Ahad, 13 April 2008

MELAYU REBAH - ISLAM DI MALAYSIA REBAH

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Nakhaie Ahmad membidas segelintir pihak yang sinis terhadap usaha menyatukan Melayu yang pada mereka sepatutnya dilandaskan kepada perpaduan Islam.

Dalam hal ini, ujarnya, Islam sebagai agama tidak perlu disatukan kerana ia adalah risalah yang satu dan kekal abadi dipelihara Allah akan kesatuannya.

Katanya, justeru yang memerlukan usaha perpaduan ialah orang-orang Islam yang berpecah-belah umatnya termasuk orang Melayu bagi konteks Malaysia.

''Untuk diambil keseluruhan umat Islam bagi dihimpunkan ia bukan dalam keupayaan kita, sebab itu yang termampu ialah menghimpunkan umat Melayu di negara ini.

''Kita sedar jika orang-orang Melayu di negara ini tersungkur, kedaulatan Islam juga turut tersungkur. Justeru orang-orang Melayu adalah pendukung utama yang jika pendukung rebah, yang didukung juga berselerak,'' ujarnya.

Turut menjadi panel dalam forum berkenaan ialah Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, Datuk Dr. Hassan Ahmad dan Felo Utama Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac), Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady

Dalam pada itu, perhimpunan berkenaan diakhiri dengan piagam merumuskan tujuh perkara utama yang antaranya menuntut ketuanan Melayu terus dipertahankan.

Piagam itu antara lain menggesa Melayu bersatu tanpa mengira fahaman politik dan memastikan kedudukan Raja-Raja Melayu, hak keistimewaan Melayu dan Islam yang termaktub dalam Perlembagaan dipertahankan.

Perhimpunan juga berikrar untuk berusaha menangani hambatan dan cabaran yang mengancam perpaduan Melayu dan Islam selain perlunya gandaan tindakan ke arah kemajuan orang Melayu.

Selain itu, piagam berkenaan turut mahu pegawai-pegawai Melayu di sektor awam dan swasta mematuhi dan memelihara kepentingan agenda Melayu dalam pelaksanaan dasar-dasar kerajaan yang diamanahkan kepada mereka.

Perhimpunan itu juga merumuskan bahawa Dasar Ekonomi Baru (DEB) perlu dikekalkan termasuk memastikan matlamat untuk mencapai sasaran 30 peratus ekuiti Melayu dapat dicapai.

Pada masa yang sama, piagam itu memberi jaminan dalam memperjuangkan hak dan ketuanan Melayu, kepentingan bangsa asing tetap dihormati dengan saksama.

0 ulasan: