Sabtu, 3 Mei 2008

KONGRES PERMUAFAKATAN MELAYU

Hak Melayu tak boleh dipersoal

Oleh Johan Afandi dan Srihanasham Noordin

JOHOR BAHRU: Kuasa politik orang Melayu di negara ini dijamin Perlembagaan Negara dan sebarang usaha mengubah hak keistimewaan orang Melayu perlu dibawa ke Parlimen dan mendapat majoriti dua pertiga daripada Ahli Parlimen, kata Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman.

Sehubungan itu, bekas Pengerusi MAS itu yang membentangkan kertas kerja 'Kedaulatan Perlembagaan Malaysia' pada Kongres Permuafakatan Melayu berkata, tiada mana-mana rakyat Malaysia yang boleh mempersoalkan keistimewaan orang Melayu di negara ini.

“Perkara ini dijamin Perlembagaan Negara dan juga negeri. Ia adalah kontrak sosial antara kaum yang dipersetujui semua pemimpin masyarakat ketika menggubal Perlembagaan Negara,” katanya.


Abdul Aziz berkata, institusi Raja Perlembagaan adalah sumber penting yang menyumbang kepada pegangan Ketuanan Melayu dan ia perlu dipertahankan semua orang Melayu di negara ini tanpa mengambil kira pandangan politik masing-masing.

“Kita perlu sedar bahawa Umno melalui Datuk Onn Jaafar yang menentang Malayan Union sekali gus membawa kepada kemerdekaan negara. Ketika itu, orang Melayu bersatu dalam menangani ancaman yang sudah pasti menggugat ketuanan Melayu di tanah air sendiri,” katanya.

Beliau berkata, Perkara 153 mengenai Hak Istimewa Orang Melayu tidak pernah menjadi bahan tawar-menawar ketika penggubalan Perlembagaan Negara kerana ia dilindungi Raja-Raja Melayu sejak British mula menduduki Tanah Melayu.


“Ia tidak boleh dipindah kecuali dengan persetujuan Majlis Raja-Raja. Peruntukannya dalam Perlembagaan Negara tidak boleh dipertikai atau dipersoalkan oleh sesiapa pun.

“Suruhanjaya Reid yang menggubal perlembagaan pernah mencadangkan supaya perkara berkenaan diguna pakai selama 15 tahun saja tetapi mendapat tentangan keras daripada Umno dan Raja-Raja Melayu.

“Kedudukan orang Melayu tidak boleh disamakan dengan pendatang. Kerana itulah, hak istimewa kita dilindungi Perlembagaan,” katanya.

Sementara itu, Profesor Datuk Dr Zainal Kling dari Universiti Perguruan Sultan Idris dalam kertas kerjanya bertajuk ‘Kedaulatan Kebudayaan, Pendidikan, Bahasa dan Agama Bangsa Melayu’ menggesa supaya pertikaian keistimewaan hak Melayu dihentikan.

.....................................................................


Peralihan sokongan tidak jejas kedaulatan

KEDAULATAN politik Melayu atau 'Malay Polity' di negara ini, tidak tercabar dengan peralihan sokongan orang Melayu daripada Umno seperti yang dapat dilihat pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.

Kedaulatan politik Melayu akan terus utuh selagi teras pemerintahan negara bertuankan Melayu dan terus mempertahankan Raja Melayu sebagai simbol kerajaan Melayu.

Sehubungan itu, Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff, berkata orang Melayu tidak mengira parti politik, perlu terus memastikan keupayaan untuk mempertahankan kekuatan Melayu memerintah negara.


Beliau berkata, pilihan raya umum lalu bukan saja menyaksikan peralihan sokongan orang Melayu daripada Umno malah parti politik lain, termasuk Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Keputusan pilihan raya lalu menunjukkan orang Melayu hanya mempunyai 124 kerusi Parlimen saja selepas dicampurkan kerusi yang dimiliki Umno, Pas, PKR serta parti dari Sarawak.

“Bilangan ini tidak mencerminkan langsung negara ini sebagai negara yang berteraskan Melayu," katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk 'Kedaulatan Politik Melayu‘ pada Kongres Permuafakatan Melayu di sini, semalam.


Kongres selama tiga hari yang bertema 'Kedaulatan Melayu Sebagai Paksi Kewujudan Bangsa‘ itu dianjurkan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) dan Badan-Badan Bukan Kerajaan (BBK) Melayu di Pusat Konvensyen Antarabangsa (Persada) Johor.

Mengulas lanjut mengenai kemerosotan sokongan terhadap Umno dan Barisan Nasional (BN), Mohammad Agus berkata, orang Melayu sedar Umno adalah parti politik dan mendukung kedaulatan politik Melayu dalam perjuangannya apabila ia ditubuhkan.

Bagaimanapun, katanya, perubahan sikap pemimpin Umno pada masa kini, yang sombong dan menjarakkan diri dengan masyarakat selain gagal menangani manifesto pembangkang menyebabkan masyarakat hilang kepercayaan dengan Umno.

Katanya, walaupun kerajaan mengambil langkah segera dengan mengumumkan pelbagai pakej bagi menarik semula sokongan rakyat, pemimpin perlu sedar bahawa rakyat mahu melihat kesan daripada segala pengumuman bukannya memahami apa yang berlaku, seperti dalam isu kenaikan harga minyak.

“Umno perlu sedar mereka tidak boleh sombong dengan orang Melayu kerana ia hanyalah sebuah parti, boleh datang dan pergi".

“Pemimpin Umno perlu bertindak segera mengubati parti ini, ia perlu membina semula imejnya, menyusun kembali kaedah pengurusan maklumat dan media yang dikuasainya, memperbetulkan semula kedudukannya supaya sesuai dengan tuntutan semasa rakyat dan mengubah semula strategi menawan hati rakyat,” katanya.

0 ulasan: