Rabu, 14 Mei 2008

ANWAR IBRAHIM + PAUL WOLFOWITZ + ISRAEL



Laporan Azman Zakaria, Norfatimah Ahmad, Zainab Yatim, Sazarina Sharim dan Norliza Wasilan

KUALA LUMPUR: Datuk Mukhriz Mahathir semalam mempertikaikan kewibawaan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri.

Mukhriz membangktikan tiga perkara yang dilakukan Anwar, termasuk dua yang dilaporkan media asing tetapi tidak diberi liputan oleh media tempatan.

Beliau berkata, laporan mengenai Anwar dalam majalah TIME, edisi bertajuk 'The 2008 TIME 100' ditulis oleh rakan karib Anwar, bekas Timbalan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Paul Wolfowitz merangkap ketua strategi perang Iraq untuk Presiden George W Bush.


“Mengapa harus Anwar bersekongkol dengan pembunuh lebih sejuta rakyat Iraq ini,” katanya ketika membahaskan usul terima kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat semalam.

Beliau juga berkata, artikel dalam akhbar Israel, Jerusalem Post menggambarkan Anwar sebagai bakal Perdana Menteri Malaysia, seperti yang disebut oleh Ahli Parlimen Gombak dari PKR, Mohamed Azmin Ali di Dewan Rakyat.

“Adakah ini bukti bahawa Israel juga setuju Anwar menjadi Perdana Menteri negara ini. Kalau setuju, mengapa?,” katanya.

Beliau berkata, laporan ketiga ialah mengenai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Foundation of The Future yang menerima dana AS$35 juta Amerika Syarikat daripada Jabatan Negara Amerika Syarikat.

NGO terbabit, katanya, turut menerima AS$10 juta daripada Bahrain dan AS$11 juta daripada sumber lain yang tidak diketahui.

“Pengerusi Foundation of The Future itu tak lain tak bukan ialah Anwar sendiri, insan yang dikatakan bakal Perdana Menteri Malaysia,” katanya.

Beliau berkata di NGO itulah Anwar mengambil teman wanita Wolfowitz, iaitu Shaha Riza bekerja di Foundation of The Future yang mencetuskan kontroversi di Bank Dunia baru-baru ini.

“Soalnya, adakah Anwar yang terbabit secara langsung dalam organisasi yang diragui latar belakangnya dan berkawan rapat dengan pengikut fahaman Neo Conservative yang membunuh rakyat Islam di Iraq, Wolfowitz hendak kita benarkan mengambil alih kepemimpinan negara tercinta ini.

“Sudah tentu tidak. Selagi nyawa dikandung badan, Umno tetap akan mempertahankan kedaulatan negara ini,” katanya.

Mukhriz juga berkata, parti pembangkang tidak perlu masuk campur atau menjaga tepi kain Umno kerana ahli Umno tahu menguruskan parti sendiri.

0 ulasan: