Rabu, 4 Jun 2008

HUBUNGAN KAUM DI MALAYSIA BAGAI BOM JANGKA



~MataHatiJohor~ : Bagi saya hubungan kaum di Malaysia umpama 'time bomb' yang menunggu masa untuk meletup pada bila-bila masa sekiranya tidak diuruskan dengan baik dan cermat.

Sebab itu saya bersetuju apabila YAB Tun mengatakan bahawa Malaysia, sebagai sebuah negara berbilang kaum, memerlukan sebuah kerajaan yang kuat. Tanpa sebuah kerajaan yang kuat, khususnya seperti kerajaan hari ini, akan memberikan ruang kepada 'kumpulan pelampau kaum' untuk membuat tuntutan-tuntutan yang ekstrim yang akan membuat kaum yang lain merasa tergugat.

Keadaan ini akhirnya akan mewujudkan ketegangan di dalam hubungan di antara kaum yang jika tidak segera dikawal akan membawa bencana yang amat dahsyat kepada negara. Contoh yang jelas kepada keadaan ini boleh kita lihat seperti yang berlaku di antara ethnik Bosnia, Crotia dan Serbia.

Dalam konteks Malaysia, kedaan hubungan kaum yang turun naik adalah mengikut iklim politik negara. Dalam keadaan UMNO dan Barisan Nasional yang kukuh, hubungan kaum dilihat lebih mesra sebaliknya apabila UMNO dan Barisan Nasional dalam keadaan lemah, keadaan hubungan kaum akan menjadi lebih tegang disebabkan oleh wujudnya parti yang bersifat 'perkauman melampau' seperti DAP.
Namun begitu, punca utama kepada ketidaktentuan hubungan kaum di Malaysia adalah kesilapan lampau semasa 'sosial kontrak' di antara kaum terbentuk. Kelonggaran dalam sistem pendidikan yang membenarkan setiap ethnik utama menubuhkan sekolah mereka sendiri tetapi dengan bantuan kerajaan adalah penyumbang terbesar kepada ketidaktentuan hubungan kaum di Malaysia.

Keterasingan dalam sistem persekolahan menyebabkan tidak wujud proses integrasi di antara kaum pada peringkat awal usia kanak-kanak lagi. Hanya apabila kanak-kanak memasuki persekolahan menengah barulah proses integrasi dapat dilakukan.

Lebih memburukkan lagi, apabila terdapat usaha untuk melaksanakan proses integrasi dari peringkat sekolah rendah seperti sekolah wawasan, usaha ini dibantah oleh parti komponen dalam Barisan Nasional sendiri.

Bantahan dari kumpulan ini sebenarnya boleh mencerminkan keikhlasan kaum-kaum tertentu terhadap usaha untuk mewujudkan hubungan kaum yang harmoni secara terancang oleh kerajaan.
Kini, setelah 52 tahun negara mencapai kemerdekaan, generasi pertama yang mula mendapat pendidikan secara terasing ini telah pun berusia 59 tahun. Bermakna juga generasi berusia 7 hingga 59 tahun yang wujud di Malaysia pada hari ini adalah yang terdiri dari kaum-kaum yang telah melalui sistem pendidikan yang terasing di antara satu sama lain.

Dan dari keseluruhan jumlah mereka ini, mereka yang berusia 21 tahun hingga 59 tahun adalah mereka yang telah membuang undi pada PRU12 yang lalu.

Beberapa soalan yang timbul,

1) Apakah mereka yang pernah mendapat pendidikan di SRJK Cina & Tamil dapat memahami 'sosial kontrak' sebagaimana mereka yang bersekolah di dalam sistem pendidikan kebangsaan.

2) Apakah mereka boleh menerima kedudukan istimewa pribumi Melayu sebagai penduduk asal negara ini.

3) Apakah pandangan mereka tentang kuota-kuota yang diperuntukkan kepada bumiputera dan tidak kepada kaum mereka.

4) Apakah perasaan mereka apabila terpaksa membeli rumah pada harga yang berlainan dari yang ditawarkan kepada bumiputera Melayu?.

Banyak lagi soalan yang boleh timbul. Kerajaan yang kuat dan kukuh sahaja yang boleh menangani segala persoalan ini.

Apa pun tindakan segera perlu dilakukan samada mewujudkan hanya satu sistem pendidikan ataupun membentuk sebuah kerajaan yang kukuh. Pilihan pertama agak sukar dilaksanakan khususnya dalam keadaan kerajaan yang lemah pada hari ini. Pilihan yang ada hanyalah memastikan wujudnya sebuah kerajaan yang kukuh dan kuat untuk menangani permasalahan ini.
Sebab itu, untuk memastikan wujud sebuah kerajaan yang kuat perlu dimulai dengan perletakan segera jawatan Presiden UMNO, Pengerusi Barisan Nasional dan Perdana Menteri oleh Seorang yang bernama Abdullah Bin Ahmad.
......................................................................
Masyarakat berbilang kaum Malaysia

Saya ditanya apakah makna negara Malaysia berbilang kaum bagi saya.

Pengertian masyarakat majmuk berbeza bagi setiap negara yang mempunyai rakyat berbilang kaum misalnya Singapura yang mendakwa ianya negara berbilang kaum tetapi secara dasarnya adalah sebuah Negeri yang dikuasai oleh penduduk berketurunan Cina yang besar.

Kerana keengganan keturunan kaum pendatang dari China dan India untuk di serap ke dalam masayarakat pribumi, kita terpaksa terima pengekalan identiti rakyat Malaysia daripada keturunan Cina dan India. Orang keturunan Indonesia memilih untuk diserap sebagai kaum pribumi oleh itu mereka tidak terbahagi kepada kaum-kaum yang berlainan.

Negara berbilang kaum pada kebiasaannya tidak stabil. Ketegangan kaum kerap berlaku. Jika Malaysia hendak mengelakkan konflik antara kaum ianya mesti cuba kurangkan perbezaan diantara kaum-kaum tersebut.

Kita tidak boleh menukar etnik. Jadi kita perlu menerima perbezaan etnik yang terdapat. Perbezaan agama juga tidak boleh ditukar.

Bagaimanapun, beberapa aspek perbezaan kebudayaan boleh di jadikan sesatu yang boleh diterimapakai oleh semua kaum. Makanan Cina di Malaysia melihatkan pengaruh cita rasa Melayu dan India. Kita juga boleh meraikan perayaan kaum-kaum lain dan sebagainya.

Perbezaan tahap pencapaian ekonomi merupakan satu masalah besar. Tetapi ianya juga merupakan satu bidang di mana pembetulan dapat dibuat dan ketegangan kaum dapat dikurangkan.

Jika kita mahu melihat, kita akan dapati bahawa walau di dalam negara yang mempunyai satu etnik sahaja pun perbezaan di dalam agihan kekayaan akan membawa kepada konflik. Sebab utama ideologi Sosialis dan Komunis diperkenalkan dan diterima pakai kelas pekerja adalah kerana jurang kekayaan yang terlalu besar di antara pekerja dan majikan. Tetapi Sosialis dan Komunis kerap membantutkan pertumbuhan ekonomi sehingga bukan sahaja yang kaya merasai kesan buruknya, tetapi juga yang miskin.

Kesatuan Sekerja juga boleh membantutkan pertumbuhan ekonomi kerana ianya sering disalahguna oleh pihak tertentu dengan, mengadakan mogok kerana sebab-sebab politik.

Konfrantasi di antara pekerja dan majikan, yang pada dasarnya adalah antara yang kaya dan yang miskin kerap berlaku termasuk di negara-negara bukan berbilang kaumpun.

Jika pekerja dan yang miskin sebahagian besarnya terdiri daripada satu kaum di dalam sebuah negara berbilang kaum manakala yang menjadi majikan yang kaya pula adalah daripada kaum yang lain, permusuhan antara kelas akan menjadi lebih buruk kerana perbezaan kaum. Itulah yang terjadi di Malaysia sebelum 1969, dan kita tahu hasilnya
Kepimpinan Melayu, Cina dan India ketika itu bersetuju bahawa perbezaan kekayaan diantara kaum mesti dikurangkan. Oleh sebab itu kita telah memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru yang bertujuan menghapuskan identiti kaum dengan fungsi ekonomi.

Malangnya tindakan yang diambil tidak dapat tidak melibatkan diskriminasi terhadap kaum Cina dan India untuk memberi keutamaan kepada kaum Bumiputera. Ini menyebabkan ketidak puasan hati kerana di dalam kaum yang termaju dan mewah sekalipun terdapat sebilangan yang miskin. Mereka ini akan lebih merasai diskriminasi.

Satu lagi aspek DEB ialah untuk menghapuskan kemiskinan tanpa mengira kaum. Daripada kajian yang dijalankan amat jelas bahawa terdapat lebih banyak kemiskinan di kalangan pribumi berbanding kaum Cina. Kemungkinan kemiskinan dapat di hapuskan di kalangan kaum Cina adalah lebih besar berbanding Melayu dan penduduk pribumi di sabah dan Sarawak. Malangnya pemimpin kaum India tidak membangkitkan masalah kemiskinan di kalangan mereka.
Jika kita hendak memperbetulkan ketidakseimbangan ini, adalah perlu untuk kita cuba mengurangkan kemiskinan di kalangan pribumi berbanding di kalangan kaum Cina. Tetapi jika terdapat di kalangan orang Cina yang miskin yang menunjukkan kebolehan luar biasa, umpamanya mendapat keputusan pepriksaan yang cemerlang, mereka tidak harus diketepikan daripada mendapat bantuan hanya kerana mereka adalah daripada kaum yang lebih kaya.

Secara prinsipnya DEB amat baik, tetapi di dalam pelaksanaannya terdapat beberapa kegagalan dan kelemahan. Bagaimanapun, sejak dari 1969 kita tidak melihat berlakunya konflik perkauman yang besar di Malaysia. Dan walaupun terdapat kelemahan pada DEB, Malaysia jauh lebih stabil daripada kebanyakan negara-negara berbilang kaum yang lain, begitu juga negara yang mempunyai satu kaum sahaja. Dan perkembangan ekonomi di Malaysia juga menidakkan apa-apa jangkaan negatif hasil daripada DEB.

Saya yakin jika kita boleh mengurangkan jurang ekonomi diantara rakyat Malaysia mereka tidak akan begitu hiraukan atau begitu tekankan akan perlunya mereka di identifikasikan menurut ketrurunan kaum mereka. Mereka akan tetap jadi Melayu, Cina, India, Murut, Bajau, Dayak dan sebagainya tetapi mereka akan kurangkan bersengketa tehadap satu sama lain.

Ras-ras di Malaysia saling berpaut antara satu sama lain dan mereka saling bergantung sesama mereka. Walaupun masyarakat berbilang kaum Malaysia akan terus berasingan daripada segi etnik kaum, namun Malaysia akan terus aman, berkeupayaan untuk mencapai pertumbuhan ekonomi dan memperlihatkan keharmonian perhubungan antara kaum jika pimpinan negara ini memahami masalah yang terdapat dan mempunyai kemampuan mengurus.

Sebanyak itulah yang boleh kita harapkan kerana kita tidak bersetuju untuk bertuturkata di dalam satu bahasa dan mengamalkan satu budaya serta melepaskan identifikasi dengan negara-negara dari mana nenek moyang kita berasal.

POSTED BY DR. MAHATHIR MOHAMAD AT 10:48 PM

0 ulasan: