Isnin, 7 Julai 2008

ANWAR : SUMPAH ADA SYARAT



Anwar sedia bersumpah tetapi bersyarat

PETALING JAYA 6 Julai – Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bersedia bersumpah bagi membersihkan dirinya daripada tuduhan liwat dengan syarat ia dibuat di bawah bimbingan ulama-ulama yang berwibawa dari dalam dan luar negara.

Walaupun beliau bersedia bersumpah, dari segi pendirian beliau tetap berpegang pada pandangan Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria bahawa beliau tidak perlu berbuat demikian.

Menurut Anwar, sejak dahulu beliau memang bersetuju untuk membersihkan namanya menggunakan cara syariah jika kerajaan membenarkan beliau berbuat demikian.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang kini berdepan dengan dakwaan liwat yang dibuat oleh bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, mendakwa hasrat tersebut pernah diluahkannya semasa menghadapi tuduhan liwat yang pertama pada 1998.

“Saya minta dibawa ke Mahkamah Syariah pada tahun 1998, tetapi kerajaan Barisan Nasional (BN) menolak.

“Malah untuk bersumpah kali ini, saya setuju untuk berbuat demikian atas nasihat ulama-ulama berwibawa dari dalam dan luar negara,” katanya ketika berucap pada program Perhimpunan Protes Sejuta Rakyat - Protes Sampai Turun di Stadium Kelana Jaya di sini malam ini.

Sebelum ini, Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin mencadangkan Anwar dan Mohd. Saiful yang mendakwa dirinya diliwat oleh Anwar bermubahalah sebagai jalan penyelesaian kepada isu itu yang kini menjadi tumpuan nasional.

Anwar berkata, selain Harussani, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Hashim Yahaya dan beberapa ulama lain menegaskan beliau tidak perlu bersumpah.

Katanya, Harussani membuat penegasan beliau tidak perlu bersumpah atau bermubahalah kerana ia tidak menepati undang-undang Islam.

“Tunggulah kenyataan Mufti Perak itu keluar nanti,” katanya.

SUMBER : UTUSAN

~MataHatiJohor~ : Nak dibicarakan di mahkamah bersyarat. Nak diajak ber MUBAHALAH pun letakkan syarat. Macamana kalau semua penjenayah yang dituduh merasa dirinya hebat dan meletakkan pelbagai syarat. Sekiranya syaratnya tidak dipenuhi, maka semua sistem yang ada didakwa tidak adil. Apakah definisi keadilan bagi dirinya. Adakah apabila keputusan berpihak kepada dirinya baru dikatakan adil. Hanya Allah jua yang Maha Adil.

0 ulasan: