Khamis, 17 April 2008

Muhyiddin tak cabar Pak Lah




Oleh Azman Zakaria dan Anwar Hussin

PETALING JAYA: Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) menafikan beliau akan mencabar Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi atau Datuk Seri Najib Razak dalam pemilihan Umno yang akan diadakan Disember ini.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak dalam Umno supaya tidak menyalah anggap kelantangannya dalam membela nasib parti sebagai menyimpan hasrat untuk bertanding jawatan Presiden atau Timbalan Presiden.

Niat saya ikhlas... bukannya untuk bertanding melawan Pak Lah atau Datuk Seri Najib,” katanya kepada pemberita selepas Jawatankuasa Pengurusan Umno mengadakan pertemuan tertutup dengan Badan Perhubungan Umno Negeri Selangor, di sini semalam.


Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri diminta mengulas mengenai kelantangannya bersuara selepas Barisan Nasional (BN) mengalami prestasi buruk dalam pilihan raya umum lalu.

Muhyiddin berkata, dalam keadaan senario politik yang dianggap meruncing, beliau bertanggungjawab untuk memainkan peranan bagi menyelamatkan parti dengan membangkitkan kesedaran dan menyuarakan yang benar.

“Saya perlu membantu dalam keadaan kritikal ini supaya Melayu tidak terjerumus sehingga masuk ke gaung dan tidak boleh bangun lagi,” katanya yang mahu ahli Umno perlu sedar mereka berada dalam zon bahaya dan sesuatu perlu dilakukan.

0 ulasan: