Rabu, 23 April 2008

Pemimpin perlu faham erti sebenar akar umbi

DI sana sini kita mendengar perkataan ‘akar umbi’. Ketika pihak media melaporkan kenyataan ahli politik mengenai konflik dan krisis dalam parti antara perkataan yang disebut ialah ‘akar umbi’. Ucapan pemimpin juga berfokus kepada politik akar umbi, malah masyarakat juga tidak lagi ragu-ragu bercakap mengenainya.

Apa sebenarnya maksud ‘akar umbi’ itu? Jika kita menghayati perkataan itu, ia sebenarnya mempunyai maksud yang jelas berhubung aliran penerimaan dan pemikiran dari peringkat bawah ke peringkat atas. Akar yang mengukuhkan struktur pokok dan akar jugalah yang menjadi tunjang utama kekukuhan pokok itu tegak berdiri dan sukar ditumbangkan angin dan ribut yang melanda kawasan di mana pokok itu berdiri.

Begitulah juga dengan politik akar umbi yang menjadi sumber kekukuhan utama sesebuah parti politik yang pasti kekal dan teguh jika mendapat sokongan ahli di peringkat bawah sehinggalah menjalar kekukuhan itu ke peringkat atas.


Marilah kita hayati teras perkataan ‘akar umbi’ itu secara rasional dan profesional satu persatu;

A - Aspirasi: Setiap parti politik mempunyai aspirasi yang menjadi nadi penggerak ke arah hala tuju parti. Aspirasi parti perlulah mendapat sokongan setiap ahli parti pada pelbagai peringkat bahagian dan cawangan agar setiap aktiviti dan program yang dijalankan menepati teras aspirasi parti.

K - Kepemimpinan: Pemilihan pemimpin pada pelbagai peringkat dalam parti perlulah diterima, diyakini dengan tidak berbelah bagi oleh setiap ahli di peringkat bahagian dan cawangan. Pemimpin yang tidak diterima oleh bahagian boleh menggugat kekukuhan parti politik itu. Pemimpin pula perlulah sedar bahawa kedudukan mereka dalam parti hanya akan kukuh dan teguh jika diterima dan diyakini setiap ahli pada pelbagai peringkat dalam parti itu.


A - Amanah: Bukan mudah menjadi pemimpin dalam parti kerana akar dan tunjang kepercayaan ahli kepada pemimpin mereka adalah sikap amanah dan jujur dalam menjalankan tugas. Sekali pemimpin memecahkan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka, sukar bagi ahli pada peringkat bahagian dan cawangan untuk menerima dan mempercayai pemimpin itu lagi.

R - Reputasi: Pemimpin yang mahu diterima, dihormati dan diyakini ahli pada peringkat bahagian dan cawangan perlulah membina reputasi yang cemerlang dalam parti. Ini dapat dilakukan dengan kerja keras secara positif untuk mempertingkatkan reputasi diri dalam parti dan bukan bergoyang kaki dan hanya sibuk memuji pemimpin lain dengan harapan dapat menumpang kem pemimpin yang dijangkakan mendapat sokongan bahagian dan cawangan. Pemimpin yang tidak mempunyai reputasi diri sukar diterima ahli parti.

U - Usaha: Setiap ahli parti perlulah sehati sejiwa dan seiya sekata dalam memperjuangkan maruah dan masa depan parti. Ahli pada setiap peringkat bahagian dan cawangan perlu meletakkan usaha berterusan untuk menjamin kejayaan parti. Setiap usaha itu hanya akan berjaya jika ahli dan pemimpin bersama-sama berganding bahu memikul tanggung jawab untuk kejayaan parti.

M - Misi: Setiap parti politik mempunyai misi dan visi yang perlu direalisasikan. Usaha merealisasikan misi dapat dilakukan dengan melaksanakan sistem, strategi dan struktur parti dengan berkesan dan sikap ahli yang positif untuk melihat parti mereka berjaya dengan mengenepikan perasaan hasad dengki dengan ahli yang menampakkan potensi untuk maju. Misi parti perlulah diterima ahli di pelbagai peringkat parti.

B - Berjuang: Perjuangan ahli parti dari peringkat bawah dengan keringat dan kesungguhan akan menjadikan sesebuah parti itu gah berdiri di persada politik negara. Setiap ahli dan pemimpin parti perlu berjuang dengan penuh keikhlasan dan ketelusan untuk mengukuhkan kembali parti yang ada kalanya terumbang ambing dipukul badai. Perjuangan parti perlulah menjadi teras perpaduan ahli parti.

I - Inovasi: Parti politik yang mahu kekal maju perlulah berterusan melakukan daya cipta inovasi dalam parti. Ahli parti yang muda perlu dihargai kerana mereka mempunyai idea kreatif dan mampu membawa perubahan minda yang positif kepada parti.

Parti yang mengekalkan pemikiran konservatif dan tidak mahu berubah akan sukar diterima oleh generasi muda yang mahukan sesuatu suasana politik segar, kreatif dan inovatif mengikut kepada perubahan masa depan.

Oleh itu, bagi pemimpin yang mahu terus diterima, dihormati dan diyakini ahli parti di setiap bahagian dan cawangan perlulah menghayati dengan jelas dan spesifik maksud ‘akar umbi’ dan bukan hanya menyebut secara lisan tetapi menghayati dengan penuh keyakinan dan keikhlasan sokongan dan kepercayaan dari peringkat akar umbi dengan fokus yang sebenar.

Ini penting kerana kejayaan pemimpin parti banyak ditentukan oleh penerimaan daripada politik akar umbi.



Prof Madya Dr Rusinah Siron ialah Pensyarah Utama Kolej Pengurusan Bisnes dan Perakaunan Universiti Tenaga Nasional (Uniten)

0 ulasan: