmonian. Pas dan Semangat 46 menimbulkan sentimen perkauman di kalangan orang Melayu manakala sekutu mereka, DAP dalam usaha memancing undi masyarakat Cina, cuba untuk mencetuskan kebencian terhadap kerajaan dan orang Melayu. Kita tidak sepatutnya membenarkan diri kita diperalatkan oleh parti-parti pembangkang.”

Dan bagaimana pula dengan sekutunya sekarang, Lim Kit Siang dari DAP?



“Kita tidak akan bertolak ansur dengan DAP, yang memainkan sentimen perkauman. Saya memberi amaran kepada Kit Siang agar jangan bermain api kerana orang Melayu tidak bodoh dan kesabaran mereka ada hadnya.




“Tidak seperti mereka (pakatan pembangkang ketika itu), BN sentiasa konsisten dengan pendiriannya untuk membantu semua rakyat Malaysia.”

Apa pendapatnya mengenai pakatan pembangkang DAP-Pas-Semangat 46?

“Ia tiga serangkai berkhalwat; perkahwinan untuk keselesaan. Parti-parti ini tidak mempunyai objektif yang sama dan setiap satu mengikut agenda sendiri.”

Hari ini, perbezaannya ialah Semangat 46 sudah diganti dengan PKR yang diterajui Anwar. DAP dan Pas masih diketuai oleh orang yang sama seperti pada 1995.



Bukankah Perdana Menteri dan Pengerusi BN, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, menyatakan kira-kira seminggu lalu bahawa pakatan DAP-PKR-Pas adalah gabungan untuk keselesaan kerana setiap parti itu mempunyai mimpi dan ideologi berlainan?

Sepanjang 17 tahun berkuasa, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperjuangkan banyak perkara. Hari ini, beliau mengambil pendirian berbeza.

BN, di sebalik beberapa kekurangannya, masih konsisten.

Jadi, adakah kita hendak lupakan segala apa yang Anwar lakukan hanya kerana dia mengaku sekarang, sudah melakukan kesilapan selama 17 tahun itu?

Dan mengapa harus seluruh negara menanggung rasa bersalah kerana mata lebam, disebabkan tindakan seorang pegawai polis yang sudah terhukum oleh tindakannya itu?

SUMBER : BERITA HARIAN

0 ulasan: