Sabtu, 5 Julai 2008

MUBAHALAH : NIK AZIZ SETUJU MUFTI PERLIS

KOTA BHARU 4 Julai - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersetuju dengan cadangan yang meminta Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang dikaitkan dengan kes liwat supaya 'bermubahalah' atau bersumpah.

Beliau berkata, perkara itu merupakan ikhtiar terakhir sekiranya Anwar tidak mempercayai sistem keadilan negara.

"Memang patut kedua-duanya bermubahalah, dalam Islam pun ada, kita ajak ramai-ramai sembahyang hajat dan bersumpah dan kalau siapa salah biar Allah tunjukkan.

"Dalam al-Quran pun disebut dengan jelas mubahalah, mungkin Mufti Perlis 'serabut perut' tengok keadaan macam ini (tuduh-menuduh)," katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin yang meminta Anwar dan Mohd. Saiful 'bermubahalah' atau bersumpah setelah isu liwat itu kini menjadi semakin rumit dan rakyat pula menjadi keliru sehingga berbalah dan bertengkar sesama sendiri.

Menurut Mohd. Asri, kedua-duanya perlu bersumpah dengan melafazkan : "Jika dia tidak melakukan kepada saya, laknat Allah kepada saya, jika saya melakukannya, laknat Allah kepada saya."

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan dalam masa yang sama meminta semua pihak menghentikan tuduh menuduh kerana ia membawa kepada keburukan.

"Tuduh menuduh dalam Islam besar dosanya, senang saja kita tuduh liwat atau zina sedangkan tuduh cabul kehormatan menjatuhkan maruah orang.

"Kalau ada bukti bawa pergi ke mahkamah, jangan tuduh menuduh depan ramai, sekarang ada surat khabar lagi teruk, seluruh dunia tahu, Malaysia ini macam dah tidak ada maruah," katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai campur tangan Amerika Syarikat (AS) dalam masalah dalaman negara, beliau dengan tegas menolaknya sambil menyifatkan kuasa besar dunia itu sebagai bapa kepada segala kejahatan.

"Campur tangan Amerika memang tidak boleh, buat apa... Ingat Malaysia budak-budak, dia (AS) orang tua.

"Dia (AS) itu bapa kepada kejahatan, bunuh orang setiap hari di Iraq. Lebih jahat daripada manusia yang jahat, buat apa nak kacau kita," ujarnya.

SUMBER : UTUSAN

0 ulasan: