Ahad, 25 Mei 2008

KAKI BODEK SETERUSNYA : ZAID IBRAHIM

MataHatiJohor~ : Datuk Zaid Ibrahim sebagai Menteri yang bertanggungjawab soal perundangan dan kehakiman ketika mengulas kisah malang Malaysia kehilangan Pulau Batu Puteh kepada Singapura dengan bangganya mengatakan "keputusan ini tidak menimbulkan masalah besar kerana Malaysia dan Singapura mempunyai hubungan yang baik". Dengan Bangganya beliau menambah "khususnya sejak Abdullah Bin Ahmad jadi Perdana Menteri" "sebabnya Abdullah tidak suka hentam pemimpin sana sini"

Dengan ini MataHatiJohor mengesahkan Datuk Zaid Ibrahim telah pun menduduki senarai panjang kaki bodek dan pengampu kepada Abdullah Bin Ahmad.

Kerana terlalu taksub kepada Abdullah Bin Badawi yang telah melantiknya sebagai Menteri, beliau terlupa bahawa beliau adalah anggota Kabinet Kerajaan apabila beliau mengatakan "Kerajaan diminta agar lebih berhati-hati pada masa akan datang bagi memastikan hak kedaulatan kawasan dan wilayah negara ini kekal terjamin di bawah kekuasaan Malaysia."

Mengapa beliau terlupa bahawa beliaulah antara orang yang dipanggil Kerajaan itu? Sebabnya adalah beliau bukan mahu mengulas sangat tentang kekalahan Malaysia dalam isu Batu Puteh tetapi sebaliknya lebih kepada mahu membodek Abdullah Bin Ahmad. Beliau menggunakan peluang ini untuk menghentam Tun Dr Mahathir Mohamad yang beliau sifatkan sebagai "pemimpin yang suka menghentam sana sini".
Lebih baik kita mempunyai pemimpin yang menghentam sana sini daripada mempunyai pemimpin 'BACUL' seperti sekarang ini yang masih relax walaupun maruah dan kedaulatan negaranya telah jatuh ke tangan sebuah negara kecil yang dahulunya pun miliknya juga.

Kita di Johor sudah tahu benar sikap Abdullah Bin Ahmad ini yang telah dituba oleh menantunya yang begitu pro Singapura. Baginya apalah ada pada pulau Batu Puteh. Pulau Batu Puteh tidak ada apa-apa faedah bagi Scomi dan ECM Libra. Sedangkan Wilayah Pembangunan Iskandar yang begitu besar ingin diberikan kepada Singapura. Inikan pula sebuah tongkol batu di sempadan perairan negara.
Tetapi bagi rakyat Johor khususnya para nelayan di Pengerang, Pulau Batu Puteh amat bermakna kepada mereka. Rakyat khususnya rakyat Johor amat tidak bersetuju dengan kenyataan bahawa "Kerajaan tidak mempunyai masalah besar dengan keputusan ICJ itu". Rakyat mahukan pemimpin yang lebih patriotik, yang akan merasa kesal apabila kedaulatan dan maruah negaranya tercabar apalagi tergadai. Rakyat tidak mahukan pemimpin-pemimpin yang BACUL seperti yang ada sekarang ini.

Kepada Datuk Zaid Ibrahim, Sila tenguk isu Pulau Pisang di Pontian Johor. Rumah api dipulau ini juga dikendalikan oleh Kerajaan Singapura. Inilah yang perlu Kerajaan yang Datuk anggotai perhatikan dan jangan sampai suatu hari nanti pulau Pisang ini juga tergadai kepada Singapura hanya kerana Datuk sibuk memikirkan bagaimana dan apakah cara seterusnya untuk mengampu dan membodek Abdullah bin Ahmad, Perdana Menteri yang BACUL itu.


Berhati-hati supaya kes Pulau Batu Putih tidak berulang

KOTA BHARU 24 Mei - Kerajaan diminta agar lebih berhati-hati pada masa akan datang bagi memastikan hak kedaulatan kawasan dan wilayah negara ini kekal terjamin di bawah kekuasaan Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim berkata, langkah itu perlu supaya kes seperti kedaulatan Pulau Batu Putih tidak berulang.

Katanya, kerajaan perlu belajar dan mengambil iktibar daripada keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang menyerahkan kedaulatan pulau tersebut kepada Singapura.

''Mengikut hakim yang membaca penghakiman dia mengatakan kita tidak mempunyai rekod yang baik dan tidak melakukan sesuatu yang seolah-olah menunjukkan itu hak kita.

''Kalau itu benar apa perlu dipelajari, kita harus berhati-hati dan jaga hak dengan baik supaya tidak lagi menghadapi perkara yang sama,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Wartawan Melayu Kelantan Kali Keempat di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan ICJ di The Hague, Belanda semalam yang menyerahkan kedaulatan Pulau Batu Putih kepada Singapura.

Dalam penghakiman kira-kira sejam 45 minit itu, ICJ turut memutuskan bahawa Middle Rocks yang terletak kira-kira 0.5 batu nautika di selatan Pulau Batu Putih menjadi milik Malaysia, manakala status satu lagi bentuk maritim iaitu South Ledge akan menjadi milik negara di perairan mana pulau itu terletak.

Zaid berkata, keputusan tersebut tidak menimbulkan masalah besar kerana Malaysia dan Singapura mempunyai hubungan yang baik.

''Tidak jadi masalah kerana hubungan kita dengan Singapura sangat baik khususnya sejak Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi jadi Perdana Menteri.

''Ini hakikatnya negara mempunyai hubungan yang baik dengan negara-negara lain kerana Datuk Seri Abdullah tidak suka hentam pemimpin sana sini,'' katanya.

0 ulasan: